Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	10/01/95 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KOMPLEKS PERDANASISWA 


 
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kerana menjemput saya
pada hari ini untuk merasmikan Bangunan Perdanasiswa.   Saya
difahamkan  bangunan  ini  akan menjadi pusat berbagai-bagai
kegiatan para mahasiswa Universiti  Malaya.    Mudah-mudahan
dengan adanya bangunan yang indah ini yang dilengkapi dengan
berbagai-bagai  kemudahan,  para  mahasiswa akan lebih aktif
lagi menceburi diri dalam aktiviti-aktiviti persatuan.
2.     Dengan  izin  tuan-tuan  dan  puan-puan,  saya  ingin
menggunakan  peluang  ini  untuk  mengulas  beberapa perkara
penting berkenaan dengan  pelajaran,  ilmu  dan  masa  depan
bangsa dan negara serta kaitannya dengan universiti.
3.     Masa depan negara bergantung kepada kualiti mahasiswa
hari  ini.    Para  mahasiswa  adalah  sumber  utama  tenaga
terpelajar  untuk  pembangunan  negara.    Saban  tahun kita
berbelanja berbillion ringgit untuk memastikan  negara  kita
mendapat  bekalan  tenaga terpelajar yang sesuai dan bermutu
daripada semua universiti dan institusi pelajaran tinggi  di
dalam dan di luar negeri.  Tanpa tenaga mahir yang mencukupi
dan   berkualiti,   pembangunan   negara   kita,   khususnya
pembangunan ekonomi yang berjalan lancar sekarang ini,  akan
terencat  dan menghadapi banyak kesulitan.  Akibatnya negara
kita  akan  hilang  daya   saingan   di   dunia   perniagaan
antarabangsa    bahkan    dalam    semua   bidang   kegiatan
antarabangsa.
4.             Sejauh mana tenaga terpelajar itu sesuai  dan
berkualiti   bergantung  kepada  pelbagai  faktor.    Antara
faktor-faktor ini  ialah  para  mahasiswa  mestilah  dididik
dengan ilmu pengetahuan yang tinggi secara mendalam.  Mereka
juga  mesti  memilih  kursus-  kursus yang ada kaitan dengan
pengurusan pembangunan negara  dan  bidang-bidang  kemahiran
yang diperlukan untuk maksud ini.
5.    Berkenaan dengan kedua-dua faktor ini pihak pengurusan
universiti   perlu    memainkan    peranan    penting    dan
bertanggungjawab    penuh    untuk   memastikan   kesesuaian
kursus-kursus dan pemilihannya di kalangan  para  mahasiswa.
Universiti  moden bukan menara gading yang terasing daripada
masyarakat.    Universiti  sekarang  hendaklah   sedar   dan
bertanggungjawab   terhadap  peranannya  sebagai  penyumbang
kepada pembangunan masyarakat dan negara.
6.    Universiti sebagai institusi ilmu  seharusnya  menjadi
tempat  pertama  yang sensitif dan proaktif kepada perubahan
dan kehendak negara dan dunia masa kini.   Universiti  tidak
boleh lagi bersifat konservatif dengan menawarkan pengajaran
serta   latihan   dalam   bidang   ilmu  tradisional  dengan
kepercayaan bahawa seseorang yang boleh menguasai satu  ilmu
boleh  menguasai  sendiri  semua  ilmu dan kecekapan.   Jika
demikian sikap universiti, maka mereka akan menjadi  dinosor
yang  mati  kerana  sudah  tidak  sesuai  dengan  iklim yang
bertukar dan berubah di sekeliling.
