home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	TAPAK PROJEK PUTRAJAYA, 
			SEPANG, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	29/08/95 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PELANCARAN PUTRAJAYA 



     Assalamualaikum  warahmatullahi wabarakatuh  dan  salam
    sejahtera,
                    Syukur alhamdulillah, kita dapat  sama-
    sama  hadir  di Majlis Pelancaran Putrajaya  pada  hari
    ini.   Satu  lembaran  sejarah telah  tercipta  apabila
    Kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan Putrajaya
    sebagai  Pusat  Pentadbiran Kerajaan  Persekutuan  yang
    baru.    Keputusan  tersebut  mula  menjadi   kenyataan
    fizikal dengan adanya Majlis Pelancaran Putrajaya  pada
    pagi ini.

    2.    Pemindahan jentera pentadbiran negara dari  Kuala
    Lumpur  ke Putrajaya   adalah   selaras   dengan  dasar
    kerajaan untuk  mengimbang dan menyebarkan  pembangunan
    dari   Kuala Lumpur. Keputusan ini didorong oleh hasrat
    kerajaan   untuk  meningkatkan   kualiti   persekitaran
    `urban'  dan kehidupan  di  Kuala Lumpur serta menjamin
    pembangunan yang lebih tersusun di Lembah Kelang.

    3.    Kerajaan  telah memilih Perang Besar di  Selangor
    kerana   lokasinya  yang  strategik  di  dalam  koridor
    pembangunan  Kuala Lumpur ke Kuala Lumpur International
    Airport  (KLIA). Pada satu hari Kuala Lumpur, Putrajaya
    dan   KLIA  akan   menjadi  satu  bandar  gergasi  atau
    `megacity'  yang  setanding dengan  `megacity'  seperti
    Tokyo  Yokohama  dan  beberapa kombinasi  `urban'  yang
    lain.
    
    4.    Seperti  yang telah dinyatakan, Pusat Pentadbiran
    Persekutuan  di  Perang  Besar ini  telah  diberi  nama
    Putrajaya  bagi  memperingati Perdana Menteri  Malaysia
    yang  pertama dan Bapa Malaysia, Almarhum  Tunku  Abdul
    Rahman   Putra.   Satu  Perbadanan  yang  diberi   nama
    Perbadanan  Putrajaya telah ditugaskan untuk  mentadbir
    dan menguruskan segala usaha pembangunan serta perkara-
    perkara yang berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
    
    5.    Pusat Pentadbiran Putrajaya yang meliputi kawasan
    seluas  4,400  hektar akan menjadi kawasan `Multi-media
    Super  Corridor'  (MSC) seluas  15  kilometer  kali  40
    kilometer,  iaitu  antara  Kuala  Lumpur  dengan  KLIA.
    `Multi-media  Super Corridor' boleh  dilengkapi  dengan
    satu  rangkaian  telekomunikasi bersepadu  yang  pantas
    untuk  memenuhi  keperluan-keperluan bagi  `value-added
    telecommunication' yang terkini, perkhidmatan  maklumat
    dan  perkhidmatan  multi-media.  `Super  Corridor'  ini
    akan     disambungkan    ke    `National    Information
    Superhighway' dan seterusnya ke jaringan yang  meliputi
    seluruh dunia.
    
    6.    Ini  akan  membolehkan Putrajaya  menjadi  sebuah
    bandaraya  bistari dan `information hub'  yang  dinamik
    dalam  aktiviti dagangan dan hubungan antarabangsa  dan
    seterusnya dapat mewujudkan pusat pentadbiran  kerajaan
    yang    cemerlang   dalam   menyediakan    perkhidmatan
    pentadbiran yang efisien dan berkesan kepada rakyat dan
    masyarakat perdagangan antarabangsa.
    
    7.    Kemudahan  infrastruktur teknologi  maklumat  dan
    telekomunikasi  berbentuk jaringan dan `wireless'  akan
    menjadi    tulang   belakang   pembangunan   Putrajaya.
    Kemudahan   ini  akan  disematkan  di  dalam  bangunan-
    bangunan  di sekitar pejabat kerajaan, pusat perniagaan
    dan perdagangan serta aktiviti sivik dan awam.
    
    8.      Penyediaan    kemudahan    infrastruktur    dan
    telekomunikasi, penubuhan `Data Warehouse Centre'  akan
    membolehkan   pengendalian  dan   pengurusan   pejabat,
    pengawasan alam sekitar, penyelenggaraan dan pengurusan
    bandar   dan  infrastruktur,  pengawalan  lalu  lintas,
    keselamatan,  kecemasan  serta perkembangan  kebudayaan
    yang efisien di Putrajaya.
    
