Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/06/95
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN HARI PENGGUNA
SEDUNIA 1995 DAN KEMPEN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana
menjemput saya untuk melancarkan Hari Pengguna Sedunia
1995 serta Kempen Anti Inflasi Tahun 1995 pada hari
ini.
2. Kita semua adalah pengguna. Sama ada kita mengeluar
atau menjual barang atau khidmat, kita tidak dapat elak
daripada menjadi pengguna. Malangnya kerapkali kita
lupa memperingati diri kita bahawa kita adalah pengguna
semasa kita mengeluar dan menjual barangan atau khidmat
kita. Hanya apabila kita membeli barangan atau khidmat
barulah kita begitu kuat berlagak sebagai pengguna.
3. Sebagai pengguna kita begitu marah jika harga
terlalu mahal, atau khidmat kurang baik sedikit atau
kualiti tidak seperti yang didakwa. Sebaliknya jika
kita yang menjual mahal atau memberi khidmat yang buruk
atau barangan jualan kita tidak berkualiti, kita tidak
anggap perbuatan kita itu tidak baik atau salah. Bahkan
kita tidak faham kenapa orang tidak puas hati dengan
harga atau kualiti barangan atau khidmat kita. Inilah
masalah yang terbesar yang dihadapi oleh masyarakat:
pemisahan diri kita sendiri semasa menjadi pengguna dan
semasa menjadi pembekal barangan atau khidmat.
Sementara sebagai pengguna kita kecam kenaikan harga
barangan, di saat yang sama kita menuntut supaya upah
untuk khidmat kita dinaikkan. Dan kita marah jika
sesiapa menarik perhatian kepada kontradiksi ini.
4. Kita adakan kesatuan pengguna seolah-olah pengguna
tidak pernah menjadi pembekal. Dengan itu kesatuan
begitu lantang mengecam pembekal tanpa menyoal diri
sendiri, apakah kita sebagai pembekal prihatin akan
kepentingan pengguna?
5. Selagi ada daikotomi ini, selama itulah kempen
mengawal inflasi tidak akan berjaya. Jika pengguna
ingin layanan yang baik daripada pembekal, maka mereka
tidak boleh lupa tentang pentingnya layanan yang baik
daripada mereka sendiri apabila mereka membekal
barangan atau khidmat.
6. Apabila kita mengejar inflasi sifar atau `zero
inflation', kita harus faham akan maksudnya. Inflasi
sifar tidak bermakna bahawa semua barang dan khidmat
tidak boleh naik harga sama sekali. Dalam keadaan
tertentu dan dengan barangan atau khidmat tertentu,
kenaikan harga bukan sahaja tidak dapat dielak tetapi
adalah perlu jika taraf hidup masyarakat hendak
dipertingkatkan. Demikian juga inflasi sifar adalah
berkenaan dengan kos sara hidup asas. Ia tidak
melibatkan sara hidup di peringkat mewah.
7. Ini bermakna bahawa tumpuan kita adalah kepada kos
keperluan asas purata. Jika kita ingin membeli barang
mewah atau layanan yang istimewa, kita perlu sanggup
membayar harga yang tinggi dan meningkat. Jika kita
ingin membeli kereta mewah atau rumah mewah atau
tambang kelas satu, kita mestilah sanggup bayar harga
yang tinggi dan yang meningkat sepanjang masa. Tetapi
bagi khidmat atau barangan biasa, harga tidak harus
naik selagi tidak ada kenaikan daripada segi kualiti.
Demikian minuman yang dijual dalam hotel mewah,
harganya lebih tinggi daripada minuman yang sama yang
dijual di kedai kopi biasa. Harga yang dibayar bukan
untuk minuman itu sahaja tetapi untuk bangunan yang
indah, layanan yang selesa oleh pelayan yang bergaji
tinggi dengan pakaian seragam yang mahal. Jika kita
tidak sanggup membayarnya kita boleh pergi ke tempat
yang lebih murah. Apabila hotel mewah tidak mendapat
langganan yang cukup oleh orang yang sanggup membayar
dengan harga yang tinggi mereka sudah tentu terpaksa
menurunkan harga. Jika hotel mewah masih juga dapat
pelanggan yang cukup yang sanggup membayar harga yang
mahal, maka mereka berhak menjual mahal.
