Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/11/94
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi saya mengucapkan
selamat datang kepada ketua-ketua dan wakil-wakil
parti-parti komponen Barisan Nasional, para tetamu, para
perwakilan dan para pemerhati yang hadir di Perhimpunan ini.
2. Hari ini kita bersidang sekali lagi dalam Mesyuarat
Agung Tahunan parti kita, UMNO, Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu, atau Pekembar. Alhamdulillah, UMNO yang ditubuhkan
pada tahun 1946 masih ada dan masih cergas, bahkan masih
terus berkuasa dan berjaya. Peristiwa 1987/1988 sudah
berakhir dengan harta UMNO dikembalikan kepada UMNO dan UMNO
Baru kembali menjadi UMNO sahaja, iaitu UMNO yang asal
sebenarnya.
UMNO MILIK MELAYU DAN BUMIPUTERA
3. Kebanyakan mereka yang meninggalkan UMNO kerana kecewa
dan mereka yang menyebabkan UMNO diharamkan oleh mahkamah,
sudah sedar akan kesilapan mereka dan sudah kembali ke
pangkuan parti. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana
kesedaran dan pegangan mereka kepada parti dan perjuangan
UMNO. Pintu UMNO masih terbuka, terbuka kepada semua,
terbuka kepada yang tinggalkan UMNO, terbuka kepada yang
tidak pernah menjadi ahli UMNO, yang muda dan yang tua,
kawan dan musuh, asalkan mereka menerima tujuan dan konsep
perjuangan UMNO. Semua dialu-alukan. UMNO bukan milik
orang tertentu, bukan hak sesiapa. UMNO adalah hak orang
Melayu dan sekarang ini hak Bumiputera lain juga.
4. UMNO berpandu kepada dasar negara. Islam menjadi
pegangannya. Islam diperjuangkan. Tetapi UMNO menerima
Bumiputera yang bukan Islam yang bebas mengamalkan agama
mereka. Tidak ada paksaan supaya mereka menganuti agama
Islam. Dan mereka juga tidak menghalang perjuangan UMNO
untuk Islam.
UMNO BEKERJASAMA DENGAN KAUM LAIN
5. Walaupun UMNO parti orang Melayu dan Bumiputera lain,
namun UMNO juga bertanggungjawab kepada warganegara Malaysia
daripada kaum-kaum dan agama-agama lain. Perjuangan UMNO
bukan untuk menidakkan hak kaum lain, bahkan UMNO akan
mempertahankan hak kaum lain yang tidak menidakkan hak orang
Melayu dan Bumiputera. Kepentingan dan keperluan bukan
Bumiputera akan diambilkira dan dilayani.
6. Ini tidak bermakna kita ingin mengambilalih peranan
rakan-rakan kita dalam parti-parti komponen Barisan
Nasional. Kita menghormati parti-parti Komponen Barisan
Nasional yang mewakili kaum-kaum lain. Kita menghormati
perjuangan mereka yang tidak bertentangan dengan prinsip dan
kerjasama Barisan Nasional. Tetapi sebagai anggota Barisan
Nasional, UMNO turut sama bertanggungjawab terhadap
kaum-kaum lain.
7. Bahawa pendekatan UMNO ini adalah waras telah diakui
oleh parti-parti lawan. Kata perpatah Inggeris, "Imitation
is the best form of flattery" atau peniruan adalah bentuk
sanjungan yang tertinggi. Parti-parti lawan, PAS dan DAP,
telah cuba bekerjasama ala Barisan Nasional dalam tahun
1990. Semasa Pilihanraya Umum tahun 1986, PAS bekerjasama
dengan Jawatankuasa Perundingan Cina atau `Chinese
Consultative Committee', satu kumpulan yang memperjuangkan
apa yang dikatakan hak orang Cina.
8. Benar mereka gagal. Tetapi hakikatnya ialah PAS dan
DAP sanggup meniru apa yang UMNO telah buat. Oleh itu,
kerjasama UMNO dan kaum-kaum lain tidak wajar dijadikan
sebagai isu oleh mereka. Kita tahu hari ini pun PAS
bekerjasama dengan orang Thai Buddhist, dengan orang Cina
tertentu di Kelantan dan dengan DAP di seluruh negara.
Dahulu PAS mengharamkan kerjasama di antara orang Islam
dengan bukan Islam. Kononnya Islam melarang. Seperti biasa
PAS mentafsir ajaran Islam mengikut kepentingan semasa
mereka. Apabila kepentingan politik PAS memerlukan
kerjasama dengan bukan Islam, PAS dengan rela hati
bekerjasama dengan mereka. Tafsiran lama diketepikan dan
tafsiran baru dibuat. Tidak ada `consistency' dalam
perjuangan PAS. Bagi mereka apa sahaja boleh dibuat atas
nama Islam jika kepentingan politik parti mereka
memerlukannya.
USAHA PECAH BELAH ORANG MELAYU DAN ISLAM
9. Baru-baru ini kedengaran sekali lagi desakan untuk
melarang PAS daripada menggunakan perkataan Islam dalam nama
parti politik mereka. Ingin saya jelaskan bahawa kelulusan
nama PAS atau Parti Islam SeMalaya atau nama Inggerisnya
'Pan Malayan Islamic Party' (PMIP) diberikan oleh British di
zaman penjajah. British memang mengamalkan dasar 'divide
and rule' atau 'pecah dan perintah'. Ketika UMNO sedang
berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, pemerintahan British
telah meluluskan penubuhan Parti PAS yang menentang tuntutan
kemerdekaan. Niat British tentulah jelas.
10. Kita bernasib baik kerana percubaan British untuk
memecahbelahkan orang Melayu dengan mengadakan parti
alternatif bagi mereka tidak begitu berjaya pada masa itu.
Dalam Pilihanraya Umum pertama tahun 1955, pilihanraya yang
menentukan sama ada Malaya merdeka atau tidak, PAS telah
menentang kemerdekaan. Menurut pemimpin-pemimpin PAS ketika
itu, orang Melayu dan negeri-negeri Melayu masih lemah.
Jika tidak ada British melindungi orang Melayu, maka orang
Cina dengan kekuatan ekonomi mereka akan membeli
pemimpin-pemimpin Melayu dan menguasai Malaya yang merdeka.
11. Alhamdulillah, hujah PAS ini ditolak oleh sebahagian
besar orang Melayu dengan begitu keras sehingga mereka
enggan menaiki kereta PAS semasa pergi mengundi pada tahun
1955. PAS hanya menang satu kerusi daripada 52 kerusi yang
dipertandingkan. Dengan itu, gagallah rancangan British
untuk membuktikan bahawa ramai orang Melayu menolak
kemerdekaan. Rundingan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin
UMNO, yang disokong oleh parti-parti lain dalam Perikatan,
berjaya menghasilkan kemerdekaan pada tahun 1957.
