Oleh/BY : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 30/08/95
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan
salam sejahtera.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana
negara kita telah pun genap 38 tahun merdeka. Bagi
sebuah negara, 38 tahun bukanlah satu jangka masa yang
panjang. Namun dalam tempoh yang singkat ini, negara
telah membangun dengan amat pesat serta mengalami
banyak perubahan di samping mencapai kejayaan-kejayaan
yang boleh dibanggakan.
2. Pada hari ini kita bukan sahaja merupakan sebuah
negara yang aman tetapi juga maju dan makmur. Ekonomi
negara adalah kukuh dan terus berkembang pesat.
Daripada sebuah negara yang bergantung kepada eksport
komoditi utama seperti getah dan bijih timah, eksport
barang-barang perkilangan kini menyumbang 78 peratus
daripada jumlah nilai eksport negara. Taraf hidup
rakyat bukan sahaja jauh lebih tinggi daripada semasa
kita baru merdeka, bahkan kita menikmati berbagai-bagai
kemudahan yang setaraf dengan negara maju.
3. Tidak banyak negara yang telah merdeka pada waktu
yang sama dengan kita atau lebih awal daripada kita
telah mencapai kejayaan seperti kita. Malaysia telah
membangun begitu pesat sekali sehingga ianya diiktiraf
oleh badan-badan antarabangsa sebagai model untuk
pembangunan bagi negara-negara membangun.
4. Bukanlah kita hendak mendabik dada, tetapi ini
adalah satu kenyataan. Rakyat Malaysia boleh berbangga
dengan kejayaan dan pencapaian negara setelah merdeka.
Setiap rakyat negara ini berhak berasa bangga kerana
semua kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan
pengorbanan mereka sendiri. Walaupun kita terdiri
daripada penduduk berbilang kaum dan agama, sikap
toleransi dan kerjasama di antara satu dengan lain
telah membolehkan Malaysia terus stabil dan membangun
dengan pesat.
5. Kejayaan memanglah baik dan sesuatu yang diimpi-
impikan oleh semua orang. Negara yang tidak berjaya
bukan sahaja tidak dihormati oleh orang lain tetapi
juga membawa banyak masalah.
6. Namun kejayaan juga mempunyai kos dan masalahnya.
Kita telah melihat bagaimana ada pihak-pihak yang tidak
senang dengan kejayaan kita dan cuba menghalang kita
daripada terus maju dan menjadi pesaing kuat kepada
mereka. Mereka cuba mengenakan berbagai-bagai sekatan
ke atas negara-negara membangun yang berjaya seperti
Malaysia atas alasan kononnya kita tidak demokratik,
kita melanggar hak asasi manusia, kita tidak menjaga
alam sekitar dengan baik dan kita tidak memberi
kebebasan kepada pekerja untuk mengambil tindakan
perusahaan.
7. Selain daripada tindakan pihak asing menghalang
kemajuan kita, mereka juga mengancam menarik balik
Sistem Keutamaan Am atau GSP umpamanya dengan alasan
bahawa kita sudah mencapai taraf negara maju. Dalam
perkara ini kita harus terima bahawa lambat-laun
kemudahan ini akan ditarik balik. Yang perlu dibuat
oleh kita ialah mempertingkatkan produktiviti kita
supaya jika dikenakan cukai sekalipun barangan kita
akan berdaya saing.
8. Kekurangan tenaga buruh telah menyebabkan tekanan
ke atas upah dan meningkatkan kos pengeluaran.
Walaupun pengambilan buruh asing telah dapat memenuhi
keperluan tenaga kerja negara, langkah ini menyebabkan
pengaliran keluar tukaran wang asing yang besar setiap
tahun.
9. Kejayaan juga telah menimbulkan berbagai-bagai
masalah sosial seperti kegiatan tidak sihat di kalangan
belia kita termasuk menghisap dadah, melepak, bohsia
dan lain-lain lagi. Masalah ini mungkin timbul sebab
ramai ibu bapa kini mengenepikan tanggungjawab mereka
sebagai ibu bapa kerana terlalu sibuk mengejar
kemewahan. Kesannya, anak-anak ini terbiar dan tidak
mendapat pedoman dan tunjukajar yang diperlukan.
10. Walaupun masalah ini belum begitu rumit, jika
tidak dibendung dari sekarang ianya boleh menjadi
serius. Dengan munculnya TV satelit dan `information
superhighway', penerimaan maklumat mungkin tidak dapat
dikawal dan disekat lagi. Anak-anak muda kita akan
terdedah kepada berbagai-bagai maklumat dan nilai hidup
yang tidak sihat. Jika kita tidak berhati-hati,
masalah keruntuhan moral di kalangan belia yang sedang
menghantui Barat akan muncul di hadapan pintu kita.
11. Inilah antara kos dan masalah yang terpaksa kita
hadapi hasil daripada pembangunan ekonomi yang pesat
ini. Kita tidak boleh memandang ringan gejala-gejala
ini. Mengurangkan pertumbuhan ekonomi bukanlah caranya
untuk mengelak daripada masalah kerana kemiskinan juga
mempunyai banyak masalah.
12. Langkah-langkah perlu diambil untuk menjamin
matlamat kita menjadi sebuah negara maju yang tidak
tercemar seperti negara-negara maju lain akan tercapai.
Kita mempunyai lebih kurang 25 tahun sahaja lagi untuk
mencapai Wawasan 2020. Kita tidak boleh berpuashati
dengan prestasi dan bentuk kejayaan kita sekarang.
