Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PARLIMEN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	15/08/95 
Tajuk/Title  	: 	PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG 
			PERBADANAN PUTRAJAYA 



           Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-Undang
    bernama  suatu  Akta  untuk  memperbadankan  Perbadanan
    Putrajaya  dan  untuk  mengadakan  peruntukan  mengenai
    perkara-perkara yang berkaitan dengannya dibacakan bagi
    kali yang kedua.
    
    2.    Rang Undang-Undang yang dicadangkan ini bertujuan
    mewujudkan  sebuah Badan Berkanun Kerajaan  Persekutuan
    yang   akan   dikenali  sebagai  Perbadanan   Putrajaya
    khususnya  untuk  mentadbir  dan  menguruskan   kawasan
    Perbadanan Putrajaya bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
    
    3.    Bandaraya  Kuala  Lumpur yang  merupakan  ibukota
    Persekutuan,  telah  berkembang  dengan  begitu   pesat
    sekali.   Dari  sebuah pusat pentadbiran bagi  Kerajaan
    Persekutuan,   ia  kini  telah  menjadi  sebuah   pusat
    dagangan yang terbesar di Malaysia.  Dalam pada itu  ia
    masih perlu berlumba dan bersaing dengan ibukota negara-
    negara   jiran  untuk  menarik  lebih  banyak  syarikat
    dagangan  yang besar mendirikan `regional headquarters'
    mereka di sini.
    
    4.    Memandangkan bahawa Kuala Lumpur sebagai  Wilayah
    Persekutuan mempunyai kawasan yang terhad, adalah sukar
    baginya  membesar untuk memberi tempat  dan  keselesaan
    kepada  aktiviti-aktiviti komersil yang semakin rancak.
    Kualiti hidup di Kuala Lumpur juga akan menurun jika ia
    terlalu  sesak  dengan bangunan-bangunan dan  kesibukan
    kenderaan.
    
    5.    Aktiviti  komersil tidak mudah dipindah-pindahkan
    kerana  ini  adalah  bidang swasta.   Lagipun  Kerajaan
    berpendapat tumpuan kepada Kuala Lumpur oleh  syarikat-
    syarikat  gergasi  adalah  penting  jika  ianya  hendak
    mendapat pengiktirafan oleh dunia antarabangsa  sebagai
    sebuah  daripada  bandar dagangan  terkemuka  di  Asia.
    Sebaliknya   Kerajaan   adalah  lebih   mudah   membuat
    keputusan berkenaan dengan lokasi pejabat-pejabatnya.
    
    6.    Pada  masa  ini  pejabat-pejabat  Kerajaan  Pusat
    bertaburan di banyak lokasi di Kuala Lumpur, dan banyak
    pula daripada pejabat ini disewa daripada pihak swasta.
    Dengan  itu Kementerian-Kementerian terpaksa  berkongsi
    ruang  dengan penyewa-penyewa lain.  Dengan sensitifnya
    urusan-urusan  Kerajaan, keadaan  ini  tidaklah  begitu
    baik.
    
    7.    Setelah  beberapa  tahun  perbincangan,  Kerajaan
    membuat  keputusan untuk memindahkan beberapa  aktiviti
    pentadbirannya ke sebuah pusat khas.  Daripada beberapa
    tempat  yang  dikaji dan ditinjau di  Selangor,  Negeri
    Sembilan dan Perak, Kerajaan telah memilih Perang Besar
    di  Selangor kerana ianya dekat dengan Kuala Lumpur dan
    terletak di antara Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang
    yang  baru  di  Sepang, dengan jarak yang lebih  kurang
    sama.
    
    8.    Pusat  pentadbiran  ini dirancang  untuk  menjadi
    sebahagian  daripada `Multimedia Super  Corridor'  yang
    menyambungi  lapangan  terbang  antarabangsa  baru   di
    Selatan  dan  Kuala  Lumpur di Utara  dengan  mempunyai
    semua  kemudahan  telekomunikasi  yang  tercanggih  dan
    terkini.
    
    9.    Pusat  pentadbiran baru Kerajaan Persekutuan  ini
    diberi  nama  Putrajaya bagi mengingati Bapa  Malaysia,
    Almarhum  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  Al-Haj,  Perdana
    Menteri Malaysia yang pertama.
    
