Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/94
Tajuk/Title : PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI
SEMPENA TAHUN BARU 1995
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Alhamdulillah. Tahun 1994 telah berlalu tanpa apa-apa
malapetaka yang besar yang menimpa negara kita, Malaysia.
Memang benar rakyat, pada tahun 1994, mula menyedari tentang
gejala lepak dan 'bohsia'. Memang masalah dadah masih
berada dengan kita. Tetapi umumnya negara Malaysia terus
aman dan maju, dengan ekonomi berkembang sebanyak lebih
daripada lapan peratus. Kita rakyat Malaysia daripada semua
kaum perlu banyak bersyukur atau 'grateful' kerana nasib
kita yang baik. Namun masalah yang saya sebutkan tadi tidak
boleh dibiarkan begitu sahaja. Kerajaan dan rakyat daripada
semua kaum dan lapisan perlu berganding bahu dan berusaha
untuk mengatasi masalah-masalah ini. Kita percaya dan yakin
bahawa kita boleh mengatasi masalah-masalah ini. Kerajaan
boleh merancang dan mengadakan tindakan seperti program
'Rakan Muda' untuk membendung, jika tidak pun menghapus,
budaya lepak, 'bohsia' dan penyalahgunaan dadah. Tetapi
Kerajaan semata-mata, walau seberapa banyak sekalipun
peruntukan disediakan, tidak mungkin berjaya mengatasinya.
Ini adalah kerana gejala ini berasaskan kepada bentuk budaya
kita dan pembentukan budaya bermula dari rumah dan
melibatkan semua anggota masyarakat.
2. Kita bernasib baik kerana institusi kekeluargaan belum
luput dalam masyarakat kita seperti yang telah berlaku dalam
masyarakat Barat. Tetapi tanda-tanda menunjukkan bahawa
peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sudah agak
berkurangan. Mungkin ini disebabkan oleh kedua-dua ibu bapa
bekerja. Tetapi belia yang terlibat bukan semuanya
mempunyai ibu bapa yang bekerja sepanjang hari. Hakikatnya
ialah ramai ibu bapa tidak memberi perhatian serius kepada
pendidikan anak-anak mereka. Kawalan terhadap kebebasan
anak-anak mereka juga lemah. Ibu bapa harus mengetahui
siapa kawan anak-anak mereka dan di mana mereka bersiar-siar
dan menghabiskan masa.
3. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam membentuk
budaya. Justeru itu, latihan dan teladan di sekolah
hendaklah ditumpukan kepada pembentukan budaya dan nilai
hidup yang mulia. Bagi anak-anak orang Islam, sementara
mereka perlu mempelajari tentang ibadat yang diwajibkan,
mereka juga perlu diberikan didikan akhlak dan nilai-nilai
hidup yang dituntut oleh agama Islam. Kita tidak boleh
memejam mata akan hakikat bahawa kebanyakan daripada mereka
yang terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak diingini
terdiri daripada belia Islam.
4. Untuk menangani masalah-masalah ini, Kerajaan telah
melancarkan program 'Rakan Muda'. Tujuan kita bukanlah
untuk menghapuskan keinginan para belia untuk
berseronok-seronok tetapi kita ingin menyalurkan minat
mereka kepada kegiatan-kegiatan yang lebih sihat dan membina
yang juga boleh menghiburkan hati mereka.
5. Sekali lagi untuk menjayakan program 'Rakan Muda'
sokongan dan penyertaan seluruh masyarakat terutama para ibu
bapa adalah penting. Sementara anak-anak hendaklah
digalakkan menyertai kegiatan 'Rakan Muda', tanggungjawab
ibu bapa di rumah tidak boleh diabaikan. Kawalan yang
berpatutan hendaklah dilakukan. Demikian juga didikan
akhlak dan semaian budaya bangsa hendaklah diberi perhatian
yang lebih serius.
6. Jika ibu bapa yakin mereka boleh, maka tidaklah sukar
untuk meyakinkan anak-anak mereka bahawa mereka juga boleh.
Ingatlah bahawa bangsa yang berjaya ialah bangsa yang
memiliki dan mengamalkan budaya yang membina. Hanya bangsa
yang berjaya sahaja yang akan dihormati dunia. Bangsa yang
hanya pandai bercakap tetapi tidak mempunyai apa-apa
kejayaan yang jelas akan diketawa dan dihina oleh orang.
Bagi yang beragama Islam, penghinaan terhadap mereka samalah
dengan penghinaan terhadap Islam. Apabila ini berlaku tidak
ada gunanya kita menyalahkan orang lain. Salahkanlah diri
sendiri.
7. Dalam bidang ekonomi kita boleh berbangga dengan
pertumbuhan yang masih tinggi. Tetapi kita harus ingat
bahawa negara yang maju seperti Jepun sekalipun boleh
mengalami kemorosotan dengan tiba-tiba. Janganlah fikir
bahawa pertumbuhan ekonomi negara boleh kekal dan berlaku
secara kebetulan dan dengan sendirinya. Tanpa perancangan
dan dasar yang sesuai serta usaha yang gigih ekonomi negara
tidak boleh terus sihat.
8. Bahaya yang selalunya mengancam negara yang maju ialah
inflasi, yang akan menyebabkan pendapatan yang tinggi hilang
nilainya. Ini adalah kerana pendapatan yang tinggi, dalam
keadaan inflasi yang meningkat tinggi, akan menyebabkan
pendapatan yang telah bertambah tidak berupaya membeli lebih
banyak barangan atau khidmat. Apalah gunanya membeli
barangan yang sama dengan wang yang lebih banyak hanya
kerana kita memiliki wang yang sudah bertambah? Jika
pendapatan bertambah, kita sepatutnya boleh membeli lebih
banyak barang atau khidmat.