7.   Saya juga ingin menyeru kepada  para  mahasiswa  supaya
sentiasa  berani  mengambil  bidang  pengajian  yang relevan
walaupun tidak menjadi  ilmu  yang  biasa  dikaitkan  dengan
pelajaran  di universiti.   Di sini mahasiswa dan universiti
perlu sedar dan menerima  bahawa  di  zaman  ini  ilmu  yang
meluas  dan  lengkap  tidak boleh dikejar dan dikuasai dalam
hanya  satu  bahasa.    Justeru  itu  penguasaan  yang  baik
sekurang-kurangnya   satu   bahasa  tambahan  kepada  Bahasa
Kebangsaan amatlah  penting.    Kita  harus  terima  hakikat
bahawa  kebanyakan  ilmu  moden tidak diterokai dalam bahasa
kita.  Justeru itu kita tidak  mungkin  mengejar  ilmu  yang
terkini  jika  kita  hanya  fasih  dalam  Bahasa  Kebangsaan
sahaja.  Pengalihbahasaan juga tidak mungkin jika kita tidak
fasih dalam bahasa asal ilmu yang diperlukan.    Kita  tidak
harus  lupa  bahawa  perkembangan  sesuatu  bahasa  menyusul
kemajuan bangsa berkenaan dan tidak sebaliknya.  Demikianlah
dengan bahasa Latin, Arab dan Inggeris.  Walaupun orang Rome
sudah tidak ada lagi, bahasa Latin masih  dipelajari  untuk,
antara  lain, membentuk perkataan- perkataan baru.  Demikian
juga dengan Bahasa Arab dan  Inggeris,  bahasa  bangsa  yang
biasa maju dahulu.
8.      Memang tugas utama universiti-universiti di Malaysia
ialah  menyediakan  ilmu  yang  relevan  di  pasaran  tenaga
manusia,  khususnya  ilmu  sains dan teknologi. Tetapi tidak
kurang  pentingnya  juga  ialah   tugas   universiti   untuk
melahirkan   para   siswazah   yang  lengkap  daripada  segi
psikologi dan mentaliti dengan berbudaya yang sesuai  dengan
pembangunan  negara  yang pesat serta masalah-masalah sosial
yang menyertainya.  Manusia yang berilmu tanpa  budaya  yang
mulia   adalah   merbahaya   kepada   dirinya   dan   kepada
masyarakatnya.  Lihatlah bagaimana teori `relativity'  telah
menyebabkan pembunuhan ratusan ribu manusia di Hiroshima dan
Nagasaki,  sedangkan nuklear sains mampu menyelamatkan nyawa
manusia dan meningkatkan kualiti  hidup  makhluk  di  dunia.
Pisau  yang  tajam  bukan  sahaja boleh mengukir ukiran yang
menakjubkan, tetapi juga boleh membunuh.  Pemilihan  gunanya
bergantung kepada budaya individu dan bangsanya.
9.      Cabaran  bagi  universiti  ialah bagaimana institusi
pelajaran dapat menyelit dan menyemai nilai-nilai hidup yang
mulia  dan  budaya  yang  tinggi  semasa  menyampaikan  ilmu
pengetahuan   yang   sesuai   dengan  masyarakat  yang  kian
sofistikated dan maju.  Mungkin ini dibuat melalui  tuntutan
ilmu  kemanusiaan  biasa.    Sudah tentu sebahagian daripada
mahasiswa perlu melalui jalan ini.   Tetapi  bagi  majoriti,
pengkhususan  dalam  ilmu kemanusiaan akan memakan masa yang
terlalu panjang.   Justeru  itu  kursus  ringkas  dan  tepat
berkenaan  dengan  budaya dan elemen-elemen budaya dan etika
manusia yang boleh menyumbang  kepada  pembentukan  peribadi
yang  mulia  perlu  dicipta  dan  disampaikan  kepada  semua
mahasiswa   supaya  mereka  bukan  sahaja  terpelajar  dalam
teknologi,sains dan keju ruteraan, tetapi juga tahu menilai
baik-buruk penggunaan ilmu mereka.
10.    Kerajaan  sedar  akan  minat penuntut-penuntut Melayu
dalam bidang  agama.    Kita  memang  perlu  kepada  anggota
masyarakat  Islam  yang  mempunyai  pengetahuan  agama  yang
mendalam.  Tetapi kita juga harus ingat bahawa  orang  Islam
perlu  mengimbangkan  kepentingan  dunia  dengan kepentingan
akhirat.   Hari ini oleh kerana  kurangnya  pengetahuan  dan
kecekapan   orang   Islam   dalam  berbagai-bagai  ilmu  dan
kemahiran yang penting, mereka menjadi begitu lemah.   Untuk
mempertahankan  diri  mereka pun, mereka terpaksa bergantung
kepada  orang  lain,  yang  kadang-kadang  sebenarnya  musuh
mereka.