    10.   Konsep  perancangan  pembangunan  Putrajaya  akan
    dilandaskan  kepada  prinsip  jalinan  tigahala   iaitu
    hubungan  manusia  dengan Penciptanya,  manusia  dengan
    manusia  dan  manusia dengan alam sekitar.  Berdasarkan
    konsep  tersebut  pembangunan  Putrajaya  akan  memberi
    pengertian  yang  luas bagi mengekalkan  `eco-culture',
    peka dengan alam sekitar, setia kawan lagi penyayang.
    
    11.   Putrajaya  akan diadun berteraskan  bandar  dalam
    taman  (garden city) bagi membolehkan ianya  berkembang
    dengan tidak mengganggu alam sekitar serta saling dapat
    wujud   dengan  alam  semulajadi.   Bandar   ini   juga
    bercirikan  bistari atau `intelligence' yang  berbentuk
    ultra moden.
    
    12.    Putrajaya  akan  menempatkan  76,000  kakitangan
    Kerajaan  Persekutuan dengan pembinaan 1.5  juta  meter
    persegi  ruang  pejabat.  Pembangunan bandar  ini  akan
    mengandungi dua bahagian
    iaitu:-
                    a.    kawasan Pusat (core area); dan
                    b.    kawasan Kejiranan.
    
    Kawasan  core  akan  dibahagikan kepada lima `precinct'
    iaitu:-
    a.   precinct Kerajaan;
    b.   precinct perdagangan;
    c.   precinct campuran;
    d.   precinct sivik dan kebudayaan; dan
    e.   precinct sukan dan rekreasi.
    
    Kawasan  kejiranannya pula bagi menempatkan  perumahan,
    kemudahan sosial dan kawasan perniagaan.
    
    13.   Sejumlah  52,000 unit rumah  akan  dibina,  iaitu
    17,500 unit untuk perumahan kakitangan Kerajaan, 17,500
    unit  untuk  dijualkan kepada kakitangan  Kerajaan  dan
    selebihnya untuk dijual kepada orang awam.
    
    14.  Kerja-kerja pembangunan dijangka akan bermula pada
    akhir  tahun  ini  dan dijangka siap  dalam  tempoh  10
    tahun.  Pelaksanaan projek akan dibahagikan kepada  dua
    fasa.   Fasa Pertama (tahun 1995-2000) ialah  pembinaan
    ruang   pejabat  untuk  Jabatan  Perdana  Menteri   dan
    Kementerian  Kewangan  serta agensi-agensi  yang  tidak
    mempunyai bangunan sendiri pada ketika ini.  Fasa Kedua
    (tahun  2000-2005) akan menempatkan agensi-agensi  yang
    kini mempunyai bangunan sendiri.
    
    15.   Kos pembangunan dijangka dalam lingkungan RM20.09
    bilion  terdiri daripada, antara lain, kos  pengambilan
    tanah  sebanyak RM700 juta, infrastruktur  dan  pejabat
    Kerajaan  dan kemudahan awam RM15.29 bilion,  perumahan
    dan perdagangan RM4.1 bilion.
    
    16.    Kerajaan  akan  menentukan  bahawa   pembangunan
    Putrajaya ini tidak akan membebankan kewangan  Kerajaan
    dan  beberapa pendekatan akan digunakan supaya Kerajaan
    dapat  meminimakan  komitmen  kewangannya.   Sebahagian
    besar  pembiayaannya  akan  dibuat  oleh  pihak  swasta
    melalui pendekatan penswastaan.
    
    17.   Kawasan Perbadanan Putrajaya ini melibatkan tanah
    seluas  kira-kira 4,400 hektar di dalam daerah  Sepang,
    Selangor.   Penubuhan Perbadanan Putrajaya  ini  adalah
    berasaskan   kepada  Perkara  80   (5)   dan   92   (1)
    Perlembagaan Persekutuan.
    
    18.   Mengikut  Perkara  80 (5)  itu,  perkiraan  boleh
    dibuat  antara  Persekutuan  dan  sesuatu  Negeri  bagi
    pelaksanaan   apa-apa   tugas   oleh   pihak   berkuasa
    Persekutuan  bagi  pihak berkuasa Negeri.   Berdasarkan
    itu, satu Perjanjian telah dimeterai di antara Kerajaan
    Persekutuan  dengan Kerajaan Negeri  Selangor  pada  20
    Julai   1995  bagi  membolehkan  Perbadanan   Putrajaya
    menguruskan  segala  usaha pembangunan  serta  perkara-
    perkara  yang berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan
    untuk   menjalankan  fungsi-fungsi  eksekutif,   tanah,
    pembangunan,  protokol,  fungsi-fungsi  pihak  berkuasa
    tempatan  dan  mana-mana  fungsi  lain  Pihak  Berkuasa
    Negeri.    Sebagaimana  ahli-ahli  Dewan  telah   sedia
    maklum,  Kerajaan Negeri Selangor telah pun  meluluskan
    suatu  Enakmen bagi memberi efek kepada Perjanjian  ini
    pada 1 Ogos 1995.
    
