Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/11/95
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 1995
Bagi pihak UMNO, Majlis Tertinggi dan saya sendiri,
saya mengalu-alukan semua yang hadir terutama Ketua-ketua
dan Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional,
veteran UMNO dan para tetamu sekalian.
2. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu wa
Ta'ala. Kita berada di sini, di Perhimpunan Agung UMNO ini,
adalah dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala juga dan kita
bersyukur.
3. Demikianlah sebagai orang Islam kita memberi pujian
kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala atas segala nikmat yang
kita perolehi. Tidak siapa boleh menafikan bahawa beradanya
kita dalam dewan ini adalah satu nikmat, dan ianya telah
ditakdirkan.
4. Namun demikian kita boleh jadi tidak hadir dalam dewan
ini dan ini juga takdir. Yang nyata ialah kita boleh
membuat pilihan dalam keadaan tertentu dan pilihan kita itu
boleh menjadi kenyataan atau tidak dengan izin Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Takdir tidak bermakna kita tidak boleh
atau tidak perlu membuat pilihan atau membuat keputusan kita
sendiri. Kita boleh. Walaupun apa yang kita buat telah
ditakdirkan, tetapi kita akan terima balasan di akhirat
kerana perbuatan kita, jika tidak pun di dunia.
5. Bukanlah tujuan saya hendak membuat syarahan agama pada
pagi ini. Hanya saya ingin mengingati kita semua bahawa jika
kita membuat baik, kita akan mendapat balasannya dan jika
kita pilih untuk membuat yang tidak baik, kita juga akan
menanggung padahnya. Dalam kebanyakan keadaan, pilihan
berada di tangan kita dan kitalah yang bertanggungjawab
terhadap apa juga tindakan yang kita lakukan.
6. Saya berdiri di sini sebagai Presiden Parti UMNO.
Sebagai Presiden saya diperlukan berucap di Perhimpunan ini
untuk memenuhi agenda dan tradisi kita.
7. UMNO adalah istimewa. Di Malaysia mengikut tradisi
sehingga kini Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri. Ini
hanyalah tradisi. Ia tidak menjadi sebahagian daripada
peruntukan undang-undang tubuh UMNO. Sudah tentu ia juga
tidak menjadi sebahagian daripada Perlembagaan negara
Malaysia.
8. Oleh kerana ia semata-mata tradisi maka tidaklah
mustahil jika Presiden UMNO tidak menjadi Perdana Menteri
Malaysia.
9. Tetapi sejak kita merdeka Presiden UMNOlah yang menjadi
Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO jugalah yang
menjadi Timbalan Perdana Menteri. Perkara ini menjadi
tradisi sebenarnya kerana UMNO, Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu, sejak dari awal lagi telah menjadi parti politik
yang terbesar dalam negara dan menjadi rakan yang kanan
dalam Perikatan dahulu dan Barisan Nasional sekarang.
10. Kerana UMNO merupakan parti terbesar dan menjadi
tunggak kepada Perikatan dan Barisan Nasional, maka Presiden
UMNO diperakui oleh semua ahli UMNO dan rakan-rakan dalam
Barisan Nasional sebagai berhak menjadi Perdana Menteri
apabila Barisan Nasional menang.
11. Kita, ahli UMNO, perlu sedar akan hakikat ini.
Bukanlah hak kita untuk mengetuai Barisan Nasional dan
mengisi jawatan Perdana Menteri selama-lamanya. Yang
menyebabkan kita mendapat kedudukan yang istimewa ini ialah
kerana kekuatan Parti UMNO dan kemenangan Barisan Nasional.
12. Mesyuarat Perwakilan ini adalah yang pertama diadakan
selepas Pilihanraya Umum yang kesembilan di negara tercinta
ini. Kemenangan Barisan Nasional dan kemenangan UMNO dalam
Pilihanraya ini adalah yang terbesar sekali yang biasa
dicapai oleh kita. Dan ini mencerminkan kekuatan semasa
UMNO dan Barisan Nasional.
13. Masa depan UMNO, Barisan Nasional dan Malaysia
ternampak cerah. Impian kita untuk meningkatkan lagi
prestasi politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dan
Bumiputera lain, insya-Allah akan menjadi kenyataan.
Usaha-usaha kita untuk menjayakan dasar-dasar untuk
menghapuskan kemiskinan dan ketidakseimbangan antara kaum
pasti akan berhasil kerana tidak akan ada banyak gangguan
politik daripada parti-parti lawan.
14. Inilah harapan kita sejurus selepas kemenangan besar
dalam Pilihanraya 1995.
15. Dengan kemenangan ini apakah kita sudah sampai ke
puncak? Dari puncak tidak ada apa-apa lagi untuk didaki dan
dinaiki. Dan kita tidak perlu lagi alat dan cara yang telah
menjayakan kita. Tetapi sebenarnya kita belum sampai ke
puncak. Kita masih boleh mendaki bersama ke tempat yang
lebih tinggi jika kita tidak gugurkan sifat-sifat dan budaya
yang telah membawa kita ke tahap ini.
16. Puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh
berada di puncak sepertimana ramai yang terdapat di bahagian
bawah puncak dan di dataran. Oleh itu, jika ada pergelutan
di puncak tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi
mungkin juga semua akan terjatuh kerana pergelutan di
puncak.
17. Dalam perjuangan manusia, puncak tidak ditetapkan. Ia
boleh ditentukan oleh pejuang sendiri. Dengan itu ada
bangsa yang naik tidak begitu tinggi dan sampailah mereka ke
puncak gunung perjuangan mereka. Kemudian mereka tidak
boleh naik lagi.
18. Ada bangsa lain yang tidak mampu mendaki gunung
perjuangan sama sekali, bahkan tidak mempunyai niat atau
cita-cita untuk mendaki ke mana-mana dan oleh itu terus
tinggal di bawah, di dalam lembah.
