Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PEKAN, PAHANG 
Tarikh/Date 	: 	12/11/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN RANGKAIAN 
			PEMASANGAN PROTON TIGA PINTU 



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
   Saya mengucapkan tahniah kepada PROTON  dan  DRB  kerana
telah berjaya mengeluarkan  Proton Tiga  Pintu  atau  Proton
Variant   dalam  suatu  jangka  masa  yang  singkat  selepas
memorandum   persefahaman   di   antara   kedua-dua    pihak
ditandatangani.
2.   Kejayaan  projek  ini  merupakan satu  lagi  kebanggaan
negara dalam bidang industri otomotif.   Kejayaan ini adalah
lebih 'significant'  daripada  kejayaan  yang  lepas  kerana
ianya  adalah  hasil  kerjasama  dan  perkongsian  kepakaran
teknologi di kalangan syarikat-syarikat Malaysia.
3.   Jika selama ini kita hanya bergantung dan  mengharapkan
kepada  orang lain  untuk pemindahan  teknologi,   kali  ini
pengusaha-pengusaha industri otomotif Malaysia  sudah  makin
hampir kepada tahap berdikari.  Penggemblengan kepakaran dan
tenaga mahir  serta  penggabungan  pengalaman  kita  sendiri
telah memberikan hasil yang memuaskan.
4.   Saya masih ingat semasa Kerajaan mula menyatakan hasrat
untuk mengeluarkan  kereta  nasional  sendiri  kira-kira  10
tahun yang lalu.   Hasrat tersebut diterima dengan sinis dan
skeptik oleh sebahagian daripada rakyat  kita sendiri.  Akan
tetapi setelah siri Proton Saga  memenuhi  jalan raya  kita,
kita bukan sahaja berjaya membuka mata mereka malah Malaysia
telah  menjadi  tumpuan industri otomotif negara  maju dalam
bidang ini.
5.   Sebagaimana yang kita maklum, pada masa ini Proton Saga
terdapat di jalan-jalan raya di beberapa negara  Eropah  dan
Asia.    Ini  satu  bukti  yang  tidak  dapat dinafikan oleh
sesiapa  pun  bahawa  teknologi  otomotif  kita  diakui  dan
diiktiraf  oleh  negara-negara  lain  termasuk negara-negara
maju.  Ini juga satu kenyataan bahawa kualiti produk  negara
kita  sudah  mencapai  taraf  antarabangsa,  hasil kegigihan
serta disiplin tinggi rakyat kita sendiri.
6.    Berasaskan perkembangan  tersebut  saya  yakin  bahawa
dalam tempoh yang singkat Proton Variant ini juga akan dapat
kita  eksport  seperti Proton Saga.  Oleh yang demikian saya
berharap PROTON dan DRB dapat mengambil bahagian yang  aktif
dalam  pemasaran  kenderaan  dunia  yang  semakin cergas dan
penuh persaingan  semoga  kita  dapat  berdiri  sama  tinggi
dengan pengusaha-pengusaha otomotif dunia.
7.      Beberapa  bulan  yang  lalu saya sendiri telah hadir
menyaksikan majlis  menandatangani  memorandum  persefahaman
usahasama  antara  Proton,  DRB  dan  Citroen di Paris dalam
usaha mengeluarkan kereta-kereta yang menggunakan  teknologi
barat,  khususnya  teknologi  dari  Perancis.    Pelaksanaan
usahasama yang  terbaru  ini  sekali  lagi  akan  meletakkan
Malaysia  di  tahap  unggul  dalam  masyarakat  antarabangsa
terutama dalam industri otomotif.
8.   Ketiga-tiga pihak ini akan  mengeluarkan  kereta-kereta
penumpang separuh mewah versi Malaysia secara usahasama.  Ia
akan  menggunakan  kedua-dua  jenis  enjin, iaitu petrol dan
juga diesel.  Dalam pandu uji yang saya lakukan di  kompleks
kilang Citroen di Paris saya dapati teknologi diesel terbaru
Perancis  adalah  di  antara  yang  terbaik.  Ia  tidak lagi
mengeluarkan asap yang tebal atau bunyi yang bising  seperti
enjin diesel jenis lama.  Bahkan kita tidak dapat membezakan
yang mana petrol dan yang mana diesel.  Oleh itu dalam usaha
kita  menjaga  alam sekitar serta mengawal pencemaran udara,
penggunaan enjin diesel terbaru ini adalah sangat sesuai.
