Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM NEGERI, KUALA TERENGGANU
Tarikh/Date : 31/10/94
Tajuk/Title : SEMPENA PELANCARAN AMANAH SAHAM
DARUL IMAN (ASDI)
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan
Negeri Terengganu kerana menjemput saya untuk melancarkan
Amanah Saham Darul Iman (ASDI) pada hari ini.
2. Pelancaran ASDI amatlah tepat sekali. Ini ialah kerana
ekonomi negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah
mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan sekali. Seiring
dengan pertumbuhan negara yang menggalakkan ini, ekonomi
negeri Terengganu juga turut berkembang dengan pesat.
Justeru itu, adalah wajar sekali kekayaan negara yang wujud
sekarang dapat diagih dan dinikmati oleh semua golongan
rakyat. Salah satu cara yang baik bagi kita mengagihkan
kekayaan negara ini ialah menerusi saham amanah. Pelaburan
melalui badan saham Amanah memberi peluang kepada semua
rakyat untuk melabur kerana dengan jumlah wang yang sedikit
pun seseorang itu boleh melabur. Adalah menjadi hasrat
Kerajaan untuk melihat kekayaan negara dapat dinikmati oleh
semua rakyat.
3. Pelancaran ASDI hari ini memulakan satu era baru dalam
agenda pembangunan di Terengganu. Ia menunjukkan bahawa
Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib rakyat
Terengganu. Tidak dapat dinafikan bahawa Terengganu kini
membangun dengan pesat dan rakyat telah menikmati banyak
faedah daripadanya. ASDI adalah salah satu daripada projek-
projek Kerajaan yang sudah tentu akan memberi manfaat kepada
rakyat Terengganu.
4. Kita harus bersyukur kerana nikmat dan rahmat yang
telah di kurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada
kita. Pada hari ini Malaysia bukan sahaja membangun dengan
pesat tetapi kekayaan negara telah dapat diagih-agihkan
kepada rakyat dengan lebih adil dan saksama. Tidak banyak
negara di dunia di mana rakyatnya dapat hidup aman damai di
samping menikmati kekayaan negara dengan adil.
5. Negara kita Malaysia adalah antara negara yang termaju
di kalangan negara-negara yang sedang membangun. Kemajuan
kita sudah sampai ke tahap sehingga agensi-agensi
antarabangsa mula mempertikaikan sama ada Malaysia masih
lagi sebuah negara yang sedang membangun atau sudah layak
digelar "negara maju". Ini adalah kerana sementara
pendapatan rakyat yang berusaha meningkat, inflasi tidak
meningkat di paras yang tinggi. Oleh itu kuasa membeli
rakyat Malaysia adalah lebih tinggi berbanding dengan rakyat
negara maju dengan wang yang sama. Namun kita masih tidak
menikmati taraf hidup yang sama dengan mereka di negara
maju. Sebab itulah kita masih perlu berusaha untuk
membangunkan lagi negara kita hingga tercapai Wawasan 2020,
iaitu menjadi negara maju.
6. Sekiranya zaman awal abad ke-20 ini menjanjikan
kekuatan mutlak kepada mereka yang mempunyai kekuatan
politik dan ketenteraan, zaman-zaman seterusnya akan
menyaksikan sesuatu yang sama sekali berbeza. Kekuatan
ekonomi kini lebih berkesan daripada kekuatan politik dan
ketenteraan, apatah lagi kekuatan ideologi semata-mata.
Negara-negara Jepun dan Jerman misalnya bangkit semula
setelah runtuh daripada kemusnahan Perang Dunia Kedua kerana
kekuatan ekonomi mereka dipulih semula. Banyak keputusan
yang diambil oleh kuasa-kuasa besar mengenai isu-isu hak
asasi manusia, alam sekitar, hak pekerja dan hak untuk
menceroboh kedaulatan negara lain sekalipun adalah
berdasarkan kepada pertimbangan ekonomi semata-mata. Agenda
dunia sekarang adalah agenda ekonomi. Sekiranya kita mahu
dihormati, sekiranya kita mahu mengurangkan pergantungan
kita kepada orang lain, sekiranya kita mahu mengangkat
martabat orang-orang Islam, maka tidak dapat tidak, kita
juga mesti menguasai dan membangunkan ekonomi negara dan
rakyat kita.
