Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 03/03/95
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Bismillahir rahmanir rahim. Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Walillahilhamd
Tuan-tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat sekalian,
Alhamdulillah, setelah sempurna berpuasa sebulan Bulan
Ramadan kita akan menyambut hari kemenangan kita esok, Hari
Raya Aidilfitri, dengan meriah dan gembira. Esok kita akan
makan dan minum pada siang hari juadah dan masakan yang
telah kita sediakan. Kita akan melawat kawan dan rakan, dan
kita orang Islam akan dikunjungi oleh orang Islam dan bukan
Islam sebagai bukti dan tanda kemesraan dan keamanan yang
terdapat di kalangan penduduk berbagai-bagai kaum dan agama
di negara kita.
2. Negara kita yang maju jaya ini tidak kekurangan
apa-apa. Makanan dan minuman adalah cukup, pakaian kita
bersih dan baru dan tidak ada yang tidak berumah walaupun
mungkin berbentuk pondok. Kita tidak kebuluran, tidak
terdedah kepada iklim yang terlalu sejuk atau terlalu panas
dan lain-lain malapetaka. Pendekata, kita hidup sempurna
jika tidak pun serba mewah.
3. Saya percaya di samping kita bergembira dan bersalam-
salaman; semasa kita menikmati juadah dan makanan yang
lazat; kita tidak akan lupa kepada berjuta-juta umat Islam
lain yang tidak dapat merayakan hari yang mulia ini dengan
sempurna dan gembira. Mereka akan menderita dengan
kebuluran, tiada pakaian yang melindungi tubuh badan
daripada iklim yang panas membakar dan kesejukan salji. Ada
pula yang terpaksa menghadapi serangan musuh, ada yang akan
terbunuh pada Hari Raya, mati terbujur tanpa dikapan dan
dikebumikan.
4. Kita boleh salahkan musuh-musuh Islam kerana melakukan
semua ini kepada saudara seagama kita. Memang mereka
sengaja merebut dan menakluk wilayah-wilayah Islam kerana
begitu tamak dan tidak berperikemanusiaan. Dalam merebut
wilayah-wilayah ini, mereka sanggup mengganas, menghalau dan
membunuh orang Islam. Malangnya tiada siapa, juga tidak ada
orang Islam lain, yang dapat menolong orang Islam yang
malang ini secara yang berkesan.
5. Kita boleh salahkan musuh-musuh Islam. Tetapi tidak
kurang bersalah ialah kita orang Islam, terutama kita yang
tinggal di negara-negara di mana orang Islam sendiri
memerintah. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita
lemah dan ramai di antara kita yang masih dikongkong oleh
orang asing. Yang lebih sedih lagi ialah di beberapa negara
Islam, rakyat yang seagama, asyik bertelagah sesama sendiri
kerana rebutan kuasa.
6. Kita sering menyebut dengan bangganya bahawa orang
Islam adalah bersaudara. Kita petik ayat al-Quran yang
berkata bahawa orang Islam hendaklah berpegang kepada tali
Allah, iaitu agama Islam, dan janganlah bercerai-berai.
Tetapi kadang-kadang kita menggunakan ayat ini untuk
menghalalkan permusuhan sesama kita. Ada yang memanggil
gerakan mereka Persaudaraan Islam atau Ikhwanul Muslimin
yang bertujuan mengganas dan membunuh orang Islam lain.
Mungkin ada sebabnya, mungkin orang Islam yang mereka musuhi
kononnya zalim atau dianggap tidak begitu Islam dan perlu
dibetulkan. Tetapi membinasa dan membunuh orang yang
seagama tidak kurang zalim. Ia bukan cara menyelesaikan
masalah antara kita.
7. Ini adalah kerana permusuhan akan dibalas dengan
permusuhan, pembunuhan akan dibalas dengan pembunuhan.
Dengan itu masalah hanya akan bertambah dan berterusan.
Kebencian dan dendam mendendam akan meningkat dengan tiap
kali keganasan dilakukan. Semakin lama semakin buruklah
keadaan sehingga tidak mungkin ada penyelesaian lagi.
8. Di zaman Jahiliah permusuhan antara suku-suku kaum Arab
tidak pernah putus. Ia berterusan dari satu generasi ke
satu generasi. Asal-usul permusuhan mungkin sudah dilupakan
kerana berlaku terlalu lama dahulu. Tetapi apabila anggota
satu kabilah berjumpa dengan anggota kabilah musuh, mereka
membunuh dan berperang hanya kerana mereka adalah musuh.
Yang utama kepada kaum Jahiliah ini ialah mereka adalah
daripada kabilah-kabilah yang bermusuh. Justeru itu, mereka
mesti berperang dan membunuh.
9. Tetapi apabila datang Islam, Rasulullah s.a.w. telah
berjaya membendung peperangan dan permusuhan ini.
Demikianlah berjayanya Nabi Muhammad s.a.w. sehingga orang
Muhajirin dan orang Ansar di Madinah yang tidak ada hubungan
persaudaraan dapat hidup bersama dan saling tolong-menolong
sesama mereka. Dengan itu masyarakat Madinah telah
bersatupadu dan dapat menjayakan perkembangan Islam.
