Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	CHEMBONG, NEGERI SEMBILAN 
Tarikh/Date 	: 	10/12/94 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PEMBUKAAN RASMI NESTLE 
			FOODS CHEMBONG 


 
    Saya mengucapkan terima kasih kepada  pihak  pengurusan
Nestle   Malaysia   Berhad   kerana   menjemput  saya  untuk
merasmikan pelancaran kilang Nestle Foods Chembong pada hari
ini.    Pelancaran  kilang  ini  adalah  unik,   kerana   ia
mencerminkan kerjasama yang rapat dan persefahaman yang erat
antara  enam  negara anggota ASEAN.  Ini ialah kerana projek
ini adalah hasil usahasama program  industri  ASEAN  ataupun
ASEAN Industrial Joint Venture (AIJV) Programme.
2.      Program  AIJV  ini merupakan satu pencapaian wawasan
ASEAN   untuk   mempertingkatkan   kerjasama   ekonomi   dan
membolehkan  negara- negara anggota menjadi lebih kompetitif
di dalam perdagangan dunia.
3.      Dalam  konteks ini, sukalah saya mengucapkan tahniah
kepada Nestle,  yang  merupakan  antara  syarikat  pemakanan
terbesar di dunia, kerana dayausahanya mendirikan lima pusat
pembuatan  khusus  yang dianggarkan menelan belanja sebanyak
RM275 juta bagi berbagai-bagai barangan makanan di  beberapa
negara ASEAN.
4.     Saya difahamkan bahawa projek ini merupakan dayausaha
Nestle  S.A.  Switzerland  yang  terulung  yang   melibatkan
pemindahan    teknologi    milik    Nestle   kepada   rakyat
negara-negara ASEAN.
5.   Kerajaan-kerajaan ASEAN, melalui Jawatankuasa Industri,
Galian dan Tenaga atau `Committee on Industry, Minerals  and
Energy (COIME)' telah meluluskan projek tersebut dalam bulan
September 1991, meskipun  wujud dasar fiskal dan perdagangan
yang   beragam  di  kalangan  negara-negara  anggota  ASEAN.
Jelaslah faedah  daripada  usahasama  serantau  seperti  ini
adalah   lebih   besar   manfaatnya   daripada   kepentingan
kedaerahan atau `parochial'.   Dengan  adanya  asas  pasaran
yang meluas dan kukuh yang meliputi 300 juta penduduk ASEAN,
kelima-lima  kemudahan  perkilangan  yang  khusus  itu  akan
mencapai  `economies  of  scale'   yang   diperlukan   untuk
mengeluarkan barangan-barangan tersebut secara kos efektif.
6.      Malaysia  dan semua negara anggota ASEAN kini sedang
menikmati  penjimatan  tukaran  asing  yang   besar   kerana
barangan  tersiap  yang  dahulunya  diimport  sekarang boleh
dibekalkan melalui saluran tempatan dalam ASEAN.
7.   Saya gembira melihat kemudahan perkilangan yang  begitu
besar  dilengkapi dengan teknologi terkini.  Kilang ini pula
telah dapat disiapkan dalam tempoh kurang daripada 18  bulan
daripada tarikh pecah tanah.
8.      Ini  menggambarkan kejayaan Kerajaan Negeri Sembilan
menyediakan infrastruktur  moden  yang  perlu  bagi  menarik
minat  dan  keyakinan  sebuah  syarikat  `multinational' dan
pengeluar barangan makanan antara yang  terkemuka  di  dunia
seperti  Nestle,  untuk  mendirikan  kilang AIJV di Chembong
ini.
9.     Saya  diberitahu  bahawa  teknologi  terkini  ataupun
`state-of-the-art   technology'   telah   dibawa   masuk  ke
Chembong ini untuk mengeluarkan Kit-Kat  dan  Smarties  yang
dahulunya diimport dari United Kingdom dan Australia.
10.    Penggunaan  automasi hendaklah digalakkan lagi ketika
Malaysia berusaha ke  arah  mencapai  teknologi  yang  lebih
tinggi.    Saya  juga diberitahu bahawa kakitangan di kilang
ini  telah  diambil  bekerja   dari   kawasan-kawasan   yang
berhampiran,  di  samping  di  beri  latihan dalam peralatan
terkini  yang  hi-tech,  canggih  dan  berkomputer.     Daya
pengeluaran    atau   tahap produktiviti  mereka serta mutu
pengeluaran   barangan,   adalah   sejajar   dengan    tahap
kilang-kilang Nestle di merata dunia.
11.    Ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia boleh dan
