Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JENGKA, PAHANG 
Tarikh/Date 	: 	28/11/94 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA HARI PERHIMPUNAN 
			DESA WAWASAN 



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Saya   mengucapkan   terima  kasih  kepada  Kementerian
Pembangunan  Luar  Bandar  kerana   menjemput   saya   untuk
merasmikan Hari Perhimpunan Desa Wawasan 1994 pada hari ini.
2.      Saya  berasa  terharu  melihat  begitu ramai peserta
termasuk pemimpin-pemimpin tempatan yang telah  datang  dari
seluruh  negara untuk menghadiri perhimpunan ini.  Hari Desa
Wawasan ini  adalah  satu  peristiwa  bersejarah  bagi  kita
membulatkan tekad dan menggemblengkan tenaga menentukan arah
dan  tujuan  strategi  pembangunan  luar  bandar  pada  masa
hadapan selaras dengan wawasan negara dan memastikan  sektor
luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
3.      Di  zaman  sebelum  merdeka,  apabila  kita menyebut
perkataan 'kampung' tergambar  kepada  kita  tentang  betapa
daifnya   penghuni-penghuni   yang   tinggal   di  dalamnya.
Keadaannya serba kekurangan.  Kemudahan asas tidak mencukupi
dan  punca  pendapatan  adalah  terhad.    Ketika  itu  kita
dicengkam  kemiskinan.    Sikap masyarakat kampung dikatakan
tidak  positif,  tidak  berminat  bekerja  kuat  dan   mudah
berpuashati  dengan  apa  yang ada semata-mata.   Ini adalah
kesan corak pentadbiran  penjajah  yang  hanya  mengutamakan
kepentingan  mereka  dalam  mengekploitasikan  sumber negara
tanpa mempedulikan  kepentingan  penduduk.    Hanya  setelah
negara  merdeka,  barulah  pembangunan desa diberi perhatian
sewajarnya oleh pemerintahan  yang  diketuai  oleh  Almarhum
Tunku  Abdul  Rahman Putra.  Tun Razak yang ditugaskan untuk
membangunkan  kawasan  luar  bandar  telah  begitu   berjaya
sehingga  Allahyarham  diberi  gelaran  `Bapa  Pembangunan'.
Usaha  pembangunan  luar  bandar  ini  diteruskan  di  bawah
Allahyarham  Tun  Hussein Onn.   Di bawah Dasar Ekonomi Baru
dan  Dasar  Pembangunan  Nasional   tumpuan   diberi   untuk
membasmi   kemiskinan   dan   menaikkan  kualiti  pendidikan
sehingga  corak  masyarakat  kampung  berubah  dan  bilangan
penduduk berkurangan.
4.      Pembangunan   luar   bandar  kita  merangkumi  aspek
pembangunan  fizikal   dan   pembangunan   kerohanian   bagi
meninggikan   tahap   sosio-ekonomi  penduduk  luar  bandar.
Dalam  bidang   pembangunan   tanah   sahaja   FELDA   telah
membangunkan  hampir  900,000 hektar dan menempatkan 116,400
peneroka, sementara  FELCRA  telah  menyatu  dan  memulihkan
259,200   hektar  tanah  dengan  melibatkan  hampir  100,000
peserta.   RISDA pula  telah  melaksanakan  penanaman  getah
seluas  1.18  juta  hektar yang melibatkan kira-kira 575,400
pekebun kecil, sementara  Lembaga-Lembaga  Kemajuan  Wilayah
(LKW) telah dapat menarik pihak awam dan swasta membangunkan
seluas   863,400   hektar  tanah  di  kawasan  masing-masing
termasuk seluas 70,600 hektar yang dibangunkan sendiri  oleh
LKW-LKW   berkenaan.      Jumlah  tanah  yang  dibuka  untuk
berbagai-bagai jenis perusahaan estet adalah sebanyak  empat
juta  hektar  atau  sembilan  juta  ekar.   Tidak ada negara
membangun lain yang berjaya membuka kawasan luar bandar yang
sebegitu luas dan lengkap dalam proses pembangunan desa.
5.   Kejayaan ini boleh dibanggakan oleh kita.    Tetapi  ia
juga  membawa masalah kerana peneroka dan peladang yang asal
sudah  meningkat  umur  sementara   anak   mereka   mendapat
pelajaran  yang  baik  dan tidak lagi berminat untuk menjadi
peladang.   Hari ini kawasan  luar  bandar  menjadi  lengang
kerana  penduduk  di  antara  15 tahun hingga 45 tahun sudah
berhijrah  ke  bandar  untuk  bekerja  dalam   kilang   atau
perniagaan-perniagaan lain.  Masalah kekurangan tenaga kerja
di  luar  bandar  menjadi  begitu serius sehingga ada ladang
getah dan kelapa sawit yang tidak dapat  mengeluarkan  hasil
kerana tidak ada pekerja.
