Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KELANG, SELANGOR
Tarikh/Date : 28/10/94
Tajuk/Title : PELANCARAN PUSAT PEMERIKSAAN
KENDERAAN BERKOMPUTER (PUSPAKOM)
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Diversified
Resources Berhad (DRB) kerana menjemput saya untuk
merasmikan pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan
Berkomputer Sdn. Bhd. (PUSPAKOM), milik DRB pada hari ini.
2. Tahniah saya ucapkan kepada Diversified Resources
Berhad kerana berjaya mengambil alih perkhidmatan
pemeriksaan kenderaan komersil yang selama ini dikendalikan
oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Pusat Kenderaan ini adalah
satu lagi perkhidmatan Kerajaan yang telah menjalani proses
penswastaan. Kerajaan percaya dengan penswastaan
perkhidmatan ini, pemeriksaan kenderaan komersil akan dapat
dijalankan dengan lebih efisien dan pantas.
3. Kenderaan bermotor adalah suatu kemudahan yang kita
sekarang terima sebagai sebahagian daripada cara hidup kita,
cara hidup yang kita anggap menjadi hak bagi masyarakat
yang pesat membangun. Tetapi kemudahan ini tidak datang
tanpa masalah.
Di zaman kereta lembu dan orang berjalan kaki, tidak ada
kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dan tidak ada
pencemaran udara dengan asap ekzos kereta. Hari ini tidak
ada suatu hari pun yang berlalu yang kita tidak kedengaran
berita kemalangan dahsyat di jalan raya dan hari ini juga
kita terpaksa menyedut udara yang penuh dengan asap dan gas
yang toksik. Udara sudah tidak bersih lagi dan langit biru
tidak lagi kelihatan. Apakah gunanya segala kemajuan dan
kemudahan jika kehidupan kita tercemar, kita terdedah kepada
penyakit paru-paru dan kepada bahaya kemalangan jalan raya
yang boleh meragut nyawa kita atau yang mencacatkan tubuh
badan kita?
4. Sebenarnya apa yang berlaku bukanlah kerana adanya
kemudahan kenderaan bermotor. Keburukan yang berlaku adalah
kerana kita hanya minat memiliki dan mengguna kenderaan
bermotor tetapi tidak mempunyai perasaan tanggungjawab
terhadap penyelenggaraan kemudahan ini. Kemalangan di jalan
raya berlaku kerana kita tidak cermat dan cekap dalam
memandu kereta. Kita terlalu gopoh dan tidak bertimbangrasa
terhadap pengguna jalan raya yang lain. Mungkin juga kita
tidak menyelenggara kereta kita dengan sempurna, sehingga ia
tidak lagi selamat untuk digunakan.
5. Demikian juga dengan asap yang hitam yang keluar
daripada ekzos kereta kita. Kereta yang baru dan yang
diselenggara dengan baik tidak akan mengeluarkan asap yang
begitu kotor. Di negara- negara yang pemilik dan pemandu
kereta lebih bertanggungjawab, pencemaran udara oleh asap
daripada kereta tidak berlaku walaupun kereta mereka lebih
banyak berbanding dengan yang ada di negara kita.
6. Kerajaan membuat undang-undang untuk penyelenggaraan
kereta secara yang baik bukan untuk menyusah pengguna tetapi
untuk menyelamatkan mereka. Kita tidak boleh fikir bahawa
belanja untuk memiliki dan mengguna kereta bermula dan tamat
dengan kita membayar harga dan cukai pembelian. Jika kita
ingin memiliki kereta kita mesti selenggarakannya dengan
baik. Jika tidak kita juga yang akan menjadi mangsanya.
7. Pemeriksaan semua jenis kenderaan untuk menentukan
kenderaan-kenderaan ini selamat untuk digunakan di jalan
raya akan dapat mengurangkan kemalangan di jalan raya dan
kehilangan nyawa atau cedera parah di kalangan pengguna
jalan raya. Undang-undang keselamatan jalan raya adalah
untuk keselamatan pengguna. Undang-undang mencegah
pengeluaran asap juga adalah untuk kesihatan kita semua.
8. Ada pihak yang mempertikaikan pemeriksaan kereta yang
berasap tanpa alat-canggih. Mereka anggap perbuatan ini
sebagai tidak adil. Tetapi kita semua biasa mengikut
kenderaan yang mengeluarkan asap sehingga kita tidak dapat
melihat kenderaan itu. Apakah itu tidak benar asap hanya
kerana kita tidak ada alat canggih, dan ianya menjadi asap
hanya apabila kita mengukur dengan alat berkenaan? Tidakkah
kita sedar bagaimana udara kita begitu tercemar dan kotor,
serta dipenuhi dengan gas-gas toksik yang merbahaya kepada
kesihatan kita sehingga boleh menyebabkan kita mendapat
sakit barah dan sakit paru-paru yang memendekkan nyawa kita?
