Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	14/01/95 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN KONDOMINIUM MONT 


 
    Saya mengucapkan terima  kasih  kepada  Sunrise  Berhad
kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan Kondominium Mont'
Kiara Pines, Mont' Kiara Palma dan Mont' Kiara International
School di Bukit Kiara pada hari ini.
2.    Syabas diucapkan kepada Sunrise  Berhad  kerana  telah
meneroka konsep baru dalam pembinaan pangsapuri mewah.  Saya
difahamkan  kondominium  yang dimajukannya adalah berasaskan
satu `perkampungan' yang lengkap dengan  pelbagai  kemudahan
seperti    pusat    perniagaan,    rekreasi   dan   sekolah.
Perkampungan kondominium  ini  akan  menjadi  lebih  menarik
bukan  sahaja  daripada  segi  kedudukan  dan rekabentuknya,
tetapi juga daripada segi konsepnya  untuk  mewujudkan  satu
kawasan  taman  botanik.   Perkampungan kondominium ini juga
mengutamakan  ciri-ciri  keharmonian  kawasan  persekitaran,
keselamatan  penghuninya,  keselesaan, keindahan seni taman,
kemudahan rekreasi dan rekabentuk yang menarik.
3.   Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan  pertumbuhan
ekonomi  yang pesat, negara kita telah menjadi tumpuan orang
asing  terutama  daripada  kalangan  usahawan,  pelabur  dan
eksekutif.    Kehadiran  mereka  untuk menyertai usaha-usaha
membangunkan  negara  telah  menyebabkan   keperluan   untuk
perumahan menjadi semakin mendesak.
4.            Pembangunan perumahan dalam bentuk kondominium
di   kawasan-kawasan  tumpuan  golongan  ini  seperti  Kuala
Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang adalah  sesuai  dan  perlu
digalakkan.        Bagaimanapun,   pembinaannya   memerlukan
perancangan  yang  terperinci  dan  mengambilkira  soal-soal
penjagaan alam sekitar, keselamatan, kesesakan dan kepadatan
penghuninya serta kemudahan-kemudahan asas dan sosial.
5.   Pelaksanaan program perumahan dalam konteks pembangunan
negara   hari  ini  bergantung  sebahagian  besarnya  kepada
sumbangan   sektor   swasta.      Sektor   swasta   memiliki
sumber-sumber   pembangunan   perumahan   seperti  kewangan,
kecekapan, hartanah dan tenaga kerja.  Manakala sektor  awam
bertanggungjawab  sebagai  agensi  pembantu  dan  penyelaras
pelaksanaannya agar industri perumahan berjalan  lancar  dan
berkesan mengikut dasar-dasar yang ditentukan oleh Kerajaan.
Sektor  awam  juga bertanggungjawab memudahkan proses-proses
rasmi  seperti   kebenaran,   piawaian   atau   `standards',
keselamatan  dan  `Certificate of Fitness'.  Bagi melicinkan
lagi proses ini, kerjasama kedua-dua pihak amatlah  penting.
Sementara  pihak  Kerajaan  perlu  bersimpati  dengan  pihak
swasta,    swasta    juga     hendaklah     patuh     kepada
peraturan-peraturan.
6.    Sektor pembinaan termasuk industri perumahan mempunyai
prospek yang  cerah  sekiranya  pertumbuhan  ekonomi  negara
dapat  dikekalkan  pada kadar sekarang.   Dalam hubungan ini
sektor pembinaan  dijangka  menjadi  penggerak  utama  dalam
pembangunan  ekonomi  negara  pada  tahun-tahun akan datang.
Pada masa sekarang jumlah  penduduk  Malaysia  adalah  lebih
kurang  19 juta orang dan bilangan ini akan meningkat kepada
22.7 juta pada tahun 2000.    Dalam  masa  yang  sama  kadar
perbandaran  terus  meningkat pesat dan pertambahan penduduk
bandar terus meningkat daripada 51 peratus dalam tahun  1991
kepada  55  peratus  pada  tahun ini.   Kadar ini akan terus
meningkat kepada 60 peratus pada tahun 2010 dan  74  peratus
pada   tahun   2020.     Pertumbuhan  penduduk,  peningkatan
pendapatan per  kapita  dan  proses  urbanisasi  yang  pesat
merupakan   faktor-faktor  penting  yang  akan  mempengaruhi
perkembangan industri perumahan  negara  akan  datang.
7.   Permintaan  perumahan   dan    infrastruktur   termasuk
pengangkutan, bekalan air, pembetungan dan  sebagainya  juga
akan  meningkat.    Konsep penempatan manusia dan rekabentuk
baru hendaklah disesuaikan dengan senario industri pembinaan
di masa akan datang.  Oleh itu, kita harus  mengkaji  semula
pendekatan-pendekatan   dalam   pembinaan   perumahan   yang
mengambilkira soal keseimbangan  persekitaran,  keselamatan,
keselesaan  dan  sebagainya dalam usaha meningkatkan kualiti
hidup kita.
