Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PAKA, TERENGGANU
Tarikh/Date : 31/10/94
Tajuk/Title : PERASMIAN LOJI YTL POWER GENERATION
Saya mengucapkan terima kasih kepada YTL Power Generation
yang telah menjemput saya untuk merasmikan loji gas
tarbinnya pada hari ini.
2. Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat sejak lapan tahun
yang lalu telah menyebabkan permintaan yang meningkat tinggi
bagi kuasa elektrik. Dalam tempoh tersebut, permintaan bagi
tenaga elektrik telah meningkat pada kadar purata 11 peratus
setahun. Kadar pertumbuhan yang tertinggi dicatat dalam
tahun 1993, iaitu sebanyak 15.8 peratus. Pertumbuhan yang
pesat ini telah mengakibatkan masalah kapasiti penjanaan
yang serius.
3. Keadaan ini adalah antara sebab terputusnya bekalan
elektrik hampir ke seluruh Semenanjung pada bulan September
1992. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan telah mengambil
beberapa langkah untuk mempercepatkan penambahan kapasiti.
Ini bukan sahaja dilaksanakan melalui penambahan kapasiti
oleh pihak utiliti, malah Kerajaan juga telah memperkenalkan
'Independent Power Producers' (IPP) untuk turut menjana
kuasa elektrik di negara ini. Dengan terlaksananya program
ini, bermulalah satu era baru dalam sektor penjanaan kuasa
elektrik, di mana satu bentuk persaingan telah diwujudkan.
4. Setakat ini, di Semenanjung Malaysia, sebanyak lima IPP
telah diberi lesen dengan jumlah kapasiti penjanaan sebanyak
4,070 mw. Ini merupakan 54 peratus daripada jumlah kapasiti
tambahan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh sehingga tahun
2000. Tiga daripada IPP berkenaan dilaksanakan di bawah
program 'fast track'. Pada masa ini Kerajaan sedang
mengadakan perundingan dengan beberapa IPP lagi untuk
menambah kapasiti penjanaan di beberapa kawasan tertentu di
negara ini termasuk di Sabah.
5. YTL Power Generation merupakan IPP yang pertama diberi
lesen untuk menjana kuasa elektrik. Kapasitinya ialah 1,212
mw, dijana di dua lokasi, iaitu Paka dan Pasir Gudang. Loji
di Paka ini mengandungi 548 mw jenis 'open cycle', yang
kemudiannya akan ditambah sebanyak 260 mw lagi dengan
menggunakan 'steam turbine'. Loji di Pasir Gudang pula,
mengandungi 274 mw jenis 'open cycle' dan 130 mw jenis
'steam turbine'. Penggunaan 'steam turbine' ini akan
menambah kecekapan loji ini, di samping menjadikan stesen
janakuasa ini lebih 'environmentally friendly'.
6. Saya mengucapkan syabas kepada YTL Power Generation
kerana telah berjaya menyiapkan loji tarbin gas pertama bagi
projek ini tujuh bulan lebih awal daripada jadual kontrak,
walaupun menghadapi berbagai-bagai masalah sebagai IPP
perintis di negara ini. Saya difahamkan bahawa keseluruhan
projek ini dijangka siap pada November 1995. Namun begitu
dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh pihak YTL, saya
percaya projek ini mungkin dapat disiapkan lebih awal lagi.
7. Dengan penambahan kapasiti yang sedang dilaksanakan
sekarang, insya-Allah, negara tidak perlu khuatir dengan
masalah bekalan elektrik lagi. Namun demikian, kita harus
berwaspada untuk memastikan bahawa keseluruhan sistem
bekalan elektrik berjalan dengan baik. Pihak transmisi
kuasa, iaitu Tenaga Nasional Berhad sedang memperkukuhkan
sistem penghantaran dan pengagihan elektrik di seluruh
negara, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah
dikenalpasti sebagai pusat pertumbuhan ekonomi. Sistem
bekalan elektrik yang efisien dan berkualiti, iaitu dengan
`voltage' yang stabil adalah penting dalam usaha Kerajaan
untuk membangunkan industri, terutama bagi industri yang
berteknologi tinggi dan yang menggunakan tenaga elektrik
yang banyak dan berkualiti.
8. Dengan bermulanya penjanaan oleh 'Independent Power
Producers' seperti YTL Power Generation ini, kedudukan
'reserve margin' akan bertambah kukuh. Ianya akan
menjangkau melebihi paras 35 peratus, berbanding dengan
'reserve margin' yang amat rendah dalam tahun 1993.
