Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/10/94
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN GERAKAN KEPENGGUNAAN
SEMPENA KEMPEN ANTI INFLASI
Saya berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana menjemput saya untuk
merasmikan Majlis Perhimpunan Gerakan Kepenggunaan pada hari
ini.
2. Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana negara kita
bukan sahaja aman dan stabil tetapi juga pesat membangun.
Adalah jelas bahawa hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang
pesat ini rakyat juga telah turut menikmati peningkatan di
dalam pendapatan kasar mereka. Oleh kerana kadar inflasi
kita adalah rendah maka rakyat negara ini pada keseluruhan
nya tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh
rakyat sesetengah negara di mana oleh kerana inflasi
melambung tinggi mereka sentiasa mendapati pendapatan mereka
tidak mencukupi untuk membeli barang-barang keperluan. Kita
di negara ini adalah bernasib baik kerana harga barang
keperluan boleh dianggap stabil.
3. Bagaimanapun ini tidaklah bermakna kita boleh berpeluk
tubuh dan berpuas hati. Rakyat perlu dimaklum dan dididik
mengenai pentingnya kita mencegah inflasi. Rakyat harus
sedar bahawa sebarang peningkatan pendapatan yang diperolehi
tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat jika
tambahan pendapatan tersebut hanyalah untuk menampung
peningkatan harga barangan ataupun perkhidmatan yang perlu
dibayar oleh pengguna-pengguna. Dalam lain perkataan,
mungkin daripada segi pendapatan kasar kita telah
memperolehi pertambahan tetapi sebenarnya pengguna
kebanyakannya berada di tahap yang sama atau mungkin menurun
daripada tahap sebelum mendapat tambahan pendapatan. Oleh
yang demikian, peranan gerakan kepenggunaan pada hari ini
adalah lebih mencabar kerana boleh memainkan peranan penting
dalam membantu menangani masalah 'inflasi' dengan memberi
maklum balas kepada Kerajaan serta mengadakan program-
program pendidikan mengenai bahayanya inflasi dan
mempelajari cara-cara membanteraskannya. Pengguna, iaitu
kita semua, akan memperolehi nikmat daripada usaha-usaha
ini.
4. Walaupun pendapat umum ialah peningkatan harga atau
inflasi adalah perkara biasa yang tidak boleh dielakkan,
terutama apabila ekonomi tumbuh dengan pesatnya, tetapi
sebenarnya inflasi boleh dibanteras sehingga ke tahap sifar
atau 'zero inflation'. Memang benar ini tidak mudah
dilakukan tetapi kita tahu di sesetengah negara inflasi
sebanyak 1,000 peratus setahun adalah perkara biasa sama ada
ekonomi tumbuh atau tidak, sedangkan di negara-negara lain,
termasuk negara kita, inflasi hanya di paras empat peratus
setahun. Tentulah ada sesuatu yang salah yang dilakukan di
negara yang inflasinya tinggi atau sesuatu yang baik di
negara yang inflasinya rendah. Jika kita dapat pastikan apa
dianya yang salah dan apa dianya yang betul dalam
membanteras inflasi, tentu ada kemungkinan kita dapat
menurunkan lagi inflasi kita hingga keparas sifar, atau
lebih rendah daripada itu.
5. Perkara yang pertama ialah permintaan untuk sesuatu
khidmat atau barangan yang lebih dariPADA bekalan. Jika
khidmat atau barangan ini tidak penting untuk kehidupan,
dengan hanya tidak membeli, pengguna boleh mengurangkan
permintaan dan dengan itu harga. Jika barangan itu penting,
pengguna boleh mengurangkan penggunaannya, atau mencari
barangan ganti. Umpamanya, jika harga sesuatu barangan itu
mahal kita boleh kurangkan memakan barangan itu atau memakan
barangan lain. Pengguna mesti sanggup mendisiplinkan diri
dalam menangani masalah ini.
6. Yang keduanya kita harus tahu kenapa harga meningkat.
Kenaikan kos pengeluaran tentulah menaikan harga. Sekali
lagi jika harga ayam umpamanya naik, mungkin ia disebabkan
oleh upah pekerja meningkat tanpa kenaikan produktiviti,
atau kos makanan ayam meningkat, atau kos pengangkutan
meningkat atau penyakit ayam merebak, atau penternak,
pengangkut, pengedar dan peruncit cuba meraih keuntungan
yang berlebihan. Mungkin juga cukai Kerajaan yang
menyebabkan kenaikan harga. Semua sebab ini jika dapat
dikenalpasti akan dapat membantu kita mengurangkan kenaikan
harga tersebut, jika tidak sepenuhnya sekurang-kurangnya
separuh.