12. Tetapi rancangan penjajah untuk meninggalkan
'time-bomb' atau bom jangka di kalangan orang Melayu tetap
berjaya. Parti Islam SeMalaya terus kekal dalam Malaya dan
Malaysia yang merdeka. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
dan kemudian Kerajaan Malaysia tidak dapat berbuat apa-apa
terhadap penyalahgunaan perkataan Islam oleh PAS kerana
ianya telah dibenarkan oleh pihak British dahulu. Kita
tidak boleh berbuat apa-apa kerana di antara tahun 1955
hingga tahun 1959 PAS telah berjaya mempengaruhi sebilangan
besar orang Melayu melalui tohmahan dan fitnah kononnya UMNO
tidak Islam dan PAS itu Islam dan Islam itu PAS. Tanpa
segan silu PAS memperalatkan agama dan menyalahtafsirkan
ajaran Islam dengan sewenang-wenangnya sehinggakan dalam
Pilihanraya Umum tahun 1959, apabila PAS mendakwa bahawa
orang UMNO adalah kafir, ramai di kalangan orang Melayu
mempercayainya. Sebilangan besar guru-guru agama pondok
turut menerima dakwaan ini kerana PAS menjanjikan mereka,
yang tidak pernah diberi tempat di zaman British, akan
menjadi calon PAS dan menjadi Yang Berhormat dan mendapat
gaji yang tidak pernah mereka nikmati sebelum itu. Dengan
penyertaan guru-guru agama, maka pengaruh PAS berkembang
dengan luas. Tidak hairanlah jika pada Pilihanraya Umum
tahun 1959 mereka dapat menawan Kelantan dan Terengganu.
13. Dengan begitu ramai orang Islam dan tok guru-tok guru
menyokong PAS, maka penggunaan perkataan Islam kepada parti
oleh pemimpin-pemimpin PAS sudah tidak dapat dibatalkan
lagi. Jika percubaan dibuat untuk membatalkan kelulusan
yang diperolehi daripada penjajah, PAS akan menjadikan
perkara ini isu politik yang besar. Mereka akan menuduh
UMNO mengharamkan Islam dan bukan mengharamkan penggunaan
perkataan 'Islam' dalam nama parti PAS. Melihat peristiwa
Al-Arqam, tentulah kita tahu bahawa orang Melayu, termasuk
yang terpelajar, mudah menerima apa sahaja hujah
asalkan dibuat atas nama Islam.
14. Kita sedar bahawa terdapat juga di negara-negara Islam
lain penggunaan perkataan Islam pada parti-parti politik.
Tetapi di kesemua negara ini perpecahan yang ketara berlaku
di kalangan orang Islam. Demikian permusuhan antara
parti-parti yang perkataan Islam menjadi sebahagian daripada
nama mereka dengan parti-parti orang Islam yang lain
sehingga beratus ribu orang Islam terbunuh, cedera parah dan
harta benda bernilai berbilion ringgit musnah. Atas nama
persaudaraan Islam, keganasan terhadap orang Islam dilakukan
sehingga tidak ada keamanan sama sekali. Dengan itu, hampir
semua negara Islam ini menjadi lemah, mundur dan mudah
diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Namun masih lagi tidak
ada kesedaran bahawa orang yang berselindung di belakang
perkataan Islam adalah salah satu daripada punca kelemahan
umat Islam.
15. Di Malaysia juga ramai yang tetap akan mempertahankan
penggunaan nama Islam kepada parti, kerana kononnya ini
bermakna parti itu adalah parti Islam. Bahawa tindak-tanduk
parti 'Islam' ini jauh lari daripada ajaran Islam tidak
diambilkira. Dengan ini, berjayalah strategi penjajah untuk
memecahbelah dan melemahkan orang Islam di Malaysia.
16. Hari ini PAS dengan beraninya mendakwa bahawa sesiapa
yang tidak menyokong tindakannya adalah tidak Islam. PAS
kononnya adalah Islam dan Islam kononnya adalah PAS. PAS
kononnya akan bekerjasama dengan UMNO jika UMNO menerima
Islam. Sekali lagi secara tidak langsung PAS menyoal
keIslaman orang UMNO dan mengkafirkan UMNO.
17. Sementara mudah bagi kita mematahkan ajaran sesat oleh
Al-Arqam yang bukan parti politik, adalah sukar bagi kita
mematahkan ajaran sesat parti politik yang memperalatkan
Islam. Walau sejauh mana sekalipun parti ini menyeleweng,
kita dapati masih ada yang menyokong parti politik ini dan
bersedia untuk mengecap Kerajaan sebagai anti-Islam jika
tindakan diambil supaya digugurkan perkataan Islam daripada
nama parti ini.
JANGAN GHAIRAH MENGHUKUM
18. Baru-baru ini seorang pemimpin Kerajaan Barisan
Nasional didakwa kononnya telah mencabul kehormatan seorang
wanita Islam. PAS begitu ghairah memainkan isu ini sebagai
isu politik. Dalam perkara ini mereka membelakangkan
undang-undang yang digubal oleh mereka sendiri yang mereka
dakwa sebagai Hukum Hudud. Jika benarlah mereka percaya
kepada undang-undang mereka tentulah mereka tidak akan
mempolitikkan peristiwa tersebut.
19. Jika dikuatkuasakan undang-undang PAS ini, maka
awal-awal lagi orang yang dituduh akan didapati tidak
bersalah kerana tidak ada empat orang saksi yang tidak
berdosa besar yang melihat pencabulan berlaku secara jelas.
Sebaliknya, wanita yang dikatakan menjadi mangsa didapati
hamil. Mengikut undang-undang PAS, kehamilan di luar nikah
adalah bukti berzina. Hukum PAS terhadap orang yang berzina
ialah rejam dengan batu atau disebat selepas anak
dilahirkan. Dengan demikian yang dituduh mencabul
dilepaskan dan yang dicabul dihukum.
20. Tetapi kerana kepentingan politik, undang-undang PAS
sendiri tidak dihormati oleh PAS. Yang penting ialah
politik, bukan keadilan dalam Islam. Jelas sekali bahawa
PAS sendiri tidak menerima undang-undangnya. Mereka
menggubal undang-undang kerana ingin memperdayakan
pengikut-pengikut mereka bahawa PAS berpegang kepada ajaran
Islam. Sampai bilakah pengikut dan penyokong PAS akan terus
tidak sedar? Sampai bilakah mereka akan membenarkan diri
mereka ditipu oleh PAS dan dipermainkan oleh bekas penjajah?
Sampai bilakah Islam akan diperalatkan oleh PAS? WaAllah
wa'alam.
21. Saudara-saudari sedia maklum bahawa keadilan PAS
sebenarnya adalah kezaliman. Tetapi nampaknya kita juga
mudah melakukan kezaliman. Dalam kes yang sama, kita begitu
ghairah untuk menghukum. Kita baru mendengar cerita
daripada sebelah pihak sahaja, itu pun melalui surat layang,
kita sudah pun yakin bahawa orang itu bersalah. Apakah
surat layang boleh dipercayai? Apakah tujuan surat layang?
