Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT ISLAM MALAYSIA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/01/95
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SEMINAR AL-QURAN
ANTARABANGSA KALI KE-5
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala, selawat dan salam ke atas junjungan
besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat
Baginda seluruhnya; dan doa kesejahteraan dipohonkan untuk
kita semua serta seluruh muslimin dan muslimat di mana
sahaja mereka berada.
2. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap di majlis
ini dan seterusnya merasmikan Seminar Al-Quran Antarabangsa
Kali Yang Ke-5 ini.
3. Al-Quran adalah kitab suci yang menjadi pegangan dan
panduan utama kepada umat Islam. Hal ini tidak sedikit pun
diragui, malah dipercayai dengan penuh keyakinan. Jika
terdapat kesangsian tentang kepercayaan kepada al-Quran
walaupun sedikit, maka terjejaslah kedudukan kita sebagai
orang Islam yang beriman. Ini adalah kerana percaya kepada
kitab suci sebagai salah satu daripada Rukun Iman memerlukan
pegangan yang mutlak.
4. Percaya kepada kitab suci al-Quran bukan setakat kita
mempercayai bahawa segala isi kandungannya itu kalam Allah,
tetapi bersedia mengamalkan segala ajaran yang terkandung
dalam wahyu-wahyu tersebut. Pengamalan ini merangkumi
aplikasi terhadap urusan individu dan urusan kemasyarakatan
atau disebut juga dengan istilah fardu ain dan fardu
kifayah.
5. Kita yakin panduan-panduan yang dijelaskan melalui
al-Quran memberi jaminan kepada kehidupan yang bahagia dan
sejahtera sama ada di dunia atau di akhirat. Dalam hubungan
ini, Rasulullah s.a.w. juga telah mengingatkan bahawa jika
dalam urusan hidup kita, kita berpegang dan berpandukan
kepada al-Quran dan Sunnah, maka perjalanan hidup kita tidak
akan sesat pada bila-bila masa.
6. Kita semua percaya kepada al-Quran dan tidak ingin
dengan sengaja engkar akan ajaran al-Quran. Dengan itu
semua umat Islam sepatutnya hidup sejahtera dan bahagia,
bebas daripada kehinaan, ditindas dan didera oleh mana-mana
pihak. Tetapi hakikatnya ialah umat Islam tidak hidup
bahagia dan selamat sejahtera. Sebenarnya umat Islam
seramai lebih seribu juta hidup dalam keadaan tertindas dan
merana, dipermain dan diperalatkan oleh siapa sahaja yang
berkepentingan. Apakah ini disebabkan oleh pegangan kepada
al-Quran atau kerana umat Islam tidak sebenarnya berpegang
kepada ajaran al-Quran?
7. Manusia semuanya mempunyai kelemahan. Dan orang Islam
tidak terkecuali. Mereka yang percaya kepada ajaran
al-Quran pun ada juga yang tidak mengamalkan ajarannya.
Mereka tahu apa yang disuruh mereka lakukan tetapi mereka
tidak lakukannya. Justeru itu, mereka tidak mencapai
kebahagiaan hidup yang dijanjikan.
8. Tetapi kegagalan umat Islam mencapai kebahagiaan hidup
bukanlah disebabkan oleh keengganan mengamal ajaran Islam
sahaja. Kebanyakan daripada kegagalan mereka disebabkan
oleh salah faham mereka mengenai ajaran al-Quran yang
sebenar dan kerana salah faham ini amalan mereka juga turut
salah dan mereka tidak dapat mengecap kehidupan yang bahagia
dan mulia.