7. Jika pengguna tidak awasi betul-betul, kenaikan
sebahagian daripada kos pengeluaran akan disusuli dengan
kenaikan harga pada paras yang sama, iaitu jika upah naik 10
peratus penjual akan menaikkan harga sebanyak 10 peratus
juga, walaupun upah pekerja mungkin hanya 10 peratus sahaja
daripada kos keluaran. Sebaliknya apabila cukai diturun
penjual jarang sekali menurunkan harga, walaupun mereka
menyalahkan cukai yang menyebabkan harga mereka tinggi.
8. Yang jelas ialah kerjasama semua pihak untuk
mengenalpasti sebab-sebab kenaikan harga adalah mustahak.
Soalnya kenapakah semua pihak harus bekerjasama dalam usaha
ini? Sebabnya ialah semua yang terlibat dengan apa-apa
khidmat atau barangan yang dijual yang telah naik harga
adalah juga pengguna. Mereka mungkin mendapat pendapatan
yang lebih daripada kenaikan harga khidmat atau barangan
mereka, tetapi kenaikan harga itu juga tetap akan menaikkan
harga khidmat dan barangan-barangan lain. Ini adalah oleh
kerana orang lain perlu menambah pendapatan mereka untuk
membeli barangan yang sudah naik harga. Dengan itu mereka
yang memulakan kenaikan harga untuk mendapat tambahan
pendapatan bagi diri mereka akan mendapati tambahan itu
tidak berguna kerana mereka perlu membayar bayaran yang
lebih untuk khidmat dan barangan orang lain yang diperlukan
oleh mereka. Jelas sekali daripada ini bahawa tidak ada
sesiapa yang untung secara kekal daripada menaikkan harga,
iaitu daripada inflasi.
9. Memang benar kadang-kadang kenaikan harga tidak
dapat dielakkan. Kenaikan harga barang-barang yang diimport
dari negara asing yang menghadapi inflasi biasanya sukar
dielak. Tetapi sekali lagi kita boleh kurangkan
penggunaannya atau kita boleh membeli dari negara lain.
Jika barangan yang diimport ini diguna untuk mengeluarkan
barangan tertentu dalam negara, kenaikan harga barangan
berkenaan boleh dikurangkan dengan mengambilkira peratusan
barang ini yang diguna dalam proses pengeluaran. Umpamanya,
jika bahan berkenaan menyebabkan hanya lima peratus daripada
kos pengeluaran, kenaikan kos barangan ini sebanyak sepuluh
peratus bermakna tambahan kos sebanyak 0.5 atau setengah
peratus sahaja. Malangnya jika kos sesuatu bahan naik
sepuluh peratus, harga barangan yang dikeluarkan dinaikkan
sebanyak sepuluh peratus juga. Ini adalah perbuatan yang
tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab. Orang yang
berbuat demikian patut didedahkan kepada orang ramai.
10. Sebaliknya kenaikan harga barangan yang diimport
mungkin boleh diatasi dengan mengimport dari negara lain
atau diganti dengan barangan dalam negeri atau meningkatkan
efisiensi pengeluaran. Jika semua ini gagal, pengguna boleh
mengurangkan permintaan.
11. Satu daripada cara mengurangkan kos dan membendung
inflasi ialah dengan menaikkan produktiviti. Kita semua
ingin supaya rakyat Malaysia menikmati kenaikan pendapatan
sepanjang masa. Tetapi jika kenaikan ini tidak disertai
dengan peningkatan produktiviti ia tetap akan menyumbang
kepada inflasi. Dan inflasi, perlu diulangi, akan
menidakkan kesan kenaikan pendapatan. Justeru itu, semua
pekerja harus meningkatkan daya pengeluaran atau
produktiviti setiap kali upah meningkat. Ingatlah setiap
seorang daripada kita adalah pengguna. Sebagai pekerja kita
tidak boleh menyebabkan harga meningkat, dan kemudian
sebagai pengguna kita mendesak supaya barangan atau khidmat
orang lain dijual dengan harga yang murah, atau kekal pada
paras yang lama.
12. Negara kita adalah negara dagangan. Kekayaan kita
datang daripada keupayaan kita mengeksport barangan
pembuatan. Kita hanya boleh mengeksport jika barangan kita
boleh bersaing di pasaran dunia. Untuk ini kita perlu kawal
dengan rapi kos pengeluaran kita.
13. Kos kita boleh dikurangkan dengan menurunkan nilai
matawang kita. Tetapi ini akan menjadikan kita miskin
kerana semua barangan kita yang perlu diimport, termasuk
makanan, akan naik harga secara menyeluruh. Apabila ini
berlaku maka semua rakyat akan menuntut kenaikan upah atau
peniaga menambah peratusan keuntungan. Semua ini akan
menyebabkan inflasi berlaku.