Apakah tujuannya keadilan?
22. Akhbar yang biasanya mengecam surat layang telah
menerimanya sebagai punca yang boleh dipercayai. Daripada
berita angin, akhbar menjadikannya kebenaran, 'legitimate',
asas untuk mencungkil, mengecam dan menghukum.
23. Ada orang yang telah 'paraphrase' petikan Shakespeare
dalam perlakonan 'Julius Caesar'. "Bukanlah saya kurang
sayang kepada sipolan, tetapi saya lebih sayang kepada
UMNO". Ingin saya ulangi bahawa tokoh Roma yang berkata,
"It is not that I love Caesar less, but that I love Rome
more", adalah Brutus, anak angkat Caesar, yang bersama-sama
dengan Casca, Cassius dan ahli-ahli komplot lain telah
menikam dan membunuh Caesar.
24. Apabila Brutus menikam Caesar, bapa angkatnya memandang
mata Brutus dan berkata, "Et tu Brute", "Engkau pun Brutus",
lalu Caesar jatuh dan menghembuskan nafas terakhir.
25. Apakah kita boleh menjadikan Brutus sebagai contoh?
Orang politik kerap memberi alasan yang 'noble' apabila
melakukan yang salah. Demikianlah PAS dengan Islam dan
Brutus dengan Rome.
26. Peguam Negara telahpun berkata tidak ada kes. Apakah
reaksi mereka yang ghairah untuk menghukum?
27. Baru-baru ini sebuah akhbar British telah melaporkan
sesuatu mengenai negara kita. Menurut akhbar ini, walaupun
Malaysia ternampak maju, walaupun ekonominya tumbuh lapan
peratus setahun, walaupun inflasinya rendah, walaupun ia
aman, walaupun pelaburannya tinggi, walaupun tidak ada
tindakan perusahaan, tetapi sebenarnya Malaysia adalah di
ambang kemusnahan.
28. Penyakit `walaupun' ini terdapat juga di kalangan kita.
Walaupun Peguam Negara telah memutuskan tidak ada kes,
walaupun tarikh-tarikh yang disebutkan itu tidak tepat,
walaupun yang mendakwa jelas membohong, tetapi sebenarnya
dakwaan yang dibuat lebih tepat daripada segala bukti yang
dinyatakan. Justeru itu, ada pihak yang merasakan bahawa
kita tolak sahaja segala kenyataan dan teruskan dengan
pemburuan, kecaman dan hukuman.
29. Sesiapa yang cuba menegur tindakan yang tidak adil ini
akan dicap sebagai orang yang ingin menegak benang basah.
Justeru itu, untuk menyelamatkan diri sendiri adalah lebih
baik kita menyertai pemburu. Bagi pihak ini, jangan
pedulikan keadilan kepada rakan yang sudah jatuh serta
keluarganya, anak-pinaknya. Dalam politik utamakan
kepentingan diri dahulu.
30. Mungkin ada yang berkata, jika kita perlu berpegang
kepada yang rasmi, kenapakah parti menjatuhkan hukuman
awal-awal lagi? Ingin saya jelaskan bahawa hukuman yang
dikenakan bukan kerana kesalahan yang dijadikan isu.
31. Pemimpin Kerajaan tidak boleh melakukan apa-apa yang
boleh menyebabkan sangkaan buruk terhadap dirinya. Pemimpin
Kerajaan bukan sahaja dikehendaki bersih, tetapi juga
hendaklah ternampak bersih. Tidaklah mencukupi jika kita
sebenarnya bersih tetapi ternampak kotor.
32. Justeru itu, Parti menjatuhkan hukuman dengan
harapan semua pihak berhenti di situ sahaja. Malangnya ia
tidak berhenti di situ. Mereka yang jatuh perlu
dipijak-pijak. Demikianlah tabiat manusia.
KEMAJUAN LUAR BIASA NEGARA
33. Sebenarnya kita berhak menepuk belakang kita sendiri.
Kita telah berjanji akan mengembalikan maruah bangsa, agama
dan tanahair. Untuk mengembalikan maruah kita, yang perlu
dibuat bukanlah mendesak orang lain supaya menghormati kita,
jangan menghina kita atau menulis dalam ensaiklopedia bahawa
kita malas. Desakan dan tuntutan tidak akan mengubah
pandangan orang lain terhadap kita. Hanya yang boleh
mengubah pandangan mereka ialah bukti yang jelas bahawa
mereka salah dan kita bukan seperti yang didakwa oleh mereka
tetapi sebaliknya kita adalah bangsa yang bertamadun tinggi,
cekap dalam serba-serbi, berilmu dan mengamalkan nilai-nilai
hidup yang mulia dan murni, dan kita jelas berjaya.
34. Hari ini kerana usaha kita semua, Malaysia sudah
dianggap sebagai negara contoh. Bukan sahaja ekonomi negara
kukuh dan berjaya beralih daripada negara pertanian dan
pengeluar bahan mentah kepada negara industri yang
eksportnya 78 peratus terdiri daripada barangan buatan yang
canggih, tetapi semua ini dicapai walaupun penduduknya bukan
daripada satu kaum sahaja bahkan daripada berbagai-bagai
kaum, berbagai-bagai agama, berbagai-bagai budaya dan
berbagai-bagai bahasa.
35. Jangan sesiapa memikirkan keamanan di negara ini adalah
perkara kebetulan sahaja. Lihatlah negara-negara lain di
mana terdapat penduduk berbilang kaum; hampir semuanya
bergelora, tegang, bahkan mengalami sengketa kaum sehingga
ke tahap perang saudara atau 'civil war'. Dan negara-negara
yang diduduki atau diperintah oleh orang Islam, banyak yang
lemah, mundur daripada segi keilmuan dan industri, dan
kadangkala tidak dapat menguruskan kekayaan mereka dengan
baik.
36. Jika Malaysia berbeza, jika Malaysia aman dan
mencapai kemajuan yang luar biasa, antara sebabnya ialah
kerana rakyat dan Kerajaan bekerjasama dan matang dalam
menangani isu-isu negara. Pekerja, petani, pemodal,
pengusaha, peniaga, pegawai; semuanya berganding bahu dan
menolong menjayakan Wawasan negara.
37. Tidak terdapat banyak tindakan perusahaan yang
menakutkan pelabur dan membazirkan masa bekerja dan
produktiviti. Dengan itu, pendapatan pekerja meningkat. Ia
meningkat kerana dengan tidak ada banyaknya tindakan
perusahaan, para pelabur menjadi lebih yakin dan sanggup
membuat pelaburan sehingga lebih banyak peluang kerja
diwujudkan daripada bilangan pekerja yang ada. Tidak ada
seorang pun antara rakyat Malaysia yang sanggup bekerja yang
tidak mendapat peluang kerja dengan upah yang baik.