9. Kenapakah salah faham berlaku? Sebabnya ialah walaupun
orang yang fasih dalam Bahasa Arab mampu membacanya, tetapi
kefahaman mengenai makna dan maksud yang terkandung dalam
ayat-ayat al-Quran tidaklah begitu mudah difahami dengan
membaca sendiri. Justeru itu, biasanya orang Islam yang
ingin memahami isi kandungan al-Quran terpaksa bergantung
kepada tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh
pentafsir-pentafsir yang diiktiraf. Dalam usaha menjelaskan
isi kandungan al-Quran seperti yang difahami olehnya,
pentafsir terpaksa menggunakan bahasanya sendiri dan
menambah kepada ayat-ayat al-Quran bagi menjelaskan makna
dan maksud ayat-ayat berkenaan. Sudah tentu bagi orang
Islam yang tidak memahami Bahasa Arab, mereka hanya boleh
membaca terjemahan daripada tafsiran yang dibuat dalam
Bahasa Arab, atau terjemahan ke dalam bahasanya secara
langsung daripada al-Quran. Dengan itu bukanlah isi
kandungan al-Quran yang diterima sebagai ajaran al-Quran
tetapi tafsiran dan terjemahan tafsiran yang dibuat oleh
pentafsir atau penterjemah.
10. Jika kefahaman pentafsir atau penterjemah salah, maka
kefahaman mereka yang mengikutinya juga akan salah. Jika
tepat, tentulah mereka yang mengikutinya akan dapat maksud
ayat al-Quran secara tepat. Tetapi kita tahu terdapat
perbezaan antara pentafsir-pentafsir yang berlainan.
Kadang-kadang perbezaan ini tidak ketara dan tidak banyak
mengubah maksud ayat al-Quran. Tetapi ada masanya perbezaan
ini begitu ketara sehingga umat Islam yang berimam dengan
pentafsir yang membuat tafsiran-tafsiran dan terjemahannya
ini berpecah kepada mazhab-mazhab yang bertentangan. Agama
Islam yang diwahyukan kepada Rasulullah hanyalah satu sahaja
tetapi hari ini terdapat beberapa kumpulan yang mendakwa
diri mereka Islam pada hal amalan dan kepercayaan mereka
berbeza dan mereka menolak amalan orang lain yang mendakwa
mereka juga Islam. Dengan ini, selain daripada puak Suni
dan Syiah dengan mazhab-mazhab masing-masing wujud puak
Alawait dan Druze dan lain-lain. Perbezaan antara puak-puak
ini begitu ketara sehingga ada kemungkinan yang puak-puak
tertentu sebenarnya tidak Islam. Semua mereka merujuk
kepada al-Quran yang satu tetapi tafsiran, dan dengan itu
kefahaman serta pegangan mereka bukan lagi satu dan sama.
Besar kemungkinan ada pentafsir yang salah dan ajaran mereka
menyeleweng. Dalam sejarah Islam hingga ke hari ini perkara
ini sering berlaku. Dan baru-baru ini ia berlaku di hadapan
mata kita.
11. Apabila umat Islam menerima dan mengikuti tafsiran yang
salah dengan kepercayaan bahawa inilah ajaran dan maksud
al-Quran yang sebenar, maka sudah tentu mereka tidak akan
mencapai kebahagiaan hidup. Lebih daripada itu, mereka
mungkin akan gagal dan menderita. Keadaan yang sedih yang
menimpa umat Islam sekarang mungkin disebabkan oleh
kepercayaan kepada tafsiran yang salah.
12. Perkara ini harus kita ingati sepanjang masa. Apabila
kita bertelagah mengenai ajaran Islam, kita harus ingat
bahawa pertikaian kita bukanlah berkenaan dengan al-Quran
atau ayat-ayat yang terkandung di dalamnya yang tidak pernah
salah dan tidak pernah berubah. Yang kita bertelagah atau
berbahas ialah tafsiran pentafsir yang, walau bagaimana alim
sekalipun, mereka adalah manusia biasa dengan
kelemahan-kelemahan yang ada pada manusia. Alangkah ruginya
umat Islam jika kita berpegang dengan begitu kuat dan
mempertahankan mati-matian bukan ajaran al-Quran tetapi
pendapat manusia biasa yang mana sudah tentu pendapat ini
tidak setaraf dengan wahyu daripada Allah Subhanahu wa
Ta'ala.
