Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA HOTEL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	31/10/95 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PELANCARAN KERIS MOTION 
			SDN. BHD. 



           Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada Keris  Motion
    Sdn.   Bhd.  kerana   menjemput   saya   untuk    merasmikan
    pelancaran syarikat ini pada hari ini.

    2.    Usaha   menggabungkan   tenaga  untuk  membentuk  satu
    konsortium  penerbit-penerbit filem  Melayu  ini adalah satu
    langkah  yang  bijak dan kena pada  masanya.  Dalam  konteks
    dunia yang pesat  berkembang  adalah penting  para  penerbit
    Melayu  bersatu, menggabungkan  fikiran, tenaga  dan  sumber
    untuk menjadi satu  tenaga  yang  kuat. Malah, sudah  sampai
    masanya bangsa Melayu, khususnya  penerbit-penerbit   filem,
    berdikari, bergerak maju dan berjaya  dalam  segala  bidang,
    seiring  dengan   rakyat   keturunan   lain   di   Malaysia,
    serta bangsa-bangsa lain di seluruh dunia.

    3.    Pepatah Melayu  banyak yang  menekan  akan  pentingnya
    perpaduan  atau  penyatuan. Bersatu teguh,  bercerai  roboh,
    kata pepatah, lidi sebatang tidak ada gunanya, tetapi diikat
    menjadi penyapu ia bukan sahaja boleh menyapu bersih, tetapi
    kuat  sehingga  tidak mudah dipatah.  Mungkin zaman ini kita
    tidak lagi  guna penyapu lidi. Kita  guna  "vacuum  cleaner"
    yang  kita tidak buat sendiri, yang kita beli daripada orang
    lain. Dengan  ini  kita tidak  tahu  asas  kekuatan  "vacuum
    cleaner" dan kita juga tidak tahu kekuatan penyapu lidi.

    4.    Tetapi manusia  yang  bertamadun  tidak  perlu melihat
    penyapu  lidi  untuk  memahami kekuatan yang datang daripada
    tenaga  yang  banyak  yang  disatukan.  Manusia  yang  lemah
    sekalipun  jika  bersatupadu  akan  dapat menggoncang dunia.
    Demikianlah kesannya perpaduan.

    5.    Walaupun sudah ramai orang  Melayu yang  sudah  berasa
    terselamat dan dengan itu tidak perlu lagi kepada perpaduan,
    tetapi  sebenarnya  mereka belum selamat.  Bahkan kita harus
    ingat bahawa  bangsa  yang  sudah  kuat  pun  boleh  tumbang
    apabila sudah tidak sepakat, sudah anggap diri sebagai warga
    dunia,  suka  cantas  mencantas dan memutuskan ikatan sesama
    sekeluarga, sesama sebangsa.

    6.    Manusia  tinggal  bebas  membuat  apa  sahaja mengikut
    kehendak hatinya.  Manusia yang hidup dalam masyarakat perlu
    gugurkan sebahagian daripada kebebasan diri dan mengorbankan
    kepentingan  diri untuk kepentingan masyarakat.  Balasan dan
    hasil  daripada  pengorbanan  ini  ialah  keselamatan   bagi
    dirinya,   bahkan  kemajuan  dan  kekuatan  yang  diperolehi
    daripada perlindungan oleh suku-sakatnya.

    7.    Orang Melayu sedikit sebanyak faham akan kebijaksanaan
    perpaduan  dalam  politik. Tetapi  dalam  bidang  perniagaan
    konsep  berkorporasi  atau  konsep  syarikat  awam  bukanlah
    konsep  ciptaan  kita. Sudah tentu  kita  baru sahaja  kenal
    cara kerjasama antara syarikat-syarikat melalui  konsortium.
    Justeru  itu  kita  kerap  tidak  dapat menjayakan kerjasama
    secara ini.  Namun demikian percubaan  secara  serius  perlu
    dibuat kerana konsortium merupakan pendekatan yang baik bagi
    menjayakan  jenis  perniagaan  dan  perusahaan  seperti yang
    dicadangkan untuk Keris Motion Sdn. Bhd.

    8.    Kita  hidup   di zaman   maklumat   dengan   teknologi
    komunikasi  yang  serba  canggih,  serta  berkembang  dengan
    begitu  pesat. Melalui  sistem  telekomunikasi  canggih  ini
    maklumat  dan  hiburan   boleh  disebar  ke  seluruh  dunia.
    Hari  ini yang  menguasai kemudahan radio dan "direct  T.V."
    untuk  seluruh  dunia  ialah  negara-negara  maju  di Barat
    Melalui berita, rencana radio  dan  T.V.  dan  gambar-gambar
    T.V., mereka  boleh mempengaruhi  fikiran kita sehingga kita
    keliru dan hilang pegangan kepada nilai hidup kita.

