Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOMPLEKS PUSAT ISLAM, JOHOR BHARU
Tarikh/Date : 20/01/95
Tajuk/Title : PERASMIAN KONGRES PENDIDIKAN
ISLAM KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kerana
dapat kita berhimpun di Majlis Kongres Pendidikan Islam
Kebangsaan ini. Kongres ini besar maknanya kepada
pembangunan negara memandangkan pendidikan Islam merupakan
salah satu asas bagi membentuk umat Islam di Malaysia untuk
menghadapi cabaran hidup di dunia moden dengan jayanya.
2. Kini kita sedang menghadapi satu gejala keruntuhan
akhlak di kalangan sebahagian besar anak-anak remaja kita.
Yang menyedihkan kita sebagai orang Islam ialah kebanyakan
daripada muda-mudi yang terlibat dengan gejala-gelaja
penyalahgunaan dadah, lepak, bohsia dan kegiatan-kegiatan
lain yang salah adalah daripada yang beragama Islam. Sudah
tentu keruntuhan moral ini bukan kerana agama yang dianuti
oleh mereka. Agama Islam sepatutnya menjadi benteng yang
boleh menyelamatkan anak-anak muda kita daripada terjerumus
ke dalam angkara-angkara ini. Tetapi hakikat yang nyata
tidak boleh kita nafikan. Anak-anak muda Islam lebih lemah
moral mereka daripada anak-anak muda bukan Islam.
3. Justeru itu, kita harus mencari dan mengenalpasti
sebab-sebabnya ini berlaku. Kita harus mengkaji kenapa
agama Islam tidak menjadi benteng yang diharapkan.
4. Kajian yang cetek sekalipun akan menunjuk bahawa anak
muda kita tidak berpegang kuat, jauh sekali mengamal
ajaran-ajaran Islam. Pengetahuan mereka mengenai ajaran
Islam tidak mendalam. Iman mereka juga lemah. Demikianlah
terpisahnya mereka daripada ajaran Islam sehingga mereka
tidak sedikit pun berasa segan silu dengan kejahilan mereka.
5. Tidak dapat tidak, kelemahan pengetahuan mereka dan
sikap mereka mempunyai kaitan dengan penyampaian apa yang
ditafsir sebagai ajaran agama kepada mereka. Mungkin
terdapat kelemahan daripada segi tekanan atau `emphasis'
yang menyebabkan kurang berkesannya pengajaran Islam yang
diadakan di sekolah-sekolah.
6. Sepertimana kita maklum didikan agama bermula di rumah
oleh ibu bapa. Tetapi jika ibu bapa sendiri kurang
pengetahuan dan mereka tidak faham akan cara-cara
menyampaikan didikan agama, mustahil peranan mereka
berkesan. Lagipun adat resam berkeluarga sekarang berbeza
daripada dahulu kala, di mana anak begitu takut dan taat
kepada ibu bapa. Pendedahan kepada cara hidup asing
sekarang menyebabkan sukar bagi ibu bapa untuk menanam sikap
gerun ini di kalangan anak-anak mereka. Anak-anak muda
lebih bebas dan lebih cerdik daripada zaman ibu bapa mereka
membesar.
7. Jika ibu bapa diharap memainkan peranan yang berkesan
maka mereka sendiri harus dilatih sebelum mereka
berumahtangga. Dalam menasihati pasangan yang ingin
mendirikan rumahtangga, tekanan yang diberikan sekarang
bukanlah mengenai soal 'parenting skills' atau soal
tanggungjawab ibu bapa tetapi lebih tertumpu kepada soal
nikah-kahwin, hak suami dan hak isteri. Ada pendapat yang
menekankan bahawa isteri mestilah melayan suami dalam
segala-galanya tanpa menekan mustahaknya suami melayan
isteri. Soal didikan anak-anak tidak mendapat banyak
perhatian. Jika adapun tekanan hanyalah kepada
perkara-perkara ibadat seperti sembahyang, puasa dan membaca
al-Quran dalam Bahasa Arab yang dipercayai boleh menentukan
keIslaman anak.
8. Pengajaran agama Islam di sekolah diberi masa yang
kian bertambah. Namun kesan pengajaran daripada segi
mencegah kegiatan yang tidak diingini tidak begitu terlihat.
Justeru itu, isi kandungan didikan agama perlu diberi
perhatian, dikaji dan dianalisa sedalam-dalamnya bukan
sahaja oleh pakar-pakar agama tetapi juga oleh ahli-ahli
pedagogi dan ahli-ahli psikologi, lebih tepat lagi ahli-ahli
psikologi kanak-kanak.