Memandangkan kedudukan kapasiti penjanaan yang agak tinggi
pada masa ini, saya ingin mencadangkan supaya usaha terus
diambil untuk menggalakkan penggunaan tenaga elektrik,
terutama bagi tujuan meningkatkan produktiviti dalam sektor
ekonomi. Langkah ini adalah wajar memandangkan kadar
penggunaan elektrik per kapita bagi Malaysia adalah rendah
iaitu 1,380 kilowatt jam seorang berbanding dengan 5,659
kilowatt jam seorang bagi Singapura.
9. Saya juga berharap supaya pihak berkuasa tempatan
menggunakan tenaga elektrik ini di waktu 'off-peak hours',
seperti menyalakan lampu-lampu jalan raya dan papan-papan
iklan di waktu malam untuk mencantikkan lagi suasana malam
di bandar-bandar di negara ini. Sesuatu yang menarik di
negara-negara maju ialah kedai-kedai menghiaskan bahagian
hadapan kedai atau 'shop windows' mereka dengan mempamerkan
barangan-barangan cantik yang hendak dijual. 'Shop windows'
ini dipasang lampu sepanjang malam. Di Malaysia kita
menutup hadapan kedai dengan pintu besi yang amat tidak
menarik. Dengan itu, bandar-bandar kita tidak cerah dan
tidak menarik.
10. Penyertaan sektor swasta dalam industri elektrik telah
dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh TNB
sebagai 'public utility.' Walaupun TNB adalah syarikat
swasta, tetapi permintaan untuk elektrik begitu besar
sehingga tidak mungkin TNB membangunkan stesen janakuasa
dalam jangkamasa yang singkat. Sebab itulah Kerajaan
memberi peluang kepada pihak lain memasuki dalam bidang ini.
Ini adalah selaras dengan dasar penswastaan Kerajaan.
11. Dengan wujudnya 'Independent Power Producers',
Kerajaan juga telah mengukuhkan aspek 'regulatory' untuk
memastikan kepentingan pengguna terpelihara dan wujud
efisiensi dalam sektor elektrik. Kerajaan telah mengambil
langkah-langkah untuk melengkapkan lagi persaingan dalam
sektor ini. Baru-baru ini Kerajaan telah melancarkan 'grid
code' untuk mengawal operasi sistem bekalan elektrik supaya
lebih efisien dengan kos terendah. Saya percaya dengan
terlaksananya 'grid code' ini, sistem bekalan elektrik di
negara ini akan lebih stabil dan terjamin.
12. Satu perkara yang dilihat semasa pelaksanaan projek IPP
ini adalah pergantungan kepada kepakaran dan perkhidmatan
dari luar negeri. Saya yakin perkara ini boleh diatasi
melalui program latihan dan pemindahan teknologi yang
sistematik.
13. Pelaburan dalam pembangunan sumber manusia melalui
latihan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan seperti ini perlu
dilakukan secara berterusan. Walau bagaimanapun, banyak
syarikat enggan melakukannya kerana pelaburan dalam bidang
ini adalah 'intangible' dan pulangannya memakan masa yang
lama. Bagi memperkukuhkan persaingan syarikat-syarikat
Malaysia secara global, pelaburan dalam bidang ini perlu
diberi tumpuan. Hanya dengan memiliki harta intelek, kita
akan mampu menangani cabaran masa akan datang yang semakin
kompleks. Justeru itu, saya ingin menggesa
syarikat-syarikat asing yang terlibat dalam pelaksanaan
projek-projek IPP memberi perhatian yang serius kepada usaha
memindahkan kepakaran mereka kepada rakyat tempatan dalam
masa sesingkat mungkin.
14. Dengan pembangunan sektor elektrik di negara ini ke
tahap yang lebih matang, sudah sampai masanya bagi pihak
swasta berusaha untuk menceburi bidang pembuatan komponen
bagi industri bekalan elektrik ini. Saya menyeru kepada
syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur di dalam
sektor ini supaya menumpukan kepada pengeluaran komponen.
15. Sememangnya, bidang pengeluaran komponen ini
adalah lebih rumit dan mencabar, tetapi pulangannya juga
adalah besar sekiranya barangan komponen yang berkualiti dan
setanding dapat dikeluarkan.
16. Bagi menjayakan bidang ini, semangat keusahawanan yang
wujud di kalangan sektor swasta perlu ditingkatkan dan
langkah-langkah yang strategik perlu diatur. Bagi pihak
Kerajaan, usaha yang bersungguh-sungguh sedang dibuat untuk
melahirkan usahawan melalui program 'vendor' dengan
kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB),
Bank-bank Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Saya berharap,
usahawan-usahawan yang berkebolehan akan tampil segera untuk
merebut peluang yang diwujudkan oleh Kerajaan.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Loji YTL
Power Generation di Paka.
|