11.    Oleh  kerana  lemahnya  orang Islam dan negara-negara
Islam, kita dapati  orang  Islam  dan  negara-negara  mereka
bukan sahaja dihina tetapi ditindas dengan kejam, diperkosa,
disiksa,   dibunuh,   dihalau   dari   negeri   mereka   dan
bermacam-macam   lagi   pencabulan    yang    tidak    dapat
disenaraikan.  Semua ini tidak akan berlaku jika orang Islam
menguasai  semua  ilmu  dan  kemahiran yang canggih yang ada
pada bangsa-bangsa yang maju hari ini.  Semua ini tidak akan
berlaku jika orang Islam  cekap  dan  adil  dalam  mentadbir
negara  mereka.    Semua  ini tidak akan berlaku jika mereka
benar-benar berpegang  kepada  ajaran  Islam  yang  menyuruh
mereka  menuntut ilmu walaupun ke negara China.  Apakah yang
hendak dipelajari di negeri China di zaman Nabi?    Tentulah
bukan  agama  Islam.    Tentulah ilmu-ilmu yang lain seperti
"The Art of War", seperti pentadbiran negara  ala  Mandarin,
seperti membuat barangan letupan, kertas dan lain-lain lagi.
Apakah  orang  Islam yang menurut desakan ini, yang pergi ke
China, kurang Islam daripada yang kuat  beramal  ibadat  dan
berada  di  masjid sepanjang masa?   Apakah orang Islam yang
mempelajari sains dan  kejuruteraan  kurang  Islam  daripada
mereka  yang mempelajari ilmu-ilmu keagamaan semata-mata?
12.   Fikirkanlah.   Janganlah jadikan apa yang saya katakan
ini sebagai isu politik.  Fikirkan tentang betapa berdosanya
kita apabila saudara  seagama  kita  menderita,  kita  tidak
dapat  berbuat  apa-apa  selain daripada mengutuk orang yang
mendera mereka.  Fikirkanlah tentang betapa terhinanya agama
Islam dan orang  Islam  apabila  kumpulan-kumpulan  tertentu
antara  kita  mengganas,  membunuh  orang yang tidak berdosa
semata-mata kerana mereka tidak mampu menjayakan  perjuangan
mereka  dengan  cara-cara  biasa,  dengan  rundingan `from a
position of strength' umpamanya.
13.  Orang Islam tidak kurang kecerdasan  otak  mereka  atau
kecekapan  bekerja  atau  kepintaran berniaga.   Tetapi jika
semua mereka percaya hanya dengan mempelajari  agama  secara
khusus  barulah mereka akan terima ganjaran bagi diri mereka
di akhirat dan dengan itu tidak ada atau  tidak  ramai  yang
mempelajari bidang-bidang lain, maka umat Islam akan menjadi
semakin  mundur  dan semakin lemah.  Dan dengan tidak adanya
petugas-petugas tertentu yang diperlukan untuk  kesempurnaan
dan   keselamatan   ummah   maka  ini  bermakna  kita  tidak
menunaikan fardu kifayah.  Fikirkanlah akan apa hukumnya  ke
atas  masyarakat  Islam yang tidak menunaikan fardu kifayah?
Ibadat untuk diri sendiri tidak akan menghapuskan dosa ini.
14.  Saya ingin merayu supaya ibu bapa  dan  penuntut  Islam
memikirkan  tentang perkara ini.  Kita tidak mempunyai ramai
yang berbakat.   Bahagi-bahagikanlah mereka  antara  jurusan
agama  dan jurusan-jurusan lain yang tidak kurang pentingnya
kepada Islam dan umat Islam.  Insya-Allah, jika  umat  Islam
kuat,  adil  dan  disegani,  Bosnia  dan Chechnya tidak akan
berlaku, sepertimana ia tidak  berlaku  di  zaman  keagungan
Islam.
15.    Saya  sedar bahawa ini bukanlah majlis agama dan yang
hadir bukanlah  orang  Islam  sahaja.    Tetapi  saya  yakin
saudara-saudara   yang  bukan  Islam  tahu  akan  pentingnya
imbangan tercapai sekurang- kurangnya dalam  negara  ini  di
antara  orang  Islam  dengan bukan Islam dalam semua bidang.
