Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HICOM GLENMARIE INDUSTRIAL PARK, 
			SHAH ALAM 
Tarikh/Date 	: 	18/03/95 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN RASMI KILANG 
			PENGACUAN PROTON DAN PELANCARAN 
			MISI KORPORAT PROTON 


 
    Saya mengucapkan  terima  kasih  kepada  PROTON  kerana
menjemput  saya  untuk membuka secara rasmi Kilang Pengacuan
atau `casting  plant'  ini  dan  melancarkan  Misi  Korporat
PROTON pada masa yang sama.
2.      Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah, pihak  pengurusan  dan
seluruh    kakitangan    PROTON   kerana   pencapaian   yang
membanggakan.    Kini  PROTON  telah  berjaya   meningkatkan
penggunaan   bahan,   kepakaran  dan  tenaga  tempatan  yang
nilainya adalah hampir  80  peratus  daripada  nilai  kereta
PROTON.    Jika  tidak  kerana  kenaikan nilai matawang Yen,
peratusan ini adalah lebih.
3.     Kemampuan  PROTON  di  dalam  mencorak  dan  mengubah
kemampuan   industri  otomotif  negara,  terutama  di  dalam
perkembangan    industri    komponen,    kejuruteraan    dan
merekabentuk  serta peranannya sebagai penggerak utama telah
menjadi contoh kepada negara-negara yang ingin  membangunkan
industri  otomotif.    Dalam jangkamasa hanya 10 tahun sejak
kereta nasional dilancarkan, terdapat sebanyak 134 pengeluar
komponen tempatan yang  mengeluarkan  lebih  daripada  3,000
komponen.    Harus  diingat  bahawa  pada  mulanya  industri
otomotif dianggap tidak mungkin diadakan di Malaysia  kerana
kita  tidak  mempunyai  `supporting  component  industries'.
Jika kita terpengaruh dengan pendapat ini,  hari  ini  tidak
akan  ada  PROTON.    Pendekatan  kita  menjadikan pembuatan
kereta sebagai  penggerak  kepada  industri  komponen  jelas
berjaya.  Kejayaan ini telah meningkatkan pelbagai teknologi
dan   kemahiran   yang   boleh  menyumbang  kepada  industri
kejuruteraan  yang  diperlukan  dalam   proses   pembangunan
perindustrian  negara.  Peluang-peluang adalah terbuka untuk
pengusaha-pengusaha memasuki industri  kecil  dan  sederhana
(IKS)  yang bukan sahaja boleh membekalkan industri otomotif
tetapi juga industri-industri kejuruteraan  yang  lain  yang
berpotensi   untuk   eksport   ke  negara-negara  maju  yang
menghadapi kos yang tinggi kerana beberapa sebab.
4.   Sejak PROTON ditubuhkan, ianya telah berjaya  meningkat
keupayaan  dan  kemampuannya  mengeluarkan model-model baru.
Kalau dahulunya kita dapat melihat kereta model SAGA,  WIRA,
SATRIA  kini  kita  dapat  pula  melihat PROTON PERDANA yang
lebih besar kapasitinya dan lebih  canggih  yang  kesemuanya
dikeluarkan untuk memenuhi citarasa pengguna.  Di atas usaha
ini,   saya   mengucapkan   syabas   kepada  pengurusan  dan
kakitangan  PROTON.  Adalah  diharapkan  usaha   ini   dapat
diteruskan agar PROTON pada suatu masa nanti dapat berdikari
dengan  menggunakan  sumber-sumber  dalaman sepenuhnya untuk
mengeluarkan kereta.
5.    Pada hari ini kita dapat melihat  satu  lagi  kejayaan
PROTON  menerajui  industri  otomotif, terutama dalam bidang
pembuatan enjin, dengan tertubuhnya  kilang  pengacuan  ini.
Kecekapan  dalam  bidang  `precision casting' merupakan satu
asas penting kepada proses  perindustrian  sesebuah  negara.
Kesanggupan   PROTON   memasuki  bidang  yang  mencabar  ini
membuktikan komitmennya kepada penguasaan industri  otomotif
secara menyeluruh.
6.      Selepas  ini  PROTON hendaklah memperolehi keupayaan
dalam  bidang  `transmission'  dan   `engine   design'   dan
`manufacturing'.      Saya   ucapkan   terima  kasih  kepada
