Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOLEJ TAFE, SEREMBAN,
NEGERI SEMBILAN
Tarikh/Date : 10/12/94
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya sekali lagi
untuk merasmikan Perhimpunan Agung MIC tahun ini. Ini
memanglah tradisi kita di dalam Barisan Nasional di mana
Pengerusi BN merasmikan Perhimpunan Agung parti-parti
komponennya.
2. Saya turut berbangga melakukan perasmian ini kerana ini
merupakan satu peluang yang baik untuk bertemu serta berucap
kepada ahli-ahli MIC dan juga wakil-wakil parti komponen BN.
Saya percaya Perhimpunan Agung MIC pada tahun ini bukan
sahaja akan berjalan lancar dan teratur tetapi lebih penting
akan berjaya menghasilkan resolusi-resolusi yang pragmatik
dan yang mengambilkira kepentingan masyarakat berbilang kaum
di Malaysia amnya. Saya juga yakin resolusi-resolusi yang
dikemukakan akan dapat membantu MIC untuk memperkukuhkan
imejnya sebagai parti komponen yang memperjuangkan nasib
masyarakat India dan mempertingkatkan perpaduan kaum di
dalam masyarakat Malaysia.
3. Sungguhpun MIC merupakan parti komponen yang kecil di
Semenanjung berbanding dengan parti-parti komponen Barisan
Nasional yang lain, ianya tetap berperanan penting dalam
mewujudkan kestabilan politik dan kesejahteraan di negara
kita. MIC telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara
dengan peranannya sebagai penggerak masyarakat India di
negara ini. Dengan komitmen yang tinggi serta semangat
kerjasama yang ikhlas, MIC telah bersama-sama memupuk
semangat harmonis di kalangan rakyat. Dengan kepimpinan
yang berwibawa dan dinamik, MIC telah menyumbang kepada
Barisan Nasional dalam mengurus pembangunan negara ke tahap
pembangunan ekonomi yang membanggakan. Rakyat Malaysia
termasuk masyarakat India kini mengecapi kualiti hidup yang
amat selesa berbanding dengan negara-negara majmuk yang
lain. Namun, seperti juga dengan masyarakat yang lain di
Malaysia, ada yang masih tertinggal. Ini lebih disebabkan
mereka tidak sanggup berusaha atau menukar cara hidup
mereka, kerana di negara yang mempunyai lebih satu juta
pekerja asing, tidak ada sebab kenapa penduduk tempatan
tidak mendapat peluang kerja dan pendapatan yang baik.
4. Ekonomi negara kini telah bertumbuh di paras lebih
daripada lapan peratus setahun selama tujuh tahun
berturut-turut. Dengan wujudnya pertumbuhan ekonomi yang
pesat ini, semua rakyat Malaysia termasuk masyarakat India
telah sama-sama mendapat manfaat daripada kemewahan negara
ini. Banyak peluang terbuka untuk semua rakyat mengubah
nasib mereka asalkan yang penting ialah adanya kemahuan dan
kesediaan mereka untuk bekerja dan berusaha. Melalui
program-program `privatisation', Kerajaan telah banyak
membuka laluan bagi rakyat Malaysia dan pertubuhan mereka
mencuba bidang-bidang baru atau melabur. Ada dakwaan yang
menyatakan bahawa penswastaan memberi manfaat hanya kepada
segelintir golongan iaitu syarikat-syarikat besar dan mereka
yang rapat dengan pemimpin negara sahaja. Saya telah
menjelaskan perkara ini di beberapa forum yang lalu dan
sukalah saya tegaskan sekali lagi bahawa ini adalah satu
tuduhan yang tidak benar. Ingin saya tegaskan di sini
bahawa program penswastaan telah berjaya membantu usaha
pembangunan yang tidak mungkin dibuat oleh Kerajaan.
Sehingga kini sebanyak 120 projek telah pun diswastakan.
Penswastaan projek-projek ini telah menghasilkan peningkatan
kecekapan dan produktiviti. Ini dapat disaksikan daripada
kejayaan yang telah dicapai oleh semua entiti yang terlibat.
