Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN DATO ONN, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 10/11/94
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MEMORIAL TUNKU
ABDUL RAHMAN PUTRA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa
Memorial Kebangsaan kerana menjemput saya untuk merasmikan
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra pada hari ini.
2. Sesuai dengan majlis pada pagi ini, izinkan saya juga
mengucapkan setinggi terima kasih kepada keluarga Almarhum
Tunku yang telah dengan ikhlas hati menyerahkan segala
khazanah dan bahan-bahan sejarah milik Tunku untuk dijadikan
bahan pameran Memorial ini. Sumbangan itu merupakan
khazanah negara yang tidak ternilai daripada segi sejarah.
Tanpa sumbangan ikhlas daripada keluarga Almarhum Tunku,
tidak mungkin Memorial ini dapat dilengkapkan seperti yang
kita saksikan pada hari ini.
3. Pada 7 Julai 1992 kita telah melancarkan projek untuk
mengadakan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra bagi mengenang
jasa dan sumbangan Almarhum kepada bangsa dan negara. Pada
hari ini kita berkumpul pula untuk perasmian Memorial ini.
4. Saya difahamkan bahawa Memorial yang tersergam indah
ini dibina dengan harga RM30 juta di atas tapak seluas lima
ekar. Perbelanjaan Memorial ini adalah daripada sumbangan
Kerajaan dan orang ramai, terutama syarikat-syarikat swasta.
Memorial ini adalah satu lagi bukti dan contoh kerjasama di
antara rakyat dengan Kerajaan yang selaras dengan konsep
Persyarikatan Malaysia.
5. Malaysia harus berbangga kerana Memorial ini merupakan
Memorial yang terbesar di dunia jika dibandingkan dengan
'Presidential Library' di Amerika, terutamanya 'Ronald
Reagan Memorial dan Richard Nixon Memorial'. Ini adalah
dilihat daripada segi pengumpulan bahan-bahan yang dikaitkan
dengan Tunku yang berjumlah lebih daripada 80,000 bahan
serta ruang pameran dan bangunan yang seluas 110,000 kaki
persegi.
6. Sebagai satu bangsa yang dihormati dan berdaulat, kita
harus sentiasa menghargai sumbangan mereka yang berjasa
kepada bangsa dan negara. Tidak siapa dapat mempertikaikan
bahawa Tunku Abdul Rahman Putra-lah yang begitu berjasa
kepada negara dan merupakan negarawan yang ulung di negara
ini.
7. Almarhum Tunku, negarawan yang telah melalui
berbagai-bagai liku rintangan dalam perjuangannya untuk
mencapai kemerdekaan secara aman, telah berjaya membuktikan
bahawa pendekatannya bukan sahaja lebih sihat tetapi juga
boleh berjaya. Pada 31 Ogos 1957 maka merdekalah
Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian pada tahun 1963
perjuangannya untuk membentuk Malaysia juga tercapai. Asas
sistem demokrasi dan perpaduan kaum yang unik seperti yang
kita amalkan sekarang telah diilhamkan dan dibentuk oleh
Tunku Abdul Rahman melalui suatu proses yang tidak mudah.
Semua ini terpapar dalam Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.
8. Memorial ini juga diharapkan dapat berperanan sebagai
Pusat Penyelidikan mengenai Almarhum Tunku bagi para
penyelidik dari dalam dan luar negara. Memorial ini
menyediakan segala bahan penyelidikan bermula dari
kelahiran, kehidupan harian, sikapnya semasa menjadi anggota
Kedah Civil Service, perjuangannya mencapai kemerdekaan,
pembinaan bangsa, kegiatannya di dalam dan luar negara
hingga ke saat pemergiannya. Saya percaya Memorial ini juga
dapat berperanan sebagai satu daya tarikan pelawat-pelawat
dari dalam dan luar negara.
9. Sumbangan Tunku terhadap bangsa, agama dan negara
bukannya sedikit. Almarhum Tunku mula memperjuangkan
bangsanya apabila beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah.
Berbagai-bagai usaha telah dilakukan oleh Almarhum Tunku
untuk menarik perhatian penjajah terhadap kepentingan kaum
bangsanya. Bermula dari sinilah Almarhum Tunku melihat
betapa perlunya negara ini diperintah oleh bangsanya
sendiri, sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Ini
dapat dilihat daripada beberapa kenyataan Tunku berhubung
dengan kedaulatan sesuatu bangsa dan negara. Sebagai contoh
Tunku pernah mengatakan bahawa "Negara ini diterima daripada
Melayu, maka patutlah diserahkan balik kepada Melayu.