6.     Namun kita tidak dapat menafikan pentingnya pertanian
dalam ekonomi negara.   Jika dinaikkan upah  sehingga  dapat
menarik  balik  pekerja  ke  ladang-ladang  dan  sawah kita,
mungkin kos keluaran kita akan meningkat  sehingga  keluaran
tidak  lagi  akan  berdayasaing  di  pasaran.    Kita  boleh
menggunakan jentera untuk mengurangkan tenaga kerja.  Tetapi
jentera tidak dapat mengganti dan membuat semua jenis  kerja
dalam  bidang pertanian.   Untuk mengekalkan kos yang rendah
tetapi  di  masa  yang  sama  meningkatkan  juga  pendapatan
penduduk luar bandar, pendekatan yang baru diperlukan.
7.      Pendekatan  yang  difikirkan sesuai ialah perusahaan
sampingan.   Pertanian biasanya  memberi  banyak  kelapangan
masa   kepada  petani.    Jika  perusahaan  sampingan  dapat
diadakan maka masa lapang boleh mendatangkan hasil.   Dengan
kerja  sampingan  ini  pendapatan penduduk luar bandar boleh
ditambah tanpa menjejaskan pertanian sebagai  satu  daripada
keperluan negara.
8.      Memandangkan  kepada  masalah  inilah  maka Kerajaan
baru-baru  ini   telah   meningkatkan   lagi   usaha   untuk
memperkenalkan  industri kecil yang sesuai dengan keadaan di
kampung.    Konsep  'satu  kampung  satu  pengeluaran'  yang
diterokai dengan jayanya di Jepun telah diperkenalkan kepada
beberapa  negeri  di Semenanjung.  Industri yang dimaksudkan
bukanlah seni  kerjatangan  semata-mata,  walaupun  pulangan
daripada  industri  ini masih baik tetapi juga industri yang
lebih canggih seperti membuat  paku  dan  barangan  daripada
'fibreglass',  iaitu  sejenis  plastik  yang  diguna  dengan
meluas dalam berbagai-bagai  jenis  barangan  moden  seperti
tangki air, 'cooling tower'  dan 'bot'.
9.      Percubaan  yang  telah  dibuat membuktikan kemampuan
penduduk luar  bandar  mengeluarkan  barangan  yang  canggih
dengan  kualiti  yang  tinggi  dan  harga  yang  berpatutan.
Pendapatan yang diperolehi  amatlah  baik  jika  usaha  yang
bersungguh-sungguh  dibuat.    Soal  kecekapan tidak menjadi
masalah  bagi  mereka  yang  sanggup  dilatih  dan   sanggup
bekerja.  Umur dan jantina juga bukan halangan.
10.   Industri-industri ini pula boleh diperluaskan walaupun
tidaklah sehingga menjadi perusahaan gergasi.  Tetapi  untuk
mencapai  tahap  kemajuan ke peringkat ini, penduduk kampung
dan pekerja estet perlu menyesuaikan diri  dengan  cara-cara
bekerja  dalam  industri yang lebih teratur daripada bekerja
dalam bidang pertanian.
11.   Disiplin kerja dalam bidang  pertanian  dikuasai  oleh
iklim.   Masa menanam, masa mengerat, masa menoreh getah dan
mengait buah ditentukan oleh  musim  dan  cuaca  hujan  atau
panas.    Disiplin  pertanian lebih longgar kerana masa yang
panjang ada untuk membuat sesuatu kerja.  Justeru itu  kerja
tidak perlu menepati masa yang tetap.
12.    Dalam  industri,  disiplin  ditentukan  oleh pasaran.
Bekalan yang terhenti-henti, tidak tetap, tidak  dijadualkan
secara  tertib,  tidak  berkualiti,  harga  tidak ditentukan
awal-awal  dan  diikat  dengan  kontrak   dan   janji,   dan
bermacam-macam  lagi  keperluan  pasaran  mesti  diamal  dan
dipatuhi dalam usaha menjayakan industri.   Persaingan  yang
hebat   tidak  dapat  dielakkan  dalam  industri  pembuatan.