9. Setakat yang diketahui di mana-mana sahaja, tumpuan
ajaran agama ialah kepada ibadat-ibadat tertentu dengan
tekanan kepada pahala, dosa, syurga dan sebagainya. Adalah
dipercayai bahawa dengan cara ini orang Islam, terutamanya
kanak-kanak dan anak muda, akan berasa takut melakukan dosa
dan ingin mendapat ganjaran daripada pahala sehingga mereka
akan patuh kepada ajaran Islam.
10. Bagi yang kuat iman, memanglah benar mereka akan takut
berbuat dosa. Tetapi jika pengajaran Islam tidak begitu
berkesan, iman akan lemah dan perasaan takut tidak dirasai.
Kerana tidak takut, ajaran Islam tidak dihiraukan dan
perbuatan yang dilarang dilakukan. Penentuan supaya ajaran
agama lebih berkesan adalah perlu sebelum kita dapat
membentuk manusia yang takut membuat dosa.
11. Kepercayaan dan keyakinan kepada ajaran Islam tidak
harus bergantung hanya kepada perasaan takut. Islam sebagai
agama yang terbaik hendaklah diterima kerana kebaikannya,
bukan sahaja untuk akhirat tetapi juga untuk dunia. Sebagai
contoh, larangan terhadap arak bukan sahaja kerana dosa
tetapi kerana arak akan menghilangkan maruah dan kehormatan
seseorang, melemahkannya, menyebabkannya tidak mampu
berjaya, menjadikannya miskin dan merana, menderita,
melumpuhkan moral, mungkin menyebabkan ia melakukan jenayah
dan seterusnya memendekkan umur dan membawa penyakit yang
dahsyat seperti sakit jantung, sakit hati dan bermacam lagi
jenis penyakit yang membawa maut. Bagi mereka yang kurang
kuat iman, balasan di akhirat bagi yang suka minum
araksukar digambar kan. Tetapi kesan meminum arak semasa
hidup di dunia lebih mudah dijelas dan digambarkan.
12. Demikian jugalah dengan kegiatan-kegiatan lain yang
tidak diingini seperti penyalahgunaan dadah, mengadakan
hubungan seks di luar nikah dan melepak sepanjang masa.
13. Sebenarnya larangan terhadap minum arak adalah kerana
antara lain orang yang mabuk tidak dapat menunaikan
sembahyang dengan sempurna. Ini adalah bukti bahawa bukan
sahaja dosa yang ditekankan tetapi juga kesan minum arak
terhadap ibadat.
14. Semua ibadat yang wajib boleh menolong mencegah gejala
yang buruk yang melanda muda-mudi Islam. Tetapi tekanan
diberi hanya kepada fardu ain dan tidak kepada fardu
kifayah, seolah-olah fardu kifayah adalah tanggungan orang
lain. Siapakah orang lain ini? Jika kita semua mengharap
orang lain dan kita semua adalah orang lain kepada orang
lain ini, dan mereka mengharapkan kita menunaikan fardu
kifayah sementara kita mengharapkan mereka, maka akhirnya
tidak akan ada sesiapa dalam masyarakat Islam yang
menunaikan fardu kifayah. Sekali lagi bukan sahaja kita
akan berdosa tetapi segala urusan yang diperlukan dalam
masyarakat Islam tidak akan dilakukan. Dan ini sudah tentu
akan menjadikan masyarakat Islam lemah dan tidak sempurna.
Sementara fardu ain tidak boleh diabaikan, fardu kifayah
juga perlu ditekankan untuk menentukan supaya benteng Islam
cukup kuat untuk mencegah perbuatan yang tidak diingini.
15. Di sini maksud ibadat patutlah dijelaskan dengan
terang. Suatu hadis telah diriwayatkan berkenaan dengan
seorang yang berada di masjid sepanjang hari dan sepanjang
malam untuk bersembahyang dan beribadat. Rasulullah s.a.w.
telah bertanya kepada orang itu siapakah yang membekalkan
makanan baginya. Beliau menjawab bahawa ada anggota
keluarganya yang menghantar makanannya pada setiap hari.
Maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa orang yang
membekalkan makanan itulah yang mendapat pahala. Jika kita
fikir akan hadis ini maka tentunyalah kita akan menganggap
bahawa ibadat yang mendatangkan pahala tidak terhad kepada
amalan ibadat tertentu sahaja. Jika pembekal makanan ini
mendapat pahala, tentulah petani yang bercucuk tanam atau
menternak binatang juga mendapat pahala. Tentulah penenun
kain dan penanam kapas untuk membuat pakaian orang yang
bersembahyang juga mendapat pahala.