Saya percaya orang bukan Islam di  Malaysia  turut  bersedih
dengan  nasib orang Islam di Bosnia- Herzegovina.  Saya tahu
mereka turut  menderma  untuk  Bosnia,  bahkan  ada  anggota
UNPROFOR   Malaysia   yang  terdiri  daripada  orang  Hindu,
penganut  Buddha  dan  Kristian.    Kita  bernasib  baik  di
Malaysia  kerana  kita  bersimpati  dengan  nasib semua kaum
tanpa mengira agama dan budaya.  Tetapi umumnya oleh  kerana
orang  Islam  dan  negara  Islam  lemah,  mereka dianiaya di
seluruh dunia.  Justeru itu di  Malaysia  sekurang-kurangnya
kita  perlu  tentukan  orang Islam tidak ketinggalan seperti
orang Islam di negara-  negara  lain.    Sebab  itulah  saya
mengambil  kesempatan  ini untuk bercakap tentang pentingnya
penuntut Islam tidak menumpukan hanya kepada pelajaran agama
semata-mata.     Ramai   daripada   mereka   yang   berminat
mempelajari  agama  mampu  juga menguasai ilmu-ilmu lain dan
mereka harus memilih jurusan-jurusan ini demi  kesejahteraan
bukan sahaja orang Islam di Malaysia tetapi juga negara kita
bersama.
16.    Kerajaan  berhasrat meminda Akta Universiti dan Kolej
Universiti     1971     untuk      membolehkan      cawangan
universiti-universiti  luar negara ditubuh di Malaysia.  Ini
perlu dibuat kerana terlalu ramai rakyat  Malaysia  menuntut
di  luar  negeri.    Dahulu  pendedahan mereka kepada budaya
asing  difikir  dapat  memperluaskan  pandangan  mereka  dan
meningkatkan keyakinan diri.  Tetapi hari ini pendedahan ini
bukan  sahaja  tidak  perlu tetapi juga tidak menguntungkan.
Adalah lebih baik jika penuntut yang pergi  ke  luar  negeri
terdiri   daripada   yang   lebih  dewasa  dan  tidak  mudah
dipengaruhi oleh budaya asing.
17.  Lagipun penuntut yang membuat `first  degree'  di  luar
negeri mempelajari segala-galanya dalam bahasa asing.  Tidak
ada  peluang untuk mempelajari apa-apa subjek yang berkaitan
dengan Malaysia dan dalam Bahasa Malaysia.  Ini adalah  oleh
kerana  kita  tidak  dapat menggunakan apa-apa syarat kepada
institusi di luar negeri.
18.  Kerajaan tidak dapat menubuhkan lebih banyak universiti
bukan sahaja kerana masalah  kewangan,  tetapi  juga  dengan
skim   gaji   Kerajaan   yang  ada  sekarang  tidak  mungkin
universiti  Kerajaan  mendapat   ahli-ahli   akademik   yang
diperlukan.    Walau apa pun dibuat, kos universiti Kerajaan
tetap lebih tinggi daripada universiti swasta dan yuran pula
lebih rendah daripada yang dikenakan oleh swasta.   Kerajaan
tidak  dapat  menaikkan  skel gaji kakitangan akademik tanpa
menyebabkan tuntutan daripada    anggota-  anggota  Kerajaan
yang  lain  secara  menyeluruh.    Jika  pun  Kerajaan mampu
menaikkan upah secara  menyeluruh,  ini  akan  menghilangkan
pendapatan  lebih  bagi  kakitangan akademik.   Dan ini akan
menjadikan gaji mereka tidak lagi menarik.
19.    Memandang  kepada  perkara-perkara  yang  disebutkan,
Kerajaan  berpendapat adalah wajar bagi Malaysia membenarkan
universiti asing beroperasi di Malaysia.  Syarat-syarat yang
sesuai dan secocok dengan dasar dan  keperluan  negara  akan
dikenakan.    Di  masa yang sama kedudukan Bahasa Kebangsaan
boleh diberi pertimbangan yang wajar.
20.   Saya harap dengan penjelasan  ini  semua  pihak  faham
kenapa kita terpaksa membenarkan universiti asing ditubuhkan
di  negara ini.  Bagi mereka yang tidak mampu membayar yuran
universiti swasta, biasiswa boleh diadakan.    Yang  menjadi
masalah  di  kalangan  Bumiputera  bukanlah biasiswa, kerana
untuk  jurusan-jurusan yang penting  kita  boleh  mengadakan
biasiswa   secukupnya.      Yang   menjadi   masalah   ialah
kecenderungan untuk  memilih  jurusan-  jurusan  yang  tidak
penting untuk pembangunan negara.
