Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM DARUL AMAN, 
			ALOR SETAR, KEDAH 
Tarikh/Date 	: 	01/12/94 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN 
			PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-37 
			TAHUN 1415H/1994M 



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Saya mengucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah
Subhanahu  wa  Ta'ala  kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita
dapat bersama-sama untuk menjayakan Majlis Tilawah  al-Quran
Peringkat Kebangsaan bagi kali ke-37 ini.
2.      Majlis  yang  diadakan  secara  tahunan  ini amatlah
bermakna kepada umat Islam di negara ini kerana  ia  menjadi
bukti keutuhan agama Islam yang menyumbang ke arah perpaduan
umat Islam di seluruh negara.
3.      Saya amat berbangga dan bergembira dengan penyertaan
yang amat menggalakkan dari semua  negeri  kerana  ia  dapat
menggambarkan  semangat perpaduan dan cintakan al-Quran yang
menjadi panduan dan ikutan umat Islam seluruhnya.
4.    Al-Quran yang dibawa oleh  Rasul  terakhir  kita  Nabi
Muhammad   s.a.w.  mengandungi  panduan  untuk  semua  aspek
tatacara hidup manusia di dunia ini, sama ada daripada  segi
akidah,  syariah  atau perundangan, ekonomi dan pentadbiran,
serta juga ibadat dan akhlak, iaitu perkara berkaitan dengan
soal sosial  atau  kemasyarakatan.    Panduan-panduan  dalam
al-Quran  mencukupi  untuk kita membentuk budaya dan tamadun
kita dan usaha kita dalam semua bidang  termasuk  penciptaan
cara dan pendekatan dalam menangani masalah hidup, penerapan
dan  penerokaan  dalam  bidang  ilmu dan penciptaan alat dan
barangan yang  boleh  menolong  memperbaiki  kehidupan  kita
serta  amal ibadat kita untuk akhirat.  Sementara kita tidak
mungkin mencipta pesawat terbang atau  alat-alat  pertahanan
yang  canggih  yang  sesuai  untuk  zaman  ini  hanya dengan
membaca al-Quran, tidaklah dapat  sesiapa  menafikan  bahawa
terdapat  dalam  al-Quran  gesaan  supaya  kita mencipta dan
mengeluarkan barangan-barangan  ini.    Ini  jelas  daripada
nasihat dalam al-Quran supaya umat Islam bersiap sedia untuk
pertahanan  dengan  kuda dan pedang.  Kuda dan pedang adalah
alat pertahanan di zaman  Nabi  yang  sama  perlunya  dengan
pesawat  terbang  tempur,  peluru  berpandu, roket dan kapal
perang di zaman ini.    Sementara  kita  perlu  menggalakkan
bacaan al-Quran, kita juga harus tahu makna kandungannya dan
benar-benar  menjadikannya  sebagai  panduan.   Ini bermakna
bahawa  kita  tidak  menghadkan  diri  kita  kepada  membaca
al-Quran  sahaja  tetapi  kita juga perlu menuntut ilmu-ilmu
lain dalam usaha kita untuk menghayati ajaran al-Quran.
5.   Islam adalah agama yang amat mementingkan nilai  akhlak
di  dalam  kehidupan manusia.   Ini adalah amat tepat sekali
kerana tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w diutuskan  ke  dunia
ini  adalah  untuk membawa mesej akhlak mulia untuk dihayati
oleh semua peringkat manusia di dunia  ini.    Firman  Allah
Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud:
     "Demi   sesungguhnya   adalah   bagi  kamu  pada   diri
     Rasulullah  itu  contoh  ikutan  yang  baik  iaitu bagi
     orang yang sentiasa  mengharapkan (keredhaan) Allah dan
     balasan  baik  hari  akhirat serta ia pula menyebut dan
     mengingati  Allah  banyak-banyak  (dalam masa susah dan
     senang)."
6.      Kekuatan,  keamanan  dan  kemakmuran sesebuah negara
adalah terletak sebahagian besarnya  kepada  kemantapan  dan
keutuhan  akhlak  yang  baik  dan  murni  yang dimiliki oleh
setiap individu.  Tanpa akhlak yang baik sesuatu  masyarakat
itu  akan menjadi kucar-kacir,  mengalami hura-hara dan akan
rosak  binasa.    Gejala-gejala  sosial  yang  membimbangkan
masyarakat  akan timbul seperti jenayah, merompak, membunuh,
menagih dadah, wabak AIDS, penyalahgunaan  kuasa  dan  wang,
penderaan  isteri  dan  anak-anak,  budaya lepak, bohsia dan
berbagai-bagai  lagi jenis keruntuhan akhlak.  Gejala-gejala
ini sekiranya tidak ditangani segera akan membawa padah yang
buruk kepada negara.
7.    Semua fenomena buruk yang disebutkan  di  atas  adalah
disebabkan   kelunturan   keimanan   dalam  hati  seseorang.
