Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL LEGEND, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 09/12/94
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN RASMI HOTEL LEGEND,
KUALA LUMPUR
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
Lembaga Pengarah Metroplex dan pihak pengurusan The Legend
Hotel kerana menjemput saya untuk merasmikan hotel yang
indah ini. Pembinaan hotel ini adalah satu langkah yang
selaras dengan usaha-usaha Kerajaan untuk meningkatkan lagi
kemudahan penginapan di Kuala Lumpur supaya dapat menarik
lebih ramai lagi pelancong dari dalam dan luar negeri.
2. Saya difahamkan usaha Metroplex ini merupakan
pelaksanaan perancangan strategik yang pelbagai, iaitu
daripada perhotelan bertaraf lima bintang hingga ke lapangan
telekomunikasi serta usahasama dan pelaburan antarabangsa.
3. Penempatan The Legend Hotel di dalam satu kompleks
dengan sistem yang menyatukan kemudahan-kemudahan hotel dan
`service apartment', pusat membeli-belah, ruang pejabat dan
tempat-tempat riadah merupakan satu konsep yang amat
`sensible' yang tentu sekali akan dapat menarik minat lebih
ramai para pelancong dan pembeli-belah di Kuala Lumpur.
4. Saya diberitahu projek The Legend Hotel dan Apartments
ini menelan belanja lebih kurang RM220 juta dan terdiri
daripada 447 bilik dan 213 unit `service apartment', dengan
segala kelengkapan termoden dan canggih. Dengan itu, ia
merupakan antara hotel-pangsapuri sepadu penuh yang
terulung diusahakan di Malaysia.
5. Dengan mengadunkan unsur-unsur kelainan yang
`avant-garde' daripada segi gaya, rekabentuk dan kualiti
dalam kompleks hotel yang mewah ini, jelas ia berjaya
mengetengahkan satu citra baru dalam sektor perhotelan,
iaitu melalui rangkaian `The Legend Hotels and Resorts'.
6. Usaha pihak pengurusan Metroplex ini tentu sekali akan
dapat membantu usaha-usaha Kerajaan untuk memajukan sektor
pelancongan di negara ini. Sesungguhnya pelancongan telah
menjadi satu aktiviti ekonomi yang penting dalam pembangunan
ekonomi negara. Pertumbuhan sektor pelancongan sering
dikaitkan dengan peningkatan peluang-peluang pekerjaan,
pendapatan, nilai ditambah dan pengwujudan rangkaian yang
kukuh dengan sektor-sektor ekonomi lain. Oleh itu segala
usaha daripada pihak swasta yang dapat membantu menggalakkan
industri pelancongan negara akan dialu-alukan oleh
Kerajaan. Memandangkan tahun 1994 adalah juga Tahun Melawat
Malaysia, maka pembinaan The Legend Hotel ini adalah sesuai
dan tepat sekali dengan perancangan dan strategi Kerajaan
untuk mempelbagaikan aktiviti sektor pelancongan. Kini
sektor pelancongan adalah industri penyokong ketiga yang
terpenting selepas perkilangan dan petroleum galian. Ia
juga akan menolong mengurangkan defisit yang besar dalam
dagangan `invisible' atau dagangan tidak ketara.
7. Sejak tahun 1980 hingga Julai 1994 sebanyak 320 projek
hotel yang melibatkan pelaburan sebanyak RM11,183 juta telah
diluluskan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM8,471 juta
ataupun 76 peratus merupakan pelaburan tempatan, manakala
pelaburan asing merupakan hanya 24 peratus ataupun sebanyak
RM2,713 juta.
8. Bagi tahun 1993 sahaja sebanyak RM1,899 juta telah
dilaburkan di dalam projek perhotelan, yang mana merupakan
peningkatan sebanyak 164 peratus berbanding dengan RM718
juta pada tahun 1992. Jumlah bilangan projek hotel yang
diluluskan juga telah meningkat daripada 14 projek pada
tahun 1992 kepada 57 projek pada tahun 1993. Bagi tujuh
bulan pertama tahun ini, sebanyak 19 projek hotel telah
diluluskan yang melibatkan pelaburan modal yang dicadangkan
sebanyak RM211 juta.
9. Industri hotel, khususnya di kawasan bandar telah
berkembang dengan majunya dan ini pasti akan dapat menampung
keperluan penginapan pelancong-pelancong baik dari luar mahu
pun dari dalam negeri. Sungguhpun industri pelancongan
begitu giat berkembang, potensinya masih belum diterokai
sepenuhnya. Justeru itu, pihak swasta harus bekerjasama
dengan Kerajaan dalam usaha memperkenalkan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan dan lebih inovatif dalam penyediaan
khidmat-khidmat untuk pelancongan dan memperluaskan
peluang-peluang untuk pembangunan industri ini di negara
ini.
10. Saya amat berbangga dengan usaha-usaha para usahawan
tempatan kita yang sentiasa peka terhadap seruan Kerajaan
untuk bersama-sama menyumbang terhadap perkembangan ekonomi
negara, khususnya dalam memastikan Malaysia berjaya menjadi
sebuah negara industri menjelang tahun 2020. Dalam
hubungan ini usaha Metroplex merupakan satu tindakan yang
harus diteladani oleh sektor swasta.
11. Kerajaan berbangga kerana pihak Metroplex telah
menunjukkan sikap yang prihatin dan pro-aktif terhadap
rancangan-rancangan Kerajaan untuk memajukan sektor
pelancongan. Semoga segala hasil kejayaan yang dinikmati
nanti akan dapat memanfaatkan seluruh lapisan masyarakat
serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia amnya.
12. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan The Legend Hotel Kuala Lumpur.
|