Masih banyak yang perlu dilakukan demi menjamin
rupabentuk dan kualiti negara maju yang kita idamkan
akan tercapai.
13. Tercapai atau tidaknya Wawasan kita adalah di
tangan kita sendiri. Rakyat Malaysia mesti mempunyai
keyakinan diri yang tinggi untuk maju. Apa yang boleh
dibuat oleh orang lain, boleh juga dibuat oleh kita.
Hanya yang diperlukan ialah kesanggupan untuk berusaha
bersungguh-sungguh dan keberanian menghadapi semua
cabaran. Tidak ada kuasa yang istimewa dan ajaib
kepada orang lain. Mereka adalah manusia biasa seperti
kita juga. Hanya mereka percaya mereka lebih
berkebolehan memandangkan kepada kejayaan mereka
sehingga kini.
14. Dalam dunia yang penuh saingan ini rakyat Malaysia
mesti melengkapkan diri dengan pelbagai teknologi baru.
Yakinlah bahawa kita boleh menguasai semua teknologi
dan insya-Allah kita bukan sahaja akan menguasainya
tetapi juga akan meneroka dan mencipta kemajuan baru
bagi teknologi berkenaan. Perkara ini bukanlah
mustahil.
15. Sumber-sumber yang kita ada tidak akan kekal buat
selama-lamanya. Melainkan kita tingkatkan keupayaan
kita dengan menguasai teknologi baru, kita tidak akan
dapat menggunakan sumber-sumber yang ada pada kita
dengan lebih efisien. Untuk membangunkan sebuah
ekonomi yang moden, mampu bersaing dan dinamik,
ketekunan dan kesanggupan perlu ada bersama. Dalam
dunia yang dibentuk oleh teknologi, kegagalan kita
untuk melengkapkan diri dengan segala kemajuan
teknologi akan menjejaskan usaha-usaha kita untuk
menjadi negara maju.
16. Bagaimanapun kita tidak harus lupa akan pentingnya
kestabilan dan keamanan yang kita nikmati sekarang.
Jika negara tidak stabil adalah mustahil kita dapat
membangunkan negara kita. Yang diperlukan dan penting
bagi pelabur ialah kestabilan yang terjamin buat jangka
masa panjang. Dan kitalah yang boleh menjamin
kestabilan dan keamanan ini.
17. Negara tidak menjadi stabil kerana sistem
Kerajaan, kerana demokrasi atau feudalisma. Negara
menjadi stabil kerana rakyat dan pemimpin-pemimpin
mereka sederhana, bertanggungjawab dan tidak tamak dan
mengejar cita-cita masing-masing dengan mengambilkira
kepentingan masyarakat dan negara. Jika rakyat dan
pemimpin terlalu berebut-rebut untuk mendapat sesuatu
bagi diri sendiri dengan tidak mengambilkira akan kesan
kepada pihak lain atau kesan jangka panjang maka huru-
hara akan berlaku dan akan tamatlah kestabilan dan
keamanan yang sedang kita nikmati sekarang.
18. Pendekatan dan landasan yang kita terokai jelas
mampu membawa kebahagiaan kepada kita. Janganlah kita
dengan sewenang-wenangnya menggugurkan apa yang sudah
mendatangkan hasil yang baik kepada kita. Ini tidak
bermakna pembaikan tidak boleh dibuat lagi tetapi
hendaklah kita berhati-hati dalam memperbaiki jalan
yang telah kita terokai dan kita gunakan ini.
19. Asas dan ukuran kejayaan kita ialah pertumbuhan
yang tinggi yang diiringi dengan inflasi yang rendah.
Kedua-dua ini boleh diurus dan dicapai oleh kita.
Hanya yang diperlukan ialah disiplin dan kesanggupan
melakukan yang baik dan menghindar yang buruk untuk
jangka panjang.
20. Kerajaan akan terus memperkenalkan langkah-langkah
yang boleh membantu pertumbuhan ekonomi dalam suasana
yang aman dan stabil. Kerjasama swasta dan Kerajaan
dalam konsep Persyarikatan Malaysia menjadi satu
daripada asas urusan negara. Anggapan dahulu bahawa
bukanlah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menolong
swasta mencapai kejayaan adalah cetek. Hasil yang
dikutip oleh Kerajaan untuk membiayai perbelanjaan
pengurusan dan pembangunan datang daripada kegiatan
pihak swasta. Sudah tentu jika mereka gagal tidak ada
cukai yang boleh dikutip. Sebaliknya jika mereka
untung besar lebih 30 peratus daripada keuntungan ini
adalah hak Kerajaan. Justeru itu, apabila Kerajaan
menolong swasta, sebenarnya Kerajaan menolong diri
sendiri dan juga rakyat.
21. Demikian juga dengan penswastaan. Tujuannya ialah
untuk membantu Kerajaan dan juga rakyat. Pertumbuhan
ekonomi yang tinggi di Malaysia adalah hasil daripada
konsep Persyarikatan Malaysia dan penswastaan.
22. Rakyat harus faham bahawa tiap sesuatu yang
diperkenalkan oleh Kerajaan adalah untuk bangsa dan
negara kita. Justeru itu, bekerjasama dan jayakanlah
langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Kerajaan demi
kebahagiaan dan kesejahteraan bangsa dan negara kita
Malaysia.
|