Tetapi kita mestilah ingat sekiranya kita hendak timbang
menimbang di atas perasaan-perasaan hawa nafsu bangsa-bangsa
asing, apakah yang akan jadi kepada bangsa Melayu kita dan
apakah maknanya yang terkandung di dalam Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu? Ini negeri hak Melayu dan berilah
kelebihan kepada Melayu." Keutamaan kepada kaum bangsanya
tidaklah sehingga menidakkan hak orang lain. Hanya yang
dituntut ialah kelebihan kepada pemilik asal negara ini
untuk memastikan mereka mempunyai tempat dalam negara
mereka.
10. Pembangunan yang kita kecapi hari ini tidak mungkin
kita nikmati tanpa perjuangan awal Almarhum Tunku untuk
membebaskan rakyat daripada belenggu penjajahan dan
menyatukan berbagai-bagai kaum di Malaysia. Sikap perkauman
dan bermusuhan antara kaum dikikis dan diganti dengan sikap
toleransi, kompromi dan saling menghormati antara satu sama
lain. Untuk tujuan ini Almarhum Tunku telah membentuk Parti
Perikatan, yang menyatukan tiga parti yang mewakili tiga
kaum yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu iaitu UMNO,
MCA dan MIC, menyatukan mereka sebagai satu bangsa Malaya
dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Kebangsaan yang
dapat difahami oleh semua kaum dan mengurangkan prasangka
yang wujud serta menyatukan berbagai-bagai bangsa sebagai
satu `Bangsa Malaysia' yang merdeka dan berdaulat. Walaupun
pada tahun 1969 berlaku rusuhan kaum, tetapi Almarhum Tunku
telah terus berpegang kepada prinsip-prinsip perjuangannya
dan menyumbang kepada usaha membendung masalah tersebut
dalam jangkamasa yang singkat. Prinsip-prinsip Tunku
jugalah yang membawa kepada pembentukan Barisan Nasional.
11. Kita beruntung kerana pada hari ini kita dapat hidup
dalam keadaan aman dan makmur, berkat asas perpaduan yang
dimulai oleh Almarhum Tunku dan diwariskan kepada
pengganti-penggantinya. Di seluruh dunia, persengketaan,
perang saudara dan permusuhan antara kaum sering dan masih
berlaku, dengan meragut ratusan ribu nyawa serta memusnahkan
banyak harta benda. Jika kita tidak mengalami nasib yang
sama, sebabnya ialah adanya asas toleransi dan perpaduan
kaum yang disemai oleh Almarhum Tunku.
12. Mewujudkan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra bukanlah
sesuatu yang mudah. Ia telah dibina hasil daripada gabungan
usaha Kerajaan dan rakyat terutamanya peniaga dan pengusaha
negara kita dengan tujuan yang sama, iaitu untuk
memperingati seorang bekas Perdana Menteri dan
memperlihatkan kepada rakyat dan generasi akan datang
tentang perjuangan, pengorbanan, harapan serta aspirasi
seorang pemimpin terhadap negara, bangsa dan agama yang
dicintainya. Bahan-bahan yang dipamerkan ini merupakan satu
peninggalan sejarah, sejarah yang dicipta dan dibina oleh
seorang negarawan yang berjiwa besar yang tidak boleh
dilupai atau dipisahkan daripada sejarah negara.
13. Jika kita ingin jadikan Memorial Tunku Abdul Rahman
Putra ini sebagai satu monumen yang boleh dibanggakan dan
dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat dan pelawat dari
luar, ia perlu diurus dengan cekap dan dilengkapi dengan
kepakaran serta pembiayaan yang cukup untuk
penyelenggaraannya. Kita bersyukur kerana sumbangan
daripada rakyat dan sektor swasta telah menjayakan projek
ini. Mereka di kalangan rakyat Malaysia yang mampu
hendaklah membantu memelihara Memorial ini. Sumbangan ini
akan membuktikan bahawa rakyat Malaysia menghargai jasa-jasa
Almarhum Tunku. Sumbangan kepada Tabung Amanah Memorial
Tunku Abdul Rahman Putra akan digunakan untuk
menyelenggarakannya dengan baik.
14. Walaupun tidak semua bahan mengenai Almarhum Tunku
dapat dipamerkan di Memorial ini kerana ruangan yang terhad,
namun dengan inisiatif dan kreativiti pihak Arkib Negara
Malaysia, bahan-bahan yang terbaik dan menepati mesej
penting telah dipilih dan dipamerkan. Mungkin juga khazanah
Almarhum ini akan dipamerkan berganti-ganti.
15. Saya berharap pameran di Memorial ini dapat menarik
minat orang ramai terutama generasi muda yang bakal mewarisi
negara. Semoga mereka dapat mengenal dan mempelajari
pengalaman daripada sejarah agar semangat cintakan tanah air
akan tersemai subur. Dengan ini mereka akan mempunyai
kesedaran betapa pentingnya peristiwa sejarah dijadikan
garis panduan dalam membangunkan bangsa dan negara.
16. Dengan harapan ini dan dengan nama Allah Yang Maha
Pengasih dan Maha Pemurah, saya dengan sukacitanya
merasmikan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|