Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN PANTAI BAHARU, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	31/03/95 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA UPACARA PECAH TANAH MENARA 
			TELEKOM MALAYSIA 


 
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  pihak Telekom
Malaysia kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan  upacara
Pecah Tanah Menara Telekom pada hari ini.
2.      Upacara  yang  bersejarah  ini mencatatkan satu lagi
kemajuan  Telekom  Malaysia  dalam  usaha   mempertingkatkan
pembangunan  industri  telekomunikasi  negara sejajar dengan
matlamat pembangunan negara.
3.    Pembinaan Menara Telekom ini akan  menjadi  satu  lagi
mercutanda  Kuala  Lumpur  yang boleh dibanggakan.  Tambahan
lagi, rekabentuk dan pembinaan  bangunan  ini  adalah  hasil
gabungan  pemikiran  dan kepakaran tenaga tempatan yang kini
setanding dengan kepakaran luar negara.
4.    Saya yakin kehalusan dan  keunikan  senibina  tempatan
yang   menjadi   tradisi   kita  sejak  zaman-berzaman  akan
diterapkan  di  dalam  pembinaan  bangunan  ini  di  samping
mengambilkira aspek-aspek kemodenan dan teknologi.  Gabungan
antara  dua aspek ini akan menjadikan Menara Telekom sebagai
sebuah bangunan yang unik di negara kita dan setaraf  dengan
negara-negara maju.  Keunikan senibina ini tentu sekali akan
dapat menarik perhatian para pelancong dan pelabur.
5.      Pertumbuhan ekonomi negara kini terus mencatatkan
satu  peningkatan  yang  memberangsangkan.    Kejayaan   ini
menunjukkan    kesungguhan    Kerajaan    Barisan   Nasional
membangunkan  negara.    Pada  tahun  2020  kelak  Malaysia,
insya-Allah,  akan  menjadi satu lagi negara maju yang dapat
bersaing dengan negara-negara yang telah maju.
6.     Permintaan terhadap  perkhidmatan  telekomunikasi  di
negara  ini menjadi amat penting dan mustahak sejajar dengan
arus perkembangan negara  yang  bergerak  pantas.    Ledakan
maklumat  terkini  menjadi  satu  fenomena  baru yang hangat
diperkatakan dan mendapat  tempat  yang  utama.  Kepentingan
maklumat,  agihan yang tepat dan pantas akan dapat membentuk
sistem  pengurusan  yang  cekap  dan  berkesan  di   samping
meningkatkan daya saingan kita dengan dunia luar.
7.    Di negara-negara yang telah maju, mereka telah membina
lebuhraya maklumat  atau  `information  super  highway'  dan
menggunakan sistem multi-media yang cepat dan cekap di dalam
pentadbiran dan pengurusan di organisasi mereka.  Seharusnya
kita  juga  perlu  sensitif dan mengeksploitasikan teknologi
canggih seperti ini kerana  hanya melalui cara  ini  barulah
kita  akan dapat bergerak setanding dengan mereka yang lebih
maju.  Sudah tiba masanya untuk kita merangka satu rangkaian
maklumat yang bersepadu daripada semua aspek,  sama  ada  di
sektor  awam mahu pun di sektor swasta.  Permintaan terhadap
rangkaian  maklumat  yang  tepat  dan  cepat  menjadi   satu
kemestian  terutama  bagi pelabur-pelabur  asing yang datang
ke negara kita.
8.    Dasar Kerajaan yang pragmatik  dan  berpandangan  jauh
telah  mampu  menjuruskan  satu  fokus  yang baik dan jelas.
Dasar  Penswastaan  yang   dirancang   dengan   teliti   dan
berhati-hati    dengan   matlamat   mempertingkatkan   taraf
pembangunan negara kini telah terbukti berjaya walaupun pada
peringkat awalnya Kerajaan menghadapi tekanan  dan  rungutan
daripada    mereka    yang   kurang   berkeyakinan.       9.
Kejayaan yang  telah  ditempa  oleh  Telekom  Malaysia  dari
semasa  ke  semasa  sudah  cukup  membuktikan  kepada  semua
masyarakat bahawa Dasar  Penswastaan  yang  diilhamkan  oleh
Kerajaan adalah baik.
10.      Telekom   Malaysia   bukan   sahaja   telah   dapat
mempelbagaikan perkhidmatan  kepada  pengguna  dalam  jangka