Demikianlah berkesannya perpaduan ini sehingga mereka dapat
kembali ke Mekah dan mengembangkan Islam di sana.
10. Masyarakat Islam akan lebih ramai jika contoh perpaduan
dan persaudaraan yang dicapai di Madinah 1400 tahun dahulu
diamalkan oleh orang Islam sepanjang masa. Tetapi dalam
sejarah Islam, kita dapati ramai yang membelakangkan
persaudaraan dalam Islam dan akibatnya ramai orang Islam dan
banyak negara Islam yang menjadi lemah dan dikuasai oleh
musuh mereka. Dan ramai yang terpisah dari agama Islam.
11. Satu daripada kelemahan orang Islam ialah
mereka mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat
dengan nama Islam. Apabila mereka sudah percaya, mereka
kerap menjadi fanatik terhadap kepercayaan ini sehingga
sukar bagi umat Islam lain membawa mereka balik ke jalan
yang benar.
12. Dalam sejarah Islam telah berkali-kali permusuhan
sesama Islam berlaku kerana fanatisme seperti ini. Demikian
pada awal abad ke-12 Masihi, Muhammad Ibn Tumart menubuhkan
Gerakan Al-Muwahhidun di Maghribi. Pengaruh ajarannya
berkembang dan pengikutnya bukan sahaja bertambah tetapi
semakin taksub dengan ajaran dan gerakan berkenaan.
Demikianlah taksubnya mereka dengan ajaran Ibn Tumart
sehingga mereka dakwa ia adalah Imam Mahadi yang kononnya
akan mengembalikan umat Islam kepada ajaran yang benar
sebelum kiamat yang mereka percayai hampir tiba.
13. Demikian juga dengan kemunculan seorang tokoh di Sudan
dalam abad yang lalu yang dipercayai adalah Imam Mahadi yang
kononnya datang untuk menyelamatkan umat Islam sebelum
kiamat.
14. Kita tahu sekarang bahawa dunia tidak kiamat pada abad
ke-12 atau ke-19. Tetapi pengikut yang menerima Ibn Tumart
telah berperang membunuh ramai umat Islam di Maghribi dan
Sepanyol kerana kononnya hendak menegak agama Islam. Di
Sudan pengikut Al-Mahadi percaya mereka kebal dan
mendedahkan diri mereka kepada senapang askar General
Gordon. Mereka ditembak mati dan Khartoum jatuh ke tangan
British.
15. Selain daripada dua contoh ini terdapat ramai orang
Islam dalam sejarah yang menjadi fanatik kepada satu-satu
ajaran, membentuk berbagai-bagai gerakan dan tarikat yang
hanya berjaya memecah-belah dan melemahkan umat Islam.
16. Di zaman ini juga terdapat fanatik Islam di beberapa
negara di Afrika Utara dan Asia Barat yang giat membunuh
orang Islam lain kerana kononnya mereka ingin mendirikan
negara Islam. Mereka ini benci kepada keamanan dan sengaja
mencetuskan huru- hara, sesuatu yang dilarang berkali-kali
dalam al-Quran. Harapan mereka ialah huru-hara akan melemah
dan menggagalkan kerajaan orang Islam di negara mereka dan
dengan itu dapatlah mereka merebut kuasa. Sejarah telah
membuktikan kejayaan puak fanatik hanyalah setakat
melemahkan negara Islam. Jika mereka dapat menjatuhkan
Kerajaan sekalipun, pemerintahan mereka biasanya lebih
kejam. Akhirnya mereka pula dijatuhkan. Demikianlah dengan
puak Al Muwahidun Ibn Tumart.
17. Fanatisme bukan cara Islam. Islam adalah agama yang
sederhana yang menghargai akal-fikiran. Paksaan bukan cara
untuk mengembangkan Islam. Demikianlah Allah berfirman
dalam al-Quran ayat 256 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
"Tidak ada paksaan dalam agama (iaitu agama Islam)"
Dalam Surah yang sama, ayat 272, Allah berfirman lagi yang
bermaksud:
"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan
mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, akan tetapi
Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya"
18. Nabi Muhammad s.a.w. pun tidak disuruh memaksa sesiapa,
walaupun untuk menerima agama Islam.
19. Orang yang fanatik tidak boleh berfikir seperti manusia
yang siuman. Mereka tidak lagi dapat membeza antara yang
benar dengan yang tidak benar, antara yang baik dengan yang
buruk. Apabila mereka taksub dengan kepercayaan mereka,
atau gerakan mereka atau pemimpin mereka, mereka akan
mengikut secara buta tuli. Apa sahaja yang dibuat oleh
kumpulan mereka atau pemimpin mereka, mereka terima tanpa
soal, tanpa fikir. Jika disuruh membuat sesuatu oleh
pemimpin mereka, mereka akan lakukannya walaupun jelas
salah.
20. Demikian orang Islam yang fanatik sanggup
mengganas dan membunuh orang Islam lain dengan kejam.
Mereka sanggup memusnah dan menghancurkan negara Islam.
