Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA DARUL AMAN, KEDAH
Tarikh/Date : 27/02/95
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN AMANAH SAHAM KEDAH
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri
Kedah kerana menjemput saya untuk melancarkan Amanah Saham
Kedah (ASK) pada hari ini. Seperti yang kita ketahui hari
ini adalah hari yang ke-27 umat Islam menunaikan ibadat
puasa. Di samping merebut peluang mengerjakan ibadat untuk
akhirat, kita juga tidak harus lupa tanggungjawab duniawi
untuk membangunkan ummah.
2. Pelancaran ASK, yang mana pelaburannya adalah
berlandaskan Syariah Islam, adalah bertepatan dengan bulan
Ramadan. ASK juga dilahirkan tepat pada masanya, di
tengah-tengah kepesatan pembangunan ekonomi negara yang
mendapat perhatian dunia, lebih-lebih lagi di kalangan
negara-negara yang sedang membangun. Serentak dengan
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang
menggalakkan, ekonomi Negeri Kedah juga turut berkembang
dengan baik. Negeri Kedah yang mempunyai kedudukan
strategik di dalam Segitiga Pertumbuhan -- Indonesia,
Malaysia dan Thailand atau IMT-GT, memberikannya peluang
untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara yang
memberangsangkan dan dengan itu turut menikmati kemakmuran
yang dihasilkan. Justeru itu, adalah wajar sekali hasil
kemakmuran yang ada hari ini diagihkan kepada semua lapisan
masyarakat, terutama golongan Bumiputera yang tidak
berpeluang menyertai bidang pelaburan yang memerlukan modal
yang besar.
3. Melalui ASK, golongan berpendapatan rendah
mampu menyertai bidang pelaburan yang serba canggih hanya
melalui pelaburan permulaan sebanyak RM10. Wang pelaburan
sekecil RM10 ini, apabila dikumpulkan dari seluruh pelusuk
Negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya, pasti akan
mencapai matlamat RM200 juta.
4. Pelancaran ASK adalah lanjutan daripada usaha Kerajaan
untuk menerapkan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran dan
bidang kewangan. Kita telah menyaksikan kejayaan Bank Islam
yang ditubuhkan kira-kira 11 tahun yang lalu yang pada
mulanya menerima ejekan dan tohmahan daripada golongan
tertentu. Kita juga telah melihat bagaimana sejak
kebelakangan ini kepercayaan masyarakat kepada Sistem
Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) semakin tinggi apabila sudah
lebih daripada 30 institusi kewangan menubuhkan Sistem
Perbankan Islam. `Trend' ini dilanjutkan lagi dengan
penubuhan tabung-tabung Amanah Saham yang pelaburannya
berlandaskan Islam. Kerajaan tidak hanya melaungkan slogan-
slogan kosong tanpa tindakan yang mencerminkan kepercayaan
yang diperjuangkan. Pelancaran ASK adalah satu lagi bukti
kesungguhan Kerajaan dalam menerapkan nilai-nilai Islam.
Dalam pada itu, cara pelaburan ASK juga mementingkan
pengagihan kekayaan yang adil dan tidak hanya mementingkan
keuntungan semata-mata, bahkan meningkatkan taraf ekonomi
bangsa dan agama.
5. Dengan pelancaran ASK, sepertimana amanah-amanah saham
yang lain, amalan menabung di kalangan rakyat dapat
digalakkan lagi bagi menghindarkan pembaziran serta mengawal
kadar inflasi pada tahap yang minima. Ini akan membantu
hasrat Kerajaan ke arah `zero inflation' atau inflasi sifar.
Jika kita lihat kembali sejarah Islam, amalan menabung dan
berhati-hati di dalam perbelanjaan ini, telah dimulakan
sejak zaman Nabi Yusuf lagi. Ketika negeri Mesir mengecap
kemakmuran selama tujuh tahun, Nabi Yusuf yang menyelia
perbendaharaan negara, mengarahkan supaya simpanan dibuat
untuk menghadapi kemungkinan kemarau tujuh tahun akan
datang. Amalan menabung seperti ini adalah satu dasar yang
penting dalam Islam bagi menjamin kesinambungan kemakmuran
negara. Melalui pelaburan di dalam ASK, pelabur dapat
mengamalkan kaedah `menabung hari ini untuk masa depan yang
cemerlang'.
6. Jika diperhatikan kepada perkembangan penabungan
menerusi saham-saham amanah, bolehlah dikatakan industri ini
adalah satu industri yang sedang berkembang di negara kita.
Namun begitu di Malaysia skim sebegini hanya mewakili
peratusan yang kecil sahaja, iaitu kira-kira 6.5 peratus
daripada jumlah modal pasaran saham, jika dibandingkan
dengan negara-negara tertentu yang telah lama melaksanakan
skim amanah ini secara aktif di mana peratusannya mencapai
50 peratus daripada modal pasaran saham. Usaha yang lebih
giat perlu dijalankan untuk menggalakkan pelaburan di dalam
saham-saham amanah terutama yang disokong oleh Kerajaan.
Langkah positif perlu dimulakan oleh organisasi dan
institusi yang berkemampuan bagi mendokong cita-cita ini.
7. Dalam hubungan ini saya ingin mengingatkan
pengurus-pengurus dana saham amanah supaya lebih
berhati-hati dan teliti dalam memilih bidang pelaburan agar
pulangan dalam jangka panjang lebih menguntungkan. Amalan
mengambil untung dalam masa yang singkat perlu dihindarkan
kerana ia menanggung risiko yang tinggi. Jangan hanya
ghairah menurut rentak spekulasi dan khabar angin yang
berlebihan tanpa mengkaji terlebih dahulu sesuatu berita.
Setiap fakta yang diperolehi hendaklah dikaji dan dianalisa
dengan teliti sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.
Dengan kecanggihan sistem maklumat dan sistem analisa
berkomputer serta sistem perhubungan yang `reliable', semua
keputusan pelaburan dapat dibuat dengan lebih teratur, lebih
strategik dan lebih tepat. Ciri-ciri pengurusan dana saham
amanah berlandaskan Islam perlu dikekalkan. Pihak
pengurusan perlulah jujur, ikhlas, beriltizam di dalam
khidmat serta tidak mengambil kesempatan peribadi, demi
menjayakan hasrat asas pelaburan, iaitu pulangan yang
munasabah serta pengagihan kekayaan negara secara adil.
Namun begitu, saya percaya pihak pengurusan Amanah Saham
Kedah adalah kumpulan profesional dan berwibawa serta mampu
mendokong hasrat murni ini.
8. Dengan ini, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim
melancarkan Amanah Saham Kedah.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|