Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN DUTA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/10/94
Tajuk/Title : SEMASA MERASMIKAN SEMINAR
UNDANG-UNDANG KETERANGAN DAN
PROSEDUR MAHKAMAH DI INSTITUT
KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Undang-undang dan sistem kehakiman Islam telah
berkembang dalam jarak masa yang amat panjang. Pada mulanya
ia tertumpu kepada keadaan tidak teratur dan zalim yang
terdapat dalam masyarakat jahiliah di Mekah. Tekanan undang-
undang Islam dan proses kehakiman ialah terhadap menentukan
keadilan berlaku dan kezaliman dicegah. Sistem kehakiman
Islam menekankan keadilan yang tinggi dan tidak membenarkan
ia digunakan dalam keadaan yang boleh menimbulkan kezaliman.
Justeru itu Allah berfirman dengan maksud "Jika engkau
menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".
(al-Ma'idah ayat 42).
2. Suatu perkara yang tidak boleh bertolak ansur dalam
sistem kehakiman Islam ialah keadilan, dan keadilanlah yang
menjadi pokok pangkal kepada mana-mana sistem undang-undang.
Sebenarnya dalam Al-Quran tuntutan kepada keadilan dan
pencegahan kezaliman diulang dan diulangi berpuluh-puluh
kali.
3. Bukan kerana pandangan atau pujian orang, tetapi kerana
tanggungjawab kita untuk menjunjung dan menghayati ajaran
Islam berkenaan keadilan, maka adalah sangat wajar bagi
ahli-ahli undang-undang Islam dan para kadi meningkatkan
ilmu dan benar-benar memahami tujuan hakiki undang-undang
Islam agar keadilan yang menjadi nadinya terserlah dan
nyata.
4. Kita perhatikan bahawa undang-undang Islam sebenarnya
dinamik. Sifat dinamisma itu wujud kerana wujud padanya
ciri `flexibility' yang merupakan ciri pokok dalam hukum
Islam, kerana hukum fiqah tidak terpisah daripada realiti
sosial dan keadaan persekitaran. Demikianlah dengan semua
ibadat dalam Islam, ianya boleh diamal mengikut keadaan
pengamal dan alam sekeliling. Ia tidak bertujuan untuk
menyusah, jauh sekali menyeksa umat Islam. Demikian jugalah
dengan undang-undang Islam. Tujuannya bukan untuk mendera
tetapi untuk menjadi pengajaran dan untuk kebaikan
masyarakat. Dalam keadaan realiti sosial yang berubah-ubah
Ibn Khaldun menyatakan:
"The conditions, interests, customs and sects of the world
and nations do not continue according to any specific
pattern or stable program. There is always change from
time to time and from one condition to another. In as
much as this applies to persons, times and provinces, it
applies likewise to countries, ages and states. Such is
God's order amongst His creatures. This social reality
undoubtedly leads to a change in people's interests.
In view of the fact that the interests of the people are
the foundation of the Shari'ah, it is both necessary and
reasonable that the Shari'ah rules should undergo changes
to suit the changing conditions and needs."
Dalam konteks yang sama Ibn Qayyim menekankan:-
"Legal interpretation should undergo change with the change
of times, places, conditions, intentions and customs;
ignorance of this fact has resulted in grievous
injustices to the Shari'ah and has caused many
difficulties, hard - ships and sheer impossibilities,
although it is known that the noble Shari'ah, which serves
the highest interest of mankind would not sanction such
results."
5. Kita baca kaedah fiqah yang menyebut "Rules of Law vary
with the change of times" atau "hukum hakam berubah dengan
perubahan masa". Kaedah ini telah diterima oleh ulama fiqah
silam dan sekarang.
6. Berdasarkan kepada kaedah ini, tidaklah salah, malah
menjadi tanggungjawab kepada ulama Malaysia hari ini mencuba
dengan penuh berani, menilai kembali dan mengetahui hukum
hakam silam agar ia serasi dan boleh dipakai di zaman kita
dalam keadaan yang terdapat di negara ini.
7. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berpendapat
bahawa hukum hakam silam itu salah dan tidak boleh dipakai.
Tetapi oleh kerana kita tahu bahawa hukum hakam silam yang
dikeluarkan oleh ulama silam itu ialah bertujuan untuk
menjawab persoalan-persoalan dan keadaan di zaman mereka,
maka mereka bukanlah berhasrat agar hukum hakam mereka
dipakai untuk menjawab persoalan lebih 1000 tahun kemudian.
Realiti zaman kini sangat jauh berbeza dengan realiti 1000
tahun yang silam. Hukum hakam juga perlu ikut berbeza.