mampu mengusahakan sesuatu jika rakyatnya diberi pilihan dan
sanggup berusaha dengan lebih gigih serta  sanggup  menerima
dan  mempelajari  teknologi  baru  dan moden.   Para pekerja
Malaysia harus sedar bahawa kunci  utama  ke  arah  kemajuan
yang  lebih  pesat  ialah penggunaan teknologi yang termoden
dan canggih. Justeru itu,  kita  harus  berani  dan  sanggup
mempelajari  teknologi  terkini  yang  ada  pada  hari  ini.
Mereka  yang  tidak  sanggup  akhirnya  akan   tidak   mampu
bersaing,   yang  mana  ini  akan  merugikan  pengusaha  dan
menyebabkan pekerja menganggur.
12.  Di samping kita mengalu-alukan dan menghargai teknologi
tinggi dan moden yang telah di bawa  masuk  ke  negara  ini,
kita  tidak  seharusnya pula melupakan ikhtiar para pembekal
barangan  utama  yang  telah  berusaha  sedaya  upaya  untuk
mempertingkatkan   lagi  mutu  bahan  mentah  mereka  dengan
kerjasama para pengguna.
13.   Dalam hubungan ini, saya  mengucapkan  tahniah  kepada
Nestle  dan  Golden  Hope  kerana  usaha mereka dalam bidang
Penyelidikan dan Pembangunan atau R & D  untuk  mengeluarkan
biji   koko   yang  setanding  atau  mampu  bersaing  dengan
biji-biji koko yang terbaik dari  negara-negara  yang  lain.
Dalam hal ini, sukalah saya tegaskan betapa pentingnya R & D
dalam  meningkatkan  daya  saing  barangan  keluaran negara.
Walaupun R & D memerlukan wang yang banyak bagi  membolehkan
kegiatan  penyelidikan  yang bermakna dijalankan, kita tidak
harus melihatnya sebagai satu kegiatan  yang  tidak    jelas
dan    tepat  sumbangannya  kepada perniagaan.   R & D harus
dilihat daripada segi jangka panjang.   Kebanyakan  syarikat
besar  yang  mampu  bersaing  di pasaran dunia pada hari ini
ialah kerana mereka memberi perhatian berat kepada  R  &  D.
Justeru  itu,  saya  berharap syarikat-syarikat negara   ini
akan memberi perhatian yang lebih serius  terhadap  R  &  D.
Anggaplah  R  &  D sebagai pelaburan biasa dan termesti yang
akan  menguntungkan  daripada  segi  jangka  panjang.
14.  Nestle  memulakan  operasinya di negeri ini dalam tahun
1912   dan  sejak   itu   telah   maju  bersama-sama  dengan
pembangunan   negara.   Ia   terus  membuat  pelaburan  demi
pelaburan bagi meluaskan kemampuan  perkilangan,  dan  dalam
proses tersebut,  telah melakukan pemindahan teknologi.
15.   Malaysia sudah menjadi pasaran yang penting untuk masa
kini dan masa  depan.    Walaupun  bilangan  penduduk  tidak
begitu  ramai,  tetapi  pendapatan  per kapita dan daya beli
mereka adalah tinggi.  Malaysia mampu menjadi `base  market'
kepada kebanyakan perusahaan yang perlu kepada `economies of
scale'.
16.    Walau bagaimanapun, kejayaan Nestle adalah juga hasil
falsafah Syarikat dan dasarnya yang bijak  dan  berpandangan
jauh.     Nestle,  saya  difahamkan,  percaya  penuh  kepada
`decentralisation', menghormati dan menghargai cita rasa dan
tuntutan tempatan  di  samping  sentiasa  berusaha  mencapai
kecemerlangan.   Seperti juga Nestle, kebimbangan kita ialah
sikap terlalu berpuashati atau `complacency'  yang  biasanya
menghancurkan pihak-pihak yang kaya dan yang sudah berjaya.
17.   Kita telah melihat banyak contoh pertubuhan-pertubuhan
dan  negara-negara  yang  telah   menderita   akibat   sikap
`complacent'  ini.   Saya sukacita mendengar Nestle sentiasa
sedar akan bahaya `complacency' yang sangat besar mudaratnya
yang boleh meruntuhkan  segala  apa  yang  telah  kita  bina
selama ini.
18.  Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada
Nestle,   Kerajaan   Negeri   Sembilan,  semua  agensi  yang
berkenaan dan  negara-negara  anggota  ASEAN  atas  kejayaan
melaksanakan projek makanan AIJV yang pertama ini.
19.    Dengan  ini,  saya dengan sukacitanya mengisytiharkan
Nestle Foods Chembong dibuka dengan rasminya.

 
 



 
Google