Demikianlah keadaannya sehinggakan ramai pekerja asing,
seramai satu juta, datang dengan susah payah untuk bekerja
di Malaysia.
38. Teori sosialis ialah pemodal menindas pekerja dan
pekerja mesti menentang mereka dan mengadakan tindakan
perusahaan untuk mendapatkan layanan yang adil daripada
majikan. Kita telah buktikan bahawa strategi yang lebih
baik bagi pekerja ialah dengan mewujudkan iklim perusahaan
yang tenang dan stabil. Dengan ini pelaburan meningkat
dengan banyaknya sehingga peluang bekerja bertambah dan
majikan berebut-rebut untuk mendapatkan pekerja, terutama
yang cekap. Dan untuk mendapat pekerja ini atau menentukan
pekerja mereka tidak berpindah ke perusahaan yang lebih
sanggup memberi upahan yang lebih tinggi, pengusaha dan
majikan terpaksa menaikkan upahan dan memberikan layanan
yang lebih baik.
39. Tindakan perusahaan mungkin boleh menaikkan pendapatan
pekerja. Tetapi ia juga akan menjejaskan pelaburan serta
pengwujudan peluang-peluang kerja. Dengan ini, pengangguran
akan bertambah, ekonomi tidak akan tumbuh dan inflasi akan
meningkat kerana upah meningkat tanpa tambahan produktiviti.
Akhirnya dayasaing dan ekonomi negara merosot. Jika hari
ini Malaysia dapat mengeksport barangan buatan ke
negara-negara yang dikatakan maju, sebabnya ialah kos
pengeluaran mereka adalah terlalu tinggi sehingga barangan
mereka tidak berdayasaing lagi dengan barangan kita di
pasaran dunia, bahkan di negara mereka. Dengan kemerosotan
ini industri mereka terpaksa ditutup dan pengangguran
bertambah. Jelaslah bahawa tindakan perusahaan yang boleh
menjejaskan dayasaing kita tidak akan menguntungkan pekerja.
40. Sebaliknya, pendekatan kita berjaya menambah peluang
kerja yang dengan sendirinya menyebabkan pendapatan pekerja
naik tanpa menjejaskan perusahaan-perusahaan kita.
PENDEKATAN KITA SENDIRI
41. Ada juga ahli-ahli UMNO yang terdiri daripada pekerja
dan ahli kesatuan sekerja. Mereka harus faham dan menerima
cara dan pendekatan kita, yang bukan hasil tiruan falsafah
dan pendekatan orang lain tetapi adalah hasil ciptaan kita
sendiri. Berbanggalah dengan pendekatan ciptaan kita dan
janganlah membenarkan diri kita atau rakan-rakan kita
terpengaruh dengan simpati pura-pura pekerja Barat dan
kesatuan sekerja mereka, kerana niat mereka bukanlah
kebaikan kita tetapi demi pemulihan ekonomi negara mereka
dan taraf hidup mewah mereka.
42. Yakinlah bahawa dengan pendekatan kita, pekerja kita
akan mencapai kehidupan yang lebih baik. Namun pekerja
harus ingat bahawa kita adalah negara perdagangan, dan
negara perdagangan yang tidak mampu bersaing akan gagal.
Persaingan bergantung kepada produktiviti, iaitu peningkatan
pengeluaran yang mengimbang kenaikan upah.
43. Pihak majikan pula harus ingat bahawa sepertimana
peningkatan produktiviti kerana usaha pekerja boleh
dinikmati bersama oleh pemilik perusahaan, demikian juga
peningkatan produktiviti dan keuntungan kerana tambahan
pelaburan atau peningkatan efisiensi melalui sistem
produktiviti baru atau jentera baru seperti robot, oleh
majikan hendaklah dinikmati juga oleh pekerja. Kemajuan dan
pertumbuhan ekonomi negara tidak bermakna, jika pekerja
tidak dapat menikmati bersama taraf hidup yang meningkat.
44. Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah berakhir dan sudah
digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Ini
tidak bermakna bahawa matlamat DEB untuk menyusun semula
masyarakat supaya tidak ada pengenalan kaum dengan fungsi
ekonomi dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum sudah
dilupakan. Matlamat ini masih dijunjung oleh Kerajaan.
45. Alhamdulillah, kita telah mencapai banyak kejayaan
dalam usaha membasmi kemiskinan. Mereka yang benar-benar
tidak mampu menolong diri sendiri, yang daif, yang cacat,
yang tua dan yang tidak sihat, semuanya diberi bantuan
secara langsung. Yang lain diberi peluang untuk dilatih dan
bekerja supaya pendapatan mereka meningkat dan keluarga
mereka berada di atas paras kemiskinan keluarga di negara
kita. Tidak kurang pentingnya ialah usaha kita untuk
membendung inflasi supaya daya belian rakyat terutamanya
golongan yang miskin tidak terjejas.
46. Dalam usaha menyusun semula masyarakat, tumpuan kita
bukan lagi kepada kuantiti, seperti dalam DEB, tetapi kepada
kualiti. Kita telah melihat bagaimana tumpuan kepada
kuantiti atau jumlah kekayaan negara yang dimiliki oleh
Bumiputera kerap mengecewakan.
47. Seseorang itu tidak kaya kerana buat beberapa ketika ia
memiliki kekayaan. Kekayaan yang sebenar datang daripada
keupayaan memilik, mengurus dan menambah wang ringgit dan
harta. Untuk ini kecekapan pengurusan harta benda dan wang
amatlah penting.
48. Alhamdulillah, melalui beberapa pendekatan, kita telah
berjaya meningkatkan kualiti pemilikan kekayaan oleh
Bumiputera. Kini bukan sahaja ramai Bumiputera tidak lagi
menjual dengan serta merta saham-saham yang diagihkan kepada
mereka, tetapi mereka juga berupaya menambah jumlahnya
sehingga ada di antara mereka yang dapat menguasai
sepenuhnya syarikat-syarikat gergasi milik orang lain.
Tanpa apa-apa proses penyusunan semula syarikat, Bumiputera
dengan sendirinya mampu menguasai dan mengambilalih syarikat
milik orang bukan Bumiputera. Dan mereka mampu menubuh dan
membesarkan syarikat-syarikat mereka sehingga menjadi
syarikat gergasi.
PENSWASTAAN MENGUNTUNGKAN BUMIPUTERA
49. Proses penswastaan banyak menolong penyusunan semula
masyarakat. Banyak daripada perusahaan dan perniagaan yang
terbesar, bahkan yang terbesar sekali di negara ini, hari
ini dimiliki dan diuruskan dengan jayanya oleh Bumiputera.
Keupayaan mereka mengurus dengan baik berbagai-bagai utiliti
yang dahulunya dimiliki oleh Kerajaan sudah tidak disoal
lagi. Demikianlah kebolehan mereka sehingga mereka dijemput
untuk membina dan mengurus kemudahan infrastruktur oleh
kerajaan-kerajaan negara lain. Kemampuan Bumiputera
sekarang ini sudah mencapai tahap 'world class'.