19. Tetapi ada bangsa yang bergerak sebagai satu pasukan,
menyusun langkah secara teratur dan tertib, mempunyai ketua
yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang
jalan yang selamat untuk dijejak oleh ahli-ahli pasukannya,
tidak lupa akan mereka yang di belakang dan di bawah serta
bergerak berhati-hati secara terancang. Bangsa yang
berpasukan yang tertib ini pasti akan dapat sampai ke puncak
perjuangan yang lebih tinggi.
20. Bangsa yang tertib dan berpasukan kukuh ini, bangsa
yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di
puncak, bangsa yang mulia budayanya, akan menjadi bangsa
yang agung, bertamadun tinggi, dihormati dan disegani.
21. Dalam sejarah orang Melayu dan Bumiputera lain di
Malaysia mungkin tidak pernah mereka mencapai kedudukan yang
terhormat seperti pada hari ini.
22. Pada tahun 1511, Portugis telah menawan Melaka dan
dengan itu orang Melayu telah kehilangan kemerdekaan mereka.
Selama hampir 500 tahun orang Melayu dijajah, dihina,
dipijak dan diperhambakan. Portugis, Belanda, British,
Jepun, Siam, bahkan siapa sahaja terpaksa mereka pertuankan.
23. Setelah sekian lama dijajah dan dihina, kita telah
berjaya membebaskan diri kita semula. Ramai juga yang
terkorban dalam usaha ini. Dato Bahaman, Mat Kilau, Rosly
Dobi, Mat Salleh, Dato Sagor dan lain-lain lagi. Tidak
kurang berbakti ialah pemimpin-pemimpin seperti Dato Onn,
Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Ismail, Tun Hussein dan
pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.
24. Setelah pengorbanan dan perjuangan mereka berhasil
apakah kita berhak mensia-siakan kemerdekaan yang diperolehi
selepas lima abad ditindas dan diperhambakan?
25. Pada tahun 1511, Sultan Melaka mungkin berpendapat
bahawa kesultanannya akan kekal selama-lamanya. Hari ini
kita tahu yang ianya tidak kekal. Apakah tidak mungkin
kemerdekaan kita juga tidak kekal, bahkan hilang dalam
sekelip mata, kerana kecuaian kita?
26. Saya bukan bertujuan untuk menggemparkan sesiapa. Yang
saya sebutkan ini ialah yang nyata dan berkemungkinan. Kita
mungkin tidak akan dijajah semula sepertimana British dahulu
menjajah kita. Tetapi penjajahan dan penghinaan ke atas
kita boleh dibuat dalam berbagai-bagai cara dan bentuk.
27. Alhamdulillah, sekarang kita bebas. Kita boleh
menyuarakan pendapat kita dengan lantang. Ekonomi kita
kukuh dan tidak mudah diperalatkan oleh mana-mana negara
asing untuk mengugut kita. Kita tidak perlu mengampu
sesiapa.
28. Kemerdekaan dan kebebasan kita ini adalah kerana hingga
kini kita berjaya menggunakan demokrasi untuk mendirikan
Kerajaan yang stabil dan berwibawa yang dapat membangunkan
negara.
29. Di banyak negara lain apabila sahaja demokrasi
diamalkan, maka rakyat dan pemimpin hilang haluan. Berpuluh
parti politik ditubuhkan sehingga tidak ada satu pun yang
cukup besar untuk menubuhkan Kerajaan yang berwibawa.
30. Lagipun, selepas pilihanraya, pihak yang kalah selalu
membuat angkara. Mereka mengadakan mogok sepanjang masa,
mengadakan tunjuk perasaan, menggugat keamanan dan membunuh
secara buta tuli sehingga rakyat berasa cemas dan tidak
selamat. Dengan itu negara menjadi lemah dan tidak dapat
dibangunkan.
31. Sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat
tidak boleh menentukan kejayaan, bahkan tidak juga boleh
menjamin keadilan bagi rakyat. Barat cuba mengagungkan
demokrasi dengan mendakwa "suara ramai adalah suara
keramat". Tetapi suara ramai tidak semestinya keramat,
bahkan tidak semestinya baik atau adil. Rakyat sendiri
boleh menindas rakyat bahkan boleh memusnahkan rakyat dan
negara sendiri. Contohnya banyak dan tidak perlu saya
sebutkan.
32. Jika rakyat ingin menjayakan demokrasi, maka mereka
mestilah bijak dan sedar akan had atau "limit" kuasa mereka.
"Power corrupts and absolute power corrupts absolutely."
Kuasa membawa kepada korupsi atau rasuah dan kuasa yang
tidak terhad membawa kepada korupsi atau rasuah yang juga
tidak terhad. Rakyat yang berkuasa boleh juga menjadi
korup, sama seperti pihak-pihak lain yang berkuasa. Dan
dalam demokrasi rakyat berkuasa.
33. Pengasas UMNO telah memilih demokrasi untuk parti dan
untuk negara kerana kita tidak lagi dapat menerima sistem
feudal. Mereka percaya bahawa rakyat tidak akan membuat
sesuatu yang akan membinasakan diri mereka sendiri dan
menghancurkan negara.
34. Tetapi rakyat adalah manusia biasa yang dipengaruhi
bukan sahaja oleh akal fikiran tetapi juga nafsu. Dalam
keadaan tertentu kerap juga nafsu berjaya mengalahkan
perhitungan akal, menyebabkan manusia sanggup membinasakan
diri sendiri.
35. Keadaan sekarang berbeza dengan keadaan di waktu UMNO
ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Jika
pada suku ketiga abad dua puluhan orang Melayu terdesak
kerana tekanan penjajah serta kemiskinan dan kemunduran
mereka berbanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia, dalam
suku keempat abad dua puluhan, orang Melayu dan Bumiputera
lain sudah tidak berasa terancam lagi. Mereka memiliki
kuasa dan sudah maju. Wang ringgit sudah tidak menjadi
masalah. Ada yang menjadi "millionaire", bahkan ada yang
menjadi "billionaire".
