Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	TAMAN PERDANA KAW. PERINDUSTRIAN 
			PERAMU JAYA, PEKAN, PAHANG 
Tarikh/Date 	: 	02/11/95 
Tajuk/Title  	: 	PENYERAHAN KUNCI RUMAH KEPADA 
			KAKITANGAN AUTOMOTIVE MANUFACTURERS 



           Saya   mengucapkan    tahniah    kepada     Automotive
    Manufacturers  (Malaysia)  Sdn.  Bhd. (AMM) kerana menjemput
    saya untuk merasmikan majlis penyerahan kunci  rumah  kepada
    kakitangan AMM.  Saya juga mengucapkan tahniah kepada AMM di
    atas  inisiatifnya  menyediakan perumahan dalam satu kawasan
    perumahan berdekatan dengan tempat kerja.

    2.    Yang  lebih   penting   disamping   rumah-rumah   yang
    disediakan setanding dengan rumah-rumah di kawasan perumahan
    yang  dimajukan  oleh pemaju perumahan swasta yang lain, AMM
    juga dapat menawarkan harga yang rendah.

    3.    Sewajarnya  tindakan AMM  ini  menjadi  contoh  kepada
    lain-lain  syarikat  gergasi  yang  mampu  berbuat demikian.
    Adalah  menjadi  tanggungjawab  majikan   untuk   memelihara
    kebajikan  pekerja  dan  tempat  tinggal merupakan keperluan
    asas kepada semua orang, khasnya  mereka  yang  datang  dari
    kawasan  lain.  Banyak masalah dapat diatasi apabila pekerja
    dan keluarganya mendapat tempat tinggal yang selesa,  apatah
    lagi  lengkap  dengan segala keperluan asas.  Tentunya lebih
    menguntungkan majikan seperti AMM apabila pekerjanya tinggal
    di kawasan yang berhampiran dengan tempat kerja.

    4.    Kemudahan seperti ini sudah  tentunya  merupakan  satu
    tarikan  istimewa  yang  dapat  menggalakkan rakyat tempatan
    untuk bekerja di sesuatu syarikat.  Walaupun selepas  sekian
    lama  kita  akan  anggap  kemudahan  perumahan  oleh majikan
    sebagai perkara biasa, kita patut ingatkan diri kita  bahawa
    ia sebenarnya adalah satu keistimewaan yang jarang terdapat.

    5.    Pelancaran  kawasan  perumahan  AMM atau Taman Perdana
    hari ini merupakan  tindakan  yang  bertepatan  dan  selaras
    dengan  aspirasi negara. Saya  difahamkan  kawasan perumahan
    ini merupakan satu pengiktirafan daripada AMM selaku majikan
    kepada pekerjanya yang telah memainkan peranan penting dalam
    menentukan kejayaan syarikat.  Ia juga membuktikan  komitmen
    AMM  terhadap  kebajikan  pekerjanya. Dengan  itu  taman ini
    menandakan permulaan kepada bandar baru pekerja automotif.

    6.    Projek perumahan ini juga  mencerminkan  komitmen  AMM
    untuk  membantu  dalam  program  pembangunan.   Semua rakyat
    mempunyai kebolehan untuk maju.  Tidak ada halangan sama ada
    daripada segi fisikal mahupun mental untuk  rakyat  Malaysia
    mencapai  kejayaan.  Yang penting ialah kita perlu mempunyai
    keazaman dan usaha untuk  melaksanakannya.    Semua  manusia
    adalah   sama,  tidak  kira  kaum,  bangsa  atau warna. Jika
    sesuatu kerja diulang  dan  diulang,  kecekapan  tetap  akan
    diperolehi.  Inilah suatu nikmat Allah Subhanahu wa Ta'ala.

    7.    Penduduk  Bandar  Pekan  dan  semua rakyat luar bandar
    harus berbangga dengan usaha  AMM  yang  menyediakan  kilang
    pengeluaran  kereta  automotif  dengan  kepakaran  tempatan.
    Lebih membanggakan ialah kereta  yang  dihasilkan  di  Pekan
    oleh  penduduk  tempatan  di  Pekan  sekarang ini dijual dan
    digunakan di Britain dan negara-negara lain.

    8.    Kerajaan    sentiasa      menggalakkan     pertumbuhan
    perindustrian  di kawasan luar bandar sebagai strategi untuk
    meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan pergantungan
    ke atas pertanian yang tidak menentu.  Justeru itu, kejayaan
    kita menjadikan Malaysia sebagai negara perindustrian banyak
    bergantung kepada kesanggupan rakyat luar  bandar  bertindak
    menyambut  cabaran modenisasi.

    9.    Sekali  lagi   tahniah  diucapkan  kepada  AMM  dengan
    pelancaran  projek  perumahan  untuk  kakitangannya. Sebagai
    balasan kepada majikan yang mengambil berat ke atas  pekerja
    nya,  wajar pulalah bagi tenaga  pekerjanya  bekerja  dengan
    rajin  dan  tekun  dalam  melaksanakan  tanggungjawab  kerja
    masing-masing.  Demi untuk kepentingan bersama, para pekerja
    keseluruhannya  haruslah  bekerja  dengan penuh dedikasi dan
    rasa tanggungjawab.

    10.  Ditinjau daripada segi etika kerja dan semangat pasukan
    yang   ditunjukkan,   pekerja   AMM   boleh  dicontohi  oleh
    pekerja-pekerja dari industri  yang  sama  mahupun  industri
    lain.    Sumbangan  seluruh  tenaga  pekerja  di  AMM  telah
    membantu mencipta kejayaan besar kepada  industri  automotif
    tempatan. Usaha  ini  sudah  tentunya  dapat membantu negara
    untuk memainkan peranan dalam  bidang  automotif  dunia  dan
    menjadikan  Malaysia  sebagai  pusat pengeluaran kereta bagi
    pasaran negara-negara Asia dan benua-benua lain.

    11.   Dalam   hal  ini  syarikat-syarikat  tidak  seharusnya
    mementingkan    keuntungan    semata-mata,   malahan   harus
    mengimbangi  di   antara   kepentingan   perniagaan   dengan
    tanggungjawab  sosial  mereka.    Kemajuan yang kita mahukan
    adalah kemajuan yang seimbang  dengan  tidak  membelakangkan
    keharmonian  hidup  berkeluarga  yang  mengamal  nilai-nilai
    murni.

    12.   Akhir sekali, saya mengucapkan syabas kepada AMM  yang
    berjaya     maju     setapak    ke    hadapan,    mendahului
    syarikat-syarikat lain dalam industri  tempatan  apabila  ia
    berjaya  menyediakan  kemudahan perumahan dalam satu kawasan
    perumahan yang baik untuk kakitangannya.

    13.   Semoga usaha  murni  AMM  ini  terus  diberkati  Allah
    Subhanahu  wa Ta'ala dan begitu juga dengan pekerja AMM yang
    akan menghuni kawasan perumahan ini.

 
 



 
Google