    9.    Kemudahan  infrastruktur teknologi  maklumat  dan
    telekomunikasi   yang   canggih  melalui   `information
    highway'  akan  merangsang  dan  `synergise'  Putrajaya
    sebagai bandaraya yang kaya dengan maklumat di abad ke-
    21.   Masyarakat  Malaysia  khususnya  di  persekitaran
    Putrajaya  akan  melalui  era  teknologi  maklumat  dan
    telekomunikasi  moden.   Untuk   membolehkan  Putrajaya
    berfungsi   sebagai  `information  hub'  dengan   lebih
    berkesan,  infrastruktur teknologi maklumat  ini  perlu
    diperluaskan  ke kawasan sekitarnya dan  seterusnya  ke
    seluruh negara dengan jaringannya menjangkau ke seluruh
    dunia.
    
    10.   Dengan adanya kemudahan yang bermutu tinggi  yang
    dirancang  di  dalam kawasan `Super Corridor'  ini  dan
    dengan  insentif-insentif yang sesuai,  Malaysia  boleh
    menarik  agensi-agensi terbaik yang  memainkan  peranan
    utama    dalam   bidang   teknologi   maklumat    (IT),
    telekomunikasi dan multi-media untuk memulakan  operasi
    di  dalam  kawasan  `Multi-media Super  Corridor'  bagi
    kedua-dua  bidang  Penyelidikan dan  Pembangunan  (R&D)
    serta   pemasaran.    Ia  juga  boleh   menjadi   pusat
    pengurusan  syarikat  gergasi  antarabangsa  yang  akan
    menempatkan   kerja-kerja  R&D  dan  pengeluaran   yang
    bertaburan  di  seluruh  dunia  dengan  dihubungi  oleh
    kemudahan  `multi-media' yang boleh mengganti keperluan
    menghantar   maklumat,  eksekutif  dan   modal   secara
    fizikal.     Segala-galanya   akan    diurus    melalui
    telekomunikasi yang canggih.
    
    11.   Pembangunan  `Multi-media  Super  Corridor'  akan
    melibatkan syarikat-syarikat antarabangsa dan syarikat-
    syarikat  ini akan digalakkan untuk mengadakan hubungan
    dengan  syarikat  tempatan  supaya  dapat  menghasilkan
    industri  IT  dan  industri Multi-media  tempatan  yang
    mampu    memainkan   peranan   utama    di    peringkat
    antarabangsa.
    
    12.  Dengan adanya `Multi-media Super Corridor' sebagai
    `catalyst'  dan  Putrajaya  sebagai  `spearhead'   maka
    jaringan teknologi maklumat akan juga dapat dibangunkan
    di kawasan pusat pertumbuhan lain seperti kawasan utara
    Pusat  Perindustrian  Pulau  Pinang/Kulim  dan  kawasan
    selatan wilayah Perindustrian Johor.
    
    13.    Ini   akan   memastikan  Malaysia   akan   dapat
    mengekalkan pertumbuhan yang diperlukan untuk menuju ke
    arah  pencapaian objektif Wawasan 2020.  Dalam hal  ini
    telekomunikasi, teknologi maklumat dan multi-media akan
    memainkan peranan utama.
    
    14.   Bagi  mencapai persekitaran yang  berkualiti  dan
    bersih,  pengangkutan  awam  yang  cepat,  selamat  dan
    efisien  serta  penekanan kepada unsur-unsur  bersepadu
    akan  menjadi  komponen  utama dan  penggerak  aktiviti
    pembangunan  Putrajaya.   Antara  mod-mod  pengangkutan
    awam  yang dicadangkan ialah `Express Rail Link (ERL)',
    Transit  Aliran  Ringan (LRT), Tram,  Perkhidmatan  Bas
    Awam, Teksi dan Perkhidmatan Feri.
    
    15.   Beberapa  Terminal  Pengangkutan  Bersepadu  akan
    diwujudkan   di  lokasi-lokasi  yang  strategik   untuk
    memudahkan  pertukaran  mod  pengangkutan   dan   semua
    terminal  ini  dibangunkan mengikut  konsep  `park  and
    ride'.   Dalam konteks ini kenderaan persendirian  akan
    dikurangkan di kawasan pusat atau `core'.
    
    16.   Bertepatan  dengan  konsep  Bandar  Dalam  Taman,
    perancangan   lanskap  dan  rupa  bentuk  bandar   akan
    menggunakan sepenuhnya ciri-ciri semula jadi tapak yang
    landai   dan  beralun,  diselang-seli  dengan   taburan
    beberapa  bukit  dan lembah yang mengalirkan  anak-anak
    sungai.    Tasik  buatan  dijadikan  penghubung   serta
    pemisah  antara  satu kawasan dengan  satu  kawasan  di
    samping   menjadi  satu  `feature'  yang  menarik   dan
    istimewa bagi bandar ini.
    