50. Penswastaan juga memberi peluang kepada pekerja
Kerajaan, yang majoritinya adalah Bumiputera, memiliki saham
dalam syarikat-syarikat utiliti yang diswastakan dan
mendapat upahan serta bonus yang lebih baik daripada yang
boleh diberikan oleh Kerajaan.
51. Kontraktor kecil Bumiputera yang cekap dan betul-betul
terlibat dalam perniagaan mereka juga mendapat peluang sub-
kontrak daripada syarikat-syarikat utiliti dan agensi-agensi
Kerajaan yang lain yang telah diswastakan.
52. Hari ini sudah ada ramai Bumiputera di kalangan orang
kaya 'millionaire' bahkan 'billionaire' di Malaysia. Dahulu
kita soal kenapakah orang yang kaya hanya daripada kaum
lain, terutama keturunan Cina? Kita berasa tidak senang
hati. Kita berasa marah dengan keadaan tidak seimbang ini.
Kita juga hendak melihat ada kaum bangsa kita yang
kaya-raya. Hari ini sudah ada daripada kaum kita yang
kaya-raya.
53. Malangnya apabila hasrat kita ini tercapai, ada di
kalangan kita yang berasa iri hati kepada yang berjaya.
Janganlah kita mengertikan Bumiputera itu sebagai diri kita
sendiri sahaja. Janganlah kerana kita sendiri tidak dapat,
maka ini bermakna Bumiputera tidak dapat, DEB gagal, DPN
gagal dan penyusunan semula masyarakat gagal.
54. Kita tidak pernah menjanjikan bahawa semua Bumiputera
akan menjadi `millionaire'. Kita tidak menjanjikan setiap
orang daripada Bumiputera akan berjaya. Yang kita janjikan
ialah kaum Bumiputera umumnya akan diimbangi daripada segi
ekonomi dengan kaum bukan Bumiputera. Ini bermakna kita dan
mereka sama miskin dan sama kaya. Melalui DEB kita telah
berjaya mencapai lebih kurang 60 peratus daripada segi
matlamat kuantiti penyertaan Bumiputera dan melalui DPN kita
sudah berjaya sedikit sebanyak menambah kualiti pengusaha
Bumiputera dalam bidang ekonomi.
55. Memang benar bukan Bumiputera juga mendapat peluang
daripada proses penswastaan. Ini adalah kerana mereka juga
berhak. Mereka juga memberi sumbangan kepada pertumbuhan
ekonomi negara. Lagipun mereka yang berjaya telah berusaha
bersungguh-sungguh untuk memberi kepada Bumiputera bahagian
Bumiputera, sama ada di peringkat pemilikan atau kontrak
atau bekalan.
56. Hakikatnya ialah lebih banyak, jauh lebih banyak
daripada projek penswastaan, diraih oleh Bumiputera. Jika
kita perhatikan dengan waras, kita akan dapati bahawa
apabila mana-mana pihak cuba mengambil semua untuk dirinya,
hasilnya ialah akhirnya mereka tidak akan mendapat apa-apa,
atau pemilikan mereka tidak kekal. Sebenarnya kerana dasar
berkongsi secara adil yang kita amalkan, Bumiputera di
negara ini lebih berjaya daripada Bumiputera di
negara-negara lain. Jika hari ini ada kejayaan di kalangan
Bumiputera, sebabnya ialah kerana kita tidak terlalu tamak.
Percubaan untuk membangkitkan perasaan marah terhadap dasar
penswastaan oleh mereka yang sudah mendapat banyak nikmat
daripada proses ini tidaklah sepatutnya dibuat. Tanyalah
kepada diri sendiri apakah pembangunan Malaysia boleh
menjadi begini pesat jika tidak kerana penswastaan dan
agihan secara adil kepada kaum-kaum? Hari ini jika kereta
Mercedes ataupun Rolls Royce dibakar dalam rusuhan,
kemungkinannya ialah ia milik Bumiputera. Bersyukurlah
dengan nikmat yang sudah diperolehi dan insya-Allah kita
akan mendapat banyak lagi nikmat. Walaainkafartum inna
azabi la syadid.
TANGGUNGJAWAB BERSAMA MENGATASI GEJALA SOSIAL
57. Negara kita kian maju. Daripada sebuah negara
pertanian kita sudah menjadi negara industri, walaupun masih
di tahap awal. Daripada petani dan nelayan, rakyat kita
sudah bertukar menjadi pekerja kilang dan penduduk bandar.
Dengan itu perubahan sosial yang ketara telah berlaku.
58. Kemiskinan dan kemunduran mempunyai masalahnya.
Kekayaan dan kemajuan juga mempunyai masalahnya. Masyarakat
kita yang ingin maju terpaksa menghadapi dan menangani
gejala-gejala yang datang bersama dengan perubahan-perubahan
dalam masyarakat kita.
59. Sedikit sebanyak institusi kekeluargaan kita sudah
lumpuh. Ibu bapa sudah tidak lagi mampu mengawal dan
mendidik anak-anak mereka. Terdedah kepada keadaan
kehidupan di bandar dengan kebebasan yang luar biasa, ramai
daripada anak-anak bangsa sudah terjebak dengan
penyakit-penyakit sosial seperti lepak, bohsia, dan
penyalahgunaan dadah.
60. Ada pihak yang berpendapat bahawa jika kita tidak sebut
dan kita pejamkan mata, masalah ini akan hilang. Tetapi
kita sedar bahawa masalah ini tidak akan hilang dengan kita
tidak mengakuinya. Sebaliknya, ia akan menjadi lebih besar
dan lebih buruk sehinggalah kita tidak boleh menanganinya
sama sekali. Ada juga yang berpendapat bahawa kita harus
berundur ke belakang dan menolak pembangunan dan kemajuan.
Ini juga bukan cara bagi mengatasi masalah perubahan
sosial kita. Kemunduran dan kemiskinan juga penuh
dengan masalah. Ingatlah kemiskinan itu hampir kepada
kekufuran.
61. Masalah mesti diakui dan dihadapi. Sementara Kerajaan
boleh menyusun kegiatan yang mungkin boleh sedikit sebanyak
membanteras kerosakan akhlak yang berlaku terutama di
kalangan masyarakat belia, benteng yang berkesan sekali
ialah semangat dan nilai hidup yang mulia yang dijunjung
oleh mereka sendiri. Untuk menanam semangat dan nilai-nilai
mulia ini, iaitu membentuk budaya yang boleh menangkis
tekanan nafsu yang menyerang kita, semua pihak perlu
terlibat. Ibu bapa, guru, media, gerakan kemasyarakatan dan
Kerajaan, semuanya mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam
usaha pemulihan yang sedang dirancang.
