Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/07/95
Tajuk/Title : PELANCARAN YAYASAN PROGRAM
PERTUKARAN FELLOWSHIP
Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pemegang
Amanah Yayasan Program Pertukaran Fellowship Perdana
Menteri Malaysia kerana menjemput saya untuk
melancarkan Yayasan ini malam ini. Saya percaya Yayasan
ini akan menjadi penyumbang besar kepada usaha kita
mencapai matlamat Wawasan 2020.
2. Apabila kita bercakap tentang sebuah Malaysia yang
mencapai taraf maju, pendidikan dan pembangunan manusia
merupakan asas yang sangat penting. Negara tidak akan
dapat mencapai matlamat yang terkandung di dalam
Wawasan 2020 itu sekiranya kita tidak menyediakan
prasarana dan landasan yang kukuh.
3. Sumber yang paling utama bagi sesebuah negara selain
daripada pengeluaran sumber asli ialah bakat,
kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya sendiri.
Kekuatan minda kita jauh lebih hebat dan berharga
daripada sumber alam yang ada. Ini telah pun dibuktikan
oleh beberapa negara yang pesat maju walaupun tidak
mempunyai sumber asli yang banyak.
4. Justeru itu, untuk mencapai kejayaan cemerlang pada
masa akan datang, kita harus memberikan perhatian yang
sepenuhnya terhadap pembangunan sumber manusia yang
amat penting ini.
5. Program Pertukaran Fellowship Perdana Menteri
Malaysia ini merupakan satu program yang istimewa
kerana ia mengambilkira bukan sahaja kepentingan masa
depan negara tetapi juga menghargai sumbangan tokoh dan
pemimpin yang lalu. Atas sebab-sebab itulah, program
ini merupakan penghormatan kepada semua Perdana Menteri
negara ini. Mereka telah memberikan sumbangan dalam
pelbagai bentuk hingga membolehkan Malaysia berada pada
tahap ekonomi sekarang.
6. Program ini juga dapat memastikan kesinambungan
dasar pendidikan negara kita. Ia bukan setakat
mengambilalih mana-mana bentuk sistem yang sedia ada,
sebaliknya ia memainkan peranan untuk membantu atau
menyokong peranan yang sedia ada.
7. Kita semua tahu bahawa pendidikan ialah teras pada
pembentukan kecemerlangan dan kegemilangan tamadun
sesuatu bangsa. Kerana itu tema program ini ialah
kecemerlangan atau `excellence' yang bererti kita perlu
membuat perancangan, mengatur strategi dan melaksanakan
kerja yang melibatkan sikap dan nilai terbaik di dalam
diri kita.
8. Banyak nilai murni yang boleh memanfaatkan kita.
Tetapi kadang-kala apa yang kita ambil atau tiru
daripada Barat itu sebenarnya merupakan nilai yang
sedia ada dalam masyarakat atau tamadun kita sendiri di
Timur.
9. Saya fikir semua orang di negara ini percaya kepada
pentingnya pendidikan. Keadaan bila mana rakyat kita
mengabaikan pendidikan sudah lama berakhir.
Bagaimanapun masih terdapat pencapaian yang berbeza-
beza di antara bangsa-bangsa, kedudukan sosial malah
kawasan tempat tinggal. Pendidikan tidak mungkin boleh
menghasilkan manusia yang sama pencapaian dan kebolehan
mereka. Tetapi perkara yang tidak boleh dinafikan ialah
pendidikan dan latihan yang dibuat berulangkali akan
meningkat pencapaian dan kebolehan mereka yang melalui
proses ini. Tanpa pendidikan dan latihan secara
tersusun dan teratur amat sukar bagi sesiapa
meningkatkan kebolehan dan kecekapan mereka.
10. Tujuan program ini antara lain merupakan lanjutan
atau 'extension' kepada program-program yang sedia ada.
Yayasan yang ditubuhkan ini merupakan satu tabung
amanah yang akan mengawasi dan membantu kebajikan para
pelajar dan cerdik pandai Malaysia supaya mereka terus
maju tanpa sebarang halangan.
11. Terasnya ialah kecintaan pada ilmu pengetahuan
melalui pendidikan. Yayasan ini akan menawarkan
biasiswa dan lain-lain bentuk pembiayaan pendidikan
kepada rakyat Malaysia yang terbaik dan mempunyai
semangat untuk memajukan diri, masyarakat, bangsa dan
negaranya.
12. Saya berbangga Yayasan ini akan memberikan
perhatian kepada pelbagai bidang ilmu dan teknologi.
Ini termasuklah bidang-bidang lama dan baru, sains,
teknologi dan sains kemanusiaan, sesuai dengan
perkembangan masa depan negara.
