Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN TANDANG, PETALING JAYA,
Tarikh/Date : 08/12/94
Tajuk/Title : PERASMIAN PUSAT TEKNOLOGI TAYAR
SIME DARBY (SDTTC)
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Sime Darby
dan Sumitomo Rubber Industries kerana menjemput saya untuk
merasmikan pembukaan Pusat Teknologi Tayar Sime Darby atau
SDTTC pada hari ini.
2. Hanya dua tahun yang lepas saya telah menyaksikan satu
majlis menandatangani perjanjian usahasama di antara Sime
Darby dengan Sumitomo Rubber Industries (SRI) untuk menubuh
dan mengendalikan sebuah pusat teknologi tayar di Malaysia.
Pada hari ini, saya berasa lebih gembira kerana dapat
menyaksikan hasil daripada perjanjian tersebut. Saya
mengucapkan tahniah kepada Sime Darby dan Sumitomo Rubber
Industries di atas penubuhan kemudahan Penyelidikan dan
Pembangunan (R&D) sektor tayar swasta yang pertama di
Malaysia dan juga di rantau ini.
3. Banyak yang telah diperkatakan tentang perlunya negara-
negara yang sedang membangun menambahkan lagi peruntukan
untuk R & D. Namun, di Malaysia sendiri, di mana sektor
swastanya memainkan peranan yang pro-aktif dan sentiasa
menyokong rancangan perindustrian negara, cuma segelintir
sahaja sektor swasta yang telah menunjukkan inisiatif dan
memberikan sambutan dengan melabur dalam R & D. Pada
pandangan saya, masalah ini adalah kerana R & D jarang
mendatangkan keuntungan dalam jangkamasa yang pendek. Akan
tetapi, jika syarikat-syarikat swasta di Malaysia hanya
mempunyai wawasan jangkamasa pendek yang terhad,
bagaimanakah mereka boleh mimpikan kejayaan untuk mencapai
matlamat jangkamasa panjang Wawasan 2020? Kini adalah
masanya untuk menanam benih pelaburan di dalam R & D jika
kita mahu merasakan hasilnya di tahun 2020 dan di
tahun-tahun yang akan datang. Tanpa pelaburan di dalam R &
D pada hari ini, syarikat-syarikat Malaysia tidak akan
berupaya untuk berdikari di masa hadapan dan akan terus
bergantung kepada teknologi asing, yang mana ini akan
mengurangkan dayasaing kita.
4. Dalam ertikata lain, di dalam dunia dagangan dan
industri hari ini, di mana jenama produk yang kukuh dan
terkenal menguasai premium dan kedudukan utama dalam
pasaran, adalah penting bagi syarikat-syarikat Malaysia
memajukan jenama barangan mereka sendiri dan
memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa. Jika mereka
mahukan penglibatan yang bermakna di dalam dagangan
antarabangsa, syarikat-syarikat Malaysia haruslah
mengukuhkan jenama barangan mereka agar diiktiraf di seluruh
dunia dan mempunyai reputasi yang cemerlang daripada segi
kualiti.
5. Industri kereta Jepun merupakan satu contoh yang baik
mengenai kejayaan dasar seumpama ini. HONDA, TOYOTA, dan
NISSAN bukanlah jenama yang terkenal dalam dunia otomotif
dahulu. Tetapi hasil daripada kegigihan dalam bidang R & D
dan peningkatan kualiti keluaran mereka, jenama Jepun dalam
industri otomotif sudah diakui. Hari ini mereka tidak perlu
sembunyi jenama mereka atau mengaitkannya dengan jenama
Eropah atau Amerika yang lebih terkenal. Saya berharap,
sepertimana Sime Darby telah merintis jalan dengan
menubuhkan sebuah kemudahan Penyelidikan dan Pembangunan
untuk tayar, ia juga akan mempelopori usaha-usaha
mengukuhkan lagi jenama barangan mereka di pasaran luar
negeri dan di masa akan datang memperolehi pengiktirafan di
peringkat antarabangsa melalui R & D dan peningkatan kualiti
mereka.