Kalau kita tidak berani membuka pintu akal kita kepada
tafsiran baru terhadap kaedah silam, maka Syariah Islam akan
dianggap sebagai tidak dinamik, lesu dan kaku. Sebenarnya
bukan Syariah yang lesu tetapi akliyah kita barangkali yang
kaku. Kalau hal ini terjadi, ia bermakna kita kurang faham
mengapa Imam Shafie menukarkan pendapatnya yang dikeluarkan
di Iraq apabila beliau menetap di Mesir. Demikian di zaman
Raja begitu berkuasa dan bengis, ada ulama yang sanggup
mentafsir ajaran Islam sebagai membenar simpanan beratus-
ratus gundik yang dijaga oleh lelaki yang sudah dikasi.
Tafsiran ini dibuat kerana takut sesuatu terjadi kepada diri
sendiri. Demikian juga dengan ajaran Islam berkenaan
poligami. Dalam masyarakat jahiliah yang mana orang yang
berada dan berkuasa mempunyai bilangan isteri yang tidak
terhad, menghadkan isteri kepada empat orang sahaja
merupakan pembatasan terhadap amalan lama. Tetapi jika
diteliti betul-betul adalah jelas bahawa yang dibenarkan
hanya satu sahaja kerana tidak mungkin seorang suami boleh
berlaku adil kepada dua, tiga atau empat isteri.
Sepertimana larangan terhadap meminum arak dibuat
berperingkat-peringkat, larangan terhadap poligami ada
tersirat dalam ayat yang ternampak seolah-olah mengizinkan.
Sudah tentu ayat itu tidak boleh ditafsirkan sebagai
menyuruh atau memaksa pengamalan poligami. Tetapi dalam
keadaan tertentu ayat ini jelas membolehkan amalan ini.
8. Jika dikaji pula daripada sudut keadilan, dalam
masyarakat biasa di mana lelaki dan perempuan hampir sama
banyak, sudah tentu jika seorang lelaki mengambil empat
isteri maka masyarakat akan kekurangan tiga isteri untuk
tiga lelaki. Jika poligami menjadi amalan menyeluruh, sudah
tentu akan ada lebih ramai lelaki yang tidak mempunyai
isteri. Masyarakat yang dipenuhi dengan ramai lelaki yang
tidak beristeri bukan sahaja tidak akan mencerminkan
keadilan Islam tetapi juga tidak akan aman. Justeru itu
apakah umat Islam harus terima dengan mudah tafsiran yang
begitu cetek, yang tidak mengambilkira keadilan sosial yang
dituntut oleh agama Islam? Apakah kita tidak harus memikir
semula bukan untuk menukar ayat-ayat yang terdapat dalam Al-
Quran atau hadith, tetapi terhadap tafsiran yang dibuat oleh
ulama silam dalam keadaan sosial yang berbeza?
9. Seminar mengenai prosedur undang-undang dan keterangan
di Mahkamah Syariah barangkali boleh dikaitkan dengan
langkah berani untuk meneliti secara rasional peraturan
silam dan menerima peraturan baru yang serasi dan sesuai
dengan keadilan dalam Islam dan status Mahkamah Syariah
zaman ini.
10. Saudara-saudari tentu bersama saya mengakui bahawa
banyak prosedur dan keterangan yang telah dipakai di
Mahkamah Syariah di masa lalu sudah tidak sesuai lagi, dan
sistem kehakiman Mahkamah Syariah memerlukan kepada undang-
undang prosedur dan keterangan yang baru dan lebih mantap.
Sekurang-kurangnya tidak ada larangan dalam Islam bagi kita
mengkaji yang lama dan mencipta yang baru yang juga tidak
bertentangan dengan Islam.
11. Kita dengan penuh yakin menyatakan bahawa hukum-hukum
syarak itu baik dan adil, tiada cacat dan cela, sesuai
belaka. Namum demikian, kebaikan dan keadilan akan
tercemar, andainya ia ditadbirkan dengan sewenang-wenang
tanpa mengikut prosedur dan peraturan. Malah prosedur yang
kemas dan peraturan keterangan yang rapi itu akan tidak
bermakna jika ia diketepikan dalam perbicaraan. Jangan
sampai Mahkamah Syariah pula menjadi bukti kepada kenyataan
sinis "undang-undang Islam yang adil itu dipandang sebagai
zalim apabila ia ditadbirkan dengan kucar kacir."
Rasulullah s.a.w. telah dipetik sebagai bersabda:-
"Kamu boleh serah undang-undang yang tidak adil kepada
hakim yang adil, tetapi kamu jangan serah undang-undang
yang adil kepada hakim yang zalim."