62. Tidak ada tempat untuk mana-mana pihak
mempertanggungjawabkan tugas pemulihan yang perlu dibuat
kepada pihak yang lain. Semua pihak perlu berganding bahu,
mengkaji masalah dan mencipta pendekatan dan tindakan bagi
membendung gejala-gejala ini. Ingatlah, sementara ada kaum
dan bangsa yang tersungkur kerana perubahan sosial yang
telah berlaku, ada kaum dan bangsa yang berjaya
menanganinya. Tanpa segan silu kita harus mengkaji dan
belajar daripada mereka yang berjaya dan kita tolak
sifat-sifat dan nilai-nilai kita yang didapati tidak sesuai
lagi dengan iklim semasa. Insya-Allah, jika kita semua
berusaha, masalah-masalah sosial ini boleh diatasi dan kita
akan dapat meneruskan pembangunan dan kemajuan negara dan
bangsa kita.
MALAYSIA KINI LEBIH DIHORMATI
63. Keamanan yang disertai dengan pertumbuhan ekonomi yang
pesat dalam Malaysia yang berbilang kaum adalah satu
kejayaan yang menarik perhatian dunia. Mereka yang benci
kepada orang Melayu pun terpaksa akui bahawa kejayaan
Malaysia amat mengkagumkan. Apatah lagi mereka yang seagama
dengan kita. Baru-baru ini sebuah badan intelek Arab Islam
telah datang ke sini untuk mengkaji dan mempelajari kejayaan
kita, yang mereka akui adalah contoh yang baik bagi mereka.
64. Kejayaan yang kita capai adalah disebabkan oleh banyak
faktor. Kebijaksanaan dan kesabaran orang Melayu dan parti
mereka UMNO yang tidak terlalu tamak tetapi tidak lupa
kepada prinsip perjuangan mereka, iaitu untuk memberi tempat
dan kehormatan kepada kaum bangsa Melayu dalam masyarakat
Malaysia dan kepada mata dunia, adalah faktor yang
terpenting. Janganlah setelah berjaya, kita menjadi angkuh
dan kita bakar jambatan yang telah kita gunakan.
65. Di arena antarabangsa pun Malaysia sudah mendapat
kehormatan. Tidak seperti dahulu di mana tiada siapa tahu
di mana Malaysia dan siapa orang Malaysia. Kini bukan
sahaja mereka kenal kita tetapi mereka juga tahu pencapaian
kita, bahkan mereka menyanjungi sumbangan kita dan menyokong
kita di arena antarabangsa.
66. Hari ini duta-duta kita menyatakan betapa mereka berasa
gembira dan bangga menjalankan tugas. Di mana-mana sahaja
pintu rasmi Kerajaan terbuka kepada mereka. Mereka diterima
sebagai perwakilan negara yang dihormati. Adakalanya
apabila duta-duta Malaysia berjumpa dengan pemimpin-pemimpin
negara-negara yang dahulunya kita tidak ada hubungan,
duta-duta kita ditanya mengenai Wawasan 2020. Sebenarnya
Wawasan kita menjadi tumpuan dan perhatian dunia, baik oleh
ahli politik dan pemimpin Kerajaan mahu pun oleh tokoh-tokoh
perniagaan.
67. Ramai Ketua Kerajaan membuat lawatan ke Malaysia untuk
melihat pencapaian kita. Dan ramai pula peniaga dan
pengusaha Malaysia, sebilangan yang tidak kecil terdiri
daripada orang Melayu dan Bumiputera, yang mengadakan
cawangan-cawangan perniagaan mereka di negara-negara asing.
Ada Bumiputera yang membeli dan menguruskan hotel-hotel
dan perusahaan-perusahaan di negara-negara asing.
SIKAP TEGAS DI ARENA ANTARABANGSA
68. Namun kita tidak terikat dengan keperluan perdagangan
kita sehingga kita hilang kebebasan kita. Dalam arena
politik dan ekonomi antarabangsa, kita tetap menyuarakan
pendapat kita dengan lantang. Kita menegur ketidakadilan
kuasa-kuasa besar di Eropah, Asia, Afrika dan
wilayah-wilayah lain. Kita mempertahankan hak negara
membangun dalam soal hak asasi manusia, alam sekitar, dasar
perlindungan Barat, bahkan soal-soal moral. Walaupun
kadangkala kita dikecam dan ternampak terpisah daripada
sesetengah negara, kita tetap dengan pendirian kita.
69. Pendirian kita mengenai hak asasi manusia tidak terhad
kepada orang Islam sahaja. Kita mengecam tindakan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik keluar
askar-askar Eropah apabila rusuhan berlaku di Rwanda. Oleh
kerana tindakan ini, 500,000 orang Tutsi dan Hutu terbunuh
dalam 'genocide' yang berlaku.
70. Di Bosnia pendirian kita tidak perlu penjelasan. Bukan
sahaja orang Islam tetapi orang Croat yang bukan Islam juga
mendapat faedah daripada usaha kita. Pendapat kita ialah
orang bukan Islam tidak secara otomatis menjadi musuh orang
Islam. Kita menentang Zionisme tetapi tidak menentang orang
Yahudi. Memang pun ada antara orang Yahudi dan Kristian
yang menyokong perjuangan Pertubuhan Pembebasan Palestin
(PLO). Demikian juga perjuangan orang Islam di Bosnia
mendapat sokongan daripada orang bukan Islam. Kita harus
mengakui dan menghargai kebenaran ini.
71. Kita menyokong perjuangan PLO untuk membebaskan
Palestin. Hanya kerana kita menyokong mereka tidak memberi
hak kepada kita untuk mengarah perjuangan mereka. Justeru
itu, kita menyokong proses keamanan yang berlangsung
sekarang kerana ini adalah kehendak PLO. Kita tidak berhak
menyuruh mereka terus berperang dan mengorbankan nyawa
mereka, sedangkan kita hidup senang-lenang jauh dari medan
pertempuran.
72. Sebagai orang Islam kita menyokong perjuangan
untuk keadilan bagi semua orang Islam. Kita tidak bersetuju
dengan keganasan yang tidak tentu arah, yang tidak
mengambilkira siapa yang menjadi mangsa, sama ada ianya
dilakukan oleh bukan Islam atau Islam. Membunuh orang yang
tidak berdosa, kanak-kanak, orang tua dan orang awam
bukanlah cara yang diizinkan oleh Islam. Walau apa pun
matlamat perjuangan, ini bukan caranya. Perjuangan orang
Islam menentang segala ketidakadilan dan penindasan mestilah
dengan sopan dan berperikemanusiaan. Apa yang kita tidak
suka dilakukan kepada kita, janganlah kita terima jika
dilakukan kepada orang lain. Islam adalah agama yang suci.
Janganlah kita kotorkannya, menyebabkannya menjadi aib
kerana nafsu dan kemarahan kita.