Mereka menolak sebarang perdamaian. Dan sudah tentu mereka
tidak akan mengakui bahawa mereka salah, bahawa tindakan
mereka adalah salah dan tidak Islam, bahkan bertentangan
dengan Islam. Mereka jarangkali dapat dipulih semula dan
kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
21. Alhamdulillah, baru-baru ini kita berjaya menangani
masalah fanatisme di Malaysia. Gerakan Al-Arqam pada
mulanya tidak fanatik. Tetapi apabila kepimpinannya berasa
sudah begitu kuat pengaruhnya, maka bermulalah percubaan
untuk membentuk `personality cult' dengan mendewa-dewakan
pemimpin. Ajaran Islam ditafsir untuk menyokong dakwaan
pemimpin supaya ajarannya tidak lagi disoal dan dia diterima
sebagai orang yang tidak boleh salah dalam apa juga yang
dilakukan atau diajar.
22. Jika dibiar, pemimpin mereka akan diterima sebagai Imam
Mahadi dan banyak gejala yang tidak sihat akan berlaku.
Justeru itu, Kerajaan telah mengambil tindakan untuk
merombak gerakan ini dan memulihkan pegangan pemimpin dan
pengikut kepada ajaran Islam yang sebenar.
23. Sementara rakyat Malaysia umumnya menyokong tindakan
Kerajaan, media Barat mengecam Kerajaan kerana kononnya
tidak demokratik dan takut dikalahkan oleh Al-Arqam dalam
pilihan raya. Media Barat tahu tentang huru hara yang
berlaku di negara-negara Islam yang mempunyai gerakan
fanatik. Tetapi mereka sengaja menyokong gerakan fanatisme
ini. Apakah sokongan mereka kerana demokrasi atau untuk
melihat satu lagi negara yang diperintah oleh orang Islam
runtuh?
24. Seperti yang saya katakan, orang Islam boleh
menyalahkan orang lain dalam serba serbi tetapi selagi
mereka menolak persaudaraan dalam Islam, selagi mereka
begitu fanatik sehingga sanggup membunuh dalam masjid di
bulan Ramadan, selama itulah mereka akan lemah dan akan
dihina oleh musuh mereka; selama itulah mereka akan melihat
saudara seagama dengan mereka dibunuh, dihalau dan negara
mereka dirampas.
25. Alhamdulillah, di Malaysia, berkat kegigihan dan
perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, serta kewarasan
dan kesederhanaan rakyat yang beragama Islam, kita tidak
dilanda gejala-gejala fanatisme yang kita lihat di beberapa
negara Islam lain. Justeru itu, kita sekarang lebih bebas
bersuara dan bertindak baik di dalam mahupun di luar negeri.
Sedikit sebanyak dapat juga kita menyumbang kepada
mempertahankan keadilan melalui diplomasi dan ketenteraan.
Benar kita masih tidak begitu berjaya, terutama dalam
menyelamatkan orang Islam yang sedang ditindas. Tetapi kita
tidak kaku saperti kebanyakan negara membangun yang lain,
termasuk negara Islam.
26. Usaha kita untuk memulih imej negara dan imej Islam
masih di tahap yang awal. Untuk meneruskan usaha ini
perpaduan kaum dan persaudaraan Islam yang bermakna perlu
diteruskan.
27. Perbezaan pendapat dalam sesuatu masyarakat memang
perkara biasa. Demikian juga di kalangan orang Islam.
Tetapi persaudaraan Islam masih boleh ditingkatkan jika kita
tidak fanatik dan menutup mata dan telinga kita kepada yang
benar.
28. Pada Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan kita melawan
nafsu, hendaklah kita orang Islam membaharui azam kita untuk
berpegang kuat kepada ajaran-ajaran Islam yang benar,
terutama persaudaraan dalam Islam. Kita hendaklah tolak
ajaran-ajaran sesat dan yang berunsur fanatik. Walau apa
sekalipun perbezaan pendapat di kalangan kita, janganlah
kita lupa bahawa Islam adalah tali yang mesti kita pegang
supaya kita tidak bercerai- berai dan menjadi lemah.
29. Esok kita akan Berhari Raya dalam keadaan aman dan
tenteram, insya-Allah. Kita tidak akan lupa bersyukur
dengan segala nikmat yang kita terima di negara ini, dengan
kebebasan beribadat, dengan keamanan dan kemewahan kita.
Kita tidak akan lupa kepada mereka yang terpaksa meneruskan
tugas walaupun pada Hari raya, terutama pasukan keselamatan
kita di dalam dan di luar negeri. Kita ucapkan terima kasih
dan Selamat Berhari Raya kepada mereka. Jasa mereka tidak
akan kita lupa.
30. Kepada kawan dan rakan yang bukan beragama Islam,
datanglah mengunjungi kita pada Hari Raya ini. Perayaan
bersama adalah tradisi kita. Kita aman dan makmur kerana
tradisi ini.
31. Sempena hari yang mulia ini saya, isteri dan keluarga
memohon maaf zahir dan batin terhadap apa juga kesalahan
yang kami telah lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akhbar Allahu Akhbar Allahu Akhbar Walillahilhamd.
|