Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PEJABAT PERDANA MENTERI,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20/07/95
Tajuk/Title : UPACARA MENANDATANGANI PERJANJIAN
MENGENAI PENUBUHAN
Syukur alhamdulillah, berkat kemakmuran yang dikecapi
oleh negara selama ini, satu lagi lembaran sejarah
tercipta apabila Kerajaan membuat keputusan untuk
membangunkan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran
Kerajaan Persekutuan yang baru di Daerah Sepang,
Selangor.
2. Keputusan Kerajaan ini sebenarnya telah dibuat pada
2 Jun 1993 apabila Jemaah Menteri bersetuju untuk
memindahkan pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan yang
pada masa ini berselerak di sana sini di sekitar ibu
negara ke satu kawasan lain di mana perancangan
pembangunannya dapat dibuat dengan lebih teratur dan
berkesan.
3. Beberapa faktor utama telah mendorong pihak Kerajaan
untuk membuat keputusan tersebut.
4. Kuala Lumpur, ibukota Malaysia, adalah sebuah
bandaraya yang telah berkembang pesat dan mencapai
pelbagai kemajuan. Walaupun ia dibangun sejak dahulu
lagi sebagai pusat pentadbiran, hari ini ia sudah
menjadi pusat dagangan yang terbesar di Malaysia. Dalam
pada itu ia masih perlu berlumba dan bersaing dengan
ibukota- ibukota negara-negara jiran untuk menarik
lebih banyak syarikat dagangan yang besar mendirikan
`regional headquarters' mereka di sini.
5. Memandangkan bahawa Kuala Lumpur sebagai Wilayah
Persekutuan mempunyai kawasan yang terhad, adalah sukar
baginya membesar untuk memberi tempat dan keselesaan
kepada aktiviti-aktiviti komersil yang semakin rancak.
Kualiti hidup di Kuala Lumpur juga akan menurun jika ia
terlalu sesak dengan bangunan-bangunan dan kenderaan-
kenderaan.
6. Aktiviti komersil tidak mudah dipindah-pindah kerana
ini adalah bidang swasta. Lagipun Kerajaan berpendapat
tumpuan kepada Kuala Lumpur oleh syarikat-syarikat
gergasi adalah penting jika ianya hendak mendapat
pengiktirafan oleh dunia antarabangsa sebagai satu
daripada bandar dagangan terkemuka di Asia.
7. Sebaliknya Kerajaan lebih mudah membuat keputusan
berkenaan dengan lokasi pejabat-pejabatnya. Pada masa
ini pejabat-pejabat Kerajaan Pusat berkecamuk di banyak
lokasi di Kuala Lumpur. Dan banyak pula daripada
pejabat ini disewa daripada swasta. Dengan itu
kementerian-kementerian umpamanya terpaksa berkongsi
ruang dengan penyewa-penyewa lain. Dengan sensitifnya
urusan-urusan Kerajaan, keadaan ini tidaklah begitu
baik.
8. Pada tahun 1993, setelah beberapa tahun
perbincangan, Kabinet membuat keputusan untuk
memindahkan beberapa aktiviti pentadbirannya ke satu
pusat khas. Keputusan juga dibuat untuk menjadikan
Kuala Lumpur sebagai ibukota dagangan atau `commercial
capital' bagi Malaysia.
9. Daripada beberapa tempat yang dikaji dan ditinjau di
Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, Kerajaan telah
memilih Perang Besar kerana ianya dekat dengan Kuala
Lumpur dan terletak di antara Kuala Lumpur dengan
Lapangan Terbang yang baru di Sepang, dengan jarak yang
lebih kurang sama.
10. Perancangan yang teliti telah dibuat oleh satu
konsortium empat belas arkitek Malaysia dengan diketuai
oleh arkitek Jabatan Kerja Raya. Ibukota pentadbiran
ini dirancang untuk menjadi sebahagian daripada
`Multimedia Super Corridor' yang menyambungi lapangan
terbang antarabangsa baru di Selatan dan Kuala Lumpur
di Utara dengan mempunyai semua kemudahan yang
tercanggih dan terkini.
11. Pembiayaan projek ini tidak akan membebankan negara
kerana cara-cara `financing' yang tertentu akan
digunakan. Sebahagian daripada wang yang diperlukan
sudah pun diadakan kerana beberapa projek bangunan
Kerajaan di Kuala Lumpur telah ditangguh untuk dibina
di Pusat Pentadbiran baru ini.
12. Pembinaan Pusat Pentadbiran ini adalah juga satu
pelaburan yang besar oleh Kerajaan Pusat dan akan
membawa banyak manfaat kepada Kawasan Perang Besar dan
sekitarnya. Bersama dengan Lapangan Terbang
Antarabangsa Sepang ia akan membawa pembangunan yang
pesat kepada wilayah yang terpencil ini. Hari ini pun
penduduk berdekatan sudah menikmati banyak rahmat.
13. Memandangkan bahawa Putrajaya adalah sebahagian
dari ibukota sebuah negara maka Kerajaan berpendapat
ianya eloklah diberi nama yang ada kaitan dengan
sejarah Malaysia yang merdeka. Dengan itu pusat
pentadbiran Malaysia ini diberi nama Putrajaya bagi
mengingati Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
14. Justeru itu, pada hari ini, 20 Julai 1995 bersamaan
22 Safar 1416, segala hasrat Kerajaan ini akan
dimetrikan di Upacara Menandatangani Perjanjian
Berhubung Dengan Penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan di Putrajaya di antara Kerajaan Persekutuan
dengan Kerajaan Negeri Selangor. Perjanjian ini juga
merupakan satu detik sejarah yang mana persetujuan yang
dicapai mengikut Fasa (8) perkara 83 Perlembagaan
Persekutuan, akan membolehkan Putrajaya di dalam Daerah
Sepang di Negeri Selangor diwujudkan sebagai satu
kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pusat Pentadbiran
Kerajaan Persekutuan yang baru.
15. Melalui perjanjian ini juga satu perbadanan yang
diberi nama Perbadanan Putrajaya akan ditubuhkan di
bawah Akta Parlimen untuk mentadbir dan menguruskan
segala usaha pembangunan serta perkara-perkara yang
berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan. Perbadanan
Putrajaya akan mempunyai fungsi-fungsi eksekutif,
tanah, pembangunan, protokol dan fungsi-fungsi pihak
berkuasa tempatan bagi memastikan Putrajaya dapat
dibangunkan selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan
untuk menjadikannya bandaraya terunggul serta mencapai
matlamat Wawasan 2020.
16. Segala usaha untuk memakmurkan negara memerlukan
pengorbanan serta penggemblengan tenaga yang
menyeluruh. Untuk itu, Kerajaan Persekutuan merakamkan
terima kasih yang tidak terhingga serta sembah takzim
kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam
Shah Alhaj, Sultan Selangor Darul Ehsan, atas kesudian
Baginda untuk memperkenankan perjanjian ini dimetrikan.
Kerajaan Persekutuan juga mengucapkan ribuan terima
kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh
rakyatnya atas segala kerjasama serta kerelaan
berkongsi pelbagai kenikmatan yang bakal wujud dengan
termetrinya perjanjian ini serta terbangunnya
Putrajaya.
17. Sesungguhnya, majlis yang penuh makna ini adalah
satu ukiran sejarah yang akan merealisasikan
pembangunan Putrajaya sebagai antara kemuncak
pencapaian negara menjelang abad ke-21 dan ini adalah
bertepatan dengan usaha Kerajaan ke arah memenuhi
Wawasan 2020.
|