masa yang singkat, malah hasil daripada kecekapan pengurusan
dan  pekerjanya,  Telekom  Malaysia  telah  dapat  menembusi
pasaran dunia luar seperti  India,  Sri  Lanka,  Bangladesh,
Kampuchea, Indonesia, Sudan dan Oman.
11.    Peningkatan  kemajuan  Telekom  Malaysia tambah nyata
apabila dilihat pada keuntungannya yang melebihi RM1.3  ribu
juta pada tahun 1994 berbanding dengan hanya RM4.9 juta pada
tahun  1987.   Peningkatan keuntungan ini diperolehi melalui
peningkatan kecekapan pengurusan, kesungguhan dan  perubahan
sikap  pekerja-  pekerja  sendiri.    Saya percaya dan yakin
bahawa kecekapan yang ada pada kita  dan  kesanggupan  untuk
bekerja  keras  akan dapat menghasilkan satu pencapaian yang
lebih baik dan sekaligus membolehkan kita menembusi  pasaran
dunia luar.
12.    Hari ini banyak kemajuan telah dicapai hasil daripada
perancangan yang melibatkan kedua-dua sektor,  Kerajaan  dan
swasta.    Tetapi  masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan
untuk memastikan kejayaan  yang  diperolehi  pada  hari  ini
berterusan dan mempunyai kesinambungan.
13.    Penyaluran  maklumat tidak seharusnya tertumpu kepada
kawasan bandar-bandar besar  sahaja  tetapi  hendaklah  juga
diperluaskan  kepada  kawasan-kawasan  luar bandar.   Adalah
penting  setiap  rakyat  Malaysia  dapat   menikmati   hasil
pembangunan  yang  dirancangkan  oleh  Kerajaan  walaupun di
daerah yang terpencil.  Pembangunan yang  dirangka  haruslah
dinikmati  bersama oleh semua golongan rakyat.  Justeru itu,
Kerajaan akan  sentiasa  memastikan  semua  pembangunan  dan
kemajuan  teknologi  yang  terkini  dapat  dimanfaatkan oleh
rakyat sebaik mungkin.
14.              Kerajaan sentiasa peka terhadap  permintaan
rakyat  yang  mahukan  pembangunan.    Dasar  Telekomunikasi
Negara yang dilancarkan pada  17  Mei  1994  telah  dirangka
untuk  memberikan satu laluan yang selesa dan menarik kepada
seluruh rakyat di samping  menarik  lebih  banyak  pelaburan
luar  untuk masuk ke negara kita di masa akan datang.  Sudah
tiba   masanya   kita   bergerak   pantas   dalam   industri
telekomunikasi  kerana  ianya  merupakan  salah  satu faktor
penggalak untuk menarik minat pelabur asing terus melabur di
negara kita.
15.   Sekali lagi ingin  saya  mengulangi  bahawa  kecekapan
boleh   diperolehi   oleh   sesiapa   sahaja   yang  sanggup
mempelajari   dan   mengulangi   sesuatu    yang    dituntut
berkali-kali.    Lebih daripada itu, kecekapan yang dikuasai
oleh satu generasi akan diwarisi oleh generasi-generasi yang
berikutnya sebagai warisan budaya sementara tahap  kecekapan
akan  meningkat.  Sebab fenomena inilah maka kita dapati ada
bangsa-bangsa  yang  terkenal   dengan   kecekapan-kecekapan
tertentunya  yang  menjadi seni dan budaya bangsa berkenaan.
Demikianlah orang Bali terkenal  dengan  kecekapan  mengukir
kayu,  orang Jepun dengan kehalusan kerja tangan, orang Iran
dengan permaidani dan orang Eropah dengan  kejuruteraan  dan
teknologi.
16.   Saya yakin jika kita semua berusaha bersungguh-sungguh
untuk  menguasai  kecekapan  dalam  bidang   teknologi   dan
kejuruteraan,  generasi  bangsa  Malaysia  yang  akan datang
secara semulajadi akan memiliki kecekapan dalam bidang  ini.
Ia  akan  menjadi sebahagian daripada budaya bangsa.  Dengan
budaya ini, pembangunan dan keupayaan  kita  akan  meningkat
sepanjang  masa  dan  kita  akan benar- benar menjadi bangsa
yang maju.
17.    Sekali  lagi  saya  mengambil  kesempatan  ini  untuk
merakamkan  terima  kasih  kepada Telekom Malaysia dan semua
pihak  terlibat  yang  telah  bekerjasama  untuk  memastikan
kejayaan projek ini.
18.    Dengan  ini,  saya   dengan   sukacitanya  merasmikan
Upacara Pecah Tanah Menara Telekom pada hari ini.

 
 



 
Google