13. Apakah tidak mungkin yang kemunduran umat Islam
disebabkan oleh tafsiran yang salah oleh pentafsir? Yang
pasti ialah ia bukan disebabkan oleh al-Quran yang mengajar
dan memandu umat Islam. Jika kita akui hakikat ini, maka
kita tidak akan bersalah jika kita mengkaji semula dan
menolak tafsiran tertentu. Dan kita juga tidak harus berasa
terhalang akan saranan bahawa pintu ijtihad sudah ditutup
dan kita tidak lagi boleh mengkaji semula tafsiran dan juga
isi kandungan al-Quran. Sekatan terhadap ijtihad mungkin
akan mengekalkan tafsiran yang salah dan meletakkan
tafsiran-tafsiran ini sebagai setaraf dengan wahyu Allah
Subhanahu wa Ta'ala dalam al-Quran, iaitu tidak mungkin
cacat dan tidak boleh diubah.
14. Pendapat dan tafsiran al-Quran yang jelas salah
tersebar luas dalam alam Islamiah sejak berkurun-kurun.
Antaranya ialah ajaran bahawa pelajaran dan pengetahuan yang
utama dan penting hanyalah berkenaan dengan agama. Lebih
khusus dan mendalam pengetahuan agama ini, lebih baiklah
lagi seseorang umat Islam. Ia dipercayai akan mendapat
pahala dan ganjaran yang banyak dan tempatnya di akhirat
adalah syurga.
15. Tidak ada siapa yang akan menafikan bahawa pengetahuan
agama adalah penting dan baik bagi seseorang individu Islam.
Tidak ada siapa yang akan mempertikaikan bahawa seorang yang
alim dalam bidang agama dan membuat ibadat yang diwajibkan
adalah seorang yang berpegang kuat kepada agama Islam. Bagi
orang Islam, orang yang menumpukan sepanjang masa dan
bersungguh-sungguh kepada agama daripada segi pengetahuan
dan amalan tetap dianggap baik dan mulia dan harus diikuti
tanpa soal.
16. Orang yang mempelajari dan mengkhusus dalam bidang
agama tetap akan percaya bahawa apa yang dilakukan oleh
mereka menepati kehendak agama. Oleh kerana hampir semua
daripada pentafsir dan guru agama dan penyebar ajaran Islam
terdiri daripada orang yang mengkhusus dalam ilmu keagamaan,
maka sudah tentu tekanan mereka adalah kepada mempelajari
bidang agama. Bidang-bidang lain tidaklah dianggap penting
dan mereka biasanya tidak akan mendesak orang Islam supaya
menuntut ilmu-ilmu lain bahkan membuat kerja-kerja lain.
Adakalanya mereka memberi pendapat bahawa orang Islam yang
bergiat atau terpelajar dalam bidang-bidang lain tidak akan
mendapat pahala atau apa-apa ganjaran di akhirat. Mereka
ini dianggap sebagai tidak kuat Islam mereka.
17. Dengan tersebarnya pemikiran seperti ini maka majoriti
umat Islam tidak begitu berminat untuk mengejar ilmu
pengetahuan yang tidak khusus berkenaan dengan agama Islam.
Jika hari ini terdapat umat Islam begitu mundur dalam
berbagai-bagai ilmu dan kecekapan sehingga tidak dapat
memelihara maruah mereka, mempertahankan umat Islam daripada
diserang, ditakluk dan dianiaya, tidak dapat mengeksploitasi
sendiri kekayaan sumber yang dikurniakan oleh Tuhan kepada
negara mereka; jika hari ini umat Islam membuat kerja-kerja
yang dilarang oleh Islam, bahkan meninggal agama Islam,
sebabnya ialah kerana mereka kecewa dengan kelemahan mereka
dan rasa terhinanya mereka.
18. Bahawa al-Quran bukan sahaja menekankan pengetahuan
ajaran Islam tetapi beratus-ratus perkara lain yang ada
kaitan dengan kehidupan dan kebahagiaan umat, tidak diberi
tumpuan oleh ramai pentafsir dan ulama. Sebenarnya mereka
telah memilih hanya sebahagian kecil sahaja daripada ajaran
al-Quran. Walaupun kita disuruh dalam al-Quran melihat
ciptaan Tuhan seperti langit dan bumi, awan dan hujan, tanah
yang subur, bukit-bukau dan haiwan, kita tafsirkan ayat-ayat
ini sebagai bukti kebesaran Tuhan sahaja. Jika kita
betul-betul perhatikan semua ini secara mendalam, iaitu kita
kaji secara ilmiah, kita bukan sahaja akan lebih kagum
dengan ciptaan Tuhan tetapi kita akan memperolehi banyak
ilmu yang boleh menolong kehidupan kita. Sudah tentu
pertanian akan lebih maju dan kebuluran yang lebih terdapat
di negara-negara Islam akan dapat dihindarkan.