    9.    Hari ini kita masih dapat  mengawal penerimaan  siaran
    asing. Tetapi  dengan  kecanggihan  teknologi yang meningkat
    sepanjang masa, lambat laun siaran-siaran dari Barat semakin
    sukar   untuk   dibendung.  Setiap  hari  cara  hidup   yang
    bertentangan  dengan  budaya kita akan dibawa masuk ke rumah
    menerusi T.V.    Apabila  kita  sudah  didedah  bertalu-talu
    sehingga  kita  tidak  lagi berasa ganjil akan sesuatu, kita
    akan terimanya sebagai perkara biasa.   Tidak  lama  selepas
    itu   kita   pun   secara   sedar   atau  tidak  sedar  akan
    mengamalkannya. Apabila kita sudah mengamalkan sesuatu  cara
    hidup  atau  cara  berfikir maka  ia akan menjadi sebahagian
    daripada budaya kita. Demikianlah jika di zaman dahulu  kita
    tidak sebut perkataan seperti "seks" umpamanya hari ini kita
    sebut  dan  kita  siarkan  rencana  berkenaan  dengan "seks"
    sebagai  perkara  biasa.  Ini  bukan  daripada  budaya  kita
    tetapi  ia  sudah  menjadi  sebahagian daripada budaya kita,
    hasil daripada pendedahan yang berpanjangan.

    10.   Justeru   itu  adalah menjadi tugas dan  tanggungjawab
    mereka  yang  berada  dalam  bidang  media untuk  memberikan
    alternatif kepada  dakyah  asing  ini.  Walaupun  kita ingin
    maju dan berjaya dalam  kegiatan ekonomi dan  industri, kita
    tidak  seharusnya berkompromi di dalam soal budaya dan nilai
    hidup. Memang ada unsur-unsur  yang tidak sihat dalam budaya
    kita yang  perlu kita  kikis dan  ganti  dengan  nilai-nilai
    asing  yang sihat.  Tetapi ada banyak nilai yang mulia dalam
    budaya kita  yang harus  kita  kekalkan  bahkan  kita  pupuk
    dan  hidupkan.

    11.   Masyarakat  media  daripada pihak-pihak berkuasa  yang
    mengendalikan  stesen-stesen  tv,  daripada  penerbit,  para
    penulis, anak-anak seni dan orang iklan tidak harus  melatah
    dan   terkeliru   dengan   pengaruh  asing. Saya  difahamkan
    sekarang  ini,  penerbitan  filem-filem  iklan  dibuat  oleh
    anak-anak  Malaysia  sendiri.  Adalah  diharapkan  anak-anak
    Malaysia  yang   membuat  filem  atau  iklan  akan  berusaha
    membantu   mengekal  dan  melahirkan  nilai-nilai  murni  di
    kalangan rakyat Malaysia.

    12.   Memang  benar tontonan yang lebih akan diperolehi jika
    kita   pamerkan   keganasan,   seks,   perkara-perkara  yang
    kontroversial  dan  kecaman-kecaman   terhadap   pihak-pihak
    tertentu. Tetapi  ini  adalah  cara  mereka  yang ketandusan
    ide,  yang  tidak  cekap  dalam   pengolahan   cerita   atau
    penggunaan  alat  untuk  melayan kehendak penonton.   Mereka
    yang cekap tidak  perlu  bergantung  kepada  cara-cara  yang
    berasaskan kepada nafsu manusia.

    13.   Justeru itu, semua pihak dalam media haruslah bersedia
    menguasai  teknik-teknik  penyampaian  maklumat  dan  berita
    secara  yang  lebih sopan tetapi menarik.  Semua pihak perlu
    memainkan peranan dengan berhati-hati  dan  bertanggungjawab
    kepada masyarakat, kepada bangsa, agama dan negara.

    14.   Perkara-perkara ini menjadi lebih penting kerana tidak
    lama lagi siaran berita,  rencana  dan  maklumat  lain  dari
    Malaysia  akan  dilihat  oleh  bukan  sahaja rakyat Malaysia
    tetapi juga rakyat di negara-negara lain.

    15.   Dengan terpancarnya stesen satelit kita,melalui MEASAT
    BROADCAST  SERVICE,  filem  dan program T.V. kita akan dapat
    dilihat oleh 10 juta  penonton  di  Malaysia,  negara-negara
    ASEAN,  India  dan Australia.  Adalah diharapkan peluang ini
    akan  diisi  dengan  baiknya  oleh  penerbit-penerbit  KERIS
    MOTION. Jalinan  kerjasama  yang baik dan sihat ini, diharap
    akan mendorong lebih banyak karyawan muda tampil ke  hadapan
    menyumbangkan  kreativiti  mereka bagi mencapai hasrat murni
    kita.  Kepada semua pihak yang yakin kepada konsep penyatuan
    ini sehingga berjaya melahirkan Konsortium Penerbit-penerbit
    Filem Melayu diucapkan selamat bekerjasama dan majujaya.

    16.   Dengan  kata-kata   ini,   saya   dengan   sukacitanya
    merasmikan pelancaran Keris Motion Sdn. Bhd. 
 

 



 
Google