12. Jika segala-galanya diserahkan kepada hakim-hakim untuk
diurus mengikut budibicara mereka, tafsiran dan hukum akan
berbeza-beza. Apakah hukuman yang berbeza-beza berkenaan
jenayah yang sama boleh dianggap adil?
13. Ini semua mencerminkan betapa perlunya undang-undang
prosedur dan keterangan yang lengkap. Di samping itu
penting juga para kadi dan hakim mahkamah benar-benar
memahami dan mengikuti serapatnya undang-undang ini.
Kalaulah berlaku sebaliknya maka Mahkamah Syariah akan
menjadi sasaran ejekan dan cemuhan.
14. Kerajaan sedar bahawa status Mahkamah Syariah dan
hakim-hakimnya perlu dipertingkatkan agar mereka benar-
benar mencerminkan keadilan hukum syarak. Tetapi sebelum
itu, kredibiliti dan ketertiban dalam pentadbiran hukum
syarak hendaklah ditingkatkan bersama. Jika kita boleh
memperkenalkan sistem perbankan Islam sehingga ia diterima
umum, tidak ada sebab kita tidak boleh memperlihatkan
pentadbiran hukum syarak yang tidak akan meragukan sesiapa.
15. Di samping itu adalah bermanfaat jikalau para
hakim Mahkamah Syariah dapat mengadakan perbincangan secara
intensif dan akademik mengenai semua aspek undang-undang
yang berkaitan dengan mahkamah. Peningkatan daya ilmu dan
daya fikir, pemahaman terhadap isu-isu semasa yang kian
rumit adalah juga perlu.
16. Kita dapati ramai kadi di zaman silam seperti Abu
Yusuf, Abu Ya'la dan Qadikhan telah menulis banyak kitab
yang telah menjadi rujukan kepada ramai orang hingga ke hari
ini. Kitab-kitab itu ditulis hasil daripada pengalaman
praktikal mereka semasa menghakimi perbicaraan.
17. Prinsip 'flexibility' dan kaedah 'gradation' dalam
perundangan Islam perlu diberi perhatian yang serius semasa
kita menggubal undang-undang termasuk undang-undang Islam.
Kaedah yang diterima oleh semua ulama fiqah ini memberi
peluang praktikal dalam kita menerapkan nilai-nilai hukum-
hukum syarak ke dalam sistem undang-undang negara. Kaedah
ini juga pasti memberi ruang yang baik kepada perkembangan
yang harmonis kepada hukum syarak di negara kita. Tiada
seorang pun daripada kalangan kita yang ingin melihat
pentadbiran hukum syarak dibuat tanpa peraturan dan secara
sambil lewa. Kita semua benar-benar ingin melihat
perkembangannya secara positif, teratur dan aman.
18. Kita sebut prinsip 'flexibility' dan keadah 'gradation'
ini bukanlah untuk dijadikan alasan apologetik untuk kita
tidak memberi apa-apa perhatian kepada perkembangan hukum
syarak. Kita semua harus memberi perhatian. Cuma kita rasa
tidak wajar hukum syarak ini dilaksanakan secara terpisah
daripada perkembangan aspek-aspek lain seperti sosial,
budaya, ekonomi dan politik. Hal-hal ini harus diambilkira
agar hukum syarak dapat dihayati dengan baik dan jaya.
19. Untuk menyempurnakan hasrat ini suatu Jawatankuasa
Induk Penyelarasan Undang-undang Malaysia dan Hukum Syarak
telah ditubuhkan di bawah Pusat Islam, Jabatan Perdana
Menteri. Jawatankuasa ini boleh memberi cadangan pindaan
dan penyesuaian mana-mana undang-undang negara untuk
mencapai matlamat penerapan hukum syarak ini ke dalam
kerangka dan isi undang-undang negara.
20. Kita maklum bahawa hal-ehwal agama Islam termasuk
undang-undangnya adalah terletak di bawah bidangkuasa
Kerajaan negeri. Ini bukanlah bermakna bahawa Kerajaan
negeri mempunyai hak dan tanggungjawab mutlak atas segala
perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Kita semua ada
hak dan ada tanggungjawab terhadap agama kita. Kerajaan
Persekutuan juga ingin berkongsi hak dan tanggungjawab ini
dengan pihak-pihak lain. Penyelarasan antara hak dan
tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu sentiasa
wujud dan berterusan. Penyelarasan yang paling berkesan
ialah yang dilakukan melalui syura dan perundingan dalam
suasana yang baik dan bukan dalam suasana tegang. Kita
semua maklum bahawa melalui syura masalah akan dapat
diselesaikan tanpa banyak salah faham. Di samping itu ia
akan dapat menghapuskan banyak kekeliruan di kalangan orang
ramai. Pada akhirnya kita akan dapat mencapai hasrat agama
kita untuk menyatupadukan umat yang diidam-idamkan.