19. Demikian juga kita disuruh menyediakan kuda dan pedang
untuk pertahanan ummah. Tetapi kita tidak hiraukan soal
keselamatan ummah. Jika kita betul-betul menerima ajaran
al-Quran tentulah kita akan mempelajari berbagai-bagai ilmu
yang akan membolehkan kita mencipta dan mengeluarkan
berbagai-bagai alat pertahanan moden untuk menyelamatkan
umat Islam daripada nasib malang yang menimpa mereka seperti
di Bosnia, di Nagorno Karabakh, Chechnya dan di
negara-negara lain.
20. Ini adalah hanya dua daripada ajaran al-Quran yang kita
tidak mengambil berat. Ada ratusan lagi ajaran yang boleh
menjayakan kita tanpa menjejaskan kedudukan kita di akhirat
yang juga kita tidak memberi perhatian secara serius.
21. Apabila orang Islam menjadi mundur dan tertindas di
dunia, ada pihak yang mendakwa bahawa memang inilah
kehendak agama Islam, iaitu orang Islam akan menderita di
dunia sementara menunggu kebahagiaan di akhirat. Justeru
itu, terima sahajalah segala kesengsaraan, penderitaan dan
kehinaan di dunia. Ini adalah sementara. Akhirat adalah
kekal dan dengan itu orang Islam akan berbahagia
selama-lamanya.
22. Selagi kefahaman ini diterima dan disebar selama itulah
orang Islam tidak akan membuat apa-apa untuk memperbaiki
kehidupan mereka dan agama Islam di dunia. Mereka akan
menerima bahawa kemunduran mereka adalah suatu kebahagiaan,
kerana ia mengingati mereka akan akhirat dan kedudukan
mereka yang lebih baik di akhirat. Jika orang Islam
ditindas, ditakluk dan dipisahkan daripada agama Islam, itu
tidak mengapa. Jika orang Islam kecewa dengan nasib mereka
sehingga menolak agama Islam itu juga tidak mengapa. Tunggu
sahajalah, kita telah dijanjikan syurga di akhirat. Mereka
tidak sedikit pun berasa ganjil dengan doa mereka sepanjang
masa supaya diberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ini
hanyalah lafaz di mulut.
23. Semua ini mungkin kerana kita salah faham dan kita
memilih-milih ajaran al-Quran dengan menumpukan hanya
kepada beberapa ayat sahaja. Walaupun kita tidak akan
mengakui bahawa kita menolak atau memperkecilkan sebahagian
yang besar daripada ajaran al-Quran tetapi pada hakikatnya
inilah yang dilakukan oleh kita. Dan dengan itu umat Islam
tidak mencapai kebahagiaan di dunia. Sama ada kita akan
mendapat kebahagiaan di akhirat pun belum tentu. Balasan di
akhirat bukan hanya kerana ibadat yang kita kerjakan untuk
diri kita sahaja, iaitu fardu ain, tetapi juga ibadat bagi
masyarakat, iaitu fardu kifayah. Jika kita benar-benar
berpegang kepada ajaran al-Quran, kita mesti tunaikan
kedua-dua fardu ain dan fardu kifayah. Insya-Allah akan
sempurnalah orang Islam, akan bahagialah mereka, akan
tertebuslah maruah umat dan agama Islam.
24. Saya harap Seminar al-Quran Antarabangsa Yang Ke-5 ini
akan membincangkan al-Quran dengan hati yang terbuka dan
dengan berani untuk mencari panduan dan jawapan kepada
masalah-masalah dan soal-soal yang menghadapi masyarakat
Islam hari ini. Mudah-mudahan akan berhasillah usaha ini.
25. Dengan ini, saya dengan lafaz
`Bismillahirrahmanirrahim' dengan sukacitanya merasmikan
Seminar Al-Quran Antarabangsa Kali Yang Ke-5 ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|