21.      Di   Malaysia   kita  mengamalkan  dasar  `Malaysia
Incorporated' atau Persyarikatan Malaysia.     Kerjasama  di
antara   swasta  dengan  Kerajaan  jelas  menyumbang  kepada
pertumbuhan dan kemajuan negara  kita  dalam  semua  bidang.
Tentulah  dalam  bidang  pengembangan ilmu pengetahuan juga,
kita perlu kepada  kerjasama  yang  erat  di  antara  swasta
dengan  Kerajaan.   Saya harap bidang korporat yang biasanya
penuh  dengan  idea  dan   inisiatif   akan   mencipta   dan
melaksanakan  berbagai-bagai  cara  untuk memaksimakan hasil
kerjasama di  antara  mereka  dengan  universiti-universiti,
baik Kerajaan mahu pun swasta.
22.      Kompleks   Perdanasiswa   ini  dilengkapkan  dengan
berbagai-bagai kemudahan untuk  kegiatan  penuntut-penuntut.
Antaranya  ialah  kegiatan  kebudayaan  dan  kesenian.   Ada
penuntut Islam yang menolak sama sekali  budaya  bangsa  dan
kesenian  halus.  Ini tidaklah wajar kerana Islam menegaskan
bahawa manusia dijadikan berbilang bangsa  dan  kaum  supaya
mereka  dapat berkenal-kenalan dan berbaik-baik.  Orang Arab
tidak lebih mulia daripada orang lain  hanya  kerana  mereka
Arab.
23.   Bangsa dan kaum wujud kerana kelainan budaya dan seni.
Jika kita menolak budaya dan seni bangsa kita  hanya  kerana
kita  ingin  serap  seni  budaya  Arab, maka kita sebenarnya
menolak ajaran dan hakikat yang diakui oleh Islam. Sementara
kita harus membendung keasyikan yang keterlaluan, kita tidak
boleh menolak terus  seni  dan  budaya.    Hari  ini  banyak
kesenian  yang  diperkenalkan  oleh  orang  Islam  di  zaman
kegemilangan Islam sudah luput kerana pandangan yang  sempit
terhadap  seni  dan budaya.  Janganlah kita menolak semuanya
kerana ada sedikit yang kita  tidak  setujui.    Lebih-lebih
lagi  janganlah kita menggunakan kekerasan terhadap kegiatan
orang lain untuk  memaksa  mereka  tunduk  kepada  pendirian
kita.    Sepertimana  kita tidak suka pihak lain menggunakan
kekerasan  terhadap   kita,   janganlah   kita   menggunakan
kekerasan  terhadap  orang lain.   Dalam masyarakat kita ada
pihak  yang  dipertanggungjawabkan   untuk   menguatkuasakan
undang-undang negara.  Serahkanlah kepada mereka.
24.   Saya berharap mahasiswa di universiti ini memikir akan
segala perkara yang disentuh dengan minda yang  terbuka  dan
luas.    Gunakanlah  kemudahan-kemudahan  yang disediakan di
kompleks ini dengan cara yang baik dan membangun.  Janganlah
sia-siakan kemudahan ini kerana kesempitan pandangan.
25.     Sebelum  mengakhiri  ucapan   ini,   sukacita   saya
mengumumkan  bahawa  PETRONAS  telah  bersetuju untuk menaja
satu Kerusi bagi  Perubatan  Kesukanan  dan  Pemulihan  atau
`Chair for Sports Medicine and Rehabilitation' di Universiti
Malaya.    Dengan  wujudnya  Kerusi  ini  adalah  diharapkan
penuntut-penuntut   akan    mengambil    kesempatan    untuk
menggunakan  kemudahan  pengajian  dalam  lapangan  ini  dan
dengan itu membantu mengembangkan  bidang  `Sports  Medicine
dan Rehabilitation' di negara ini.
26.             Saya, dengan harapan dan doa ini, merasmikan
Bangunan Perdanasiswa ini.

 
 



 
Google