Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/09/95
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN METROVISION
Saya ucapkan terima kasih kepada City
Television Sendirian Berhad kerana menjemput saya untuk
merasmikan pelancaran satu lagi rangkaian televisyen
swasta, iaitu Metrovision pada malam ini.
2. Bidang penyiaran terutama televisyen telah
berkembang dengan begitu pesat sekali di negara kita.
Dunia penyiaran televisyen negara telah mengalami
perubahan besar sejak wujudnya rangkaian televisyen
swasta yang pertama, iaitu TV3 kira-kira 11 tahun lalu.
Persaingan yang hebat berlaku di antara stesen
televisyen Kerajaan, iaitu TV1 dan TV2 dengan TV3.
Kedatangan stesen TV swasta ini telah mencetuskan
perubahan yang ketara pada stesen-stesen RTM yang
terpaksa `bekerja keras' untuk meningkatkan mutu
penyiaran mereka bagi menawan penonton yang mula
mempunyai pilihan.
3. Kini satu lagi stesen swasta diwujudkan, iaitu
Metrovision atau TV4. Persaingan antara stesen-stesen
televisyen tempatan dijangka bertambah sengit dengan
munculnya satu lagi rangkaian TV swasta ini dan
perkembangan ini adalah baik bagi dunia penyiaran
negara. Penonton TV sudah pasti mempunyai lebih
pilihan untuk menonton saluran-saluran yang dapat
memenuhi selera mereka.
4. Metrovision merupakan saluran televisyen untuk
Lembah Kelang yang meliputi kawasan Kuala Lumpur hingga
Kelang dan sebahagian kawasan Seremban dan Rawang.
Berbeza daripada tiga saluran yang ada sekarang yang
penyiarannya meliputi seluruh negara, saluran TV4
adalah khusus untuk penonton yang berada di kawasan-
kawasan bandar yang disebutkan tadi.
5. Walaupun penyiaran saluran Metrovision terhad,
peranan dan tanggungjawab mana-mana stesen televisyen
di negara kita pada prinsipnya masih sama. Semua
stesen televisyen mempunyai tanggungjawab sosial dan
nasional kepada masyarakat dan negara yang sepatutnya
melebihi kepentingan keuntungan semata-mata.
6. Seperti juga dengan kebanyakan alatan dan
kemudahan lain, televisyen boleh membawa kebaikan dan
juga keburukan. Televisyen diiktiraf sebagai satu cara
yang mustajab untuk menyebar maklumat, berita, ilmu dan
hiburan. Jika maklumat ini ditapis oleh penyiar dengan
baik dan bertanggungjawab maka televisyen akan dapat
membentuk masyarakat yang berpengetahuan luas, berilmu,
berakhlak tinggi dan aman makmur. Sebaliknya jika
siaran yang dibuat ditumpu kepada memuaskan nafsu
semata-mata, maka penonton televisyen dan masyarakat
amnya akan memiliki nilai hidup yang buruk yang boleh
menjadikannya masyarakat yang lemah, ganas, tidak
berilmu pengetahuan dan kucar-kacir.
7. Malangnya manusia biasa lebih mudah disogok dengan
hiburan yang memuaskan nafsu daripada diberi tunjuk
ajar, ilmu dan nilai-nilai hidup yang mulia. Dengan
itu penyiar televisyen kerap mencari jalan yang mudah
untuk mendapat penonton, dengan menyiarkan program
untuk memuaskan nafsu semata-mata. Dengan itu siaran
cerita-cerita keganasan dan seks dipilih untuk
mempopularkan sesuatu stesen televisyen.
8. Dengan persaingan yang hebat antara empat stesen
televisyen di Malaysia, `trend' ke arah siaran
keganasan dan seks akan bertambah jika pemilik stesen
lupa akan tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan
negara. Saya berharap mereka tidak akan pilih jalan
mudah ini untuk mencari keuntungan. Jika mereka buat
demikian maka negara akan mengalami kerugian yang besar
dengan mempunyai rakyat yang tidak berilmu, sepanjang
masa berdepan dengan televisyen, asyik untuk dihibur
dan memenuhi nafsu semata-mata. Negara yang dipenuhi
dengan rakyat jenis ini tetap tidak akan berjaya.
9. Adalah diakui bahawa program yang berkualiti yang
mengandungi ilmu dan nilai-nilai yang mulia sukar
dicari atau dibuat. Tetapi bukanlah mustahil program
seperti ini didapati. Dalam program televisyen negara
Barat pun ada banyak program yang baik dan membina yang
dapat menarik penonton.
10. Memanglah benar tujuan utama televisyen ialah
untuk hiburan. Tetapi hiburan juga boleh membina jika
dipilih dengan baik. Drama umpamanya boleh membawa
mesej yang membina bagi masyarakat. Demikian juga
muzik. Pelajaran yang berguna juga boleh disiarkan
melalui televisyen dalam berbagai-bagai bentuk yang
menarik. Oleh itu imbangilah antara hiburan dengan
penyebaran pengetahuan melalui televisyen.
11. Kita sedang menuju ke arah zaman maklumat atau
`information age'. Hari ini kita masih boleh menapis
maklumat yang disampaikan melalui televisyen kerana
stesen televisyen memerlukan lesen dan Kerajaan boleh
menarik balik lesen atau tidak mengeluarkan lesen.