Justeru itu, wadah yang berkesan di  dalam  menangani  wabak
tersebut  ialah  dengan  menghayati isi kandungan dan ajaran
yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang terdapat di  dalam
al-Quran.    Dengan menghayati segala ajaran yang terkandung
di  dalam  al-Quran,  gejala-gejala  tersebut   akan   dapat
dihapuskan.
8.      Memang benar dan tepat sekali bahawa al-Quran adalah
panduan dan pembina akhlak mulia, walaupun  bagi  masyarakat
yang  berbilang  kaum  dan agama.   Ini adalah kerana akhlak
yang dimuliakan oleh Islam tidak bertentangan dengan  konsep
yang  sama  bagi masyarakat bukan Islam, walaupun tekanannya
mungkin berbeza.
9.    Umat yang maju jaya di dunia  dan  di  akhirat  adalah
terdiri  daripada  mereka  yang  mempunyai  ciri-ciri akhlak
mulia  dan  mereka  yang  bersifat   demikian   akan   dapat
membangunkan  tamadun  tinggi.    Ini dapat dilihat daripada
sejarah tamadun Islam  di  zaman  Rasulullah  s.a.w.  dengan
terbentuknya  sebuah negara Islam yang tertib, aman dan maju
sehingga  agama  Islam  dihormati  dan  mudah  diterima   di
wilayah-wilayah  yang  berjauhan dari tempat lahirnya Islam.
Tamadun Islam hanya menjadi luntur apabila  ajaran  al-Quran
dibelakangkan  atau disalahtafsirkan demi kepentingan pihak-
pihak tertentu.
10.    Masyarakat  sesebuah  negara  yang   menghayati   dan
mengamalkan  ciri-ciri  akhlak  mulia  yang  disarankan oleh
al-Quran akan hidup di dalam keadaan  aman,  sejahtera,  dan
menikmati   kestabilan   politik,   kemantapan  ekonomi  dan
kemajuan negara.  Dengan sendirinya ketinggian martabat  dan
kecemerlangan hidup akan tercapai.
11.  Kita amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana   negara  kita  berada  di  dalam  keadaan  aman  dan
sejahtera dan  dilindungi  daripada  berbagai-bagai  bencana
buruk.   Keadaan ini kita nikmati hasil daripada penghayatan
seluas  mungkin  ajaran  Islam  serta  akhlak   murni   yang
berteraskan kepada al-Quran.
12.  Tidak ada masyarakat Islam yang mungkin berjaya seratus
peratus  menghayati  ajaran  al-Quran  dan mengecapi sepenuh
nikmat daripadanya.   Ini adalah kerana  kelemahan  manusia.
Tetapi  setiap  masyarakat Islam perlu mencuba.  Insya-Allah
sedikit sebanyak kita akan berjaya dan mengecapi nikmat yang
dijanjikan.  Jika hari ini kita menikmati kestabilan politik
dan kemakmuran ekonomi di tahap yang kita  boleh  berbangga,
sebabnya ialah kerana kita cuba menghayati ajaran al-Quran.
13.    Umat  Islam  tidak akan menjadi kucar kacir dan sesat
selagi  mereka  berpegang  teguh  kepada  dua  sumber   yang
ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, iaitu
al-Quran  dan  Sunnah  Rasulullah.   Perkara ini difirmankan
oleh Allah menerusi ayat 59 Surah An-Nisaa' yang bermaksud:
     "....Jika  kamu  berbantah-bantah  (berselisihan) dalam
     sesuatu   perkara,    hendaklah  kamu  mengembalikannya
     kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul Nya,
     jika  kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
     Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu),  dan lebih
     elok pula kesudahannya."
14.    Oleh  sebab  itu  setiap  individu  muslim diwajibkan
mempelajari kedua-dua  sumber  ini  dan  memahaminya  supaya
semua  gerak-geri  dan tingkah-laku berpandu dan dipengaruhi
oleh sumber-sumber ini.
15.   Kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat tidak akan
tercapai sepenuhnya selagi  akhlak  kita  tidak  dipengaruhi
oleh ajaran al-Quran.  Keruntuhan moral di kalangan generasi
hari  ini  sebahagian  besarnya  berpunca daripada kurangnya
kefahaman mengenai ajaran al-Quran.  Oleh itu, saya  menyeru
semua  pihak,  terutama sekali ibu bapa, guru-guru dan media
massa  serta   pihak-pihak  lain   yang   berkaitan   supaya
memberikan   keutamaan  dan  perhatian  yang  serius  kepada
penghayatan ajaran Islam berkenaan akhlak.
16.   Akhir kata, saya  berharap  umat  Islam  akan  kembali
menghayati   dan   mempertingkatkan  usaha  mereka  ke  arah
melaksanakan  nilai-nilai murni dan akhlak  mulia  di  dalam
kehidupan mereka.
17.    Dengan  lafaz  'Bismillahirrahmanirrahim' saya dengan
sukacitanya merasmikan  Majlis  Tilawah  Al-Quran  Peringkat
Kebangsaan kali ke-37 ini.
     Wabillahi     taufik     walhidayah    wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google