Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN KOLEJ TUNKU ABDUL
RAHMAN, SETAPAK
Tarikh/Date : 02/09/95
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN MCA
Saya ucap terima kasih kepada Jawatankuasa
Pusat Parti MCA kerana menjemput saya sekali lagi untuk
merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-42 hari
ini.
2. Jika saya tidak salah inilah acara atau majlis MCA
yang pertama saya hadiri selepas Pilihanraya Umum April
lalu. Oleh itu, tidaklah lewat bagi saya untuk
mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada MCA dan
semua anggotanya yang telah bekerja keras dan
bekerjasama dalam Barisan Nasional untuk memastikan
kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihanraya lalu.
Tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato
Seri Dr. Ling Liong Sik sebagai Presiden dan calon-
calon MCA yang telah menang dengan cemerlangnya.
3. Pilihanraya April lalu membuktikan MCA tetap
berpengaruh di kalangan masyarakat Cina di negara kita,
tidak seperti yang didakwa oleh parti-parti pembangkang
terutama DAP. Ia juga menunjukkan MCA turut mendapat
sokongan besar daripada masyarakat lain yang yakin dan
percaya MCA boleh terus membela nasib mereka bersama.
4. Masyarakat Cina di negara kita tidak semudahnya
terpengaruh dengan dakyah-dakyah palsu parti lawan
terhadap Kerajaan Barisan Nasional. Orang Cina kini
lebih luas pandangan dan bijak menilai sesuatu
perkembangan yang berlaku. Mereka melihat jauh ke
hadapan mengenai nasib masa depan mereka dan tidak
mendengar dan mempercayai dakwaan-dakwaan yang tidak
berasas mengenai keburukan-keburukan Kerajaan Barisan
Nasional.
5. Parti-parti pembangkang memang suka melempar
berbagai-bagai tuduhan terhadap Kerajaan. Soal-soal
seperti ketidakadilan, rasuah yang kononnya berleluasa,
pilih kasih atau `connections' dalam perniagaan, moral
pemimpin, penindasan ke atas rakyat, nasib pekerja yang
dikatakan tidak dibela, pengambilan tanah untuk
pembangunan dan sebagainya sering dijadikan isu
politik. Tetapi tuduhan-tuduhan itu tidak diterima
bulat-bulat oleh orang keturunan Cina dan pengundi-
pengundi kaum lain kerana ia mempunyai asas yang lemah
dan sengaja diada-adakan untuk mendapat sokongan
politik.
6. Rakyat kita sebenarnya sudah matang dan boleh
berfikir serta membuat penilaian sendiri. Mereka
menghormati undang-undang negara dan membiarkan proses
undang-undang menentukan keadilan kepada semua pihak.
Kerajaan memang tidak menganiaya mana-mana pihak atau
melindungi sesiapa dalam menegakkan kebenaran.
Tindakan Kerajaan adalah berasaskan kepada kepentingan
negara dan rakyat semata-mata. Mustahil Malaysia boleh
menjadi makmur dengan semua projek anjuran Kerajaan
dilaksanakan dengan baik dan cepat jika benarlah
Kerajaan ini bergelumang dengan rasuah, tidak adil dan
tidak cekap. Mustahil Malaysia dipilih sebagai negara
contoh oleh badan-badan dunia. Mustahil ramai pelawat
datang ke sini untuk mengkaji sistem pemerintahan kita.
7. Rakyat sebenarnya tidak lagi suka mengungkit
perkara-perkara remeh-temeh yang sering dijadikan isu
atau modal politik oleh parti-parti lawan. Rakyat
sedar masalah-masalah kecil yang mereka hadapi
selalunya boleh diatasi dengan segera dan baik melalui
wakil-wakil rakyat Barisan Nasional dan jentera-jentera
Kerajaan yang semakin cekap dan peka akan nasib mereka.
Mereka tidak lagi menggunakan cara-cara dan saluran-
saluran yang hanya menegangkan keadaan tanpa
mendatangkan hasil yang ditujukan. Berkonfrantasi
dengan Kerajaan atau antara kaum atau di antara majikan
dengan pekerja, seperti yang disaran oleh parti lawan
tidak pernah menghasilkan kejayaan tanpa kos yang amat
tinggi. Negara yang menggunakan pendekatan ini tidak
pernah maju dan aman.
8. Harapan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional
selepas pilihanraya adalah semakin tinggi dan besar.
Impian rakyat terhadap masa depan mereka dan anak cucu
mereka serta negara juga semakin luas dan kritikal.