6. Tidak ada negara di dunia ini yang sanggup memberikan
teknologinya secara percuma dan Jepun adalah negara pertama
yang menyedari akan hakikat ini, setelah mereka dahulunya
banyak membayar yuran bantuan teknikal atau royalti untuk
memperolehi teknologi asasnya. Walau bagaimanapun, kunci
kejayaan, seperti yang telah jelas ditunjukkan oleh negara
Jepun, adalah dengan menggunakan input teknikal ini sebagai
landasan untuk memperbaiki dan memajukan lagi teknologi
tersebut. Di dalam dunia hari ini, sekiranya keupayaan
teknikal tidak dikembangkan ianya akan membawa kepada
kelembapan. Tanpa pengembangan teknologi yang berterusan
mana-mana jua syarikat perkilangan yang mahu terus kekal
bersaing terpaksa berulangkali mengeluarkan perbelanjaan
untuk membeli teknologi yang terkini. Ini akan mengurangkan
daya saingan barangan mereka. Sebaliknya jika peningkatan
teknologi adalah hasil R & D sendiri, royalti tidak akan
menjadi beban dan keunggulan produk akan diakui.
7. Ramai daripada pengusaha Malaysia kurang yakin akan
kebolehan penyelidik tempatan dalam mencipta atau
meningkatkan teknologi bagi barangan mereka. Sebenarnya
saintis dan penyelidik Malaysia sudah pun terkenal. Dalam
bidang pertanian mereka telah perolehi banyak kejayaan.
Klon getah yang mereka hasilkan mengeluarkan 10 kali ganda
lebih banyak susu getah daripada pokok getah asal. Klon
kelapa sawit juga mengeluarkan lebih banyak buah lebih awal
daripada pokok yang asal. Dalam satu pameran yang diadakan
baru-baru ini terdapat inovasi cara memelihara kualiti benih
pokok getah yang dihasilkan oleh pekerja pangkat rendah
sahaja.
8. Mungkin ada pendapat bahawa penyelidikan dalam bidang
pertanian adalah lebih mudah. Sebenarnya pendekatan dan
proses penyelidikan tidak berbeza walau apa pun jenisnya,
sama ada 'chemical', 'physical', 'electrical' atau
'electronic'. Jika kita sudah mempelajari tentang
'properties' yang dimiliki oleh bahan atau barangan atau
jentera, tentu tidak menjadi masalah untuk mencampur atau
mengubah sedikit-sedikit campuran atau bentuk secara teratur
dengan mencatat semua `character' atau `performance' yang
dihasilkan. Jika pertukaran daripada segi `proportion' atau
`performance' sudah dikenali maka aplikasi boleh diteroka
pula. Lambat laun sesuatu yang baru yang lebih baik mungkin
terjumpa. Yang diperlukan hanyalah ketekunan untuk mencuba
secara sistematik. Jika ini sudah menjadi budaya saintis
penyelidik, apa juga bidang boleh dikaji dan dibangunkan
dengan jayanya. Tidak ada misteri dalam bidang kajian. Dan
sudah tentu kemampuan tidak dianugerahkan kepada
bangsa-bangsa tertentu sahaja. Siapa juga boleh asalkan
sanggup mencuba tanpa jemu.
9. Satu perkara yang harus diberi perhatian oleh ahli-ahli
penyelidik ialah hampir semua barangan yang kita gunakan
dicipta dan dikeluarkan di negara `temperate' untuk
masyarakat yang mempunyai budaya yang berlainan daripada
kita di kawasan tropika. Hanya dengan memberi perhatian
kepada keperluan iklim tropika dan budaya rakyat Malaysia
sahaja pun, kita akan dapat menyesuaikan barangan-barangan
buatan yang kita gunakan setiap hari. Apabila ini
disesuaikan maka pasaran yang luas akan terbuka bagi
keluaran kita di negara-negara tropika yang lain dan di
kalangan masyarakat yang berbudaya sama dengan kita,
umpamanya orang Islam. Penyelidik-penyelidik di pusat ini
tentu tahu akan kesan iklim panas ke atas tayar umpamanya.
10. Interaksi di antara kakitangan teknikal SDTTC dengan
rakan-rakan sejawat di SRI di dalam usaha menubuhkan
kemudahan ini dan juga pertukaran kakitangan di antara pusat
ini dengan SRI di Jepun akan dapat menambahkan lagi
pengetahuan dan latihan saintifik untuk rakyat Malaysia di
dalam bidang yang masih banyak lagi yang perlu dipelajari.
Latihan serta pembangunan dalam kemahiran saintifik dan
teknikal akan memainkan peranan yang penting di dalam
menyediakan keperluan tenaga manusia untuk menjayakan
matlamat Wawasan 2020. Saya mengucap terima kasih kepada
Sumitomo kerana sedia bekerjasama dan membantu penyelidikan
dalam bidang ini. Sikap ini menidakkan dakwaan bahawa Jepun
enggan memindah teknologi mereka.
11. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan
Pusat Teknologi Tayar Sime Darby.
|