Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BANDARAYA IPOH, IPOH, PERAK
Tarikh/Date : 16/09/95
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC KE-42
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MIC kerana menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agung
MIC pada hari ini. Sudah menjadi kelaziman pada tiap-tiap
tahun, saya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dijemput
untuk merasmikan Perhimpunan Agung parti-parti komponennya.
Dengan cara ini kita dapat menjalin perhubungan yang
bermakna antara parti-parti komponen BN.
2. Bagi saya merasmikan perhimpunan seperti ini memberi
peluang kepada saya untuk menyampaikan sedikit pandangan
saya kepada ahli-ahli Barisan Nasional di samping bertemu
dengan para pemimpin dan ahli-ahli parti-parti Komponen
Barisan Nasional. Saya percaya perhimpunan seperti ini akan
digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli MIC untuk mengeratkan
lagi hubungan di kalangan mereka di samping membolehkan
ahli-ahli parti bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu
semasa yang melibatkan kepentingan masyarakat India
khususnya dan kepentingan negara amnya.
3. Pilihanraya umum yang diadakan pada bulan April yang
lalu menunjukkan bahawa rakyat, terutamanya yang
berketurunan India, terus menerima MIC sebagai parti yang
mewakili masyarakat India di negara ini. Dalam sebuah
negara yang berbilang kaum adalah penting sesuatu kaum itu
mempunyai sebuah parti untuk mewakili kepentingannya. Di
negara ini sejak pilihanraya mula-mula diadakan masyarakat
India telah memilih MIC untuk mewakili mereka. Saya gembira
masyarakat India terus memberi sokongan yang kuat kepada MIC
kerana para pemimpinnya terdiri daripada mereka yang
"moderate", berkeupayaan dan sentiasa mementingkan
kepentingan negara.
4. Pilihanraya umum yang lepas menunjukkan bahawa MIC
adalah sebuah parti yang berwibawa dan tetap berpengaruh.
Walaupun calon-calon MIC bertanding di kawasan-kawasan yang
mana majoriti pengundinya bukan terdiri daripada kaum India,
namun pengundi keturunan India memainkan peranan penting
untuk kemenangan calon MIC. Di samping itu, sokongan oleh
pengundi daripada keturunan lain membuktikan penerimaan
rakyat dan konsep Barisan Nasional iaitu kepercayaan bahawa
semua kaum patut mempunyai perwakilan di Dewan Perundangan
di peringkat negeri dan pusat. Rakyat juga sedar bahawa MIC
mampu menjaga kepentingan kaum India dengan berkesan.
Kesediaan kaum-kaum lain memberi undi kepada MIC juga
menunjukkan bahawa pada umumnya politik perkauman sudah
tidak tebal lagi. Ini adalah satu perkembangan yang amat
menggalakkan kerana politik perkauman akan hanya menghalang
usaha-usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara
yang lebih maju dan berjaya.
5. Selaku Pengerusi Barisan Nasional saya juga ingin
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih
kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli MIC yang telah
bekerja keras bagi menjamin kemenangan cemerlang Barisan
Nasional dalam pilihanraya yang lepas. Tanpa kerjasama erat
antara ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional,
adalah mustahil Barisan Nasional boleh mencapai kemenangan
yang cemerlang. Sokongan kuat ahli-ahli MIC telah
membolehkan calon-calon Barisan Nasional daripada parti-
parti Komponen Barisan Nasional lain mencapai kemenangan
terutama di kawasan-kawasan `marginal'.
6. Pilihanraya telah pun selesai, tetapi bagi wakil-wakil
rakyat yang telah dipilih, tugas mereka sebenarnya baru
bermula. Adalah menjadi tanggungjawab wakil-wakil rakyat
Barisan Nasional untuk menunaikan janji-janji yang telah
dibuat semasa kempen pilihanraya. Ini bagi menentukan
rakyat terus menaruh kepercayaan kepada Barisan Nasional.
Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab kepada rakyat,
Barisan Nasional mahukan semua wakil rakyat sentiasa
bersedia untuk berkhidmat dan berbakti kepada semua rakyat
tanpa mengira kaum. Di samping itu, ahli-ahli Barisan
Nasional juga tidak harus berpeluk tubuh kerana pilihanraya
telah selesai. Mereka patut terus berusaha untuk
memperjuangkan nasib rakyat supaya sokongan mereka akan
berterusan.
7. Masyarakat India di negara ini kini menaruh kepercayaan
yang kuat kepada MIC. Mereka mempunyai harapan yang tinggi
terhadap kemampuan MIC untuk menjaga kepentingan masyarakat
India di samping memberi kepimpinan yang berkesan dan
berwibawa kepada masyarakat India di negara ini. Dalam hal
ini, saya ingin mengucapkah tahniah kepada Presiden MIC,
Yang Berhormat Datuk Samy Vellu dan pemimpin-pemimpin MIC
yang lain yang telah bekerja keras bersama-sama
pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk membangun dan
memajukan negara. Tanpa sokongan dan kerjasama para
pemimpin MIC dan ahli-ahli MIC, sudah tentu negara tidak
akan maju seperti di hari ini. Peranan yang telah dimainkan
oleh MIC dan masyarakat India telah menyumbang kepada
kestabilan politik negara.
8. Dengan kepimpinan yang penuh komited untuk memajukan
masyarakat India, saya percaya MIC akan terus mendapat
sokongan masyarakat India. Saya yakin sebarang masalah yang
dihadapi oleh masyarakat India boleh diatasi melalui meja
rundingan. Bahkan prinsip kerjasama dan cara mengatasi
masalah melalui perundingan inilah yang telah membawa
kejayaan kepada BN. Parti BN adalah parti demokratik yang
berpegang teguh kepada prinsip `musyawarah' dan `consensus'.
Tidak ada paksaan dalam BN. Justeru itu dasar- dasar BN
adalah dasar yang telah direstui oleh semua kaum dan parti.
9. Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan negara yang
ke 38. Dalam tempoh yang singkat ini kita telah mencapai
pembangunan dan kemajuan yang amat pesat sekali. Yang
menggembirakan kita ialah semua kaum telah dapat sama-sama
menikmati faedah daripada pembangunan dan kemajuan ini.
Tidak ada mana-mana kaum yang boleh mendakwa bahawa mereka
diketepikan dalam proses pembangunan negara.
10. Di sesetengah negara yang berbilang kaum, pembangunan
negara hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja.
Tidak ada pengagihan kekayaan yang adil kepada rakyat dan
biasanya kaum minoriti menderita. Ini tidak berlaku di
negara kita kerana kepimpinan parti BN bersikap adil,
sederhana dan tidak tamak dalam membahagi-bahagikan kekayaan
negara.
11. Di Malaysia kita tidak mengamal cara Robin Hood,
merampas daripada satu pihak untuk diberikan kepada pihak
lain. Cara ini bukan sahaja tidak akan menambah jumlah
kekayaan negara tetapi akan menimbulkan ketegangan dalam
masyarakat. Di Malaysia kita bahagi-bahagikan kekayaan
daripada kekayaan yang ditambah melalui proses pembangunan
ekonomi. Cara ini lebih selamat dan tidak menyebabkan
ketidakstabilan negara yang boleh menjejaskan ekonomi dan
kemerosotan kek ekonomi kita.
12. Sudah tentulah ada pihak yang lebih bernasib baik. Ini
kerana tidak semua manusia mempunyai kebolehan, keupayaan
dan kelayakan yang sama untuk mencari kekayaan. Yang lebih
berupaya dan bersedia bekerja lebih kuat sudah tentulah
memperolehi lebih. Tetapi pada keseluruhannya kaum-kaum
memperolehi peluang yang sama untuk merebut kekayaan negara
dan turut sama-sama menikmati faedah daripada "expanding
economic cake" tersebut.
13. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan berbagai-bagai
dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan
Nasional (DPN) yang menggantikan DEB, Penswastaan dan Konsep
Persyarikatan Malaysia. Dasar-dasar yang telah dilaksanakan
jelas mencerminkan sikap terbuka dan pragmatik Kerajaan.