36. Bagi kebanyakan yang betul-betul berjaya tidak banyak
yang membawa masalah. Mereka hanya ingin terus menjalankan
urusan mereka.
37. Tetapi ada yang berjaya sedikit yang tidak sabar, yang
tamak dan tidak pernah kenyang, yang ingin kepada jalan yang
lebih mudah untuk menjayakan cita-cita besar diri mereka.
38. Mereka ini iri hati dan benci dengan segala-galanya.
Jika mereka tidak dapat naik secara tertib dan teratur,
mereka akan cuba naik secara apa sekalipun, dengan apa juga
alat. Dahulu mereka benci orang asing yang kaya. Hari ini
mereka benci orang yang sekaum seagama dengan mereka kerana
sebab yang sama. Mereka sendiri tidak pernah menyumbang
sesuatu pun untuk bangsa. Mereka hanya mempunyai "mulut
jering", suka mengumpat dan mencaci orang lain. Mereka
menganggap merekalah sahaja manusia yang bersih dan adil
sedangkan sebenarnya mereka lebih kotor. Dan mereka tidak
pernah sedikit pun berbakti kepada bangsa.
39. Parti kita tidak sunyi daripada mereka ini. Sebagai
ahli parti kita semua berhak, kita semua mempunyai tempat
dalam UMNO. Tetapi janganlah kerana inginkan tempat, kerana
iri hati, kita sanggup memusnahkan UMNO dan mungkin
mengharamkannya sekali lagi. Peristiwa 1987 tidak harus
berulang. Peristiwa pahit itu patut dijadikan satu
pelajaran bagi kita.
40. Perjuangan UMNO masih di peringkat awalan. Memang
benar mereka yang merebut jawatan dalam UMNO tidak lagi
terdiri daripada guru-guru dari sekolah kampung tetapi
peniaga dan pengusaha. Ini bukan perkembangan yang tidak
sihat.
41. Dasar-dasar dan pendekatan Kerajaan yang dipimpin oleh
Parti tuan-tuan dan puan-puan, iaitu UMNO, telah berjaya di
luar dugaan. Dari sebuah negara mundur yang bergantung
hanya kepada sedikit sumber alam; dari sebuah negara di mana
Bumiputera menjadi kaum yang miskin, kita sudah menjadi
salah sebuah negara membangun yang termaju di dunia. Dan
Bumiputera tidak lagi menjadi golongan yang termiskin.
Sebaliknya mereka berjaya dalam bidang profesional, sebagai
peniaga kecil dan besar dan sebagai pengusaha yang setanding
dengan pengusaha bangsa-bangsa lain di dunia.
42. Walaupun masih ada Bumiputera yang sanggup menjual
nama, menjadi Ali dalam kongsi Ali Baba; walaupun ada yang
masih bergantung kepada sokongan dan ugutan politik untuk
mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri, tetapi sudah ramai
yang berjaya, berjaya dalam bidang perusahaan, perniagaan,
kewangan, kontrak bekalan dan binaan. Peniaga kecil dan
sederhana Bumiputera pun tidak daif dan melarat lagi.
43. Hari ini jika kereta mewah lalu di jalan, besar
kemungkinan ianya dimiliki oleh Melayu dan Bumiputera.
Eksekutif Bumiputera dibayar gaji tinggi bukan kerana mereka
Bumiputera tetapi kerana kecekapan dan kepakaran mereka.
44. Dan negara ini, negara Malaysia, walaupun masih
ditakrif sebagai negara membangun, tetapi pembangunannya,
kemudahan infra strukturnya, bentuk dan susunan
bandar-bandarnya, tidak seperti negara membangun. Ianya
lebih dekat kepada negara maju.
45. Pengangguran yang dahulu menjadi masalah, hari ini
sudah pun diatasi. Tidak ada siapa yang harus menganggur
melainkan mereka sengaja tidak mahu bekerja, atau terlalu
memilih kerja atau tempat bekerja.
46. Kadang-kadang kekayaan datang dengan mendadak. Tanah
yang dibeli dahulu dengan harga RM500 seekar tiba-tiba
bernilai RM250,000 seekar.
47. Mungkin ramai daripada para wakil bosan mendengar
tentang kejayaan Malaysia, tentang nasib baik kita, tentang
kekayaan orang itu dan orang ini di antara kita. Mungkin
ada yang berkata: "yalah ada orang Melayu jadi milliona
tetapi aku masih makan koay teow sedangkan mereka makan
"lobster". Aku juga ingin "lobster"."
48. Kerajaan tidak boleh menghidangkan "lobster" kepada
sesiapa. Yang boleh dilakukannya ialah menyediakan peluang
dan melicinkan proses. Mereka yang makan "lobster" hari ini
dahulu makan koay teow di tepi jalan. Ada antara mereka
yang tidak berjaya, atau yang belum berjaya. Kita tidak
pernah berjanji semua Bumiputera akan berjaya. Dan peluang
yang kita beri adalah mengikut kemampuan. Memberi biasiswa
untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah PhD di
Universiti kepada orang yang tidak lulus SPM tidak berguna.
49. Saya akui bahawa kadang-kadang ternampak peluang dan
pertolongan diberi kepada orang-orang tertentu sahaja. Jika
kita selidik, mereka yang berjaya dan kaya raya, yang
menjadi pengusaha terkenal atau "developer" dan kontraktor
terkenal, yang dibenar membeli syarikat ribuan juta ringgit,
kita akan dapati bahawa sebelum mereka ini diberi peluang
dan sokongan, mereka telah menunjukkan kebolehan mereka
dahulu, kerap kali tanpa apa-apa pertolongan khas. Selepas
itu mereka diberi peluang sedikit. Jika mereka berjaya,
mereka diberi peluang yang lebih besar, sehinggalah mereka
maju setanding dengan pengusaha, peniaga dan hartawan bukan
Bumiputera. Jika proses ini nampak cepat, sebabnya ialah
apabila kita kejar orang di hadapan kita, kita perlu lebih
pantas daripada mereka. Jika tidak, bagaimana boleh kita
"catch up" dengan mereka. Harus kita ingat bukan mereka
sahaja yang naik. Bumiputera lain juga dapat menumpang
kejayaan mereka.
