Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date : 09/09/95
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KILANG WAFER
SILIKON S.E.H. (SHAH ALAM) SDN.
Saya ucapkan terima kasih kepada syarikat S.E.H.
(Shah Alam) Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk
merasmikan pembukaan kilangnya hari ini. Langkah
syarikat ini untuk melabur dalam kilang baru ini, di
samping beberapa kilangnya yang lain, harus dipuji.
Saya difahamkan untuk kilang baru ini sahaja syarikat
S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. telah melabur kira-kira
RM800 juta dan perbelanjaan besar ini membuktikan
bahawa Malaysia amat sesuai untuk penanaman modal
jangka panjang.
2. Sejak wujudnya kilang semi-konduktor yang pertama
di Pulau Pinang pada tahun 1972, perusahaan elektronik
yang berasaskan eksport telah berkembang begitu pesat
sehingga menjadi salah satu sektor industri yang
terbesar dan penyumbang yang ketara kepada ekonomi
negara. Kini Malaysia adalah pengeksport alat-alat
semi-konduktor yang terbesar di dunia dan juga
pengeluar ketiga terbesar di dunia.
3. Saya difahamkan dengan pelaburan baru ini oleh
syarikat S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd., Malaysia akan
menjadi salah sebuah negara pengeluar wafer silikon
yang terbesar di dunia. Perkembangan ini sudah pasti
dapat memenuhi cita-cita kita untuk memajukan
perusahaan elektronik sebagai industri yang bersepadu
sepenuhnya,iaitu yang merangkumi operasi semi-konduktor
di kedua-dua peringkat huluan dan hiliran serta
keseluruhan bidang aplikasi elektronik mikro.
4. Selepas wafer silikon, kita bercita-cita pula
untuk ke peringkat hiliran dengan merekabentuk
mikrocip, `wafer fabrication' dan mengeluar barangan
pengguna elektronik yang berkualiti tinggi dan
kompetitif kosnya.
5. Pengeluaran wafer silikon di peringkat huluan juga
mempunyai potensi yang besar. Kita berbangga bahawa
S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. telah membina kilang ini
yang berotomasi sepenuhnya dan menggunakan teknologi
yang tercanggih untuk mengeluarkan wafer yang sudah
digilap (polished wafers) dengan ketebalan `submicron'
dan saiz lintang yang besar bagi pasaran industri semi-
konduktor dunia. Inilah jenis kilang yang diperlukan
oleh negara Malaysia yang sekarang kekurangan tenaga
pekerja dan perlu tumpu kepada industri yang `capital
and technology intensive' dengan pekerja yang mendapat
upah yang lebih baik kerana kecekapan yang lebih
tinggi.
6. Industri elektrikal dan elektronik pada hari ini
masih lagi ditentukan oleh pelaburan langsung asing
yang membawa bersama teknologi, pengetahuan dan
`network' pasaran mereka. Kerajaan memang menggalakkan
syarikat-syarikat asing di negara ini supaya mengadakan
rancangan-rancangan tulin bagi pemindahan teknologi
kepada anak-anak tempatan untuk faedah bersama. Jika
negara kita hendak mencapai taraf negara maju menjelang
tahun 2020 usaha-usaha pemindahan teknologi yang
sebenar di semua peringkat perlu dijalankan. Di masa
yang sama pekerja dan jurutera mestilah berusaha kuat
mengejar teknologi yang canggih yang berubah sepanjang
masa. Proses ini mesti berjalan terus kerana yang
canggih pada hari ini tetap menjadi usang dalam
jangkamasa yang pendek.
7. Tidak ada suatu ilmu atau kecekapan yang tidak
boleh dikuasai oleh pekerja mahir dan jurutera yang
betul-betul berminat dan sanggup dilatih dan melatihkan
diri berulang kali. Rakyat Malaysia perlu yakin bahawa
apa yang boleh dibuat oleh orang lain boleh juga dibuat
oleh kita. Yang penting ialah ketekunan dalam mengejar
sesuatu kecekapan. Sebenarnya pada suatu masa dahulu
rakyat Malaysia dipercayai boleh mengerat padi dan
menoreh getah sahaja. Kecekapan mengeluarkan barangan
buatan adalah satu misteri bagi kita yang kononnya
rakyat Malaysia tidak mungkin boleh menguasai.
Hakikatnya ialah apa yang kita mampu dan melakukan pada
hari ini tidak dimimpikan oleh rakyat Malaysia hanya
dua puluh tahun dahulu. Oleh itu jangan mudah kecewa.
Kejayaan akan tercapai akhirnya, insya-Allah.
8. Matlamat negara ialah supaya pendapatan rakyat
Malaysia di semua peringkat akan menjadi sama dengan
pendapatan rakyat negara yang maju. Tetapi caranya
bukanlah dengan mendesak dan mengugut. Caranya ialah
dengan meningkatkan kecekapan supaya daya pengeluaran
atau produktiviti kita tetap mengatasi rakyat negara
maju yang lain dan kita dapat terus bersaing dengan
jayanya di pasaran dunia. Jika ada orang asing
mengarah kita mengambil tindakan perusahaan, percayalah
niat mereka bukanlah untuk menolong kita tetapi untuk
menghapuskan daya saing kita supaya mereka akan
menguasai pasaran dunia semula.
9. Niat buruk mereka menjadi nyata apabila mereka
umumkan akan menarik balik pengecualian cukai ke atas
barangan kita walaupun kita belum mencapai taraf Negara
Industri Baru (NIC) dan pendapatan per kapita kita
hanya US$3,500 dan bukan US$8,000 yang menjadi ukuran
taraf NIC.
10. Di sebaliknya pelabur asing yang mempunyai
teknologi tidak harus takut jika Malaysia mempunyai
teknologi yang diperlukan. Ini adalah kerana teknologi
tidak statik atau beku. Apa yang dipindah hari ini
akan menjadi usang, tidak lagi `state of the art' pada
hari esok. Jika Malaysia menjadi kaya kerana
pemindahan teknologi ini, kita akan menjadi pasaran
yang besar bagi barangan orang asing. Ini telah pun
terjadi kerana hari ini import Malaysia dari Jepun
lebih besar daripada eksportnya ke Jepun.
11. Malaysia adalah rakan ekonomi yang jujur dan adil
kepada sesiapa yang berdagang atau melabur di sini.
Dasar kita tidak berubah dan sudah tentu tidak diubah
secara sengaja separuh jalan. Oleh kerana sebab-sebab
ini saya harap pelabur seperti S.E.H. akan terus
membesarkan pelaburan mereka di sini. Saya yakin
pelaburan di Malaysia tetap menjadi pelaburan yang
bijak.
12. Akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada syarikat
S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. atas usahanya mendirikan
perusahaannya di Malaysia dan dengan ini dengan
sukacitanya saya rasmikan kilang ini.
|