Penswastaan telah menghasilkan tambahan modal dalam pasaran
saham sebanyak RM10.8 billion. Sebanyak RM5 billion
perbelanjaan mengurus dan RM40.6 billion perbelanjaan
pembangunan telah dapat dijimatkan dengan penswastaan
entiti-entiti tersebut. Sementara itu, 92,700 kakitangan
Kerajaan telah berpindah ke sektor swasta dan mendapat
upahan yang lebih tinggi. Hasil daripada penjimatan ini
Kerajaan boleh menyalurkan sumber yang ada kepada usaha
lain, terutamanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan
serta program membasmi kemiskinan. Kerajaan Barisan
Nasional tidak membuat dasar melainkan ia boleh
menguntungkan rakyat dan negara.
5. Dasar Kerajaan seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN)
jelas merupakan pendekatan yang penting dan strategik bagi
menentukan keadilan sosial benar-benar berlaku. Ianya
adalah hasil perancangan Kerajaan Barisan Nasional untuk
mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan sejahtera. Di
negara ini tidak wujud kebuluran seperti di sesetengah
negara lain. Kemiskinan mutlak telah banyak berkurangan.
Dalam hal ini Kerajaan juga telah berjaya mengatasi masalah
menyusun semula masyarakat. Rakyat Malaysia mempunyai
tempat berlindung dan juga kemudahan untuk mendapat
pendidikan asas, peluang-peluang pekerjaan dan
bermacam-macam lagi. Keutamaan akan sentiasa diberi kepada
peningkatan mutu kehidupan rakyat daripada segi keperluan
asas atau `basic needs'. Pembasmian kemiskinan akan
sentiasa menjadi teras utama program-program pembangunan
tanpa mengira kaum.
6. Pencapaian kita ini bukan sahaja tertumpu kepada bidang
ekonomi malahan di bidang-bidang lain juga seperti di dalam
aspek pendidikan dan pembangunan sosial. Semua ini telah
dapat kita lakukan kerana Kerajaan Barisan Nasional dapat
mempraktikkan falsafah demokrasi yang berteraskan keadilan.
Konsep Barisan Nasional telah terbukti berjaya dalam
menyatukan parti-parti komponen dan seterusnya merapatkan
perhubungan antara kaum hinggakan mencapai pertumbuhan
ekonomi yang pesat. Yang penting di sini ialah rakyat
menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kemampuan Barisan
Nasional dalam mengurus dan mentadbirkan negara dengan baik.
Barisan Nasional memang merupakan satu ikatan parti yang
mengambilkira kepentingan berbagai-bagai kaum. Justeru itu,
kita mestilah berusaha untuk memperkukuhkan institusi
politik yang unik ini agar negara kita akan terus menikmati
keharmonian kaum dan seterusnya pembangunan yang pesat. 7.
Kita ketahui bahawa kekuatan Barisan Nasional adalah juga
disebabkan sokongan yang kuat daripada MIC. MIC pula jelas
mendapat mandat daripada majoriti masyarakat India di negara
ini untuk memelihara kepentingan mereka dan masa depan anak
cucu mereka. Generasi masyarakat India yang akan datang
mempunyai prospek yang cerah. Kita tidak dapat menafikan
bahawa masyarakat India telah banyak menikmati faedah
daripada kekayaan negara.
8. Sehubungan dengan ini kita harus berbangga kerana
Malaysia berjaya mencapai pertumbuhan di samping mewujudkan
pengagihan kekayaan yang saksama. Rakyat daripada
berbagai-bagai kaum tidak ketinggalan menikmati hasil
kekayaan negara. Rakyat daripada berbagai-bagai kaum
bersama-sama berjaya merebut peluang-peluang yang wujud
hasil daripada `the expanding economic cake'. Pendapatan
per kapita rakyat Malaysia dianggarkan melebihi RM9,000.
Jika diukur daripada segi kuasa membeli ataupun `purchasing
power', nilai sebenar pendapatan ini adalah jauh lebih
tinggi iaitu melebihi sekali ganda.
9. Dalam kita menikmati kejayaan ini, kita harus terus
berhati-hati menggunakan sumber yang ada. Peningkatan
pendapatan hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi
perlu digunakan sebaik mungkin. Paras tabungan negara yang
tinggi merupakan sumber dana yang penting untuk membiayai
pelaburan dalam negeri memandangkan aliran masuk modal asing
dijangka terjejas akibat meningkatnya persaingan dengan
negara membangun yang lain, terutamanya daripada negara yang
baru muncul.