50. Kerajaan telah dengan sengaja, tetapi secara tidak
rasmi, mengenalpasti pengusaha dan peniaga kecil yang
berbakat, yang bertanggungjawab, yang serius. Mereka ini
diberi peluang meningkatkan prestasi mereka sedikit, mungkin
sebagai eksekutif dalam syarikat-syarikat tertentu atau
sebagai pengusaha PUNB atau pemilik francais dan
berbagai-bagai cara lagi. Jika setelah diuji mereka
didapati berkebolehan, maka peluang mereka akan ditambah dan
seterusnya. Kita cuba lakukan semua ini secara cermat
supaya tidak lagi berlaku dengan leluasa amalan menjual
saham Bumiputera, Ali-Baba, menjual syarikat, menjual
peluang, menjual lesen, menjual nama dan lain-lain lagi.
51. Alhamdulillah, walaupun ramai yang gagal, ramai juga
yang berjaya. Hakikatnya ialah pendekatan ini adalah lebih
baik, lebih selamat, lebih mungkin berjaya daripada cara
lama, yang melibatkan pemberian saham, peluang, tanah, lesen
dan lain-lain kepada sesiapa sahaja yang mempunyai nama
Bumiputera tanpa mengambilkira prestasi, latar belakang atau
kemampuan mereka. Sebahagian besar daripada apa yang diberi
ini dijual kepada orang lain untuk mendapat kekayaan cepat.
Malangnya kekayaan ini tidak kekal. Dalam jangka yang
pendek mereka kembali untuk meminta lagi.
52. Banyak lagi pendekatan yang boleh dicipta dan
dilaksanakan yang akan dapat menjayakan matlamat
mengimbangkan Bumiputera dengan bukan Bumiputera dalam
bidang ilmu, ekonomi dan sosial.
53. Bumiputera Malaysia adalah antara sebilangan kecil
daripada kaum etnik Melayu yang berjaya. Mereka berjaya
bukan kerana asas etnik tetapi kerana berjaya mencipta
budaya dan tamadun yang sesuai dengan kejayaan. Bagi orang
Melayu budaya mereka diperkayakan dengan penerimaan agama
Islam. Lebih daripada itu mereka bernasib baik kerana
ajaran Islam yang mereka terima adalah yang sederhana, tidak
keterlaluan dan sempit.
54. Tetapi budaya dan tamadun mana-mana kaum berubah dari
masa ke masa. Jika sesuatu kaum itu tertekan mereka mungkin
menjadi lemah jika budaya yang ada pada mereka pada masa itu
tidak mampu mempertahankan mereka. Sebaliknya bagi mereka
yang mempunyai budaya yang baik, apabila ditekan dan
dihimpit mereka merapatkan barisan, meningkatkan ketahanan
dan melawan cabaran.
55. Di waktu orang Melayu menghadapi British kerana
rancangan Malayan Union selepas Perang Dunia Kedua, mereka
berasa terhimpit dan bangsa Melayu yang setia kepada negeri
masing-masing telah menolak perasaan kenegerian untuk
bersatupadu sebagai bangsa Melayu. Hasilnya ialah mereka
berjaya dalam perjuangan mereka sehingga mencapai
kemerdekaan dan membebaskan diri daripada kemiskinan dan
kedaifan dalam berbagai-bagai bidang.
56. Malangnya apabila tekanan dan himpitan sudah
berkurangan perpaduan mula hilang nilai dan kepentingannya.
Yang kita lihat dan kita alami sekarang ialah proses ini,
proses lupa daratan kerana sudah tidak terhimpit lagi.
57. Budaya yang terbentuk sekarang ialah budaya materialis
yang tidak bertanggungjawab.
58. Budaya inilah yang kita lihat sekarang. Percayalah
jika bangsa yang termaju di dunia pun boleh runtuh apabila
hilang budaya yang cemerlang, apatah lagi kita yang belum
pun menjadi bangsa yang termaju. Tentu kita akan hancur
dengan lebih cepat lagi.
59. Rebutan-rebutan yang berlaku di peringkat cawangan,
bahagian dan pusat yang diusahakan oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab akan menghancurkan parti dan bangsa kita.
Mungkin mereka akan berjaya menjadi ketua cawangan, ketua
bahagian, memegang berbagai-bagai jawatan dalam parti,
tetapi semua ini tidak akan membawa apa-apa makna atau
keuntungan apabila parti sudah ditewas dan tidak lagi
menjadi Kerajaan. Mungkin mereka menjadi ketua bahagian
dalam negeri yang sudah jatuh ke tangan parti lain, tetapi
nikmat masih boleh dirasai kerana parti kita berkuasa di
peringkat pusat. Tetapi yakinlah dengan menularnya budaya
yang buruk ini kita mungkin juga tidak akan menguasai
peringkat pusat. Kita akan menjadi pemimpin tanpa kuasa
apa-apa, pemimpin parti yang kalah.
60. Berpindah kepada parti lawan pun mungkin tidak bermakna
kerana dasar parti-parti lain tidak meyakinkan
pencapaian kejayaan, kemajuan dan pembangunan yang kita
lihat hari ini, termasuk meneruskan kejayaan Bumiputera.
61. Bukanlah maksud saya bahawa hanya parti ini di bawah
pimpinan yang ada hari ini sahaja yang berkemampuan
membangunkan negara. Mungkin akan muncul daripada
tokoh-tokoh yang mendapat jawatan sekarang, pemimpin yang
lebih berwibawa, lebih mampu daripada yang ada sekarang.