73. Mereka yang berpendapat bahawa pandangan orang bukan
Islam terhadap Islam tidak penting dan oleh itu kita boleh
buat apa sahaja tanpa mengambilkira imej yang buruk yang
terpalit kepada kita dan kepada agama kita, sebenarnya
mengkhianati agama Islam. Islam tidak menyuruh kita berbuat
demikian. Jika tidak kerana kebaikan Islam yang dibawa oleh
Nabi Muhammad s.a.w., tidak mungkin Islam berkembang di
kalangan orang Jahiliah di zaman Baginda. Sama ada orang
lain menerima Islam atau tidak, imej yang baik bagi agama
Islam mestilah dipelihara. Mengganas, merosakkan harta
benda, merusuh secara membuta-tuli, kononnya kerana
mempertahankan hak orang Islam, kerana ingin merosakkan
usaha pemulihan keamanan, hanya memburukkan imej agama Islam
dan orang Islam tanpa mendatangkan apa-apa faedah. Justeru
itu, kita tidak boleh menyokong cara ini. Islam tidak
menentukan hanya satu pendekatan sahaja, iaitu menggunakan
tangan atau kekerasan dalam mengatasi masalah. Kita boleh
menggunakan lidah atau hati. Gunakanlah akal fikiran dalam
perjuangan. Singkirkanlah nafsu kerana nafsu tetap membawa
kebinasaan.
74. Pendirian kita berkenaan Palestin adalah jelas. Kita
tidak akan mengiktiraf Israel selagi pembebasan Palestin dan
Baitulmuqaddis belum tercapai dan hak dan harta orang Arab
Palestin belum dikembalikan kepada mereka. Kita juga tidak
menyokong keganasan yang membuta-tuli untuk menggagalkan
proses keamanan. Kita tidak menyokong pembunuhan sesama
orang Islam kerana pendirian yang berbeza. Dan kita akan
terus menyuarakan pendapat kita ini di mana-mana sahaja.
75. Semua yang dapat kita lakukan adalah kerana sokongan
rakyat dan kerana UMNO menjadi teras yang kukuh kepada
Kerajaan Barisan Nasional. Sudah tentu jika Barisan
Nasional lemah, jika UMNO berpecah-belah, suara Malaysia
akan luntur dan tidak dipedulikan oleh sesiapa.
76. Walaupun sanjungan dunia terhadap Malaysia membanggakan
kita, UMNO dan Kerajaan tidak boleh lupa bahawa Malaysia
adalah `constituency' kita. Justeru itu, tumpuan yang kuat
mesti diberikan kepada politik dan ekonomi negara.
Kemungkinannya ialah ini kali terakhir bagi kita mengadakan
Persidangan Perwakilan UMNO sebelum Pilihanraya Umum
diadakan.
UMNO DAN AMALAN DEMOKRASI
77. UMNO dan rakan-rakan dalam Perikatan dan Barisan
Nasional telah berkuasa di peringkat pusat dan hampir di
semua negeri sejak kita merdeka hampir 38 tahun dahulu.
Dalam sejarah politik demokrasi jarang sekali sesebuah parti
dipilih oleh rakyat berkali-kali dengan terus menerus tanpa
putus selama hampir empat dekad. Biasanya parti yang
memenangi kemerdekaan tidak begitu mampu mentadbir negara
yang merdeka dengan jayanya. Berjuang untuk kemerdekaan
memerlukan semangat yang kuat. Mentadbir sebuah negara yang
merdeka memerlukan kecekapan yang berbeza, kecekapan
pengurusan jentera pentadbiran dan keprihatinan terhadap
kehendak dan keperluan rakyat.
78. Rakyat akan berasa terhutang budi kepada parti yang
berjuang dan membantu negara mencapai kemerdekaan hanya
untuk sekian lama sahaja. Rakyat mudah lupa. Generasi baru
akan menganggap kemerdekaan sebagai hak dan perkara yang
biasa sahaja. Yang akan ditumpukan ialah kejayaan mentadbir
dan membangunkan negara dan meletakkannya antara
negara-negara yang dihormati.
79. Kelemahan dan kesalahan pemimpin tidak akan dimaafkan
walau apa pun jasa mereka dahulu. Lagipun generasi muda
biasanya idealistik dan percaya mereka lebih mengetahui
bagaimana mengatasi masalah dan menguruskan sesuatu dengan
lebih baik.
80. Kita lihat bagaimana pertubuhan yang berjuang untuk
kemerdekaan di negara-negara lain sudah hilang lenyap. UMNO
juga akan mengalami nasib yang sama jika kita tidak
berjaga-jaga, jika kita tidak belajar daripada sejarah di
negara lain, dan juga sejarah di negara kita.
81. Perjuangan politik oleh seseorang individu bersendirian
sukar mencapai apa-apa kejayaan atau makna. Dalam sistem
demokrasi siapa sahaja boleh berjuang dan bertanding dengan
bebas, tetapi hasilnya tidak lebih daripada mengeluarkan
pendapat yang menghiburkan sahaja.
82. Dalam demokrasi, kita perlu kepada parti politik supaya
kita mendapat cukup wakil untuk membentuk Kerajaan dan
melaksanakan dasar-dasar dan rancangan-rancangan kita.
Individu dalam pertubuhan perlu menerima bahawa pendirian
dan pendapatnya perlu disesuaikan dengan pendapat majoriti.
Ahli atau pemimpin yang tidak sanggup menerima pendapat
majoriti tidak boleh berada dalam parti. Mereka yang hanya
sanggup menyokong parti apabila pendapat majoriti secocok
dengan pendapat mereka dan menentang parti apabila majoriti
tidak setuju dengan mereka, sebenarnya tidak memahami konsep
parti dan tanggungjawab bersama.
83. Untuk menjadikan parti berkesan, pemimpin yang
berwibawa diperlukan. Pemimpin dalam parti yang demokratik
ditentukan oleh suara ramai. Sudah tentu akan ada minoriti
yang tidak menyokongnya. Jika minoriti faham kaedah
demokrasi, mereka perlu terima pemimpin pilihan majoriti.
Tidak semestinya pendapat mereka tidak akan dihormati oleh
parti atau pemimpin. Dalam UMNO kita percaya kepada sistem
`consensus'. Namun jika ini tidak tercapai suara majoriti
terpaksa diterima oleh semua pihak.
84. Sementara minoriti mesti menghormati dan akur kepada
majoriti, pemimpin majoriti tidak harus menganggap anggota
minoriti semuanya musuh. Usaha untuk menyingkir mereka
yang tidak bersetuju tidaklah demokratik dan tidak harus
dibuat oleh mana-mana pemimpin.
85. Ada parti politik seperti Liberal Democratic Party
(LDP) di Jepun yang mempunyai sistem `faction' yang
berkumpul di sekeliling tokoh-tokoh tertentu. Sistem ini
tidak baik dan saya tidak perlu cerita tentang apa yang
telah terjadi kepada LDP.
86. Kekuatan UMNO sehingga kini adalah kerana ketumpatan
atau kepadatan kita. Pemimpin biasanya diberi ketaatan dan
kesetiaan oleh semua pihak. Perebutan tidak begitu berlaku.
