Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 26/10/95
Tajuk/Title : PERASMIAN PAMERAN MENGENAI
PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM OPERASI
PENGAMAN PBB
Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada
pihak penganjur kerana menjemput saya untuk memberi sepatah
dua kata dan seterusnya merasmikan Pameran mengenai
Penglibatan Malaysia dalam Operasi Pengaman Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini.
2. Tidaklah dapat dinafikan bahawa Pameran ini membawa
erti yang besar kepada negara kita khususnya kepada Angkatan
Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia. Saya telah
difahamkan bahawa pameran ini adalah yang julung kali
diadakan di negara kita dan ianya bertujuan untuk mengenang
jasa sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh
anggota-anggota tentera dan polis kita melalui penyertaan
mereka dalam Operasi-operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu semenjak pertubuhan dunia itu ditubuhkan lima
puluh tahun dahulu.
3. Semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua lima puluh tahun
dahulu, dunia masih belum lagi aman dan selamat. Keamanan
dan ketenteraman dunia yang diharap-harapkan oleh masyarakat
antarabangsa setelah tamatnya Perang Dunia Kedua tinggal
impian sahaja. Beberapa konflik yang hebat telah tercetus
di beberapa pelusuk dunia sehinggalah kini. Konflik-konflik
tersebut telah meragut nyawa beberapa juta manusia. Hak
asasi manusia telah dicabuli, wanita diperkosai dan
kanak-kanak yang tidak berdosa telah turut menjadi mangsa
konflik-konflik tersebut.
4. Kita di sini amatlah bertuah kerana negara kita yang
rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama telah
dapat hidup dengan aman damai dan harmoni. Kerjasama yang
erat dan keharmonian yang terjalin di antara rakyat di
negara ini telah membawa Malaysia ke tahap kemajuan ekonomi
yang membanggakan. Kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan
peratus setahun semenjak beberapa tahun kebelakangan ini
telah membuktikan hakikat ini. Dalam hal ini, tidak dapat
dilupakan juga peranan angkatan tentera dan polis yang telah
berjuang menentang pengganas-pengganas komunis dan
mempertahankan negara dari ancaman-ancaman subversif.
Sayugia diingatkan bahawa keamanan, kesenangan dan kebebasan
yang sedang kita nikmati kini, merupakan
keistimewaan-keistimewaan yang amat berharga yang senantiasa
perlu dikekal dan dipertahankan.
5. Walaupun negara kita aman dan perkembangan ekonominya
pesat, Malaysia tidak lupa kepada penderitaan dan
kesengsaraan yang dialami oleh rakyat di negara-negara lain
yang dilanda pergolakan. Justeru itu, Malaysia sebagai
sebuah negara anggota PBB yang komited kepada
prinsip-prinsip dan tujuan-tujuan piagam badan dunia ini
menyokong usaha-usaha badan tersebut terutamanya dalam
menjaga keamanan dan keselamatan dunia. Dalam hal ini,
Malaysia telah memberi sokongan penuh kepada Operasi
Pengaman PBB yang Malaysia percaya dapat membantu
usaha-usaha antarabangsa untuk mencari penyelesaian ke atas
pergolakan-pergolakan tersebut.
6. Penglibatan negara kita di Operasi Pengaman PBB,
khususnya pasukan tentera kita, bermula 35 tahun yang lalu
di Kongo. Sejak itu, Angkatan Tentera Malaysia telah
menyertai 16 Operasi Pengaman PBB, manakala Polis DiRaja
Malaysia pula telah menyertai enam Operasi Pengaman PBB.
Antara Operasi-operasi Pengaman PBB yang Malaysia telah
sertai selepas Kongo adalah Angola, Kampuchea, Iran dan
Iraq, Namibia, Somalia dan Bosnia-Herzegovina. Sebelum
pengunduran Operasi Pengaman PBB dari Somalia pada awal
tahun ini, Malaysia merupakan penyumbang terbesar yang
keenam kepada Operasi Pengaman PBB di kalangan 185 buah
negara anggota PBB. Pasukan-pasukan tentera dan polis kita
telah ditugaskan sebagai anggota pengawas, pemerhati dan
pembantu dalam memberi bantuan perikemanusiaan kepada
penduduk tempatan yang terperangkap dengan pergolakan di
negara mereka. Sehingga Mei 1995, difahamkan seramai 14,092
anggota tentera dan 381 anggota polis telah terlibat dalam
Operasi-operasi Pengaman PBB. Kita telah kehilangan
sembilan orang anggota tentera kita yang terkorban dalam
menjalankan tugas mereka di Operasi-operasi Pengaman PBB.
Malaysia sekarang masih terlibat dalam enam operasi Pengaman
PBB.
7. Perlu dijelaskan di sini bahawa penglibatan Malaysia
dalam Operasi Pengaman PBB adalah berteraskan kepada
prinsip-prinsip kedaulatan sesebuah negara, keadilan dan
perikemanusiaan dan bukannya didorong semata oleh agama dan
politik. Sebagai anggota PBB, Malaysia juga telah
menyumbang wang kepada Operasi-operasi Pengaman PBB dan
tidak pernah berhutang kepada badan dunia itu.
8. Masanya telah sampai bagi masyarakat antarabangsa
mengkaji semula peranan Operasi Pengaman PBB. Kegagalan
UNPROFOR untuk memberhentikan keganasan puak Serb Bosnia
terhadap rakyat Islam dan Croat Bosnia-Herzegovina merupakan
satu tamparan yang hebat kepada keberkesanan Operasi
Pengaman PBB. Tidak ada gunanya satu pasukan pelindung
dihantarkan sekiranya ia tidak dapat melindungi orang ramai
sepertimana yang telah dimandatkan.
9. Adalah tidak munasabah pasukan pelindung PBB hanya
membiarkan pencabulan hak asasi yang amat dahsyat dilakukan
oleh puak Serb ke atas rakyat Bosnia-Herzegovina yang tidak
berdosa tanpa melindungi mereka. Pasukan Pelindung PBB
mestilah diberikan kuasa dan dibekalkan dengan alat-alat
senjata yang dapat digunakan untuk melindungi rakyat
Bosnia-Herzegovina.
10. Kredibiliti Operasi-operasi Pengaman PBB mestilah
dikembalikan semula dengan memberikannya kekuatan
untuk menghalang keganasan yang berlaku di hadapan mata
mereka baik di Bosnia-Herzegovina mahu pun
dipergolakan-pergolakan yang lain. Sekiranya Operasi
Pengaman PBB tidak dapat menjalankan tugas mereka untuk
melindungi rakyat yang menjadi mangsa pergolakan dunia,
sudah tiba masanya satu Pasukan Penguatkuasaan PBB (UN
Peace-Enforcement Force) ditubuhkan oleh badan dunia
tersebut yang dapat menghalang berlakunya keganasan dalam
satu-satu pergolakan dunia.
11. Akhir kata, saya amat berbangga dengan semangat dan
prestasi yang telah ditunjukkan oleh pasukan tentera dan
polis kita yang telah dan sedang berkhidmat di
Operasi-operasi Pengaman PBB. Pengorbanan yang dibuat oleh
pasukan tentera dan polis bukan sahaja disanjung tinggi oleh
kerajaan dan rakyat kita bahkan juga masyarakat tempatan di
mana-mana pasukan kita berada. Syabas.
12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran
Penglibatan Malaysia dalam Operasi Pengaman PBB.
|