8. Kadang-kadang kita terpaksa terima kesan inflasi
yang diimport daripada negara asing. Oleh itu harga
perlu dinaikkan. Tetapi kesan ini tidak seratus peratus
kerana barangan yang diimport mungkin hanya seperatusan
kecil sahaja daripada kos. Justeru itu pembekal tidak
harus naikkan harga dengan peratusan yang sama dengan
kenaikan harga barangan import. Ada kos dalam negeri
yang tidak naik dan ini patut menolong mengurangkan
kenaikan harga jualan.
9. Yang menjadi masalah ialah pembekal suka mengambil
kesempatan daripada kenaikan harga bahagian yang
diimport untuk menaikkan harga tempatan dengan paras
yang sama. Tetapi apabila barangan yang diimport turun
harganya, penjual berdiam diri sahaja dan tidak
menurunkan harga.
10. Pengguna dan kesatuan-kesatuan mereka perlu memberi
pertimbangan secara adil dan memahami mekanisma harga
ini. Kesatuan pengguna yang mudah mengecam kenaikan
harga tanpa membuat penelitian yang mendalam, bukan
sahaja tidak adil tetapi mungkin merosakkan ekonomi.
11. Kesatuan pengguna mestilah bertanggungjawab. Mereka
tidak harus terlibat dengan politik. Mereka juga harus
berhati-hati apabila membuat satu-satu dakwaan. Jika
tidak mereka akan merugikan penjual tanpa sebab. Dan
penjual bukan semuanya kaya raya. Ramai daripada mereka
adalah penjaja. Apabila didakwa kononnya daging yang
diimport tidak halal, bukan sahaja pengimport daging
yang rugi, tetapi penjaja karipap di tepi jalan juga
turut rugi. Apabila kemudian didapati dakwaan itu tidak
berasas, pengimport mungkin hidup semula, sementara
perniagaan penjaja mati terus.
12. Kadang-kadang kesatuan pengguna menghasut supaya
tuan punya tanah umpamanya menjual mahal atau
menghalang pembangunan. Ini dengan sendirinya
menyebabkan kos meningkat yang mana pemilik tanah itu
sendiri akan menanggung tekanan kenaikan sara hidup.
13. Strategi Kerajaan Malaysia ialah mengekalkan kos
sara hidup yang rendah untuk membolehkan kita bersaing
menarik pelaburan dan mengekalkan dayasaing atau
`competitiveness' barangan buatan kita di pasaran
antarabangsa. Kita tidak mempunyai banyak `competitive
advantage'. Kita kekurangan modal, teknologi dan `know-
how', pasaran tempatan yang mewah dan besar dan
`network' atau jaringan pemasaran di seluruh dunia.
Yang ada pada kita ialah kos pengeluaran yang rendah
kerana kos sara hidup kita yang rendah.
14. Demikianlah kos sara hidup kita sehingga walaupun
pendapatan per kapita kita pada 1994 dihitung sebanyak
US$3,500, tetapi kuasa membeli pendapatan per kapita
ini ialah sama dengan US$8,500 di Amerika Syarikat. Ini
bermakna bahawa walaupun gaji kita sekian banyak tetapi
kita boleh membeli hampir tiga kali ganda banyak barang
atau khidmat berbanding dengan rakyat Amerika Syarikat
yang mendapat gaji yang sama. Dengan perkataan lain,
gaji pekerja di Amerika Syarikat sebanyak US$9,000
hanya sama dengan gaji US$3,000 di Malaysia. Ini adalah
perhitungan purata dan bukan pendapatan sebenar.
15. Sebabnya kuasa membeli kita lebih tinggi daripada
di negara maju ialah kerana kos sara hidup kita rendah.
Selagi kos sara hidup kita rendah kos pengeluaran
barangan dan khidmat kita juga akan menjadi rendah. Ini
bukan bermakna upah sahaja yang menyumbang, tetapi
pengangkutan, bahan-bahan, api, air dan lain- lain
lagi. Dengan ini, kita boleh bersaing dengan jayanya
dalam pasaran antarabangsa.