21. Penyelarasan undang-undang keterangan dan acara jenayah
dan sivil Mahkamah Syariah merupakan antara langkah yang
positif ke arah penyatuan undang-undang Islam di Malaysia.
Kita harap banyak lagi aspek keagamaan yang boleh
diselaraskan tanpa dilengahkan.
22. Memang ada beberapa peruntukan undang-undang yang perlu
diteliti dan kalau boleh diberi tafsiran baru supaya
penerapan nilai-nilai hukum syarak ke dalam undang-undang
negara dan penyelarasan antara kuasa persekutuan dan kuasa
negeri dapat dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.
Bolehkah ditafsirkan bahawa kuasa membuat undang-undang yang
dianggap sebagai ada kaitan dengan hukum Islam yang tidak
ada pada Kerajaan negeri itu secara langsung terletak pada
kuasa Kerajaan Persekutuan? Dalam perkataan lain daripada
segi undang-undang ketiadaan kuasa undang-undang di
peringkat negeri bolehkah diserah kepada Kerajaan
Persekutuan? Ahli-ahli undang-undang boleh membincangkan
isu ini dan membuat rumusan untuk diteliti oleh Kerajaan.
23. Saya ingin menyentuh mengenai kedudukan Mahkamah
Syariah. Kita semua maklum bahawa Mahkamah Syariah berada
di luar struktur umum kehakiman negara. Hal ini disebabkan
oleh latarbelakang sejarah dan undang-undang di negara
majmuk dan berbagai-bagai agama. Ia sudah berlaku demikian.
Hal ini tidaklah bermakna bahawa kedudukan Mahkamah Syariah
boleh dipandang rendah dan dibiarkan. Ini adalah kerana
jika ada keaiban pada Mahkamah Syariah, keaiban itu adalah
merupakan keaiban kita dan keaiban umat Islam di Malaysia.
Kita semua, termasuk hakim-hakim Mahkamah Syariah mestilah
berusaha seberapa yang mungkin untuk meningkat dan
meletakkan Mahkamah Syariah di tahap yang sesuai. Kerjasama
yang rapat di antara Mahkamah Syariah dengan sivil perlu
dipertingkatkan. Interaksi antara ahli undang-undang sivil
dan undang-undang syarak perlu dirapatkan. Walaupun kedua-
duanya terpisah, perpisahan itu tidak sepatutnya sehingga
bertentangan. Persamaan prinsip dan matlamat untuk
menegakkan masyarakat yang adil perlu diadakan.
24. Saya difahamkan bahawa struktur mahkamah sudah disusun
semula dan sudah dipersetujui. Saya berharap semua negeri
menyegerakan pelaksanaan struktur mahkamah yang dipersetujui
itu. Cubalah jangan mencari helah untuk tidak melaksanakan
apa yang sudah diputuskan itu. Cuma suatu perkara yang
belum diputuskan ialah isu Mahkamah Rayuan Syariah. Apakah
bentuk dan koposisinya? Di manakah letaknya? Di bawah
kuasa negeri atau persekutuan? Apakah ada peruntukan
undang-undang untuk meletakkannya di bawah kuasa persekutuan
atau tidak? Kalau tidak, apakah ketiadaan undang-undang itu
boleh diisi oleh undang-undang persekutuan? Tuan-tuan boleh
membincangkannya dan membuat cadangan kepada Kerajaan.
Mana-mana yang baik tidak patut dibiarkan dan mana-mana yang
buruk tidak patut dikekalkan.
25. Mahkamah Syariah memang diberi kuasa yang terbatas oleh
undang-undang. Namun demikian janganlah kita merasa
terkilan. Keadaan dalam negara majmuk dengan penduduk
berbagai-bagai agama memaksa kita menangani soal perundangan
dan pengadilan dengan berhati-hati supaya ketidak-adilan
tidak berlaku. Kita berharap undang-undang keterangan dan
prosedur Mahkamah Syariah itu dapat dipakai dengan setepat
mungkin dan Mahkamah Syariah perlu membuktikan kecekapannya
dalam mentadbirkan kehakiman syarak setinggi mungkin.
Insya-Allah dengan berkat dedikasi dan keikhlasan semua
pihak, Mahkamah Syariah akan dihormati dan disanjung tinggi
kerana pengadilannya yang tertib dan adil.
26. Dengan penghormatan yang diberikan kepada saya, dengan
sukacitanya saya merasmikan Seminar Undang-Undang Keterangan
dan Prosedur Mahkamah ini.
|