    19.   Putrajaya yang bertemakan bandaraya dalam  taman,
    berharmoni  dengan alam sekitar, moden serta futuristik
    dan  unik adalah merupakan model pembangunan bandar  di
    peringkat   antarabangsa.    Ianya   menjanjikan   alam
    kehidupan    yang   selesa,   memberangsangkan    serta
    berkualiti bagi memastikan penduduknya menikmati segala
    yang  terbaik  sebagai sebuah penempatan yang  termoden
    dan   terunggul.   Pembangunannya  akan  turut  memberi
    faedah  kepada  penduduk Negeri  Selangor  memandangkan
    kawasan  seluas 10,000 hektar di luar Pusat Pentadbiran
    Kerajaan  Persekutuan  yang terletak  di  dalam  Negeri
    Selangor  akan  turut  terbangun  bersama-sama   kerana
    kawasan  ini  termasuk di dalam konsep  pelan  struktur
    cadangan  Pusat Pentadbiran tersebut.  Projek ini  juga
    adalah  pelengkap yang unik kepada projek Kuala  Lumpur
    International  Airport, iaitu satu lagi  projek  negara
    yang  dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di  Negeri
    Selangor.   Selain  daripada itu  penyediaan  kemudahan
    infrastruktur dan sosial yang dianggarkan bernilai RM15
    billion  termasuk  penyediaan sistem  pengangkutan  dan
    kemudahan  asas  akan  memberi faedah  secara  langsung
    kepada Negeri Selangor.  Perlu juga disebut pembangunan
    di Kawasan Putrajaya akan menambah peluang pekerjaan di
    mana  adalah dijangka sebanyak 15,000 peluang pekerjaan
    sokongan akan dapat diwujudkan di dalam kawasan  Negeri
    Selangor  di  luar Kompleks Pusat Pentadbiran  Kerajaan
    Persekutuan tersebut.
    
    20.   Pendek  kata,  pembangunan yang  dirancangkan  di
    Kawasan  Putrajaya  ini akan mendatangkan  faedah  bagi
    kepentingan  negara.   Untuk  ini,  saya   juga   ingin
    memaklumkan bahawa Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan
    Negara   dan   Kerajaan  Negeri  Selangor   telah   pun
    dirundingi  berkenaan dengan rancangan  pembangunan  di
    Kawasan  Putrajaya  sebagaimana yang  dikehendaki  oleh
    Perkara  92 (1) Perlembagaan Persekutuan.  Seri  Paduka
    Baginda  Yang  di  Pertuan  Agong  telah  berkenan  dan
    menyiar serta mengisytiharkan rancangan pembangunan itu
    di  dalam  Warta Kerajaan Persekutuan pada 3 Ogos  1995
    bagi   Penyiaran   dan   pada   10   Ogos   1995   bagi
    Pengisytiharan  sebagaimana  yang  diperuntukkan   oleh
    Perkara  92  (1) Perlembagaan Persekutuan itu.   Secara
    ringkasnya saya ingin memaklumkan ahli-ahli Dewan  yang
    mulia ini bahawa peruntukan Perkara 92 (1) Perlembagaan
    Persekutuan  telah pun dipenuhi bagi tujuan mendapatkan
    kelulusan Rang Undang-Undang Perbadanan Putrajaya  yang
    sedang dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
    
    21.   Rang  Undang-Undang  bagi  mewujudkan  Perbadanan
    Putrajaya  yang  dibentangkan di  Dewan  ini  terbahagi
    kepada  enam Bahagian.  Bahagian I mengandungi  perkara
    Permulaan,  tajuk  ringkas dan takrif beberapa  istilah
    yang digunakan dalam Rang Undang-Undang tersebut.
    