Mungkin. Tetapi risikonya tinggi. Jika mereka yang naik
ini naik kerana rasuah, kerana cara-cara yang buruk,
kemungkinan mereka menjadi pemimpin yang bersih, yang tidak
akan menggunakan rasuah dalam urusan tugas mereka dan mampu
membangunkan negara adalah tipis.
62. Jika saya dibenarkan menasihat, sebagai orang tua dalam
parti, tolak sahaja mereka yang terlalu sangat ingin menjadi
pemimpin sehingga sanggup menumbuk rusuk, mengumpat,
memfitnah, merosakkan harta benda dan sebagainya. Mereka
yang seperti ini akan menghancurkan parti, menghancurkan
bangsa dan menghancurkan negara.
63. Sesuatu bangsa itu maju atau mundur kerana budayanya.
Budaya pemimpin penting tetapi budaya pengikut tidak kurang
pentingnya. Dalam demokrasi terutamanya, yang penting, yang
akan menentukan nasib bangsa, ialah budaya rakyat biasa.
64. Ahli-ahli biasa mungkin berkata bahawa mereka tidak
terlibat dengan pengurusan parti. Mereka setakat mengundi
untuk ahli-ahli jawatankuasa cawangan sahaja. Justeru itu,
apa salahnya jika mereka mendapat sedikit bagi diri mereka.
Sedikit sahaja. Hanya untuk memberi satu undi kepada si
polan-si polan. Yang lain mereka tidak terlibat. Rasuah
kecil tidak akan membawa apa-apa kesan kepada negara.
65. Jika diadakan sedikit proses tender untuk undi di
kampung, di cawangan, apa salahnya? Lagipun tentu di
peringkat atas lebih banyak rasuah berlaku. Salahkah kalau
kami mendapat sedikit bagi diri kami? Demikian cara
menghalalkan dalam hati perbuatan yang salah. Kalau aku
tidak, orang lain akan buat juga, orang atasan lebih lagi.
Apa salahnya aku juga mendapat sedikit?
66. Akan ada yang berkata, yang bercakap itu pun samalah.
Dua kali lima, lima kali dua juga. Takkanlah dia tidak
lesap sedikit pun untuk dia? Dan kita berasa lega apabila
kita percaya kesalahan kita, dosa kita, kecil berbanding
dengan orang lain.
67. Dan dengan itu rasuah menjadi sebahagian daripada
budaya bangsa.
68. Ingatlah Melaka jatuh kerana ketamakan Kitol dan Raja
Mendeliar. Ingatlah negeri-negeri Melayu dijajah kerana
kakitangan Kerajaan mengaut sebahagian daripada hasil yang
mereka kutip sehingga yang sampai kepada raja tidak banyak
lagi. Dengan itu apabila dijamin oleh Kapitan Cina hasil
yang lebih banyak raja menyerahkan pungutan cukai kepada
Kapitan Cina.
69. Demikianlah proses keruntuhan sesuatu bangsa. Ia tidak
selalunya bermula dari atas. Dengan penyelewengan yang
kecil di peringkat bawahan pun keruntuhan boleh berlaku.
Yakinlah, dari bawah atau dari atas, penerimaan amalan apa
sekalipun akan berkembang sehingga ia menjadi amalan
keseluruhan masyarakat, keseluruhan bangsa. Di masa itu ia
sudah menjadi budaya bangsa. Jika yang diterima itu buruk,
buruklah padahnya. Budaya menentukan baik buruknya
pencapaian sesuatu masyarakat, sesuatu bangsa.
70. Budaya yang buruk ini tidak terhad kepada penerimaan
amalan rasuah. Sesetengah bangsa itu suka memecah perpaduan
dengan mengasingkan suku-suku kerana sebab-sebab yang
diciptakan. Ada bangsa yang dipecah mengikut bangsawan dan
yang bukan bangsawan, mengikut kelas-kelas atasan dan
kelas bawahan; mengikut kononnya paras keagamaan, mengikut
kebersihan dan ketulenan keturunan kononnya, kerana tidak
dicampur dengan darah orang asing, orang luar, dan
lain-lain.
71. Percubaan di Malaysia untuk membeza-bezakan Melayu
mengikut keturunan amat merbahaya. Orang Melayu tidak
begitu ramai. Hampir semuanya jika diselidiki mempunyai
nenek moyang yang tidak begitu tulen. Mereka yang ingin
menekan ketulenan mereka mungkin akan mendapati kumpulan
mereka tidak cukup untuk menguasai politik di kampung
pun,jauh sekali di seluruh negara. Tiada gunanya bermuafakat
antara Melayu yang diiktiraf sebagai tulen jika akhirnya
kita menjadi minoriti yang tidak berpeluang memimpin negara.
72. Malah di Malaysia yang penduduknya berbilang kaum,
Bumiputera dan bukan Bumiputera juga perlu saling
bantu-membantu di antara satu sama lain. Ini dapat dilihat
dalam pilihanraya di mana kemenangan Bumiputera bergantung
kepada sokongan bukan Bumiputera, dan sebaliknya kemenangan
bukan Bumiputera juga bergantung kepada sokongan Bumiputera.
73. Jika saya dibenarkan menasihati sekali lagi, jangan
sesiapa cuba mengasingkan diri kerana mereka lebih tulen
Melayunya, seperti juga kita tidak harus memisahkan diri
kita dan orang Melayu lain kerana kononnya kita lebih Islam.
Perbuatan sedemikian mengkhianati bangsa dan agama kerana
akhirnya kita akan menjadi kumpulan yang kecil, minoriti
yang lemah dan akan ditindas dan dikuasai oleh orang lain.
74. Yang kita harus yakin ialah bangsa kita yang selama 500
tahun telah dijajah, mundur, miskin, tidak berteknologi,
tidak pandai berniaga atau mengeluar apa-apa barangan yang
canggih; adalah bangsa yang tidak kurang berpeluang dan
berkemungkinan untuk menjadi bangsa yang termaju; yang mampu
bersaing dengan sesiapa sahaja; yang dapat menguasai semua
ilmu dan menjadi bangsa yang bermaruah dan dihormati oleh
dunia.