14. Sebaliknya pendapatan pekerja harus ditingkatkan
selaras dengan tahap kemajuan negara. Jika tidak kemajuan
negara tidak bermakna bagi mereka. Kita tetap akan dapat
bersaing di pasaran dunia jika produktiviti dapat
ditingkatkan selaras dengan peratusan kenaikan upahan kita.
Tidak ada sesuatu yang lebih buruk daripada kenaikan upahan
hanya kerana untuk mengejar paras inflasi. Di sebuah negara
di Amerika Selatan, upahan diikat secara langsung kepada
kenaikan inflasi. Jika inflasi naik, upah secara otomatik,
naik bersama. Kesannya ialah inflasi di negara itu mencatat
angka lebih seribu peratus tiap-tiap tahun -- iaitu barangan
yang pada bulan Januari berharga satu unit matawangnya
meningkat menjadi sepuluh unit pada bulan Disember dan
seratus unit pada bulan Disember tahun yang berikut.
Fikirlah apa akan terjadi kepada kita jika tahun ini satu
liter petrol berharga RM1 dan tahun yang berikutnya RM100.
Upah tidak boleh mengejar paras inflasi kerana ia akan
menghancurkan ekonomi negara.
15. Jika inflasi yang tinggi tidak terdapat di negara kita,
satu daripada sebabnya ialah kita tidak cuba mengejar
inflasi dengan kenaikan upah atau kenaikan keuntungan.
Sebaliknya kita menekankan produktiviti sebagai cara
mengawal inflasi dan mengekalkan daya saingan kita.
Malangnya masih ada pihak-pihak yang menuntut kenaikan
upahan walaupun tidak ada inflasi dan tidak ada pertambahan
produktiviti. Mereka ini menuntut hanya kerana mereka
anggap menuntut kenaikan upah adalah tugas mereka untuk
menjadi lebih popular dengan orang yang memilih mereka.
Lagipun mereka percaya kebolehan mereka menyebabkan
kerosakan ditakuti oleh majikan.
16. Kenaikan produktiviti bukanlah bergantung semata-mata
kepada pekerja dan upahan. Peningkatan kecekapan
pengurusan, pelaburan dalam jentera pengeluaran yang lebih
efisien dan lain-lain faktor boleh menolong produktiviti.
Tetapi jika produktiviti masih di tahap lama, sebarang kos
tidak boleh dinaikkan. Jika kita faham segala ini, kita
sebagai pengguna tidak akan menjadi mangsa inflasi.
17. Sebenarnya kita boleh mengurangkan kos kita secara
terancang dan menolong kejayaan persaingan kita di pasaran
dunia. Sudah tentu jika kita lebih berdayasaing maka
eksport kita akan bertambah dan pelaburan serta pertumbuhan
ekonomi kita juga akan meningkat dengan peratusan yang
tinggi. Kita sudah pun berpengalaman bagaimana ekonomi yang
tumbuh dengan tinggi, seperti yang kita alami sekarang
menguntungkan semua pihak. Kita adalah antara sebilangan
yang kecil negara-negara yang tidak ada pengangguran
melainkan bagi yang tidak mahu bekerja. Di samping itu
upahan bagi pekerja naik tanpa tindakan perusahaan. Justeru
itu jika kita berusaha mengurangkan kos kita melalui apa
cara sekalipun, kita semua akan mendapat nikmat dan
keuntungan.
18. Kita harus faham bahawa yang penting bukan jumlah wang
yang kita perolehi tetapi jumlah barangan dan perkhidmatan
yang boleh kita beli dengan wang kita. Sama ada kita
membayar dengan satu Ringgit Malaysia atau sepuluh Ringgit
Malaysia untuk sesuatu barang, tidak penting jika semasa
kita membayar sepuluh Ringgit Malaysia pendapatan kita
adalah sepuluh kali ganda atau seribu peratus lebih daripada
semasa kita membayar satu Ringgit Malaysia untuk barangan
yang sama. Demikian juga jika pendapatan kita turun sepuluh
kali ganda, iaitu menjadi sepuluh peratus daripada
pendapatan dahulu, ia tidak akan mengubah dayabeli kita
jikabarangan yang hendak kita beli juga turun sebanyak
sepuluh kali ganda, iaitu daripada satu Ringgit Malaysia
kepada sepuluh sen.
19. Demikian juga kita tidak akan menjadi sepuluh peratus
lebih miskin jika pendapatan kita turun sepuluh peratus,
iaitu daripada RM100 kepada RM90 jika semua barangan dan
khidmat turun harga sebanyak sepuluh peratus juga di seluruh
negara.