9.    Sehubungan  dengan  itu  sukalah   saya   menasihatkan
pengusaha-pengusaha  industri otomotif dan syarikat-syarikat
lain  yang  bergiat  dalam  bidang kejenteraan agar mengkaji
dengan serius kemungkinan  menerapkan  penggunaan  teknologi
terbaru diesel ini ke dalam kegiatan mereka di sini.  Setiap
syarikat terbabit perlu memperkukuhkan unit Penyelidikan dan
Pembangunan  (R&D)  masing-masing  untuk  menjalankan kajian
kemungkinan,  mengubahsuai  serta   mengemaskinikan   proses
tersebut.
10.    Jika  didapati  pemindahan teknologi diesel ini lebih
baik,  lebih  menguntungkan  dan  lebih  selamat  maka  kita
perlulah  mengambil  kesempatan  ini  dengan sebaik mungkin.
Kerajaan    telah    pun    memberi     kemudahan     kepada
pengusaha-pengusaha  dengan  menurunkan  kadar  cukai import
jentera-jentera diesel sebagaimana  yang  dikemukakan  dalam
Anggaran Belanjawan 1995.
11.   Selain daripada itu elok juga kita melihat kepada skop
yang lebih luas dalam perkembangan perdagangan dunia semasa.
Perubahan politik yang berlaku ke  atas  Soviet  Russia  dan
perubahan  sikap  di  beberapa negara sosialis di Eropah dan
Asia  telah  membuka  banyak  peluang  kepada   kita   untuk
berkembang.  Pengusaha-pengusaha Malaysia dalam semua bidang
dan  jurusan  harus  melihat  dengan  lebih  serius  tentang
kemungkinan dan potensi melabur di luar negara.
12.    Dalam  bidang  industri  otomotif  khususnya,  selain
negara-negara  ASEAN,  Republik  Rakyat  China,  Vietnam dan
beberapa  buah  negara  Eropah  Timur  merupakan   destinasi
berdaya   maju   untuk  diterokai  oleh  pengusaha  industri
otomotif Malaysia.  Dalam hal ini  tidak  semestinya  setiap
syarikat  perlu bergerak bersendirian dan bersaing di antara
satu dengan lain di tempat orang.  Mungkin lebih bijak  jika
beberapa  syarikat  bergabung tenaga dalam sebuah konsortium
menubuhkan kilang-kilang kereta di  negara-negara  berkenaan
secara usahasama dengan pihak tempatan.
13.   Republik Rakyat China merupakan destinasi terunggul di
Asia pada masa ini.  Selain tenaga kerja  yang  lebih  murah
dan  bahan  mentah  yang  banyak,  negara itu sendiri adalah
pasaran yang terbesar.   Perhubungan baik yang  terjalin  di
antara  Malaysia  dengan  negara  tersebut  lebih memudahkan
lagi usaha ini.  Tempat-tempat  lain juga boleh dikaji untuk
diterokai untuk tujuan ini.  Yang penting ialah sudah sampai
masanya untuk kita berkembang  keluar  dan  mencari  pasaran
luar yang lebih luas.
14.    Saya  yakin  perkara ini boleh dilaksanakan jika kita
benar-benar  komited.   Projek usahasama antara  DRB  dengan
The    Philippines    Auto    Corporation   untuk   memasang
kereta-kereta buatan Malaysia, Jepun dan Korea  di  Filipina
adalah  satu  contoh  yang  jelas.    Jika  ini  dapat  kita
perluaskan dengan peranan  Malaysia  yang  lebih  besar  dan
melibatkan  lebih  banyak syarikat kita, maka tidak mustahil
suatu masa nanti Malaysia  akan  lahir  sebagai  salah  satu
negara otomotif yang terkenal di dunia.
15.    Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada PROTON dan
DRB di atas kejayaan usahasama mereka  ini.    Gabungan  dua
badan  korporat  nasional  ini merupakan titik tolak terbaru
dalam usaha ke arah mencapai wawasan negara.  Saya  berharap
agar  kedua-dua pihak akan meneruskan cita-cita murni ini ke
arah yang lebih  cemerlang  dengan  terlaksananya  usahasama
mereka  dengan  syarikat Citroen nanti.   Sesudah itu mereka
diharapkan akan menjangkau ke destinasi yang lebih jauh  dan
dalam bidang yang lebih luas.
16.     Dengan  ini  saya    dengan  sukacitanya  merasmikan
pelancaran Rangkaian Pemasangan Kereta Usahasama PROTON  dan
DRB  (USPD)  dan  seterusnya  menamakan  Proton  keluarannya
dengan nama PROTON SATRIA.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google