Inilah yang harus kita sedari dan fahami. Kita perlu
bersedia untuk menghadapi tekanan harapan tinggi rakyat
ini. Jika kita gagal memenuhi harapan mereka saya
khuatir kita akan menerima padahnya kelak. Sepertimana
yang saya katakan tadi rakyat kini lebih matang
berfikir dan sudah pandai membuat penilaian sendiri.
Kuasa memilih Kerajaan adalah di tangan rakyat.
Justeru itu, jika kita gagal `to measure up' kepada
harapan mereka, mereka mungkin tidak lagi mengundi
Barisan Nasional di masa akan datang.
9. Oleh itu, untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan
ini kita perlu membuat persiapan yang rapi. Salah satu
persiapan yang harus kita lakukan ialah menanamkan di
kalangan kita semangat yang tinggi untuk membela nasib
rakyat jelata, dengan bekerja lebih keras lagi dengan
komitmen, berdedikasi serta bertanggungjawab.
Keikhlasan kita untuk membawa rakyat pada kemakmuran,
keharmonian, kemajuan dan perpaduan hendaklah
dibuktikan bukan sahaja dengan perkataan tetapi juga
perbuatan.
10. Walaupun MCA dan UMNO juga adalah parti yang
berasas kepada kaum, tetapi kita tidak boleh berjuang
untuk kaum kita semata-mata. Dalam pilihanraya, kita
disokong oleh semua kaum. Justeru itu, kita perlu
memberi perhatian dan berkhidmat untuk semua kaum.
UMNO sebenarnya sudah pun memberi perhatian kepada kaum-
kaum lain. Parti-parti Barisan Nasional yang berasas
kepada kaum perlulah mengambilkira dan berjuang untuk
semua kaum.
11. Kerajaan masih memandang berat mengenai penyertaan
kaum Bumiputera yang masih rendah dalam ekonomi
negara. Kita masih perlu berusaha untuk mengimbangkan
kedudukan ekonomi Bumiputera dengan kaum-kaum lain yang
sudah berjaya dan maju jauh ke depan. Kita tidak boleh
memandang ringan perkara ini kerana ini merupakan salah
satu faktor penting yang dapat mengurangkan ketegangan
kaum di negara kita. Walaupun pada hari ini ketegangan
sudah berkurangan, tetapi jika kita biarkan perbezaan
berterusan, ketegangan akan kembali. Dan ketegangan
ini akan menjejaskan pencapaian kita semua, Bumiputera
dan bukan Bumiputera.
12. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan lebih 20
tahun lalu dan kemudiannya disusuli oleh Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) adalah teras kepada usaha
mengimbangi kedudukan ekonomi semua kaum. Kedua-dua
dasar ini dilahirkan dengan tujuan yang ikhlas dan
murni untuk memajukan taraf sosio-ekonomi semua rakyat
secara adil dan saksama. Sehingga ini kedua-dua dasar
ini telah menunjukkan hasil dan perkembangan yang
positif walaupun matlamatnya masih belum dicapai.
13. Bagi menentukan dasar-dasar ini mencapai kejayaan
dan dapat menepati objektif sepenuhnya, rakyat semua
kaum perlu saling bantu-membantu dan berusaha dengan
bersungguh-sungguh untuk menjayakan cita-cita besar
negara ini.
14. Mana-mana kaum yang mempunyai kebolehan dan
kepandaian yang lebih dalam bidang-bidang yang tertentu
hendaklah berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan
kaum-kaum lain yang masih serba kekurangan dan lemah.
Sebagai contoh, orang Cina yang memang terkenal bijak
dalam menjalankan perniagaan sejak dari turun temurun,
bolehlah mengembangkan kebolehan mereka kepada orang
lain yang masih baru dalam bidang itu. Kita tidak akan
rugi jika kita berbuat demikian. Perbuatan menggunakan
Bumiputera untuk imej sahaja akan merugikan kaum bukan
Bumiputera, kerana selama-lamanya mereka akan
dibebankan dengan amalan ini. Lebih buruk lagi ialah
mereka yang tidak dapat memperalatkan Bumiputera tidak
akan mencapai kejayaan sama sekali.
15. Namun demikian kerjasama yang ikhlas antara
Bumiputera dengan bukan Bumiputera harus digalakkan.
Inilah satu proses `transfer of skill and knowledge'
yang berkesan kepada Bumiputera. Tetapi rakan
Bumiputera hendaklah diberi tugas yang berguna dan
dipaksa bekerja kuat. Bukanlah menjadi tugas mereka
hanya untuk berjumpa dengan pegawai Kerajaan sahaja.