Tidakkah kita sedar bahawa pencemaran udara kita
sebahagiannya disebabkan asap daripada kereta-kereta yang
tidak diselenggarakan dengan baik? Apakah hak kita
mengotorkan udara lebih penting daripada kesihatan kita?
Orang yang memiliki dan menggunakan kenderaan yang
mengeluarkan asap sama terdedah kepada bahaya daripada
pencemaran udara oleh mereka. Mereka dan keluarga mereka
juga yang menghidu asap ini. Tetapi mereka lebih
mengutamakan hak untuk mengukur asap dengan alat canggih
daripada bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka dan
keluarga mereka sendiri, jika pun tidak kepada masyarakat
yang memberi peluang kepada mereka memiliki kereta dan hidup
bahagia.
9. Kita menswastakan pemeriksaan kenderaan ini kerana
beberapa sebab. Biasanya Kerajaan tidak mampu dan tidak
efisien dalam menguruskan kerja seperti ini. Jika
pemeriksaan dibuat secara tidak efisien, pemilik kereta juga
yang akan menjadi mangsa.
10. Janganlah fikirkan tentang keuntungan yang akan
diperolehi oleh pengusaha yang mendapat francais ini sahaja.
Saya ingin mengingatkan bahawa pengusaha ini pun mempunyai
tanggungjawab yang berat. Jika kita dapati pemeriksaan yang
dibuatnya tidak dilakukan dengan baik, walau apa pun
sebab, kita akan menarikbalik lesennya. Kerugiannya tentu
besar tetapi bagi yang tidak bertanggungjawab keuntungan itu
tidak boleh dihalalkan.
11. Orang lain yang hanya nampak keuntungan pengusaha ini
harus faham betapa beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul
olehnya. Demikian juga pekerja yang berpeluang bekerja
dengannya. Jika pemilik ternampak terlalu 'strict' terhadap
mereka, sebabnya ialah kerugian yang akan dipikul olehnya
amatlah berat jika kerja tidak dibuat dengan jujur dan baik.
Pemilik kereta yang berharap mendapat kelulusan dengan mudah
sedangkan kereta mereka tidak diselenggarakan dengan baik
juga harus ingat bahawa jika kelulusan yang tidak sepatutnya
diberi, tetapi diberi kerana sebab-sebab tertentu, balasan
kepada pengusaha ini adalah berat. Justeru itu, pengusaha
perlu tegas walaupun pemilik kenderaan akan marah.
Ketidaklulusan bukan kerana takut hilang pendapatan sahaja
tetapi kerana tanggungjawab kepada masyarakat yang perlu
dilindungi daripada bahaya kereta yang tidak diselenggarakan
dengan baik digunakan di jalan raya.
12. Sempena dengan penswastaan pemeriksaan kereta ini,
ingin saya jelaskan sedikit tentang tindakan penswastaan
oleh Kerajaan. Jika kita teliti, kita akan mendapati bahawa
penswastaan menguntungkan semua pihak, dan bukan hanya
pengusaha yang berjaya memperolehi peluang. Pengguna
biasanya mendapat perkhidmatan yang lebih efisien dan baik,
pekerja mendapat peluang dan upah yang lebih daripada yang
boleh diberikan oleh Kerajaan, pengusaha mendapat keuntungan
dan Kerajaan pula dapat mengurangkan perbelanjaan untuk
menyedia dan menguruskan perkhidmatan ini, di samping
mendapat cukai pendapatan daripada pengusaha. Kerana
pendapatan ini, Kerajaan tidak perlu menambah cukai untuk
mendapat peruntukan bagi belanja keperluan pentadbiran,
bahkan boleh menaikkan pendapatan kakitangan Kerajaan sama
ada dengan menambah upah atau bonus. Tidak dapat dinafikan
oleh sesiapa bahawa penswastaan telah berjaya mempercepatkan
pembinaan keperluan infrastruktur dan membantu pertumbuhan
ekonomi negara. Jika kita hendak menunggu sehingga Kerajaan
dapat mengumpulkan wang yang cukup sebelum mengadakan seribu
jenis keperluan infrastruktur, pelaburan dan pembangunan
ekonomi sudah tentu akan terbantut dan rakyat akan rugi.