Tradisi dan adat resam orang Melayu masih mempengaruhi kita
semua, alhamdulillah.
87. Saya berpendapat bahawa pemimpin yang lemah bagi parti
yang kukuh dan tumpat adalah lebih baik dan berkesan
daripada pemimpin yang kuat dalam parti yang lemah dan
berpecah-belah. Ingatlah menjelang pilihanraya janganlah
sesiapa ghairah membuat apa-apa yang boleh memecah-belah dan
melemahkan parti kita. Kita tidak akan menang jika parti
kita kalah. Kita tidak akan kalah jika parti kita menang.
Dalam pilihanraya, yang penting bukan individu tetapi parti.
Justeru itu utamakanlah parti. Amatlah tidak logik jika
kita mengharapkan semua pihak menyokong kita bila kita
bertanding, tetapi kita tidak akan menyokong jika orang lain
bertanding. Mereka yang hari ini mendapat tempat dan
kedudukan harus ingat bahawa tempat dan kedudukan yang
mereka dapati adalah kerana sokongan orang lain. Janganlah
mereka tidak aktif apabila penyokong mereka dahulu pula
mendapat peluang untuk bertanding sedangkan mereka
digugurkan, mungkin setelah berkali-kali menikmati sokongan
dan mendapat tempat.
88. Saya jarang berpantun. Tetapi izinkanlah saya
berpantun buat kali pertama.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
89. Janganlah berkata setakat kenang sahaja. Balaskanlah
jasa. Janganlah bersara dan menjadi `elder statesman' yang
berkecuali melainkan jika kita uzur. Apa yang ada pada tiap
seorang daripada kita hari ini adalah hasil perjuangan
parti. Justeru itu, balaskanlah jasa parti. Janganlah kita
rosakkan parti hanya kerana kita tidak mendapat kali ini
sedangkan dahulu kita mengecapi banyak nikmat. Bagi yang
sabar mungkin ada peluang lagi.
90. Daripada segi prinsip, perjuangan UMNO tidak pernah
berubah. Kita berjuang untuk kepentingan orang Melayu dan
agama Islam. Tetapi daripada segi pendekatan, kita sering
berubah mengikut keadaan masa dan sekitar.
91. Kita bekerjasama dengan MCA dan MIC walaupun kita telah
menentang pendirian orang bukan Melayu semasa Malayan Union.
Kita sanggup bekerjasama dengan mereka kerana sementara
mereka memperolehi kebaikan daripada kerjasama ini, kita
tidak rugi apa-apa. Bahkan kerjasama inilah yang berjaya
memerdekakan negara kita lebih awal dan memberi hak kepada
kita mentadbir dan membangunkan negara kita sehingga ke
tahap yang tinggi ini.
92. Kemudian dengan tertubuhnya Malaysia, kita bekerjasama
pula dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak. Sekali lagi
kita tidak rugi apa-apa. Perjuangan kita untuk orang Melayu
tidak terjejas tetapi rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak
dapat membebaskan diri mereka daripada belenggu penjajahan
British dan membangunkan Sabah dan Sarawak seperti
negeri-negeri di Semenanjung dan Selat dibangunkan.
93. Pada tahun 1974 Barisan Nasional ditubuhkan. UMNO
terus memainkan peranan sebagai teras dan tulang belakang.
Perjuangan kita tidak terjejas tetapi Parti Gerakan, PAS dan
PPP bekerjasama dengan kita setelah kaum-kaum bertegang dan
merusuh dalam tahun 1969.
94. Sekarang kita terima pula Bumiputera dari Sabah yang
terdiri bukan sahaja daripada orang Islam tetapi juga yang
bukan Islam. Mereka yang bukan Islam tidak menentang dasar
dan perjuangan kita untuk menegakkan agama Islam. Dan kita
juga menerima mereka tanpa menghalang pegangan agama mereka.
Sebenarnya penyertaan bukan Islam dalam UMNO bukanlah baru.
Orang keturunan Thai menjadi ahli UMNO sejak awal lagi.
Mereka tidak sedikit pun menjejaskan pegangan dan perjuangan
UMNO berkenaan dengan agama Islam. Sebaliknya, mereka dan
Bumiputera lain dapat dilindungi oleh kekuatan UMNO dan
memainkan peranan yang berkesan dalam parti dan dalam
Kerajaan.
95. Sekali lagi janganlah pihak lain cuba menjadikan ini
isu politik. Mereka juga bekerjasama dengan penganut agama
bukan Islam demi kepentingan politik mereka. Hanya yang
berbeza ialah rakan-rakan mereka secara lantang menentang
perjuangan keagamaan mereka.
96. Mereka yang baru menyertai UMNO perlu memahami dan
menerap nilai dan pendekatan UMNO. Tabiat melompat tidak
menguntungkan diri sendiri. Orang yang suka melompat
terlalu kerap tidak boleh dipercayai. Mereka jelas tidak
mempunyai pendirian. Mereka hanya mengutamakan kepentingan
diri sepanjang masa.
97. Mereka yang baru menyertai UMNO harus menolak sifat
katak atau belalang yang suka melompat. Dalam UMNO proses
balik ke pangkal jalan tidak begitu mudah. Justeru itu,
pilihlah UMNO secara kekal, dan bukan sebagai batu loncatan.
BERSEDIA HADAPI PILIHANRAYA
98. Persediaan untuk Pilihanraya Umum sudah dibuat oleh
bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO. Tetapi
persediaan boleh ditingkatkan lagi. Jangan terlalu yakin
sehingga lalai. 'Larian kering' dan 'larian basah' perlu
diulang berkali-kali untuk menentukan kelemahan dikenalpasti
dan diatasi. Kita tidak mungkin 'perfect' atau sempurna,
bebas seratus peratus daripada cacat cela. Tetapi kita
perlu berusaha ke arah 'perfection'.
99. UMNO tidak harus kalah. Sokongan kepada kita cukup.
Ahli kita cukup. Pekerja kita cukup. Peruntukan pun cukup,
jika tidak ada perbelanjaan yang keterlaluan. Mereka yang
percaya bahawa hanya peruntukan yang boleh menentukan
kejayaan adalah salah. Kegagalan lebih disebabkan oleh
sikap dan usaha yang tidak bersungguh-sungguh. Bagi yang
betul-betul berusaha, peruntukan memainkan peranan sampingan
sahaja.
100. Insya-Allah jika kita berusaha bersungguh-sungguh, kita
akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan 1995 dalam suasana yang
lebih riang dan gembira. Jika kita muram, tidak ada siapa
yang boleh kita salahkan melainkan diri kita sendiri.
101. Kita bersidang hari ini kerana Parti kita UMNO dan kita
sendiri mempunyai komitmen dan keprihatinan terhadap bangsa,
agama dan negara. Mudah-mudahan niat kita yang ikhlas ini
akan direstui oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Selamat bersidang.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|