9. Hakikat yang jelas ini nampaknya begitu sukar difahami
oleh ramai anggota masyarakat. Kebanyakan berpendapat
bahawa memiliki wang yang banyak bermakna kaya dan memiliki
wang yang sedikit bermakna miskin. Justeru itu, semua
mengejar pendapatan yang bertambah tanpa menghiraukan daya
membeli wang ini. Dengan ini, tuntutan kepada tambahan
pendapatan dibuat sepanjang masa tanpa mempedulikan kesan
terhadap kos sara hidup yang meningkat iaitu inflasi.
10. Yang malang sekali ialah kos sara hidup yang meningkat
merugikan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana
lebih daripada yang berpendapatan tinggi. Tanpa memikir
akan asas-asas inflasi, mereka ini biasanya mendesak untuk
mendapatkan upah dan gaji yang bertambah bagi menampung
kemerosotan daya membeli mereka. Hasilnya ialah inflasi
bertambah dan daya membeli tidak juga dapat mengejar harga
barangan yang terus meningkat. Mereka tidak menjadi lebih
kaya, bahkan di sesetengah negara mereka menjadi lebih
miskin dan terus menganggur kerana mengejar tambahan
pendapatan. Ini adalah kerana negara perdagangan seperti
Malaysia tidak akan dapat bersaing di pasaran dunia jika
harga barangan keluarannya menjadi tinggi. Semua industri
dan perniagaan akan merosot. Pelaburan akan berkurangan.
Pekerja akan dibersarakan dan yang menganggur terus
menganggur. Inilah yang menyebabkan negara Eropah mempunyai
pengangguran sebanyak 10 hingga 20 peratus. Upah mereka
terlalu tinggi dan mereka tidak sanggup untuk menurunkan
upah.
11. Hari ini di Malaysia ramai eksekutif menuntut gaji yang
amat tinggi dan akan berpindah ke syarikat lain jika tidak
dilayani. Demikian juga para pekerja menuntut kenaikan gaji
dan bayaran bonus tanpa mengambilkira untung rugi perusahaan
atau perniagaan mereka. Kenaikan upah tidak menjadi masalah
asalkan daya keluaran atau produktiviti meningkat. Tetapi
biasanya tuntutan dibuat kerana orang lain mendapat kenaikan
upah atau bonus tanpa mengambilkira produktiviti sendiri.
12. Percayalah bahawa kenaikan upah tanpa kenaikan
produktiviti akan menyebabkan inflasi meningkat dan akhirnya
kehilangan daya saing dan pengangguran. Apabila ekonomi
sudah merosot, pemulihan amatlah sukar dibuat. Lihatlah
nasib beberapa negara maju.
13. Kerajaan tidak mempunyai sebarang niat buruk apabila ia
bertindak untuk mengawal inflasi. Kawalan inflasi tidak
boleh dihadkan kepada kawalan harga barangan yang dijual
sahaja. Punca kenaikan harga juga mesti dikawal. Dan ini
termasuklah kawalan ke atas upah, baik bagi jawatan tinggi
atau rendah. Eksekutif yang menuntut gaji puluhan ribu
ringgit turut menyumbang kepada inflasi sama seperti pekerja
yang menuntut upah dinaikkan tanpa sumbangan kepada kenaikan
produktiviti. Upah patut dinaikkan bersama dengan
pertumbuhan ekonomi tetapi tidaklah ke paras yang sama jika
kita ingin mengelak inflasi. Kenaikan sehingga 20 peratus
yang diberikan baru-baru ini kepada satu kumpulan pekerja
iaitu jauh lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi yang
hanya lapan peratus tetap akan memburukkan ekonomi. Mungkin
perusahaan berkenaan mampu tetapi ini akan menyebabkan yang
tidak mampu juga didesak supaya memberi kenaikan yang sama.
Dan untuk melayan tuntutan, harga jualan khidmat atau
barangan terpaksa dinaikkan dan kesannya ialah inflasi.
14. Justeru itu, saya ingin merayu kepada pegawai-pegawai
eksekutif, kesatuan sekerja dan pekerja-pekerja supaya tidak
memikirkan tentang hari ini sahaja. Ingatlah, bahawa
sedikit sebanyak kemakmuran dan harga barangan yang rendah
sekarang adalah hasil daripada pelbagai dasar dan pendekatan
yang diambil oleh Kerajaan. Kerajaan telah mengurangkan
cukai dan membentuk berbagai-bagai pendekatan untuk mengawal
inflasi dan membangunkan negara. Tujuan Kerajaan ialah
supaya sara hidup kita tidak meningkat. Tetapi janganlah
balasan kita ialah menuntut tambahan upah yang boleh
menjejaskan usaha Kerajaan mengawal inflasi.
15. Marilah kita memulakan hari pertama tahun 1995 dengan
beringat bahawa keamanan dan kemakmuran bukan kekal dengan
sendirinya. Kemakmuran dan kebahagiaan hidup bergantung
kepada pegangan kepada nilai-nilai yang mulia, kepada budaya
yang sesuai dan tindakan yang waras yang boleh memelihara
kebahagiaan dan kemakmuran secara yang lebih kekal.
16. Pada hari yang bahagia ini marilah kita bersama-sama
insaf dan bersyukur, dan dengan itu sanggup membendung nafsu
untuk kebahagiaan yang lebih kekal.
17. Selamat menyambut Tahun Baru 1995. Moga-moga negara
kita akan terus maju dan berjaya dan kita akan hidup aman
damai, makmur dan bahagia.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|