Mitsubishi Motors Corporation (MMC)  yang  telah  menyatakan
kesanggupan  untuk  melatih dan menolong PROTON dalam bidang
`engine design'.   Kita semua  maklum  bahawa  enjin  kereta
bermotor  amatlah canggih dan `improvement' dibuat sepanjang
masa.   Kita perlu kecekapan  untuk  berlumba  dalam  bidang
`engine  design,  testing and manufacturing' jika kita ingin
terus berada dalam pasaran kereta  penumpang  di  masa  akan
datang.    Walaupun kita akan terus bekerjasama rapat dengan
MMC dan pihak- pihak lain, akhirnya kita mestilah  mempunyai
keupayaan  untuk merekabentuk `design' asas dan mengeluarkan
semua `blue print'  untuk  semua  komponen  yang  diperlukan
untuk mengeluarkan enjin kereta penumpang.
7.     Di zaman ini proses penguasaan teknologi adalah lebih
mudah, terutama dalam bidang `design'  dan  `manufacturing'.
Ini   adalah   kerana  sistem  `computer-aided  design'  dan
`computer-aided manufacturing' sudah  begitu  maju  sehingga
kita  boleh  terus  memesinkan  acuan daripada `design' yang
dibuat dalam komputer.  `Blue print design'  seperti  dahulu
tidak  lagi  diperlukan  untuk `manufacture design'.  Dengan
komputer kita boleh bentuk dan lihat `design'  daripada  apa
sudut sekalipun.
8.    Saya percaya PROTON sedang melatih kakitangannya dalam
bidang 'computer  aided-design'  yang  canggih  yang  sedang
digunakan  oleh  pengeluar-pengeluar kereta di negara-negara
maju.  Penguasaan kecekapan ini bukan sahaja  akan  membantu
PROTON  dalam  bidang `design and manufacturing' tetapi juga
dalam industri-industri lain.   Proses perindustrian  negara
akan  mencapai  tahap  yang  ditujukan apabila segala teknik
baru  yang  menggunakan  komputer   dikuasai   oleh   rakyat
Malaysia.   Yang diperlukan hanyalah kesanggupan mempelajari
teknik ini dan mengulangi berkali-kali sehingga  ia  diserap
sebagai sebahagian daripada seni bangsa.
9.     Pengalaman manusia ialah apabila sesuatu seni menjadi
sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa,  kecekapan  dalam
bidang   itu   akan  diwarisi  oleh  generasi-generasi  yang
berikutnya.    Demikian  kecekapan  pengukiran  orang  Bali,
penghiasan  ukiran  plaster  oleh  orang Maghribi dan Uzbek,
kecekapan tarian ballet  orang  Russia  dan  penguasaan  dan
penciptaan  ilmu  sains oleh orang Barat.  Semuanya diwarisi
dengan  generasi  yang  berikut  menguasai  kecekapan   ini.
Sesiapa  juga  boleh  menguasai  apa juga ilmu dan kecekapan
jika  ia  dan  masyarakatnya  sanggup   mempelajari   dengan
dedikasi turun temurun.  Tidaklah mustahil jika dengan usaha
yang  dipupuk  sekarang,  rakyat  Malaysia  akan datang akan
terkenal kerana kecekapan mereka dalam  bidang  kejuruteraan
yang canggih.
10.    Saya  berasa  bangga  kerana  Syarikat  PROTON  telah
menggubal dan  membentuk  Misi  Korporatnya  selaras  dengan
aspirasi  Wawasan  2020.    Saya dimaklumkan penggubalan dan
pembentukan  Misi  Korporat  ini  melibatkan  semua  lapisan
kakitangan  dan saya percaya Misi Korporat ini akan disambut
baik  dan   dilaksanakan   oleh   seluruh   kakitangan   dan
pengurusan.   Kejayaan dalam bidang perniagaan dan pembuatan
bukan hak milik mana-mana bangsa atau kaum.   Ia adalah  hak
semua yang ingin menumpukan kepada bidang ini.
11.    Dengan adanya Misi Korporat ini saya percaya Syarikat
PROTON  akan  terus  berjaya  mencapai  tahap   yang   lebih
cemerlang di segala bidang yang diceburi.
12.    Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kilang
Pengacuan PROTON dan seterusnya  melancarkan  Misi  Korporat
PROTON pada hari ini.

 
 



 
Google