16. Eksport kita akan meningkat dan aliran wang masuk
akan bertambah dan rakyat kita akan lebih kaya, kerana
wang yang banyak ini akan dibelanjakan oleh mereka yang
dapatinya. Tiap kali seseorang itu berbelanja di dalam
negeri, ada orang lain yang akan mendapat keuntungan.
17. Demikian apabila orang kaya membuat mahligai untuk
dirinya, pekerja mendapat pendapatan yang tinggi,
pembekal bahan binaan mendapat pendapatan, pemilik dan
pemandu lori untung, penjual minyak bertambah
pendapatan dan seterusnya. Kerajaan juga akan dapat
berbagai-bagai jenis cukai untuk membiayai pentadbiran
dan projek-projek untuk rakyat.
18. Sebaliknya jika kerana pembekal barangan atau
khidmat menaikkan harga maka kos sara hidup akan naik
dan kos pengeluaran barangan juga akan turut naik.
Dalam negara, kenaikan ini akan menaikkan lagi kos sara
hidup yang akan menaikkan lagi kos pengeluaran.
Pendapatan rakyat mungkin bertambah tetapi `purchasing
power' atau daya beli mereka akan turun. Mereka tidak
jadi lebih kaya. Mereka menjadi lebih miskin kerana
wang yang banyak boleh membeli hanya sedikit barangan
atau khidmat. Inflasi dengan kejatuhan nilai matawang
adalah perkara yang sama. Jangan fikir kita kaya kerana
duit kita bertambah. Duit kita yang bertambah kerapkali
mempunyai nilai yang kurang daripada dahulu.
19. Di luar negara, kenaikan kos dalam negeri akan
menjejaskan kemampuan barangan kita bersaing dalam
pasaran. Pendapatan kita daripada eksport akan turun.
Pelabur tempatan dan pelabur asing akan hilang minat
untuk melabur di negara kita. Peluang kerja akan
berkurangan. Upah akan turun dan kita akan menjadi
bertambah miskin kerana akhirnya pendapatan turun
sedangkan kos sara hidup naik. Kita menjadi lebih
miskin kerana pendapatan kita tetap tidak dapat membeli
barangan dan khidmat sama seperti dahulu.
20. Justeru itu, pembekal barangan atau khidmat (dan
ini termasuk siapa juga yang menjual khidmat mereka
untuk mendapat upah) harus elak daripada menaikkan
harga jualan mereka melainkan ada peningkatan daripada
segi kualiti atau kuantiti -- iaitu peningkatan daya
pengeluaran atau produktiviti.
21. Jika harga barangan atau khidmat tinggal kekal di
paras lama kita akan capai inflasi sifar. Dan kita
semua tetap akan mendapat manfaat daripada inflasi
sifar yang menjadi sasaran kempen kita. Tidak ada siapa
yang akan rugi kerana inflasi sifar. Sebaliknya semua
akan memperolehi nikmat. Sudah tentu ekonomi negara
akan tumbuh dengan lebih pesat, yang mana ini juga akan
menguntungkan kita semua.
22. Oleh kerana kita semua adalah pengguna dan kita
semua juga adalah pembekal, maka kawalan inflasi ini
adalah tanggungjawab bersama kita semua. Pengguna tidak
boleh menyalahkan pembekal dan pembekal tidak boleh
menyalahkan pengguna. Jika inflasi meningkat, kedua-dua
adalah bersalah. Sebaliknya jika inflasi sifar tercapai
kedua-dua perlu disanjung kerana kedua-dua menyumbang
kepada pencapaian ini.
23. Apakah pula peranan Kerajaan? Sudah tentu Kerajaan
mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar.