16. Tuduhan bahawa pengambilan Bumiputera sebagai
rakan adalah satu jenis rasuah mempunyai asas jika
ianya semata-mata untuk mendapat pengaruh. Tetapi
tidaklah mudah untuk menentukan bila amalan ini
bercorak rasuah dan bila ianya tidak. Jika tugas rakan
Bumiputera tidak terhad kepada mendapat pengaruh,
tetapi sebaliknya menyumbang kepada kejayaan
perniagaan, maka unsur yang tidak baik daripada amalan
kerjasama Bumiputera dengan bukan Bumiputera akan dapat
dikurangkan.
17. Di sini ingin saya ulang sekali lagi bahawa
apabila kita menolong memperkayakan orang lain, kita
akan memperkayakan diri kita. Hari ini pasaran di
Malaysia hanya masih separuh daripada potensinya. Ini
adalah oleh sebab `buying power' Bumiputera tidak
mencapai tahap yang sama dengan bukan Bumiputera. Jika
`buying power' Bumiputera dapat disamakan dengan
`buying power' bukan Bumiputera, maka pasaran dalam
negara kita akan menjadi lebih besar. Dengan itu,
semua peniaga akan meraih keuntungan yang lebih.
Walaupun hari ini keuntungan daripada perniagaan adalah
tinggi, tetapi ia boleh menjadi lebih tinggi jika
`buying power' Bumiputera boleh dinaikkan lagi.
18. Dalam satu seminar di Langkawi baru-baru ini saya
telah menegaskan betapa pentingnya Malaysia menolong
memperkayakan negara-negara jiran. Jika mereka kaya
kita bukan sahaja akan bebas daripada kemasukan
pendatang haram tetapi dagangan kita dengan mereka akan
meningkat. Dengan ini pertumbuhan ekonomi kita juga
akan tambah meningkat. Demikianlah dengan jiran
negara, demikian juga dengan jiran dalam negara. `In
helping others, you are actually helping yourself. Do
not beggar your neighbour. Help them to prosper
instead. You have nothing to lose but much to gain.'
19. Kemakmuran membawa kemakmuran atau `Prosperity
begets Prosperity'. Pertumbuhan ekonomi yang pesat di
Malaysia dengan sendirinya membaja pertumbuhan ekonomi
yang lebih pesat. Jika tidak kerana ekonomi tumbuh,
tentulah rakyat tidak akan menambah pendapatan mereka.
Kerana mereka mempunyai pendapatan yang bertambah maka
peniaga dapat menjual lebih banyak barangan dan khidmat
kepada mereka. Dengan ini peniaga dapat menambah
keuntungan mereka dan membesarkan perniagaan mereka
lagi.
20. Di Malaysia sekarang `multibillion ringgit
companies' sudah banyak. Mereka sekarang mengembangkan
perniagaan mereka dalam semua bidang dalam negara dan
mereka melabur dan berniaga secara besar-besaran di
negara asing. Syarikat-syarikat Malaysia sekarang
cergas di semua benua di dunia. Mereka membeli harta
di Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Afrika, bahkan
di Asia Tengah.
21. Semua ini sedikit sebanyak adalah hasil dasar
Kerajaan Barisan Nasional. Semua ini adalah hasil
kerjasama parti-parti Komponen Barisan Nasional.
22. Kita akui mungkin ada dasar Barisan Nasional atau
pendekatan Barisan Nasional yang salah. Kita akui
bahawa kita tidak `perfect', tidak bebas daripada
kesilapan. Tetapi tidak siapa pun boleh berkata bahawa
Barisan Nasional dan Kerajaan Barisan Nasional tidak
berupaya menjayakan negara kita Malaysia. Rakyat
Malaysia tidak boleh menidakkan kejayaan Malaysia di
bawah Barisan Nasional dan dunia juga tidak dapat
menafikan kejayaan Malaysia di bawah Barisan Nasional.
23. Justeru itu, tiap parti komponen dan ahli-ahli
mereka hendaklah berusaha mengekal dan menjayakan
Barisan Nasional. Semua pihak harus bersabar kerana
semua usaha akan mengambil masa sebelum kejayaan
dicapai. Tetapi yakinlah akhirnya dasar-dasar Barisan
Nasional akan membawa kebaikan kepada semua kaum di
Malaysia.
24. Dengan harapan bahawa masyarakat Cina Malaysia
akan terus menyokong Barisan Nasional demi kestabilan,
kemajuan dan kemakmuran negara di masa depan, saya
dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
MCA Ke-42 bagi tahun 1995.
|