13. Ada pihak yang mengecam langkah penswastaan kerana
kononnya ia merugikan Bumiputera. Saya ingin menjelaskan
bahawa sebahagian besar ekuiti dalam syarikat yang
diswastakan dipegang oleh institusi-institusi seperti
Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Lembaga Tabung
Angkatan Tentera dan badan-badan lain yang mewakili
Bumiputera. Tidak ada sebenarnya syarikat besar Bumiputera
yang tidak mendapat manfaat yang besar daripada penswastaan.
Namakan sahaja syarikat Bumiputera yang besar, dan kita akan
tunjukkan bagaimana syarikat itu mendapat nikmat yang besar
daripada penswastaan. Syarikat Bumiputera yang kecil dan
individu Bumiputera perseorangan pun tidak boleh mendakwa
bahawa mereka tidak mendapat apa-apa faedah daripada
penswastaan. Melalui 'sub-contract' dan pemilikan saham
dalam syarikat-syarikat, Bumiputera dan bukan Bumiputera,
dan juga melalui badan-badan amanah Bumiputera, semua
Bumiputera mendapat nikmat daripada penswastaan.
14. Hanya yang dikesali ialah ada pengusaha-pengusaha
Bumiputera yang meminta-minta projek penswastaan dengan
alasan bahawa mereka adalah Bumiputera. Tetapi malangnya
apabila mereka diberi peluang mereka tidak membuat apa-apa
dan sebaliknya menjual projek berkenaan kepada pihak bukan
Bumiputera. Mereka diberikan projek itu kerana mereka
Bumiputera tetapi mereka menjualnya tanpa sedikit pun merasa
malu dengan perbuatan mereka yang bukan sahaja menggagalkan
proses penyusunan semula masyarakat tetapi memburukkan nama
Bumiputera. Akibat kelakuan segelintir mereka ini pengusaha
Bumiputera yang lain dan masyarakat Bumiputera yang menjadi
mangsa. Mereka tidak akan dipercayai dan dilayan dengan
baik lagi, sama ada oleh Kerajaan, bank-bank ataupun
pihak-pihak lain yang berurusan dengan Bumiputera.
15. Janganlah mana-mana pihak terlalu cepat untuk
menyalahkan Kerajaan apabila sesuatu rancangan untuk
menolong Bumiputera gagal mencapai matlamatnya. Fikirkan
juga tentang perbuatan orang-orang tertentu yang hanya
berfikir untuk mencari keuntungan yang cepat bagi diri
sendiri tanpa memperdulikan nasib kaum bangsanya. Jika
ternampak seolah-olah hanya beberapa syarikat tertentu
sahaja yang mendapat peluang penswastaan ini, sebabnya ialah
kerana mereka dapat membuktikan kebolehan mereka dan mereka
tidak mencari keuntungan cepat dengan menjual hak dan
peluang yang diperolehi oleh mereka. Lagipun kebanyakan
syarikat ini adalah syarikat amanah yang mewakili orang
Melayu dan Bumiputera lain. Buktikan kebolehan dan
kejujuran semasa berusaha sendiri, insya-Allah, sesiapa
sahaja akan diberi peluang.
16. Akhir kata saya mengucapkan maju jaya kepada DRB dalam
perusahaan baru ini. Janganlah lupa bahawa DRB bukan sahaja
bertanggungjawab kepada masyarakat umum tetapi juga kepada
Bumiputera lain. Kualiti khidmat yang diberi oleh DRB dalam
pemeriksaan kenderaan boleh membantu menaikkan kualiti hidup
rakyat dan melindungi mereka daripada kemalangan jalan raya.
Di samping itu, kejayaan DRB bukan sahaja akan menyakinkan
Kerajaan, pelabur dan masyarakat akan kebolehan syarikat
Bumiputera bahkan juga akan menolong menebus maruah peniaga
dan pengusaha Bumiputera. Dasar Pembangunan Nasional
bertujuan untuk mendapatkan penyertaan Bumiputera secara
berkualiti dan bukan kuantiti seperti Dasar Ekonomi Baru.
Kuantiti atau jumlah penyertaan Bumiputera boleh luput di
tangan Bumiputera yang tidak cekap atau tidak sabar untuk
menjadi orang kaya. Tetapi penyertaan yang berkualiti oleh
Bumiputera yang cekap lebih berkemungkinan menaikkan
kuantiti yang kekal di tangan mereka.
17. Dengan harapan ini, harapan bahawa imbangan pembangunan
di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera akan menolong
membangunkan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020,
saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Pusat
Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ini.
|