    17.   Pendekatan perancangan seumpama ini akan  memberi
    satu   pengertian  yang  padu  dalam   memajukan   satu
    persekitaran   bandar  berteraskan   pengekalan   `eco-
    culture',  peka  dengan keceriaan alam  sekitar,  setia
    kawan  lagi  penyayang  serta  berlandaskan  kebudayaan
    Malaysia.
    
    18.    Justeru   itu,  lanskap  yang   dirancang   akan
    mementingkan   pembentukan  persekitaran   hidup   yang
    berkualiti  melalui,  antara lainnya,  perwujudan  satu
    sistem  rangkaian taman-taman tasik dan kawasan  lapang
    yang   komprehensif  yang  bukan  sahaja  akan  memberi
    pelbagai   kepuasan  kepada  setiap  pengguna   malahan
    menjadi  daya tarikan kepada pelbagai jenis burung  dan
    haiwan.   Adalah  diharapkan bandar  ini  akan  menjadi
    contoh  bagaimana alam sekeliling tidak perlu  disentuh
    atau dimusnah apabila dibangunkan.
    
    19.   Antara rangkaian taman yang dirancang termasuklah
    Taman Bandar, Taman Botani, Taman Persisiran Sungai dan
    Tasik,   Dataran   Sivik   dan  Rangkaian   taman-taman
    kejiranan.
    
    20.    Pemilihan  jenis  pokok  untuk  Putrajaya   akan
    menonjolkan  kepelbagaian koleksi flora tempatan.   Ini
    termasuklah jenis pokok yang beraneka bentuk dan  rupa,
    warna  bunga, bau-bauan serta lain-lain yang  mempunyai
    ciri-ciri yang unik dan menarik.
    
    21.   Perancangan  lanskap Putrajaya  juga  menonjolkan
    badan   air   iaitu   tasik  sebagai   elemen   penting
    persekitaran   bandar.    Tasik   yang   dibina   mampu
    berperanan  sebagai `climate modifier  and  moderator',
    berfungsi  sebagai pendingin asli serta membentuk  satu
    iklim mikro tempatan yang selesa.
    
    22.   Untuk  membolehkan  Putrajaya  membangun  sebagai
    bandaraya dalam taman, dinamik, terus maju dan berupaya
    untuk  menjadi  nadi pembangunan ekonomi dan  maklumat,
    pembangunan  di  kawasan sekitarnya telah  diselaraskan
    untuk  menjadi penyokong dan pelengkap yang unik kepada
    pembangunan  Putrajaya berdasarkan  rancangan  struktur
    yang disediakan.
    
    23.  Pembangunan Putrajaya akan memberi faedah langsung
    kepada   kawasan  sekitarnya.   Seluas  10,000   hektar
    kawasan  yang melibatkan tanah-tanah swasta,  anak-anak
    syarikat  Negeri  Selangor serta kawasan  Rizab  Melayu
    akan  dibangunkan  bersama Putrajaya dan  ini  termasuk
    kemudahan   infrastruktur,  perdagangan,  sosial   yang
    setanding dengan Putrajaya.
    
    24.   Sesungguhnya, majlis yang penuh makna ini  adalah
    satu   catatan   sejarah   yang   merupakan   permulaan
    pelaksanaan  pembangunan Putrajaya.  Ini adalah  antara
    kemuncak  pencapaian  negara dalam mewujudkan  identiti
    masyarakat  Malaysia  yang  berbudaya,  berwibawa   dan
    berpengetahuan selaras dengan Wawasan 2020.
    
    25.   Saya  ingin merakam setinggi-tinggi terima  kasih
    kepada Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh rakyatnya
    kerana kerjasama dan kerelaan berkongsi pelbagai nikmat
    yang bakal wujud dengan terbinanya Putrajaya.
    
    26.   Saya  ingin mengambil kesempatan  di  sini  untuk
    mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang  telah
    menyumbang  tenaga dan kepakaran dalam perancangan  dan
    pembangunan   Putrajaya.   Saya  berasa   amat   bangga
    terutamanya kerana bandar ini dirancang sepenuhnya oleh
    rakyat   Malaysia  dan  akan  dibangunkan  oleh  rakyat
    Malaysia sendiri.  Semua ini membuktikan apa yang boleh
    dihasilkan daripada semangat Persyarikatan Malaysia  ke
    arah memenuhi Wawasan 2020.
    
    27.  Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Penyayang
    saya    dengan   sukacitanya   merasmikan    pelancaran
    Putrajaya.

 
 



 
Google