Peningkatan mutu dan  kecanggihan  barangan  keluaran  perlu
diusaha  sepanjang  masa.    Jika pun perusahaan kecil tidak
dapat membuat R & D atau penyelidikan dan  pembangunan  bagi
barangan  yang dikeluarkan, sekurang-kurangnnya perkembangan
terkini dalam bentuk atau cara pengeluaran perlu diikuti dan
di mana boleh dipergunakan.
13.    Oleh kerana keperluan-keperluan  pasaran  yang  telah
disebut  tadi,  maka industri pembuatan perlu diusaha secara
lebih tertib dan tersusun.    Kerja  mesti  dibuat  mengikut
jadual  yang tetap.  Biasanya selain daripada hari cuti atau
hujung minggu, pengusaha dan pekerja mesti bekerja pada masa
yang ditentukan.   Masa untuk  berehat  dan  berhenti  makan
mestilah  tetap.    Masa  bekerja mestilah ditumpukan kepada
kerja dan kerja tidak  harus  terhenti  kerana  ada  sesiapa
datang  atau  urusan sambilan yang lain.  Urusan-urusan lain
mesti dijadualkan di luar masa  tetap  untuk  bekerja  dalam
perusahaan.    Apa  juga cara untuk meningkatkan pengeluaran
tanpa  menjejas  mutu  barangan  yang  dikeluarkan  mestilah
diamalkan.
14.   Semua ini jelas berbeza daripada budaya pertanian yang
turun-temurun menjadi  budaya  penduduk  luar  bandar.    Di
kebanyakan  negara  yang  mundur, tabiat yang terburuk ialah
tabiat  berjalan-jalan atau 'walkabout'.   Bangsa  dan  kaum
yang mundur akan berhenti kerja untuk berjalan-jalan ke sana
sini    sehingga   semua   wang   upahan   atau   pendapatan
dibelanjakan.   Kemudian  mereka  balik  untuk  bekerja  dan
berusaha.    Tabiat  ini  menyebabkan  pengeluaran  barangan
menjadi tidak tetap dan  terhenti-henti.    Pelanggan  tidak
dapat    menentukan    sama ada akan mendapat bekalan   atau
tidak.  Sudah tentu pembeli juga kurang yakin akan  bekalan.
Mereka  akan mengalih pembelian mereka kepada pengeluar yang
lain  atau  berhenti  membeli  sama-sekali.     Dengan   itu
perusahaan dan perniagaan akan terhenti.
15.    Tidak  hairanlah  kenapa  kaum yang mundur yang tidak
berdisiplin semasa bekerja, yang suka  pergi  berjalan-jalan
apabila  sahaja  mendapat  upahan  hujung  bulan atau hujung
minggu, tidak  mungkin  maju.    Mereka  sentiasa  dipandang
rendah dan tidak dihormati.
16.   Sebaliknya bangsa dan kaum yang tertib dan berdisiplin
semasa bekerja, menghormati  jadual  kerja  dan  mutu  hasil
kerja, tetap akan menjadi bangsa yang berjaya, dihormati dan
disegani.  Hanya bangsa ini sahaja yang dapat mempertahankan
kemerdekaan   mereka   dan   berpengaruh   dalam  masyarakat
antarabangsa atau masyarakat  berbilang kaum.
17.  Pembentukan budaya kerja yang  sesuai  dengan  industri
adalah   penting.      Sebenarnya   kejayaan   bangsa-bangsa
perindustrian yang maju bukanlah disebabkan oleh  penerokaan
mereka  dalam  ilmu seperti kejuruteraan dan teknologi.  Ini
boleh dipelajari oleh sesiapa atau dibeli.  Tetapi  kejayaan
mereka  sebenarnya disebabkan oleh budaya kerja mereka iaitu
berdisiplin, bertanggungjawab, rajin, tekun, menitikberatkan
mutu   pengeluaran   dan   mengelakkan   daripada   sebarang
kecacatan.    Memang  benar,  manusia  tidak  mungkin  bebas
daripada kecacatan.  Tetapi usaha ke arah ini mesti  dibuat,
walaupun   masih  belum  berjaya.    Yang  diharapkan  ialah
pengurangan kecacatan seberapa yang boleh.
18.   Saya ingin  menekankan  sekali  lagi  akan  pentingnya
budaya   kerja  dalam  menjayakan  peralihan  petani  kepada
pengusaha  industri   sampingan   walaupun   industri   yang
dimaksudkan   itu   adalah  industri  kecil  untuk  menambah
pendapatan mereka  sahaja,  bukan  untuk  menjadikan  mereka
pengusaha  sepenuh  masa.   Namun penerapan budaya kerja ini
boleh menjadikan mereka pengusaha  yang  berjaya  yang  akan
berhenti daripada menjadi hanya pengusaha sampingan.