Walaupun demokrat Barat mengecam kita kerana percubaan
Kerajaan untuk mengawal siaran televisyen, tetapi kita
tidak peduli akan pendapat mereka. Kita percaya tidak
ada kebebasan yang mutlak di mana-mana juga termasuk di
Barat.
12. Tidak lama lagi alat-alat yang murah akan
diadakan, bahkan boleh dibuat sendiri oleh peminat yang
akan membolehkan kita menerima ratusan siaran
televisyen dari seluruh dunia. Sudah tentu kita tidak
akan dapat menapis siaran-siaran ini secara berkesan.
13. Dalam mengejar keuntungan, penyiar dari negara
asing akan mengguna bahan-bahan yang memperalatkan
nafsu secara tidak terbatas. Apa sahaja akan disiarkan
oleh mereka. Secara langsung menonton program mereka
akan menjadikan penonton manusia yang buruk budi
pekerti, dikuasai oleh nafsu semata-mata dan hilang
haluan.
14. Jika masyarakat antarabangsa tidak dapat bersetuju
akan cara-cara mengawal siaran dan menguatkuasakan
undang-undang terhadap penyiaran bahan-bahan buruk ini,
tidak ada banyak yang boleh dibuat oleh Kerajaan kita.
Rakyat Malaysia dan rakyat negara lain juga akan
terdedah kepada pengaruh-pengaruh yang boleh
memusnahkan bangsa manusia.
15. Masalah yang dihadapi adalah sama dengan masalah
yang masyarakat dan pemerintahan dahulu alami apabila
mesin cetak dicipta. Ramai yang berpendapat bahawa
jika ilmu-ilmu yang telah diterokai semasa itu
diperolehi oleh orang ramai melalui buku yang dicetak
maka masyarakat akan menjadi kucar-kacir dan memerintah
mereka akan sukar dilakukan oleh pemerintah dan
Kerajaan. Rakyat boleh dihasuti melalui tulisan
rencana buku dan surat layang supaya menentang pihak
berkuasa termasuk, di negara Kristian kuasa gereja dan
di negara Islam, ulama-ulama. Demikianlah di Turki
mesin pencetak yang telah dibeli oleh Kerajaan
disembunyikan oleh pihak tertentu buat beberapa dekad.
16. Kita tahu daripada sejarah bahawa percubaan
mengharamkan percetakan gagal dan banyaklah ilmu yang
berguna dapat dipelajari kerana buku-buku yang dikarang
dan disebar. Kita juga tahu bahawa bahan lucah semakin
bertambah dan disebar dengan luas. Kita tidak boleh
nafi keruntuhan akhlak terutama di Barat adalah
disebabkan oleh rencana-rencara anti-sosial dan kotor,
dihias dengan gambar-gambar lucah yang disebar dengan
luas.
17. Dalam keadaan di mana percetakan adalah bebas
masih juga terdapat kelompok-kelompok yang dapat
mempertahankan moral dan nilai hidup yang mulia. Ini
adalah disebabkan pegangan kuat mereka kepada budaya
yang membina dan nilai-nilai hidup yang mulia.
18. Jika kita ingin menangkis gejala siaran televisyen
yang tidak terkawal, di samping Kerajaan cuba mengawal,
benteng yang terkuat sekali ialah pegangan masyarakat
kepada budaya bangsa dan nilai-nilai hidup yang mulia.
Sementara kita masih boleh menguasai siaran yang
diterima oleh rakyat kita, bahan-bahan siaran hendaklah
juga ditujukan kepada menguatkan benteng budaya dan
nilai hidup kita. Jika kita dapat kekalkan budaya
bangsa yang mulia dan menanam nilai-nilai hidup yang
boleh mempertahankan kita daripada serangan oleh
televisyen bebas dunia luar, insya-Allah kita tidak
akan mudah dipengaruhi oleh siaran asing ini sehingga
runtuh masyarakat kita.
19. Saya tidaklah bermaksud bahawa kita harus
menghapuskan sama sekali acara-acara hiburan atau kita
secara ekstrim menekankan didikan yang terlalu serius
berkenaan dengan akhlak dan budaya. Pendekatan yang
keterlaluan hanya akan menyebabkan kumpulan sasaran
menolak dan tidak menonton program-program yang serius
ini. Dengan itu tujuan tidak akan tercapai.
20. Yang harus dibuat ialah susunan program yang
berselang-seli dengan memberi tekanan kepada
pembentukan akhlak dan nilai yang mulia secara tidak
langsung termasuk melalui hiburan muzik dan juga drama.
Jika pada hari ini tekanan adalah kepada juara-juara
muzik yang moden, tekanan yang lebih hendaklah diberi
kepada mereka yang dapat mencipta muzik dan drama yang
mempunyai mesej yang baik dan budaya yang membina di
samping menghibur.
21. Kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen
tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya. Jika
didapati mana-mana stesen televisyen tidak mengambil
berat tanggungan sosial dan nasional mereka dan terlalu
mengutamakan keuntungan maka terpaksalah Kerajaan
menarik balik lesen yang telah diberi.
22. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan pelancaran saluran televisyen baru
Metrovision ini.
|