7. Sebenarnya, bidang ekonomi dan perniagaan bukanlah
sesuatu yang asing bagi orang Melayu apatah lagi orang
Islam. Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang pedagang yang
cekap sehingga Sayyidatina Khadijah meletakkan sepenuh
kepercayaan kepada Rasulullah s.a.w. menjalankan perniagaan
bagi pihaknya. Sahabat- sahabat Nabi yang rapat juga adalah
saudagar-saudagar yang berjaya. Terengganu sendiri pada
satu ketika pernah menjadi sebuah pusat perdagangan yang
sangat terkenal. Malah seorang ahli geografi dan kaji
bintang Greek, Ptolemy pernah merakamkan semasa hayatnya
sekitar kurun kedua sebelum masihi, dua buah pelabuhan besar
di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu "Perimula"
dan "Kole". Perimula dipercayai Kuala Sungai Terengganu dan
Kole ialah Kemaman.
8. Usahawan-usahawan Melayu sekiranya mengamalkan
nilai-nilai murni seperti menepati masa, berjimat cermat,
bersyukur, berdisiplin, tegas, berani, kuat bekerja, sabar,
amanah dan cekap, tidak ada sebab mereka tidak boleh
berjaya. Kerajaan boleh mewujudkan seribu satu peluang
tetapi semua peluang itu tidak akan berhasil sekiranya
perubahan sikap di kalangan kita tidak berlaku.
9. Sehubungan dengan itu, pelancaran saham amanah ini akan
dapat menggalakkan lebih banyak lagi penglibatan kaum
Bumiputera di dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Penggemblengan sumber-sumber daripada kaum Bumiputera dapat
membentuk satu kuasa melabur yang besar. Di zaman syarikat
gergasi hari ini golongan Bumiputera perlu memasuki
perniagaan dan perusahaan gergasi juga bagi mengimbangi
pembangunan Bumiputera dan bukan Bumiputera. Melalui
penglibatan rakyat dalam saham amanah ini, rakyat bukan
sahaja dapat membantu mengembangkan ekonomi negara malah
akan mendapat pulangan jangka panjang yang memuaskan dengan
tahap risiko yang cukup minima. Namun kita tidak boleh lupa
bahawa tidak ada perniagaan yang terjamin keuntungannya.
10. Kerajaan sememangnya menggalakkan rakyat
menabung dan melabur. Perbelanjaan yang berlebihan di
kalangan rakyat boleh menjejaskan ekonomi kerana ia akan
membawa inflasi. Justeru itu, kewujudan ASDI diharapkan
akan dapat memupuk semangat menabung di samping berjaya
membanteras inflasi. Namun apa yang lebih penting di sini
ialah perkembangan ekonomi di Malaysia tidak harus berjalan
tanpa penglibatan aktif kaum Bumiputra. Kaum Bumiputera
sama ada nelayan, anggota kerajaan, polis ataupun tentera
perlu terlibat dalam arus perkembangan ekonomi yang semakin
pesat, jika tidak secara langsung, sekurang-kurangnya secara
pelaburan dalam saham amanah.
11. Penglibatan kita di dalam ekonomi dan perniagaan tidak
seharusnya dilihat sebagai usaha mengejar kekayaan kebendaan
semata-mata. Soal kemajuan kebendaan, kemajuan sektor
industri, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan insan semua
perlu diberi perhatian sama serius. Oleh sebab itulah
sementara kita berusaha keras untuk mendapat pulangan yang
lumayan bagi para pelabur, para pengurus tabung amanah dan
kakitangan mereka perlu menentukan bahawa urusan jual-beli
saham itu adalah mengikut cara Islam serta mempunyai
ciri-ciri budaya korporat seperti amanah, bersih, jujur,
berdisiplin, menepati masa, berakhlak dan "competent." ASDI
adalah instrumen pelaburan yang berteraskan syariah.
12. Saya percaya ASDI akan mampu mencapai matlamatnya untuk
mengangkat martabat ummah melalui penyertaan ummah dalam
bidang ekonomi.
13. Dengan ini, saya dengan lafaz Bismillahir rahmanir
rahim, dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Amanah Saham
Darul Iman Terengganu.
|