75. Hari ini pun kita telah, sedikit sebanyak, menebus
maruah bangsa kita. Tidak lagi kita menjadi bangsa yang
dihina dan dijajah. Sedikit sebanyak kita telah menjadi
bangsa contoh, bangsa yang berkemampuan mentadbir diri
sendiri, mendirikan negara yang maju, yang mampu
mengeluarkan barangan buatan yang canggih setanding dengan
barangan buatan negara maju; yang mampu bersaing dengan
jayanya dalam pasaran antarabangsa.
76. Jika dahulu kita memberi galakan kepada orang asing
dari negara maju untuk melabur di negara kita supaya kita
dapat memajukan ekonomi kita, hari ini kita orang Melayu dan
Bumiputera dijemput untuk melabur dalam berbagai-bagai
bidang yang canggih di negara-negara asing, dari Eropah
hingga ke Afrika, dari Asia hingga ke Amerika Selatan. Dan
kita dapat melabur dengan jayanya.
77. Semua ini kita tidak pernah mimpi dahulu tetapi
sekarang ia menjadi kenyataan. Bangsa yang dijajah dan
dihina dulu, bangsa yang miskin dan tidak pandai berniaga,
sekarang dilamar dan dipohon untuk membantu membangunkan
ekonomi negara-negara asing melalui pelaburan modal dan
kepakaran.
78. Kita boleh tepuk dada dan berbangga sedikit asalkan
kita sedar kita belum cukup maju dan belum cukup selamat.
79. Jika kita ingin selamat kita perlu mengejar kemajuan
sehingga jika kita jatuh sekalipun, kita tidak akan menjadi
semula bangsa yang terhina, yang ditindas dan dipijak-pijak.
Justeru itu, janganlah kita berpecah-belah kerana kononnya
ada antara kita yang lebih tulen atau yang lebih Islam
daripada Melayu lain.
80. Kita hidup dalam zaman maklumat, "information age",
zaman telekomunikasi canggih, zaman internet, jaring
komputer antarabangsa, yang meluahkan maklumat yang
terdahulu dan terkini sepanjang masa, setiap hari, 24 jam.
81. Maklumat, ilmu dan berita tidak datang siap terjemah
secara otomatik kepada bahasa Melayu untuk kepentingan dan
kegunaan kita. Maklumat datang di zaman ini dalam bahasa
komputer, bahasa yang dicipta oleh cerdik pandai yang bukan
berbahasa Melayu.
82. Kita boleh berkata kita akan tunggu sehingga maklumat
yang kita kehendaki diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Ini
mungkin jika kita ada masa yang panjang dan ada ribuan
penterjemah. Tetapi setelah kita tolak penguasaan bahasa
asing kerana kononnya sayang kepada bahasa kita, dari
manakah akan datang ribuan penterjemah ini jika tidak ada
siapa pun yang mempelajari bahasa asing sehingga ke
peringkat mampu menterjemah bahasa teknikal asing kepada
bahasa teknikal kita yang belum pun dicipta?
83. Mungkin juga kita wujudkan satu kumpulan daripada kaum
bangsa kita yang dibenar untuk mempelajari bahasa asing,
termasuk bahasa Inggeris yang sama ada kita suka atau tidak
suka, sudah menjadi bahasa antarabangsa. Mereka ini akan
menjadi penterjemah kita. Apakah setiap orang daripada kita
boleh diiringi oleh seorang penterjemah apabila kita ingin
mengguna internet dan lain-lain alat canggih teknologi
maklumat? Dapatkah kita gunakan perkataan "teknologi" jika
kita tidak faham apa maknanya dalam bahasa asalnya?
84. Saya sayangkan bahasa Melayu. Saya telah memperjuangkan
penggunaan bahasa Melayu sebelum kebanyakan juara bahasa
Melayu dilahirkan. Saya sedar bahawa bahasa adalah jiwa
bangsa. Saya sedar bahawa bahasa memberi jatidiri kepada
bangsa.
85. Tetapi saya juga sedar bahawa ada bahasa yang hidup
tetapi bangsanya sudah mati.
86. Saya sayangkan bahasa Melayu, bahasa bangsa saya,
bahasa ibunda saya. Tetapi saya juga sayang kepada bangsa
saya. Bahasa tanpa bangsa tidak bermakna. Bangsa tanpa
bahasa juga tidak bermakna. Kita bukan perlu bahasa sahaja
dan kita bukan perlu bangsa sahaja. Kita perlukan bahasa
dan bangsa bersama-sama.
87. Adalah lebih baik bahasa kita kekal sebagai bahasa
bangsa yang maju daripada menjadi bahasa bangsa yang mundur
dan sudah hilang dari muka bumi ini.
88. Di zaman maklumat ini manusia yang tidak mempunyai
maklumat walau bagaimana fasih sekalipun dalam bahasa
sendiri akan ketinggalan zaman, akan mundur dan akan dijajah
oleh orang lain.
89. Kita mempunyai pilihan. Oleh itu pilihlah. Dan
bertanggungjawablah akan pilihan kita itu. Sebagai seorang
demokrat saya terima keputusan ramai, walaupun saya mati
kerananya.
90. Umat Islam di zaman ini tidak mempunyai kedudukan yang
sepatutnya. Daripada menjadi kuasa dunia, dengan empayar
yang terbesar dan tamadun yang tinggi; daripada menjadi umat
manusia yang mendahului umat yang lain dalam bidang-bidang
ilmu pengetahuan, sains dan teknologi; daripada menjadi
pengamal disiplin dan pemilik pasukan-pasukan tentera yang
tertib dan gagah; daripada umat yang menguasai ilmu
pelayaran dan falakh; umat Islam kini sudah menjadi umat
yang lemah, berpuak-puak dan bermusuh-musuhan sesama
sendiri; kurang mempunyai ilmu pengetahuan, tidak memiliki
sains dan teknologi yang canggih, dan mundur dalam
segala-galanya.