13. Saya juga difahamkan bahawa ia merangkumi bidang-
bidang kejuruteraan, pembinaan, komunikasi,
penyelidikan dan pembangunan (R&D), perubatan, ekonomi,
sains petro-kimia, teknologi maklumat, teknologi
angkasa lepas, pengangkutan dan lain-lain. Bidang-
bidang kemanusiaan juga tidak dilupakan. Pengkhususan
tertentu dalam bidang sains sosial, sastera, budaya dan
sebagainya turut dipertimbangkan.
14. Di samping itu Yayasan ini akan juga menggalakkan
pertukaran maklumat, ilmu pengetahuan dan teknologi
tinggi pada peringkat antarabangsa. Interaksi dengan
minda terbaik dalam pelbagai bidang sudah pasti akan
menguntungkan pelajar-pelajar di negara ini.
15. Masa depan negara banyak bergantung pada pelaburan
untuk pendidikan rakyat. Kita semua tahu proses
pendidikan tidak berhenti pada mana-mana peringkat
pencapaian atau usia. Pendidikan merupakan proses yang
berpanjangan malah sepanjang hayat.
16. Selain itu program ini juga dapat memberi peluang
kepada pelajar dan individu berpotensi untuk pergi
lebih jauh dan mencabar dirinya menghadapi persaingan
sengit hingga pada peringkat antarabangsa. Daripada
pendedahan inilah kita dapat mengukur kualiti sebenar
seseorang individu. Seorang jaguh setempat tidak akan
diuji sepenuhnya hanya kalau dia berada dalam
lingkungan kawan atau kepompongnya sendiri.
17. Program yang ditawarkan melalui Yayasan ini akan
dapat menguji diri dan ilmunya. Di sinilah letaknya
nanti para ilmuan, cerdik pandai dan pakar kita yang
sebenar. Malaysia mahu melahirkan tokoh ilmuan dan
cerdik pandai yang bertaraf dunia. Begitu juga, kita
berharap Malaysia akan mempunyai pakar dan ahli yang
boleh menjalankan kerja-kerja yang berkelas dunia.
18. Apa yang kurang bagi kita semua ialah pendedahan
yang sewajarnya. Kerana itu kita harus mengetengahkan
pelajar dan pakar kita kepada dunia. Mereka harus dapat
berinteraksi dalam suasana profesional dan hormat
menghormati. Selagi kita tidak dapat berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka, selama
itulah kita tidak akan dapat berinteraksi dengan nada
yang sama, selama itulah kita tidak akan dihormati.
19. Salah satu aspek penting program ini ialah untuk
menjemput tokoh ilmuan dan cerdik pandai dari luar
untuk memberi ceramah, berdialog serta mengadakan
bengkel dan seminar. Pada waktu yang sama, tokoh
ilmuan, pakar dan cerdik pandai kita harus juga diberi
peluang memberikan ceramah, seminar dan pandangan pada
peringkat antarabangsa.
20. Saya juga ingin mencadangkan supaya pelajar, tokoh
ilmuan dan pakar kita menjadi lebih `adventurous'. Saya
tidak tahu ke mana hilangnya semangat `adventurism'
orang kita. Orang Melayu pernah mengharungi lautan dan
menakluk tanah-tanah asing. Pendatang dari China dan
India tidak akan sampai ke mari kalau mereka tidak
cukup berani dan bersemangat waja ketika itu.
21. Mungkin juga kemewahan dan kemakmuran tanah
Malaysia menyebabkan rakyat kita lebih mudah berpuas
hati dengan apa yang ada. Kita tidak memerlukan cabaran
seperti yang dialami oleh banyak masyarakat lain di
dunia. Kita tidak ada peperangan, kebuluran atau
kemiskinan teruk.
22. Kerana itu rakyat kita mengambil sikap mudah dan
suka dimanjakan. Akibatnya kita hilang sifat dinamis
dan semangat `adventurism' itu. Semua ini harus
berubah. Kita harus mempersiapkan minda untuk mendaki
gunung paling tinggi, meneroka laut paling dalam dan
mencuba bidang paling asing sekalipun.
23. Semangat `adventurism' ini kalau dalam bidang ilmu
ialah kesediaan untuk diuji dan dicabar. Kita tidak
boleh mendakwa menjadi orang ilmu atau pakar sekiranya
kita tidak diuji pada peringkat paling tinggi atau
peringkat antarabangsa.
24. Saya harap Yayasan ini akan memilih calon yang
terbaik, yang mempunyai kualiti untuk dicabar dan
diuji. Saya berharap program ini akan membuahkan hasil
yang diinginkan iaitu untuk menjadi pencipta, penemu,
pemikir, ilmuan dan pakar dalam bidang-bidang khusus
yang disegani dunia.
25. Saya juga mengucapkan terima kasih dan tahniah
kepada para pengasas dan penyumbang kepada Yayasan ini,
terutama Yang Berbahagia Tan Sri Rashid Hussain.
Sumbangan dan usaha gigih mereka telah menjadikan
Yayasan ini satu kenyataan.
26. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
Yayasan Program Pertukaran Fellowship Perdana Menteri
Malaysia.
|