Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM TERTUTUP MAJLIS BANDARAN
JOHOR BAHRU, JOHOR
Tarikh/Date : 21/01/95
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN YAYASAN BANDARAYA
JOHOR BAHRU
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala di
atas limpah perkenan-Nya jua, dapat kita berkumpul pada hari
ini bersama-sama barisan pemimpin, pentadbir dan sebahagian
besar daripada wargakota Johor Bahru, yang gigih berusaha
untuk membangunkan bandaraya ini.
2. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan
Negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri
Besar, yang telah sudi menjemput saya pada hari ini untuk
melancarkan Yayasan Bandaraya Johor Bahru, iaitu satu lagi
kejayaan wargakota Johor Bahru setahun selepas menikmati
taraf sebagai sebuah bandaraya.
3. Sesungguhnya wargakota Johor Bahru amat bertuah kerana
mempunyai barisan pemimpin dan pentadbiran yang berpandangan
jauh. Kepesatan pembangunan Johor Bahru adalah amat
membanggakan. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada
seluruh rakyat negeri Johor khususnya wargakota Johor Bahru
yang telah begitu gigih membangunkan bandaraya ini.
4. Namun dalam kita mengejar kejayaan itu, tidak dinafikan
terdapat segelintir golongan yang tidak berupaya mengikut
arus pembangunan yang begitu pantas. Tidak semua daripada
kita dapat melangkah dalam nada dan irama yang serupa.
Pastinya akan ada yang ketinggalan di belakang, akibat
rentetan-rentetan masalah
yang perlu ditempuh. Ada antaranya yang dapat melepaskan
diri daripada kongkongan tersebut, namun ramai yang terpaksa
tercicir di tengah jalan.
5. Akibat daripada keadaan kehidupan yang serba kekurangan
ini, maka timbullah masalah-masalah; ayah dan ibu terpaksa
keluar bekerja, anak-anak terbiar dan sesetengahnya tercicir
dalam pelajaran, kerana keadaan kehidupan yang terlalu
mendesak. Sementara anak-anak yang sudah boleh bekerja,
disuruh bekerja untuk mengurangkan beban atau menguruskan
rumahtangga seperti memasak, mengemas serta menjaga
adik-adik. Inilah hakikat, antara rentak kehidupan
sesetengah golongan miskin dan kurang bernasib baik di
negara-negara di dunia ini.
6. Namun berbanding dengan negara-negara tersebut, kita
amat bertuah kerana masalah kemiskinan di negara ini
tidaklah begitu serius. Kita juga amat bertuah kerana
mempunyai barisan pimpinan, pentadbiran serta rakyat yang
sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib serta kebajikan
golongan-golongan yang tidak bernasib baik ini. Sebagai
anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita tidak harus
melupakan nasib saudara- saudara kita yang malang. Sebagai
anggota masyarakat serta jiran yang terdekat, mereka
mempunyai hak untuk dibela.
7. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman dalam satu
ayat, dalam surah al-Maidah yang bermaksud:-
"...dan tolong menolong dalam mengerjakan kebaikan dan
takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa
dan permusuhan."
Dalam beberapa hadis, Rasulullah s.a.w. menggesa umat Islam
supaya tidak jemu-jemu berusaha memberi simpati dan membantu
orang lain.
8. Inilah matlamat sebenar kita berkumpul pada hari yang
berkat ini, iaitu untuk menyatakan komitmen serta
keprihatinan kita untuk meringankan segala kesulitan
seterusnya membebaskan mereka daripada belenggu keperitan
hidup yang ditanggung sekian lama.
9. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, kebanyakan
masalah kemiskinan yang wujud pada hari ini adalah
kemiskinan yang diwarisi, ada antaranya disebabkan oleh
kehilangan tempat pergantungan seperti kematian ayah akibat
kemalangan atau mala petaka atau kerana kecacatan dan
kehilangan anggota menyebabkan mereka tidak berupaya untuk
bekerja.
10. Harapan saya ialah agar Yayasan Bandaraya Johor Bahru
ini dapat mengenalpasti satu bentuk bantuan yang menekankan
kepada aspek-aspek fizikal dan kerohanian. Ini adalah
penting agar tidak ada sifat-sifat pergantungan kepada
bantuan yang berterusan. Pendekatan yang digunakan
hendaklah sesuai supaya mereka boleh berdikari di masa akan
datang. Keberkesanan bantuan yang diberikan hendaklah yang
berpanjangan dan bukan sekadar untuk tempoh setahun dua
sahaja.
11. Kajian-kajian yang telah dilakukan baik di dalam negeri
mahu pun di negara-negara luar jelas membuktikan bahawa
masalah-masalah sosial yang lazimnya berlaku seperti
penagihan dadah, ketagihan arak, penderaan kanak-kanak,
pelacuran, keciciran adalah akibat daripada kemiskinan serta
kekurangan ilmu, pendidikan serta keimanan. Kebanyakan
daripada kawasan-kawasan mundur dan terpencil menjadi sarang
kepada penagih-penagih dadah yang tinggal berdekatan.
Keadaan persekitaran rumah yang sempit menyebabkan anak-anak
terpaksa keluar rumah untuk mendapat ketenangan dan hiburan.
12. Dalam usaha kita membanteras masalah kemiskinan, secara
tidak langsung kita juga mengurangkan masalah-masalah sosial
yang wujud. Justeru itu, adalah diharapkan dapat diwujud
penyelarasan antara bantuan-bantuan yang diberikan oleh
berbagai-bagai agensi Kerajaan serta badan-badan sukarela
yang ada di negara ini. Bantuan yang menye luruh serta
penyelarasan yang jitu amatlah penting jika masalah
kemiskinan ini hendak dihapuskan.
13. Di sini sukalah saya menyeru semua pihak yang terlibat
agar dapat berpadu tenaga, berganding usaha dan idea, agar
cita-cita murni ini berjaya. Golongan korporat juga
hendaklah memainkan peranan penting dalam memberi peluang
kepada golongan ini untuk menunjukkan kebolehan mereka.
14. Saya yakin dengan kebijaksanaan barisan pimpinan
Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Kerajaan Johor dapat
melaksanakan wadah perjuangan ini demi kesejahteraan
wargakota Johor Bahru.
15. Dengan lafaz `Bismillahirrahmanirrahim', saya dengan
sukacitanya melancarkan Yayasan Bandaraya Johor Bahru.
|