91. Apakah ini disebabkan oleh agama Islam? Jika ya,
tentulah umat Islam tidak pernah menjadi masyarakat yang
termaju dan terkuat di dunia? Tetapi kita tahu bahawa
penganut agama Islam, dalam jangkamasa hanya seratus tahun
selepas wafat baginda Rasullullah s.a.w., telah berjaya
menakluk dan mengembangkan agama dan budaya Islam dari
Sepanyol di Barat hingga ke negara China di Timur. Empayar
Rom dan Parsi tumbang di tangan umat Islam dan ramai
daripada mereka menerima bukan sahaja agama Islam tetapi
juga budaya Islam.
92. Daripada peristiwa dalam sejarah Islam ini, yang jelas
ialah Islam menjadi kepercayaan yang mencerahkan dunia gelap
Jahiliah, menjadi suatu kuasa untuk pemodenan, pengembangan
ilmu dan pendorong kajiselidik sains dan teknologi. Jika
hari ini umat Islam lemah dan mundur sebabnya bukan kerana
mereka menganut agama Islam. Sebabnya ialah kerana semakin
lama semakin banyak tafsiran yang berbeza-beza dibuat oleh
orang-orang tertentu sehingga umat Islam keliru dan
berpecah-belah.
93. Daripada agama yang satu di zaman Rasulullah s.a.w.,
Islam berpecah kepada dua apabila pengikut Saidina Ali
memisahkan diri daripada pengikut-pengikut Muawiyah.
Kemudian kumpulan Ahli Sunnah dan Kumpulan Syiah berpecah
lagi menjadi kumpulan-kumpulan yang mempunyai tafsiran yang
tersendiri mengikut pemimpin masing- masing. Kemudian
kumpulan-kumpulan ini juga berpecah. Demikianlah sehingga
ke hari ini proses perpecahan masih berterusan. Proses
perpaduan dan penyatuan jarang diusahakan dan jarang sekali
berjaya.
94. Di negara kita selain daripada kepercayaan orang PAS
bahawa PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS, satu dakwaan
yang amat bertentangan dengan asas agama Islam kerana secara
langsung ia menidakkan keIslaman 1,000 juta umat Islam di
dunia yang tidak menjadi ahli PAS, bahkan menafikan
keIslaman ibu bapa dan nenek moyang orang PAS sendiri; ada
pula pengikut-pengikut berbagai-bagai tarikat dan kumpulan,
termasuk sekarang ini kumpulan Syiah dan anti-hadis.
95. Entah kerana apa, pihak-pihak yang alim dan arif tidak
berminat untuk menjelaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah
kepada hadis. Selain daripada menegaskan bahawa puak Sunni
memegang kepada Sunnah Nabi, penjelasan tidak dibuat bahawa
pegangan ini bukan pegangan buta tuli yang tidak
mengambilkira sahih atau tidaknya sesuatu hadis itu.
96. Kita tidak diberitahu bahawa Bukhari dan Muslim dan
beberapa lagi manusia biasa yang terpelajar, tidak menerima
semua yang dikatakan hadis. Setelah mengkaji dengan teliti
600,000 hadis, Bukhari hanya menerima 7,000. Muslim pula
mengkaji 300,000 hadis dan hanya menerima 4,000. Ada hadis
yang diterima oleh Bukhari, tetapi tidak disahkan oleh
Muslim, murid kepada Bukhari. Tetapi yang tidak diterima
oleh Muslim, pihaknya menjelaskan bahawa mungkin ada yang
sahih. Tetapi tentulah banyak daripada baki 296,000 yang
ditolak adalah tidak sahih dan mungkin ada hadis yang
diterima sebagai sahih, tetapi mungkin tidak sahih. Jika
kita tidak lupa bahawa Bukhari, Muslim, Tarmizi dan
tokoh-tokoh Islam lain yang mengkaji hadis 200 tahun selepas
wafat Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia biasa dengan
segala kelemahan manusia, dan mereka bukan Nabi, tentulah
kita tidak harus memecah-belahkan umat Islam daripada Ahli
Sunnah hanya kerana tafsiran dan dakwaan kesahihan atau
tidaknya hadis-hadis yang dikaji oleh pengkaji hadis ini.
97. Kita masih terima hadis tetapi janganlah kerana
pendapat pentafsir ini berbeza-beza maka kita berpecah-belah
kerana pegangan kita kepada pengesahan oleh mana-mana
pentafsir. Sudah tentu hanya kerana tokoh yang beragama
Islam yang mendirikan parti politik untuk bertanding dalam
pilihanraya membuat tafsiran tentang agama Islam, kita tidak
harus membenarkan persaudaraan Islam dihancurkan.
98. Malangnya ada antara orang tertentu yang suka
menyebutkan hadis yang tidak disahkan oleh mana-mana ulama
yang terkenal, untuk menyokong pendapat atau pendirian
mereka. Hadis-hadis yang lemah ini kerap digunakan untuk
membantu pendapat persendirian dan kerap pula
ditokok-tambah. Dengan ini ramailah yang semakin terkeliru
dan selisih faham antara umat Islam menjadi lebih banyak dan
lebih mendalam.
99. Hari ini kita mempunyai orang yang suka menekankan
pendapat peribadi mereka sebagai ajaran Islam. Demikian ada
yang menjadi pakar rujuk dan apabila ditanya apa
pandangannya tentang bersalaman dengan wanita yang bukan
muhrim, jawabnya ialah adalah lebih baik bergelumang dengan
babi daripada bersalaman dengan wanita yang bukan muhrim.
100. Apakah wanita Islam lebih kotor daripada babi? Dari
manakah kita dilahirkan jika tidak dari perut seorang
wanita? Apakah isteri kita, ibu kita, anak perempuan kita
harus dianggap lebih kotor daripada babi oleh orang lain?