Bahkan dengan berlandaskan kepada "equity" dan "social
justice", kesan dasar-dasar Kerajaan telah memanfaatkan
semua kaum. Dengan pengurusan pentadbiran yang cekap,
komited dan bertanggungjawab, Malaysia kini dikagumi oleh
seluruh dunia, termasuk negara-negara berbilang kaum yang
menghadapi masalah perkauman. Dalam hal ini, Malaysia telah
menjadi model untuk dipelajari daripada segi sistem
politiknya, dasar-dasar ekonomi dan sosialnya. Prinsip
"social justice" bukanlah semata-mata satu "rhetoric" sahaja
di negara kita malah ianya telah diterjemahkan kepada
program-program yang berjaya meningkatkan mutu hidup
rakyat. Tiap-tiap kaum mempunyai "share"nya yang semakin
berkembang. Dan semua ini adalah kerana rakyat negara ini
sama-sama berasa bertanggungjawab dan komited untuk
menjayakan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, maju
dan makmur.
14. Dengan pertumbuhan ekonomi lebih daripada lapan peratus
bagi tujuh tahun berturut-turut, kita boleh berasa bangga
dengan pencapaian kita. Walau bagaimanapun, tanpa kerjasama
semua kaum, serta mandat kepada Barisan Nasional untuk terus
menerajui negara, negara mungkin tidak akan bergerak semaju
dan stabil seperti sekarang.
15. Satu perkara penting yang telah dirasai akibat Dasar
Ekonomi Baru dan juga DPN ialah pengurangan kemiskinan di
negara ini. Pada keseluruhannya insiden kemiskinan telah
berkurangan setiap tahun. Pada tahun 1993, insiden
kemiskinan telah menurun kepada 13.5 peratus berbanding
dengan 42.4 peratus pada tahun 1976. Bagi masyarakat kaum
India khususnya insiden kemiskinan berkurangan daripada 28.5
peratus pada tahun 1976 kepada 4.7 peratus pada tahun 1993.
Jelas sekali pada keseluruhannya masyarakat India telah
berjaya memperbaiki taraf hidup mereka dan juga meningkatkan
pendapatan isi rumah mereka.
16. Dalam hal ini, peningkatan mutu hidup rakyat amnya
adalah kerana pelaksanaan berbagai-bagai program melawan
kemiskinan yang berasaskan pendekatan yang lebih "holistic"
dan "multidisciplinary" yang menekankan kepada faktor
peningkatan produktiviti dan juga pendapatan. Di samping
itu juga berbagai-bagai agensi Kerajaan memberi bantuan
kepada mereka yang betul-betul hilang upaya.
17. Peluang ekonomi yang wujud di negara ini adalah
terbuka luas kepada rakyatnya tanpa mengira kaum. Justeru
itu, adalah menjadi harapan Kerajaan supaya setiap rakyat
berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk merebut
peluang-peluang yang terbuka ini. Jika kita lihat di
sekeliling kita individu ataupun korporat yang berjaya
adalah mereka yang berusaha dengan kuat, berdisiplin,
sanggup menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dan sanggup
mengenepikan sikap mahu kaya dengan cepat. Mereka ini tidak
banyak mengharapkan bantuan daripada Kerajaan. Sekiranya
kita sanggup menghadapi risiko dan bersikap berani tidak ada
sebab mengapa kita tidak boleh berjaya. Kerajaan
menyediakan berbagai-bagai peluang melalui pelbagai program
dan terpulanglah kepada rakyat negara ini untuk mencari
peluang-peluang ataupun "niche" yang sesuai untuk diterokai.
Malaysia adalah bebas dan mempunyai ruang yang luas untuk
mencari rezeki. Yang penting ialah kesanggupan seseorang
itu bekerja keras dan berani menghadapi cabaran dan dugaan
untuk merebut peluang-peluang ekonomi yang sedia ada.
18. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Perhimpunan Agung MIC yang ke-42.
|