16. Pendek kata setiap usaha dan setiap kerja yang
membekalkan keperluan hidup, setiap peniaga dan pekerja yang
bekerja untuk menjaya dan memajukan masyarakat supaya mereka
dapat hidup sebagai orang Islam yang berjaya dan bahagia,
semuanya membuat ibadat dan mendapat pahala juga. Jika pada
masa yang sama mereka menunaikan ibadat tertentu yang diberi
tumpuan oleh masyarakat Islam, maka tentulah pahala mereka
bertambah. Sebaliknya jika semua orang Islam memilih untuk
membuat ibadat hanya untuk dirinya sahaja, maka mereka tentu
akan merana kerana tidak ada wang, tidak ada makanan, tidak
ada pakaian, tidak ada rumahtangga, tidak ada pemerintahan,
polis dan tentera yang semuanya perlu untuk kesempurnaan
hidup.
17. Tetapi masyarakat Islam sekarang masih memberi gambaran
bahawa selain ibadat-ibadat yang disebutkan, kerja-kerja
lain tidak dihargai oleh Islam dan mungkin bertentangan
dengan ajaran Islam. Dengan itu agama Islam tidak menarik
kerana dianggap terlalu sempit oleh anak muda. Mereka tidak
mendapat apa-apa pahala jika menjalankan tugas mereka.
Tidak perlulah mereka berusaha untuk memperbaiki pencapaian
mereka. Dan tidak perlulah mereka mengelak daripada yang
dilarang kerana mereka sudah "seluk pekasam".
18. Memang menjadi naluri manusia, terutama di masa muda,
untuk mengejar keseronokan. Tetapi ada pihak yang
menganggap keseronokan sebagai tidak diingini oleh agama
Islam. Orang Islam harus seronok dengan membuat amal ibadat
sahaja.
19. Sekali lagi ajaran ini menekan jiwa anak muda. Mereka
berasa agama dan amalannya terlalu berat untuk dipikul.
Mereka rasa terkongkong dan muram. Yang menerima ajaran
Islam merasai marah kepada orang lain yang tidak hirau
larangan agama. Yang lain menolak ajaran agama dan tidak
lagi merasa terhalang oleh agama apabila mengikut nafsu.
20. Sebaliknya keseronokan boleh disalur kepada kegiatan
yang sihat. Bersukan, bersyair, menyanyi secara sopan,
mempelajari dan memain alat muzik, menulis dan membaca,
mendaki gunung dan seribu satu aktiviti lagi boleh memenuhi
masa dan menyeronokkan hati anak muda dengan tidak
menjejaskan pegangan mereka kepada agama atau menyebabkan
mereka terjerumus ke dalam kegiatan yang tidak bermoral.
21. Tokoh-tokoh agama sepatutnya menyokong kuat, bahkan
memainkan peranan yang aktif dalam menjayakan program Rakan
Muda. Buktikan bahawa agama Islam adalah mudah, bukannya
satu beban, dan ianya sesuai dengan iklim dan zaman, maka
dengan sendirinya generasi muda dan pelajar akan mendekati
diri mereka dengan agama. Dibantu oleh kepercayaan dan iman
mereka, maka usaha menyekat keruntuhan akhlak di kalangan
anak muda akan lebih cepat berjaya.
22. Semua ini boleh dilakukan di sekolah. Tetapi sudah
tentu tekanan di sekolah adalah untuk penerapan ilmu, iaitu
pelajaran. Tidak ada agama yang lebih menekankan pelajaran
daripada agama Islam. "Iqra" "baca" adalah perkataan
pertama dalam ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah
s.a.w. Kemudian daripada itu banyak ayat dalam al-Quran
yang menyuruh umat Islam melihat segala-gala yang dicipta
oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jika kita disuruh melihat
tentulah ia tidak terhad kepada melihat sahaja. Manusia
adalah makhluk yang berfikir. Tidak dapat tidak, sesuatu
akan dipelajari dengan melihat. Jika kita berpegang
bersungguh-sungguh kepada keutamaan yang diberikan oleh
agama Islam kepada pelajaran, maka pelajaran yang dibuat
akan meliputi kajian secara mendalam, secara saintifik dan
berilmiah.
23. Jika pandangan ini ditekankan sebagai sesuatu yang
bukan sahaja secocok dengan Islam tetapi sebagai suruhan
agama maka penuntut-penuntut Islam, terutama yang kuat
imannya, tetap akan mengejar pelajaran dengan
bersungguh-sungguh. Sebaliknya kita dapati
penuntut-penuntut Islam tidak begitu berminat dengan
pelajaran selain daripada pelajaran agama. Mereka yang
tidak berminat dengan agama akan terus tidak mempelajari
apa-apa secara serius dan sebaliknya mereka akan mengejar
kelapangan dan keseronokan sehingga terlibat dengan kegiatan
yang memalukan masyarakat Islam.
