Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 22/07/95
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
PERWAKILAN KE-24 PARTI GERAKAN
Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti
Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, serta ahli-ahli
Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk
merasmikan Persidangan Perwakilan Agung Parti Gerakan
yang ke-24 pada hari ini. Selaku Pengerusi Barisan
Nasional atau BN saya anggap jemputan ini sebagai
mencerminkan semangat dan konsep BN, yang telah menjadi
asas penting bagi keamanan dan kejayaan negara kita.
Selain daripada itu, perasmian Mesyuarat Agung seperti
ini memberi kesempatan kepada saya untuk mengikuti
perkembangan Parti Gerakan dengan lebih dekat, untuk
bertemu dengan pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota
parti ini dan menyuarakan pendapat saya berkenaan
dengan Barisan Nasional dan peranan parti-parti
komponennya.
2. Saya masih ingat semasa saya merasmikan Mesyuarat
Agung Parti Gerakan tahun lalu bahawa ketika itu demam
pilihanraya sudah hangat dan ramai yang menunggu untuk
saya membuat pengumuman mengenai tarikh pilihanraya
umum. Walaupun ramai ahli yang hampa kerana saya tidak
mengumumkan tarikh tersebut, ditinjau kembali atau `on
hindsight' ianya ada baiknya. Dengan melengahkan tarikh
pilihanraya tersebut ianya telah menguatkan semangat
dan keazaman ahli-ahli BN untuk lebih bersedia
menghadapi pilihanraya dan bekerja lebih kuat bagi
menjamin kemenangan besar untuk Barisan Nasional. Ini
jelas terbukti apabila pilihanraya umum yang lepas
diadakan, BN telah mendapat kemenangan luar biasa.
3. Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai
kemenangan cemerlang BN dalam pilihanraya umum yang
telah diadakan. Ada pihak-pihak yang tidak suka dengan
kita mendakwa bahawa BN menang kerana ekonomi negara
begitu baik dan pihak akhbar tidak memberi liputan yang
meluas kepada parti-parti pembangkang. Pihak-pihak ini
termasuk media asing tidak langsung memberi kredit
kepada kebijaksanaan dan kematangan atau `maturity'
rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tentu dapat menilai
prestasi atau pencapaian negara ini berbanding dengan
negara membangun yang lain, bahkan dengan negara maju.
Sementara akhbar asing dan pihak-pihak tertentu sering
membuat ramalan bahawa kaum-kaum akan merusuh di
Malaysia, bahawa ekonomi yang tumbuh dengan pesat
adalah satu kejadian `fluke' sementara yang tidak ada
kena mengena dengan dasar atau kecekapan Kerajaan
Malaysia, dan ramalan-ramalan lain yang buruk terhadap
Malaysia, rakyat sedar dan dapat merasai dengan jelas
kejayaan dan keamanan di negara ini serta dapat
menikmati kehidupan yang bahagia dan terselamat. Rakyat
Malaysia bukanlah bodoh dan tidak tahu berbudi sehingga
tidak dapat menilai sendiri baik-buruk kehidupan
mereka. Mereka tidak perlu pihak lain membuat penilaian
dan analisa tentang baik-buruk keadaan di negara
mereka. Sudah tentu mereka tahu analisa dan laporan
orang asing mempunyai niat tertentu, niat untuk melihat
Malaysia gagal dan hancur kerana Malaysia tidak segan-
segan menegur dan mengkritik mereka apabila mereka
salah.
4. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum tahu menilai dan
menghargai sesuatu, memutuskan yang mana yang baik dan
yang mana yang buruk. Rakyat Malaysia tahu bahawa
merekalah yang boleh dan berhak menentukan nasib
mereka, dan bukan orang asing atau pihak- pihak
tertentu dalam negara ini yang berniat untuk memancing
dan begitu suka untuk dipuji dan disokong oleh orang
asing.
5. Rakyat Malaysia membuat pilihan sendiri dalam
Pilihanraya yang lepas, pilihan dengan hati dan fikiran
yang terbuka. Dan pilihan mereka ialah Barisan
Nasional, sekali lagi Barisan Nasional, dengan memberi
sokongan dan mandat yang lebih kuat dan lebih besar.
6. Pilihanraya umum yang lepas telah menunjukkan bahawa
politik perkauman atau 'communal politics' sudah tidak
lagi mendapat sokongan sebilangan besar rakyat negara
ini. Rakyat kini telah sedar bahawa politik perkauman
akan hanya membawa kehancuran kepada negara. Ini dapat
dilihat di beberapa negara yang mengamalkan politik
perkauman. Itulah sebabnya parti lawan yang cuba
memainkan sentimen perkauman dalam mengejar undi dan
menawan sebuah negeri telah tidak mendapat sokongan.
Jelaslah bahawa politik perkauman sudah tidak ada
tempat lagi di negara berbilang kaum ini.
