Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/07/95
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MALAM MERAIKAN
PERDANA MENTERI MONGOLIA, T.Y.T.
PUTSAGIIN JASRAI
Bagi pihak Kerajaan Malaysia saya mengucapkan Selamat
Datang kepada Tuan Yang Terutama dan Puan Jasrai serta
ahli-ahli rombongan dalam lawatan rasmi ke Malaysia.
Saya berharap lawatan ini, walaupun singkat, akan
memberikan manfaat dan menggembirakan.
2. Saya gembira mengingati kembali pertemuan kita di
Copenhagen beberapa bulan lepas di mana hasrat Tuan
Yang Terutama untuk berkunjung ke Malaysia pertama kali
dibincangkan. Lawatan ini membuka peluang kepada kita
memperbaharui perkenalan dan ikatan persahabatan yang
terjalin serta berbincang tentang cara-cara dan usaha-
usaha yang perlu dilaksanakan bagi mempertingkatkan
hubungan kedua-dua negara.
3. Sungguhpun secara relatif tidak berapa jauh dari
Malaysia, Mongolia bukanlah sebuah negara yang asing
kepada rakyat Malaysia. Kami mengetahui daripada
sejarah tentang keberanian dan semangat tinggi rakyat
Mongolia yang telah berjaya memperkembangkan Empayar
Mongol ke sebahagian besar benua Asia serta juga
beberapa kawasan di benua Eropah. Pahlawan-pahlawan
termasyur, Genghis Khan dan Kublai Khan, begitu
dikenali di kalangan semua peringkat rakyat Malaysia
sebagaimananya juga oleh rakyat lain di dunia ini.
Zaman pahlawan-pahlawan termasyur ini telah pun berlalu
dan negara Mongolia kini sedang melalui satu lagi
perubahan, iaitu daripada sistem politik satu parti
kepada sistem pelbagai parti bercorak demokratik dan
daripada ekonomi terancang berpusat kepada ekonomi
pasaran. Sebagaimana pengalaman banyak negara bekas
sosialis, proses perubahan ini bukanlah mudah. Saya
ingin mengucapkan syabas kepada Tuan Yang Terutama
kerana berjaya menangani perubahan-perubahan tersebut
dalam keadaan aman dan stabil. Dengan kebijaksanaan
dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, saya yakin Tuan Yang
Terutama akan terus berjaya menerajui Mongolia ke arah
keamanan dan kemajuan pada masa akan datang.
4. Kami gembira mengetahui daripada Tuan Yang
Terutama dalam perbincangan kita pada pagi ini tentang
pelbagai dasar dan langkah yang sedang dilaksanakan
oleh Kerajaan Tuan Yang Terutama bagi membangunkan
Mongolia dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat
jelata. Langkah-langkah liberalisasi ekonomi yang
telah dilaksanakan serta pembukaan ekonomi Mongolia
kepada penyertaan sektor swasta, sama ada dari Mongolia
sendiri mahu pun luar negeri, bukan sahaja akan
mempergiatkan lagi pembangunan ekonomi Mongolia malahan
juga akan membuka peluang-peluang kerjasama antara
kedua-dua negara kita. Persefahaman yang telah kita
capai bagi memajukan hubungan perdagangan dan
pelaburan, termasuk dengan termetrinya Perjanjian
Mengelakkan Cukai Dua Kali dan Perjanjian Perlindungan
Pelaburan tentunya membolehkan kita mewujudkan asas
yang kukuh ke arah kerjasama ekonomi lebih rapat di
antara Malaysia dengan Mongolia.
5. Adalah diharapkan sektor swasta dan awam kedua-dua
negara akan memperkukuhkan lagi asas yang telah dibina
oleh kedua-dua Kerajaan kita dengan melaksanakan
kerjasama dan usahasama-usahasama, sama ada di Malaysia
mahu pun di Mongolia, demi faedah bersama. Sektor
swasta, sebagai penggerak utama pembangunan, memainkan
peranan penting dalam menjayakan pelbagai persefahaman
kerjasama ekonomi yang telah kita capai. Dalam
hubungan ini, saya gembira dimaklumkan sebahagian
rombongan Tuan Yang Terutama adalah terdiri daripada
usahawan-usahawan penting Mongolia yang berminat
memajukan hubungan ekonomi dengan Malaysia. Kami
mengalu-alukan kedatangan mereka ke negara ini dan
bersedia memberikan apa jua bantuan dan kerjasama yang
diperlukan bagi menjalinkan hubungan dengan rakan-rakan
sejawatan mereka di Malaysia.
6. Saya juga gembira mengetahui bahawa beberapa buah
syarikat Malaysia yang telah mengambil inisiatif
menjalankan perniagaan dengan Mongolia, telah
menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman dengan
usahawan-usahawan Mongolia semasa lawatan ini. Saya
berharap langkah sedemikian merupakan titik permulaan
kepada lebih banyak usahasama antara sektor swasta
kedua-dua negara.
7. Malaysia dan Mongolia adalah negara membangun yang
sedang gigih berusaha meningkatkan taraf kehidupan
rakyat masing-masing. Malaysia, setelah mencapai
beberapa kemajuan dalam pembangunan ekonominya, kini
sedang berusaha pula untuk mencapai status negara maju
pada tahun 2020. Dalam usaha membangunkan ekonominya,
Malaysia telah memperolehi pengalaman dalam beberapa
bidang ekonomi dan perancangan. Sehubungan itu,
Malaysia bersedia berkongsi pengalaman yang
diperolehinya dengan negara-negara sahabat termasuk
Mongolia.
8. Kami berharap tawaran kami untuk bekerjasama dalam
pembangunan sumber manusia dan menyediakan kursus
latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia,
sedikit sebanyak akan membantu usaha-usaha pembangunan
Mongolia. Walaupun tawaran bantuan ini kelihatan
kecil, tawaran kami mencerminkan keyakinan kami
terhadap pentingnya kerjasama Selatan-Selatan. Kami
melihat potensi besar dalam kerjasama seumpama itu,
bukan sahaja sebagai bantuan dan sokongan untuk
pembangunan ekonomi bersama, bahkan sebagai cara
berkesan ke arah membebaskan diri kita daripada
pergantungan sepenuhnya kepada negara-negara maju dan
berkuasa. Peristiwa-peristiwa di beberapa tempat di
dunia masa kini jelas memperlihatkan bahawa
pergantungan seperti itu, sementara mempunyai tanda
harga yang tinggi, selalunya tidak boleh diharapkan.
Ianya berkemungkinan diberhentikan jika kita tidak
menurut kehendak mereka. Dunia hari ini menyaksikan
betapa rendahnya komitmen mereka kepada prinsip-prinsip
yang mereka agung-agungkan. Jika mereka tidak
mempunyai kepentingan ekonomi mereka bersedia
mengenepikan prinsip-prinsip mereka.
9. Sekali lagi, izinkan saya menyampaikan rasa
gembira kami menerima kedatangan Tuan Yang Terutama dan
Puan Jasrai sebagai tetamu-tetamu kami. Saya yakin
lawatan ini akan menyumbang kepada mempereratkan
hubungan antara kedua-dua negara.
|