8.   Penyediaan perumahan perlu dilihat sebagai satu  konsep
penempatan  penduduk  yang menyeluruh.   Kemudahan-kemudahan
asas   seperti    sistem    pengangkutan    yang    efisien,
kemudahan-kemudahan  sosial dan rekreasi dan peluang-peluang
kegiatan ekonomi perlu  disediakan.    Masalah-masalah  yang
sering  dihadapi  oleh  negara-negara maju seperti kesesakan
jalanraya, masalah penduduk yang tidak  mempunyai  kemudahan
tempat   tinggal   dan  masalah  sosial  seharusnya  menjadi
pengajaran kepada  kita  dalam  merancang  dan  melaksanakan
perancangan penempatan penduduk di negara ini.
9.     Program-program perumahan yang sedang dijalankan bagi
menyediakan  perumahan   secukupnya   kepada   rakyat   akan
diteruskan.    Peruntukan  RM2.6  billion untuk perumahan di
kawasan-kawasan bandar yang diumumkan tidak lama dulu adalah
bertujuan untuk meningkatkan lagi penyediaan perumahan  bagi
golongan  berpendapatan  rendah.   Program-program perumahan
ini bertujuan untuk  memperbaiki  taraf  dan  kualiti  hidup
golongan   berpendapatan   rendah   di  kawasan  bandar  dan
mengelakkan daripada berlakunya fenomena kesesakan perumahan
termasuk setinggan seperti  yang  berlaku  di  negara-negara
lain.   Kita tidak ingin melihat terdapatnya warga kota yang
tinggal di kawasan-kawasan yang dipanggil `slums and  shanty
towns' atau `ghettos' seperti yang terdapat di bandar-bandar
besar  di  negara-negara  lain  sedangkan  beberapa golongan
tertentu  sahaja  menikmati  kemewahan  seperti  di  kawasan
kondominium ini.
10.   Saya  berasa bangga pemaju kondominium Mont' Kiara ini
telah   dapat   menyediakan    konsep    kondominium    yang
mengambilkira  segala  keperluan penghuni-penghuni yang akan
tinggal di dalamnya.   Saya percaya jenis  pembangunan  yang
dilaksanakan   di   kawasan  ini  adalah  bertepatan  dengan
persekitaran yang  berhampiran.    Pembangunan  berkepadatan
tinggi  seperti  ini  juga  adalah  bersesuaian dengan nilai
tanah yang tinggi di kawasan ini.   Lokasi dan  nilai  tanah
sedemikian tidak memungkinkan rumah-rumah daripada jenis dan
kategori  harga  yang  lebih rendah disediakan.   Sungguhpun
begitu, saya berharap pemaju projek-projek sedemikian  dapat
juga menyediakan rumah-rumah dengan kos yang lebih rendah di
kawasan-kawasan lain yang lebih sesuai.
11.    Di akhir-akhir ini terdapat laporan mengenai kenaikan
harga rumah terutamanya harga rumah kediaman dan  perniagaan
yang  melebihi pada kadar kenaikan biasa.  Di kawasan Lembah
Kelang kenaikan harga di antara akhir 1993  dan  pertengahan
1994  ialah  dalam  lingkungan  30 peratus berbanding dengan
kenaikan tahunan di antara 10 peratus hingga 20 peratus.
12.  Saya percaya kenaikan harga rumah ini dipengaruhi  oleh
beberapa  faktor  seperti  peningkatan  pendapatan dan kuasa
membeli, kemudahan pinjaman perumahan yang mudah,  pembelian
bagi  maksud  pelaburan  dan  kenaikan  sewa  rumah.   Walau
bagaimanapun terdapat kemungkinan pihak-pihak tertentu  yang
mengambil  kesempatan daripada kepesatan pertumbuhan ekonomi
negara untuk menjadikan urusniaga membeli  rumah  dan  harta
sebagai   satu   aktiviti   spekulasi.      Sungguhpun  kita
mengamalkan ekonomi bebas, pihak pemaju dan  pelabur-pelabur
amnya  tidak  patut  mengambil  kesempatan  untuk  mengambil
keuntungan yang berlebihan menerusi aktiviti perumahan.
13.  Satu perkara yang memerlukan perhatian yang serius oleh
pemaju perumahan ialah kos dan harga jualan.  Kenaikan harga
rumah  di  semua  peringkat   menyumbang   kepada   inflasi.
Sementara  Kerajaan  mengawal  kos  rumah murah, harga rumah
sederhana sekurang-kurangnya patutlah dikawal  oleh  pemaju.
Ini   adalah   oleh   kerana   kita   tidak   ingin  melihat
'middle-class' di Malaysia membolot rumah murah kerana tidak
mampu membeli rumah sederhana.  Saya yakin jika kos  dikawal
rapi,  harga  rumah  sederhana  tidak akan meningkat terlalu
tinggi.
14.  Kepada penghuni-penghuni kondominium Mont'  Kiara  ini,
saya  mengambil  kesempatan mengucapkan tahniah kerana dapat
menikmati tempat kediaman yang termoden dalam  suasana  yang
selesa dan nyaman.
15.      Dengan   kata-kata  ini,  saya  dengan  sukacitanya
merasmikan kondominium Mont' Kiara Pines,  Mont'Kiara  Palma
dan Mont' Kiara International School.

 
 



 
Google