20. Jika secara terancang kita turunkan harga
segala-galanya sebanyak sepuluh peratus, termasuk cukai
Kerajaan, harga barangan, bayaran untuk semua khidmat dan
semua upahan, maka bukan sahaja kos pengeluaran kita akan
turun dengan peratusan yang sama atau hampir sama, tetapi
kita tidak akan rugi apa-apa. Jika tukaran asing tidak
berubah maka semua barangan kita akan menjadi lebih murah
dan dayasaing kita di pasaran luar akan meningkat. Dengan
itu kita akan dapat mengeksport lebih banyak. Pertumbuhan
ekonomi kita tetap akan naik, mungkin lebih daripada sepuluh
peratus, yang mana ini akan menguntungkan kita semua secara
langsung atau tidak langsung.
21. Saya sebutkan perkara ini bukan kerana kita ada
rancangan untuk melakukannya tetapi untuk membuktikan bahawa
kita boleh menguasai proses inflasi jika kita berhajat untuk
menguasainya. Inflasi bukan binatang yang buas yang tidak
boleh dijinakkan dan diperalatkan. Yang diperlukan ialah
kefahaman tentang mekanisma inflasi oleh semua pihak,
termasuk pekerja dan kesatuan sekerja dan kesanggupan
mendisiplinkan diri semasa bertindak mencegah atau
menurunkan inflasi. Sebenarnya tindakan ini biasa dilakukan
oleh negara-negara yang matawang mereka jatuh harga kerana
inflasi terlalu tinggi. Pada tahun 1962 Perancis
menggugurkan dua sifar daripada nilai matawangnya,
menjadikan F100 hanya F1 sahaja. Gaji F10,000 menjadi F100
sahaja. Tiada siapa yang rugi kerana semua khidmat cukai
dan barangan turun dengan paras yang sama.
22. Pelajaran yang kedua tetapi tidak kurang penting ialah
kefahaman bahawa memiliki wang yang banyak tidak bermakna
kaya dan memiliki wang yang sedikit tidak bermakna miskin.
Di sebuah negara Eropah semua rakyatnya adalah
multibillionaire, iaitu tiap seorang diupah dan memiliki
berbillion unit matawangnya, tetapi semuanya miskin. Apakah
kita ingin menjadi billionaire jenis ini?
23. Pelajaran yang ketiga ialah kita semua mempunyai 'split
personality'. Sementara kita semua adalah pengguna yang
menyokong usaha untuk mengawal harga, tetapi kita juga
adalah pengeluar dan peniaga/pekerja, dan sebagai penjual
hasil usaha kita, kita dengan senang hati menaikkan harga
yang mana ini menyumbang kepada inflasi.
24. Jika kita ikhlas untuk mengawal inflasi kita harus
bersikap sama di masa kita menjadi pengguna dan di masa kita
menjadi pembekal. Sementara kita tidak mahu inflasi sebagai
pengguna, kita juga jangan menolong menaikkan inflasi dengan
tindakan kita. Jika kebenaran bahawa pengguna dan
penyumbang kepada inflasi adalah orang yang sama difaham dan
diingati oleh kita semua, bukan sahaja inflasi boleh
dikawal, bahkan ia boleh diturunkan.
25. Kerajaan juga tidak boleh mengecualikan dirinya
daripada kebenaran ini. Cukai boleh menaikkan inflasi sama
seperti lain-lain tambahan kos. Sebab itu Kerajaan Barisan
Nasional telah menghapus dan menurunkan cukai sejak beberapa
tahun yang lepas. Dan Kerajaan mesti menyertai rakyat dalam
mengawal inflasi.
26. Pendek kata pengawalan inflasi adalah tugas dan
tanggungjawab semua rakyat dan semua pihak dalam negara.
Keuntungan daripada kejayaan mengawal inflasi akan dinikmati
oleh semua rakyat, semua pihak dan negara keseluruhannya.
Justeru itu, semua rakyat harus menyertai kempen melawan
inflasi, sama ada sebagai pengguna dengan kesatuan-kesatuan
pengguna ataupun sebagai pembekal barangan dan khidmat atau
sebagai orang perseorangan.
27. Ingatlah wang yang banyak tidak bermakna kaya, dan
wang yang sedikit tidak bermakna miskin. Yang penting bukan
jumlah wang tetapi `purchasing power' atau kuasa membeli
wang ini. Orang yang miskin daripada segi jumlah wangnya
tetapi kaya daripada segi kuasa membelinya adalah lebih kaya
dan lebih bahagia daripada orang yang kaya daripada segi
jumlah wangnya tetapi rendah kuasa membelinya.
28. Bagi pihak Kerajaan dan negara dan bagi pihak pengguna,
iaitu semua rakyat Malaysia, saya ingin menggesa semua
rakyat memahami, menyertai dan menjayakan kempen anti
inflasi ini.
29. Dengan harapan dan doa supaya kita memperolehi kejayaan
dalam kempen mencegah inflasi, saya dengan sukacitanya
merasmikan Perhimpunan Gerakan Kepenggunaan.
|