Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SHANGRI-LA HOTEL, JAKARTA
Tarikh/Date : 14/11/94
Tajuk/Title : UPACARA RASMI PENUBUHAN P.T.
MAYBANK NUSA INTERNATIONAL
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan
Maybank dan Bank Nusa International (NusaBank) kerana
menjemput saya untuk merasmikan penubuhan P.T. MayBank Nusa
International pada hari ini.
2. Hari ini merupakan satu detik yang penting dalam
sejarah industri perbankan di rantau ini kerana inilah
pertama kalinya sebuah bank usahasama yang menggabungkan dua
institusi kewangan Malaysia dan Indonesia telah ditubuhkan.
Sesungguhnya usahasama di antara Maybank dan NusaBank ini
telah membuka satu lembaran baru kerjasama dalam bidang
kewangan di antara kedua-dua negara jiran.
3. Indonesia adalah sebuah negara di rantau ini yang
mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat. Ini sudah tentu
akan membuka peluang perniagaan yang luas kepada
pelabur-pelabur dari Malaysia. Setakat ini, beberapa
syarikat Malaysia seperti Tradewinds, Perbadanan Kemajuan
Ekonomi Negeri Johor, Malaysian Mining Corporation telah pun
mengambil langkah untuk melabur dalam berbagai-bagai sektor
di Indonesia.
4. Dengan meningkatnya peluang pelaburan dan perdagangan,
maka sudah tentu ianya akan disusuli pula dengan permintaan
terhadap khidmat-khidmat kewangan yang baik dan canggih.
5. Dalam konteks ini, penubuhan P.T Maybank Nusa
International ini adalah wajar dan tepat sekali pada
waktunya. Adalah diharapkan Bank usahasama ini akan dapat
memainkan peranan dalam meningkatkan aliran perdagangan dan
pelaburan di antara Malaysia dengan Indonesia.
6. Langkah Maybank mengembangkan perkhidmatannya ke
Indonesia adalah satu langkah yang sejajar dengan dasar
Kerajaan Malaysia yang inginkan supaya sektor korporat
Malaysia mengalih pandangan ke negara-negara membangun
terutama di rantau ini. Melalui cara ini, kita akan
menikmati bersama pembangunan di negara berkenaan dan
mendapat manfaat daripada kesejahteraan mereka.
7. Maybank adalah sebuah bank komersil yang terbesar di
Malaysia, bukan sahaja daripada segi aset, dana pemegang
saham atau `shareholders' fund' dan rangkaian cawangan
tetapi juga daripada segi keuntungan. Bank ini adalah bank
yang pertama di Malaysia yang telah mencapai tahap
keuntungan yang melebihi RM 1 ribu juta.
8. Saya difahamkan Maybank mempunyai rangkaian cawangan
yang luas di Malaysia iaitu sebanyak 226 buah cawangan. Di
luar negeri, Bank ini mempunyai 22 cawangan di Singapura, 2
cawangan di Brunei dan 1 cawangan masing-masing di New York,
Hong Kong, London dan Phnom Penh. Selain daripada ini,
ianya telah mempunyai pejabat perwakilan di Uzbekistan dan
negeri China. Pada akhir bulan Oktober lepas, Maybank telah
menubuhkan sebuah bank subsidiari di Papua New Guinea.
9. Rakan usahasamanya, iaitu NusaBank adalah sebuah Bank
yang dimiliki secara majoriti oleh Bakrie Group, satu
konglomerat pribumi yang ulung di Indonesia. Walaupun mula
beroperasi pada penghujung tahun 1989, Bank ini telah
berjaya mengumpul aset sebanyak Rp 408 ribu juta (US$194
juta) dan dana pemegang saham sebanyak Rp 69 billion
(US$32.9 juta) setakat 31 Disember 1993. Ini adalah satu
prestasi yang amat memberangsangkan.
10. Dengan sokongan dua pemegang saham yang kuat
ini, saya yakin Maybank Nusa International akan mampu
berkembang maju dan berpotensi menjadi antara bank-bank yang
utama di Indonesia.
11. Saya berharap MayBank Nusa International dapat
memainkan peranannya untuk meningkatkan lagi hubungan
perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia.
Daripada segi aktiviti perbankannya, Bank ini hendaklah juga
memberi tumpuan kepada sektor korporat tempatan di samping
membantu pelabur-pelabur Malaysia. Ianya patut sama
melibatkan diri serta menyumbang ke arah pembangunan ekonomi
Indonesia.
12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
penubuhan P.T. Maybank Nusa International pada hari ini.
|