24. Perkara-perkara yang saya sebutkan ini mungkin dianggap
sebagai pandangan seorang yang tidak arif dalam bidang
pendidikan. Tetapi saya yakin bahawa jika pandangan yang
lebih luas diberikan kepada skop pelajaran agama dan
tafsiran yang tidak kurang tepat tentang apa yang dituntut
oleh agama, kita akan dapat menarik minat anak-anak muda
kepada pelajaran agama dan membentuk sifat-sifat yang akan
membolehkan mereka dengan sendirinya menolak kelakuan yang
tidak bersopan di samping menjadikan mereka umat yang lebih
berilmu dan terpelajar.
25. Pendidikan Islam amatlah luas. Ia tidak terhad kepada
mempelajari ibadat dan hukum-hakam tertentu sahaja. Ia
meliputi panduan hidup dalam semua aspek, panduan untuk
menjadikan Islam sebagai Ad-din. Kemajuan negara dan umat
yang boleh menentukan kesejahteraan hidup memerlukan
penguasaan secara mendalam berbagai-bagai ilmu termasuk ilmu
hisab, sains, teknologi dan ilmu-ilmu yang lain yang
ditakrifkan sebagai ilmu duniawi -- semua ini tidak boleh
ditinggalkan jika kita inginkan umat Islam menerima Islam
sebagai Ad-din, atau cara hidup, `a way of life', yang kita
dakwa dengan bangganya.
26. Apakah kita boleh mentakrifkan nasib malang dan
kehinaan yang dialami oleh umat Islam sebagai Ad-din?
Apakah Ad-din bermakna orang Islam diserang, dibunuh,
dirogol dan dihalau dari negara mereka seperti yang berlaku
di Bosnia-Herzegovina atau di Chechnya atau di Palestin?
Apakah Ad-din bermakna negara-negara Islam dikepong sehingga
umat Islam kebuluran, sehingga mereka tidak bermaya dan
terpaksa tunduk kepada penyiksa mereka, seperti di Iraq dan
Libya? Apakah Ad-din bermakna umat Islam dipaksa menjaga
kandang babi dan memakan babi dan menolak agama Islam itu
sendiri seperti yang terjadi di Kemboja? Apakah Ad-din
bermakna umat Islam harus melihat orang Islam yang disiksa
ini dengan mata putih kerana tidak dapat membuat apa-apa
pun, kerana lemah dalam segala-galanya, kerana diperalat dan
dipermainkan oleh musuh Islam?
27. Tidakkah semua ini berlaku kerana kita kekurangan ilmu
pengetahuan yang diperlukan untuk melengkapkan kita dengan
segala alat senjata pertahanan, yang diperlukan untuk
memasuki dan berlumba dalam bidang industri dan
penyelidikan, kajian ilmu dan lain-lain lagi yang boleh
menguatkan kita. Tidakkah kelemahan kita disebabkan oleh
kekurangan pengetahuan dibidang pentadbiran dan pembangunan
negara, dibidang pengurusan harta kekayaan diri dan negara?
Tidakkah kita lihat bagaimana negara Islam yang dikurniakan
kekayaan yang tidak terhingga tetapi masih miskin, lemah dan
dikongkong oleh orang asing?
28. Segala-galanya disebabkan oleh pendidikan yang terhad
dan sempit, pendidikan yang tertumpu kepada kepentingan diri
di akhirat, yang tidak mengambilkira Ad-din di dunia, yang
tidak menekan fardu kifayah, yang mentafsir fardu kifayah
secara yang terhad dan sempit.
29. Agama tidak boleh disalahkan. Islam tidak salah dan
tidak boleh disalahkan. Yang salah ialah umat Islam yang
menghadkan pendidikan kepada perkara-perkara yang terhad.
30. Saya harap Kongres ini dapat membincang dan menganalisa
Pendidikan Islam bukan sahaja berkenaan fardu ain dan hukum-
hakam, tetapi juga secara menyeluruh untuk mengenalpasti di
mana duduknya kesalahan ummah sehingga kita tidak lagi
menjadi umat yang cemerlang dan sempurna, bahkan telah
menjadi umat manusia yang malang se kali walaupun
dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan kekayaan
dan kesempatan yang begitu besar.
31. Akhirnya dengan lafaz "Bismillahirrahmanirrahim" saya
dengan sukacitanya merasmikan Kongres Pendidikan Islam
Kebangsaan ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|