    22.    Bahagian  II  mengandungi  peruntukan-peruntukan
    berkaitan   dengan  Perbadanan  Putrajaya;   antaranya,
    seperti  perwujudan Perbadanan Putrajaya serta objektif
    penubuhannya,  iaitu  bagi  mentadbir  dan  menguruskan
    kawasan   Perbadanan  Putrajaya  bagi  pihak   Kerajaan
    Persekutuan.   Bahagian  ini juga  menerangkan  fungsi-
    fungsi  dan kuasa-kuasa Perbadanan seperti melaksanakan
    fungsi-fungsi pihak berkuasa tempatan serta kuasa untuk
    menswastakan  aktiviti-aktivitinya.   Selain   daripada
    itu, Perbadanan juga bertanggungjawab untuk memaju  dan
    mengusahakan  pembangunan  ekonomi,  sosial,  komersil,
    infrastruktur  serta tempat tinggal  di  dalam  Kawasan
    Perbadanan Putrajaya serta bertindak sebagai penyelaras
    dengan badan-badan Kerajaan atau pihak-pihak lain  jika
    perlu.    Prosedur  yang  berkaitan  dengan  Perbadanan
    seperti perlantikan anggota dan perjalanan mesyuaratnya
    dinyatakan  secara terperinci di dalam  Jadual  Pertama
    Rang Undang-Undang ini.
    
    23.   Bahagian  III  mengandungi  peruntukan-peruntukan
    mengenai  Presiden,  Ketua Pegawai Eksekutif,  pegawai-
    pegawai    dan    pengkhidmat-pengkhidmat   Perbadanan.
    Perbadanan   adalah  bertanggungjawab   dalam   hal-hal
    pentadbiran  berkaitan pegawai-pegawai dan pengkhidmat-
    pengkhidmatnya  serta boleh membuat peraturan-peraturan
    mengenai kelakuan dan tatatertib mereka.
    
    24.  Bahagian IV pula mengandungi peruntukan-peruntukan
    mengenai perihal kewangan Perbadanan.  Ianya mengadakan
    peruntukan  bagi penubuhan satu kumpulan wang.   Sumber
    kumpulan  wang  ini antara lainnya ialah daripada  wang
    yang diterima oleh Perbadanan dalam menjalankan fungsi-
    fungsinya sebagai pihak berkuasa tempatan serta apa-apa
    harta  yang  diperolehi oleh Perbadanan.  Segala  hasil
    dan  perbelanjaan Perbadanan hendaklah dipertanggungkan
    kepada  kumpulan  wang ini.  Antara  perbelanjaan  yang
    dibolehkan daripada kumpulan wang ini ialah bagi maksud
    membayar apa-apa perbelanjaan yang dilakukan dengan sah
    oleh  Perbadanan, termasuk fee dan kos ukur dan  guaman
    serta membeli kelengkapan yang perlu dalam melaksanakan
    fungsi-fungsinya, juga bagi membayar balik apa-apa wang
    yang  dipinjam  oleh  Perbadanan.   Bahagian  ini  juga
    memperuntukkan bahawa Perbadanan perlu mengadakan  satu
    anggaran perbelanjaan bagi tahun berikutnya yang  perlu
    mendapat  kelulusan  Menteri yang dipertanggungjawabkan
    ke atas kawasan Perbadanan Putrajaya.
    
    25.   Bahagian  V  menetapkan kuasa-kuasa  dan  fungsi-
    fungsi  lain Perbadanan seperti membenarkan  Perbadanan
    mewakilkan   kuasa-kuasa  dan  fungsi-fungsi   tertentu
    kepada  Ketua Pegawai Eksekutif, membenarkan Perbadanan
    meminjam   wang;   membolehkan  Perbadanan   melaburkan
    asetnya   serta   membenarkan   Perbadanan   menubuhkan
    perbadanan.    Jadual   Kedua  adalah   terpakai   bagi
    perbadanan-perbadanan yang ditubuhkan  oleh  Perbadanan
    Putrajaya ini.
    
    26.   Bahagian VI mengandungi peruntukan-peruntukan  am
    seperti pengecualian Perbadanan daripada dikenakan duti
    setem  dan  obligasi menyimpan rahsia  oleh  kakitangan
    Perbadanan.   Bahagian  ini juga memberi  kuasa  kepada
    Perbadanan,dengan kelulusan Menteri, untuk membuat apa-
    apa  peraturan yang perlu bagi melaksanakan peruntukan-
    peruntukan Akta ini dengan lebih baik.  Selain daripada
    itu,  Bahagian  VI  ini  membolehkan  Menteri,  selepas
    berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri, membuat apa-apa
    ubahsuaian  kepada  mana-mana peruntukan  undang-undang
    bagi melicinkan perjalanan Akta ini.

 
 



 
Google