7. 'Religious extremism' atau pelampau agama juga tidak
ada tempat di negara ini. `Religious extremism' seperti
biasa tidak berpandu kepada ajaran agama yang sebenar.
Mereka membuat ajaran mereka sendiri dengan niat
tertentu. Apabila agama dikaitkan dengan politik maka
agama tercemar dan menjadi kotor. Ajaran yang dibuat
ditafsir supaya bertujuan menyokong dan menghalalkan
perbuatan salah oleh mereka. Inilah bahayanya ekstrimis
agama. Kita berasa lega kerana rakyat Malaysia umumnya
menolak `religious extremism' dan mengalahkan mereka
tiap pilihanraya dan kali ini juga. 8. Kemenangan yang
besar oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya yang
kesembilan pada tahun ini adalah perkara yang boleh
dibanggakan oleh kita. Tetapi janganlah kita menjadi
angkuh dan sombong kerananya. Janganlah kerana tidak
ada parti lawan yang kuat kita berpuashati dengan
pandangan kita sahaja.
9. Kita tidak boleh anggap semua yang kita buat adalah
betul. Jika kita bertanggungjawab kita hendaklah
sanggup mengkritik dan menegur diri kita. Kritikan ini
harus dibuat semasa kita bermesyuarat supaya dianya
tidak dipergunakan oleh parti lawan. Janganlah kita
membuat kritik di luar daripada parti kerana ingin
menarik perhatian kepada diri kita. Ini adalah kerana
kritikan kita mungkin salah dan sebaliknya pihak yang
dikritik atau perbuatan yang dikritik oleh kita
sebenarnya betul. Tetapi oleh kerana kita membuat
kritikan terbuka, sukar untuk kita memperbetulkan
kesilapan kita atau mengakui secara terbuka bahawa
kritikan kita itu tidak berasas.
10. Sebaliknya jika kritikan dibuat secara jelas semasa
mesyuarat tertutup, pihak parti, bahkan Kerajaan boleh
menjelaskan dan mempertahankan perkara tersebut, atau
menerima dan memperbetulkan kesalahan yang didedahkan
oleh kritik dari dalam parti. Cara ini adalah lebih
baik, walaupun tidak begitu digemari oleh akhbar,
kerana mereka tidak ada bahan yang kontroversi untuk
dilaporkan.
11. Kita semua, termasuk pucuk pimpinan parti, harus
bersedia mendengar kritikan atau teguran terhadap dasar
atau urusan parti dan Kerajaan. Janganlah pemimpin
mengecap pengkritik dari dalam parti sebagai sama
dengan pembangkang, sebagai bunyi seperti orang parti
lawan, sebagai penderhaka. Pemimpin mesti sanggup
mendengar teguran yang ikhlas daripada anggota parti.
Jika ia salah, terangkan kepadanya kenapa ia salah.
Jika tegurannya baik pemimpin harus terima tegurannya
dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
12. Kritikan dari dalam ini amat penting kerana yang
pertamanya kita tidak boleh terlalu puashati dengan
prestasi kita, dengan sokongan yang kuat daripada
rakyat, dengan anggapan kita tidak mungkin salah.
Kemenangan yang besar oleh kita mempunyai bahaya yang
sama besar, kerana kita anggap kita terlalu pandai dan
cekap.
13. Di samping kritikan dari dalam, kita juga tidak
boleh tutup telinga kepada teguran oleh orang ramai,
melalui media umpamanya. Semua teguran dan kritikan
mestilah diambil berat dan di mana terdapat asas yang
baik kita perlu bersedia membetulkan diri kita. Dengan
itu, kekuatan kita tidak akhirnya menyebabkan kita
hilang kepercayaan rakyat dan populariti kita menjadi
pudar.
14. Saya memperingatkan perkara-perkara ini kerana
dalam apa jua perjuangan memang ada `ups and downs'.
Sekarang kita `up'. Kita boleh kekal di tahap ini hanya
jika kita berjaga-jaga, bertanggungjawab dan tidak
angkuh dan sombong. Jika kita lalai dan sombong kita
tetap akan jatuh. Masyarakat mempunyai ingatan yang
pendek. Mereka mudah lupa dan mereka akan lupa jasa
kita yang lama jika hari ini kita lakukan sesuatu yang
tidak disukai oleh mereka. Oleh itu beringat-ingatlah.
Mandat kita adalah untuk berkhidmat dan terus berjasa
kepada rakyat. Dan dengan kesedaran ini maka kita harus
bekerja lebih kuat untuk agama, bangsa dan negara.
15. Barisan Nasional dan parti komponennya, termasuk
Gerakan, perlu membalas budi kepada rakyat yang memilih
kita dengan kita merendah diri dan memikul tugas dengan
ikhlas dan penuh tanggungjawab.
16. Dengan peringatan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Yang Ke-
24. Saya ucapkan selamat bersidang.
|