19.    Saya  yakin  di  masa akan datang bilangan petani dan
penduduk luar  bandar  akan  berkurangan  lagi.    Anak-anak
mereka  akan  berhijrah  ke  bandar.    Mereka  sendiri akan
berumur dan tidak lagi dapat  bekerja.    Sebaliknya  negara
tetap  akan  memerlukan  pertanian, sekurang-kurangnya untuk
membekal keperluan makanan semasa  darurat,  di  waktu  mana
kita tidak dapat mengimport barangan makanan dari luar.
20.    Kita  mungkin berpendapat bahawa masa itu adalah jauh
lagi dan kita tidak perlu memikirkannya.  Tetapi pengurangan
bilangan penduduk luar bandar dan petani, kekurangan pekerja
di ladang getah dan kelapa  sawit,  termasuk  yang  dimiliki
oleh  FELDA dan agensi-agensi lain, sudah pun berlaku dengan
begitu cepat selepas  kita  membangunkan  industri  sehingga
kita tidak dapat menangani masalah ini dengan jayanya.
21.    Hari ini kita terpaksa menggunakan pekerja asing atau
membiarkan sahaja pohon getah tidak ditoreh dan buah  kelapa
sawit  tinggal  di  pokok.    Kerugian  kita amatlah tinggi.
Tetapi oleh  kerana  pendapatan  daripada  pertanian  begitu
rendah dan kerja pula tidak selesa, kita tidak dapat memujuk
rakyat kita sendiri untuk bekerja di sawah dan ladang.
22.    Jika  kita dapat menaikkan industri pembuatan di luar
bandar  kepada  yang  sederhana,  jika  keselesaan   pekerja
diperbaiki,  maka  penduduk  luar  bandar tidak akan terlalu
berkurangan.  Dan jika kita  tingkatkan  penggunaan  jentera
yang   lebih   canggih,   kita   mungkin  dapat  menggunakan
sebilangan yang kecil daripada pekerja kilang bekerja secara
sambilan dalam bidang pertanian.    Dengan  perkataan  lain,
jika  pada  mulanya kita mengadakan pekerja ladang dan sawah
bekerja secara sambilan sebagai pekerja kilang  kecil,  kita
akhirnya  akan mempunyai pekerja-pekerja kilang sederhana di
luar bandar yang akan bekerja sebagai petani atau  peladang.
Upah  mereka  bolehlah  dinaikkan  dan  pelaburan untuk alat
canggih  ditingkatkan   melalui   `cross-subsidy'   daripada
kilang.    Hasil  pertanian juga akan memperolehi harga yang
lebih tinggi.
23.  Dengan ini penduduk di luar bandar akan menikmati  cara
dan  taraf  hidup  yang tidak jauh berbeza daripada penduduk
bandar.  Impian kita ialah ladang-ladang  yang  besar  milik
petani  yang  mengusahakannya  secara industri pertanian dan
bukan sebagai petani yang "kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang".
24.   Pada hari kita  merayakan  Desa  Wawasan,  kita  perlu
memikirkan  masa  depan  penduduk desa.   Lebih penting lagi
ialah kita perlu merancangkan bentuk cara  hidup  yang  akan
dinikmati  oleh  penduduk  desa  di  masa-masa  akan datang.
Sudah tentu kita tidak ingin mereka  kekal  seperti  keadaan
sekarang,  sudah  tentu  kita  ingin membaiki cara hidup dan
keadaan di desa, jika tidak sama dengan keselesaan hidup  di
bandar, sekurang-kurangnya tidak terlalu ketinggalan seperti
sekarang.
25.   Dalam negara yang maju, semua rakyat, di bandar dan di
desa,  harus  menikmati  keselesaan  dan  kebahagiaan  hidup
secara  adil  dan  saksama.    Sementara  kita merancang dan
memperkenalkan caranya, mereka   yang    tinggal    di  luar
bandar  juga harus tahu peranan
mereka.  Tidak ada sesuatu yang lebih mulia dalam masyarakat
manusia   daripada  mendapat  sesuatu  melalui  titik  peluh
sendiri.  Mereka yang mendapatnya dengan cara ini tidak akan
terpisah daripadanya  dengan  mudah.    Maruah  mereka  akan
terpelihara.
26.    Dengan  harapan  setinggi  gunung  ini,  saya  dengan
sukacitanya merasmikan Hari Perhimpunan Desa Wawasan 1994.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google