Kerajaan ini ingin melihat rakyat hidup sempurna dan
makmur kerana rakyat yang makmur, tenteram dan bahagia
akan memilih parti Kerajaan semula. Tetapi lebih
daripada itu balasan yang ternilai dan bermakna kepada
Kerajaan ialah melihat rancangan-rancangannya berjaya
dan negara dihormati oleh dunia. Kerajaan juga perlu
kepada `job satisfaction', iaitu kepuasan hati melihat
pentadbirannya berjaya. Tentulah Kerajaan, terutama
anggota yang dipilih oleh rakyat akan berasa malu jika
kerana mereka kurang kecekapan atau tidak
bertanggungjawab, ekonomi negara ini runtuh dan dunia
menghinakan negara ini.
24. Tanggungjawab Kerajaan adalah menyeluruh. Lebih
daripada pihak-pihak lain, Kerajaan perlu faham
mekanisma ekonomi dan kesan inflasi terhadap ekonomi
negara, kewangan negara, dan kehidupan rakyat. Memahami
ini, Kerajaan berkepentingan mengawal harga barangan
dan khidmat supaya tidak melambung naik. Kawalan harga
akan diteruskan dan jika perlu jenis dan bilangan
barangan yang perlu dikawal harganya akan ditambah.
25. Sepatutnya Kerajaan tidak mengawal harga dalam
sistem ekonomi pasaran. Harga sepatutnya ditentukan
melalui `market forces', iaitu kesanggupan pembeli
membeli dan penjual menjual. Tetapi ramai manusia yang
tamak dan akan menaikkan harga jika tidak ada kawalan.
Justeru itu di Malaysia penjual tidak boleh terlalu
bebas menentukan harga. Jika mereka enggan menjual
mengikut harga yang ditetapkan, tindakan akan diambil
terhadap mereka.
26. Kemasukan barangan dari luar, cukai import dan
eksport dan beberapa cara lain digunakan oleh Kerajaan
untuk mengawal harga dan membendung inflasi. Malaysia
belum menjadi negara maju dan kawalan harga dan inflasi
adalah penting untuk kita terus berdayasaing serta
menentukan pendapatan yang rendah di negara kita tidak
bermakna taraf hidup kita turut rendah. Kita tidak mahu
menjadi negara di mana upah beratus ribu unit matawang
tetapi harga sekilo daging adalah berpuluh ribu unit,
iaitu sama dengan upah untuk dua atau tiga hari.
27. Pengguna, pembekal dan Kerajaan mempunyai peranan
dan tanggungjawab masing-masing. Ingatlah Hari Pengguna
bukanlah hari untuk satu kumpulan anggota masyarakat
mengecam kumpulan lain. Kita semua adalah pengguna. Di
masa yang sama kita jugalah pembekal. Kempen mengawal
inflasi tidak akan berjaya selagi kita bersikap lain
semasa mengguna dan lain pula bila menjadi pembekal.
Jika kita semasa menjadi pembekal sedar dan insaf akan
kepentingan pengguna, iaitu kita sendiri, dan kita
tidak membuat sesuatu yang membebankan pengguna, insya-
Allah kita akan mendapat nikmat daripada kempen anti
inflasi sebagai pengguna tanpa merugikan diri kita
sebagai pembekal. Jangan asyik mendesak orang lain
menurunkan harga sedangkan kita menuntut kenaikan harga
untuk barangan dan khidmat yang kita bekalkan.
28. Hari Pengguna dan Kempen Anti Inflasi bermula
dengan penyedaran bahawa kita tidak boleh pisahkan
pengguna daripada pembekal. Orang yang sama adalah
pengguna dan pembekal.
29. Oleh itu, kita semua perlu menyumbang kepada usaha
menyelamatkan pengguna daripada diri kita sebagai
pembekal. 30. Untuk menjayakan kempen Anti Inflasi yang
akan membawa kebahagiaan kepada kita semua, kita perlu
faham akan mekanisma inflasi. Kita tidak boleh mengawal
sesuatu jika kita tidak kenal apa dianya yang hendak
dikawal.
31. Jika kita dapat faham dua perkara ini, insya-Allah,
Hari Pengguna dan Kempen Anti Inflasi akan membawa
kebaikan kepada kita.
32. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
Hari Pengguna Sedunia 1995 dan Kempen Anti Inflasi
1995.
|