10. Analisis Bank Dunia menunjukkan bahawa Malaysia
merupakan sebuah negara di mana pertumbuhan ekonominya
adalah hasil daripada peningkatan pelaburan atau
`investment-driven economy'. Walaupun negara perlu
meningkatkan sumbangan yang lebih besar daripada penggunaan
teknologi dan kecekapan pengurusan, namun kita harus
meneruskan usaha mewujudkan iklim pelaburan yang baik untuk
pelabur asing, di samping menggalakkan pelaburan dalam
negeri serta pelaburan di luar negeri iaitu `reverse
investment'.
11. Keteguhan ekonomi negara yang dicapai setakat
ini telah menyumbang kepada kedudukan kewangan negara yang
lebih baik. Justeru itu, Kerajaan telah mengurangkan beban
cukai kepada orang ramai seperti yang berlaku dalam beberapa
belanjawan yang lalu. Namun kedudukan kewangan Kerajaan
terus teguh kerana Kerajaan mengamalkan dasar
berjimat-cermat.
12. Salah satunya yang menjadi kunci kepada perpaduan ialah
rakyat daripada segenap lapisan dan daripada berbagai-bagai
kaum dapat bersama-sama menikmati kemewahan negara. Atas
sebab inilah maka adalah penting rakyat di negara ini
termasuk masyarakat India berusaha dengan lebih gigih dalam
mempertingkatkan lagi kerjasama dan perpaduan kaum demi
kemajuan negara.
13. Dalam usaha kita untuk terus membangunkan negara
selaras dengan Wawasan 2020 adalah penting rakyat Malaysia
yang berbilang kaum termasuk kaum India di bawah pimpinan
MIC terus bersatu padu di samping hormat menghormati di
antara satu dengan yang lain dan antara kaum. Ini adalah
penting kerana kekuatan MIC akhirnya akan bererti kekuatan
Barisan Nasional keseluruhannya dan kekuatan Barisan
Nasional pula akan mampu memperkukuhkan kestabilan politik.
14. Saya berbangga dengan pencapaian MIC kini kerana
sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional ianya telah
menunjukkan kematangan dalam pimpinannya, terutama sekali
dalam usaha-usahanya mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi
masyarakat India di negara ini. Perhubungan atau
interaksinya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional
yang lain juga mencerminkan hubungan yang begitu ikhlas dan
mesra serta padu yang boleh membawa kepada perpaduan yang
lebih mampan. Keadaan seperti ini tentu sekali akan terus
menyumbang kepada satu masyarakat Malaysia berbilang kaum
yang dihormati dunia luar sebagai satu masyarakat yang unik,
maju serta berupaya membangun dengan begitu pesat tanpa
mengira kaum.
15. Asas-asas kukuh yang telah dibina oleh Kerajaan
membolehkan ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun
mungkin menghadapi beberapa masalah dan kesulitan ekonomi
yang timbul daripada kejayaan ekonomi itu sendiri. Kita
menjangkakan pertumbuhan pada kadar lebih daripada lapan
peratus setahun boleh dicapai untuk beberapa tahun akan
datang. Keadaan ekonomi dunia yang bertambah cerah akan juga
menyumbang dan memperkukuhkan prestasi ekonomi Malaysia.
Matlamat Kerajaan ialah supaya pertumbuhan ekonomi yang
tinggi ini dapat dikekalkan tanpa menimbulkan tekanan ke
atas harga dalam negeri. Dengan ini kita terus akan dapat
bersaing dengan jayanya dengan negara-negara lain.
16. Dalam hubungan ini, adalah perlu semua pihak termasuk
sektor swasta, ahli-ahli politik dan orang ramai
bersama-sama meningkatkan kecekapan dan produktiviti
pengeluaran mereka ke arah mengurangkan kos pengeluaran.
Hanya dengan cara ini dapat kita menjamin supaya negara akan
terus mencapai pembangunan ekonomi yang boleh sama-sama
dinikmati oleh semua lapisan rakyat Malaysia.
17. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Perhimpunan Agung MIC ini.
|