101. Jika umat Islam menghadapi masalah, perpecahan,
keganasan, pemerintahan yang lemah atau yang berkuku besi,
sebahagian daripada sebabnya ialah tafsiran yang melulu oleh
orang yang tidak bertanggungjawab dan yang cetek
pengetahuan. Kerana orang seperti inilah terdapat sekarang
di beberapa buah negara Islam huru-hara dan keganasan dengan
beribu-ribu umat Islam dicedera dan dibunuh. Jika pengganas
ekstremis Islam ini berjaya sekalipun, yang mereka warisi
ialah huru-hara yang tidak berhenti-henti. Lihatlah
peristiwa di beberapa negara Islam sekarang.
102. Umat Islam bukan dijadikan Tuhan dengan otak yang beku.
Mereka sama sahaja dengan manusia lain. Tidak ada sebab
kenapa mereka tidak boleh menguasai semua ilmu di dunia;
tidak boleh mencipta dan mengeluarkan barangan yang canggih;
tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh mendisiplinkan
diri dan mentadbir masyarakat mereka dengan tertib, kemas
dan baik; tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh maju di
dunia di samping beribadat untuk akhirat secara seimbang.
Tidak ada sebab kita tidak menghargai kurniaan Tuhan kepada
orang Islam, terutamanya akal fikiran dan tenaga. Jika umat
Islam hari ini lemah, sebabnya ialah kerana
tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh orang yang berkepentingan
akan ajaran Islam, tafsiran yang menjadikan umat Islam, yang
sepatutnya dinamik, satu umat yang lemah dan tidak bermaya.
103. Jika kita umat Islam ingin maju, kita boleh maju.
Tidak ada larangan agama terhadap kemajuan di dunia. Yang
dikehendaki ialah imbangan di antara dunia dan akhirat.
104. Ahli-ahli UMNO nampak seolah-olah serba-salah apabila
menghadapi parti dan pihak yang suka memperalatkan Islam
kerana sedikit sebanyak ahli-ahli UMNO sendiri tidak yakin
bahawa UMNO adalah pendukung agama Islam, dan ahli-ahli UMNO
bukan sahaja sama dengan orang lain tetapi sebenarnya lebih
mendukung Islam daripada mereka yang mendakwa memperjuangkan
Islam. Kita tidak suka membuat dakwaan yang bukan-bukan,
seperti sebuah parti politik yang mendakwa bahawa Islam
adalah mereka, dan mereka adalah Islam.
105. UMNO adalah parti yang benar-benar mendukung dan
mempertahankan ajaran Islam. Walau pun ada dalam UMNO orang
yang bukan Islam, mereka tidak menghalang UMNO daripada
memperjuangkan agama Islam yang sebenar. Ini bukanlah kali
pertama orang Islam berbaik-baik dan berdamping dengan orang
bukan Islam yang tidak bermusuh dengan mereka. Dalam
sejarah Islam, orang Islam biasa berhijrah ke negara
Kristian untuk mendapat perlindungan daripada puak Jahiliah.
Dalam sejarah Islam orang bukan Islam tinggal bersama,
dilayan dengan baik, bahkan berkhidmat dengan kerajaan-
kerajaan Islam dan tentera-tentera Islam. Kita tidak
disuruh memerangi orang bukan Islam melainkan mereka
bermusuh dengan kita. Dan ahli-ahli UMNO yang bukan Islam
adalah sahabat kita dan tidak memerangi kita.
106. Oleh itu ahli-ahli UMNO yang majoriti beragama Islam
tidak perlu segan silu apabila kita mendakwa UMNO sebagai
benteng pertahanan Islam. UMNO yang memperjuangkan
kemerdekaan Malaysia sudah tentu lebih berjasa kepada Islam
daripada PAS yang tidak bersetuju kita bebas daripada
belenggu British dan menentang tuntutan kemerdekaan oleh
UMNO. Jika PAS menang sebahagian besar kerusi dalam
Pilihanraya 1955, mungkin kemerdekaan pada 1957 tidak
tercapai. Dan jika ianya tidak tercapai tentulah British
akan berusaha melemahkan lagi orang Melayu, supaya jika
akhirnya Tanah Melayu merdeka, Melayu tidak boleh menjadi
majoriti di Malaysia dan memiliki kuasa politik. Jika ini
berlaku apakah mungkin kedudukan Islam dan orang Islam di
negara ini tidak akan tergugat? Justeru itu, kerana hasil
perjuangan ini sahaja pun dakwaan bahawa UMNO menyelamat dan
mempertahankan Islam di Malaysia mempunyai asas yang kukuh.
107. Jika kita ingin Islam maju, dihormati dan disegani,
adalah penting kita mempelajari sejarah umat Islam yang
sebenar. Dalam sejarah negara-negara Islam terdapat banyak
kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Islam yang
menyebabkan umat Islam semakin mundur, semakin lemah
sehingga akhirnya hampir semua wilayah Islam ditakluk dan
diperintah oleh musuh-musuh Islam. Jika kita tahu akan
kesalahan yang sebenar, kita akan dapat mengelak daripada
mengulanginya. Malangnya tekanan kepada pelajaran sejarah
negara-negara Islam amat sedikit dan tidak ada tumpuan
diberi kepada kesalahan dan kesilapan pemimpin dan rakyat
negara Islam. Dengan itu kita tidak mendapat banyak
pengajaran dari sejarah umat Islam. Dan kita ulangi segala
kesalahan berkali-kali. Dengan itu hampir tidak ada negara
Islam di zaman ini yang gagah dan maju; sebaliknya
kebanyakannya mengalami huru- hara, rusuhan serta peperangan
sesama sendiri, dan letupan bom di sana-sini. Ada pihak di
Malaysia yang ingin melihat huru-hara di negara ini seperti
di beberapa negara Islam lain semata-mata kerana mereka
tidak memegang kuasa pemerintahan.
108. UMNO dan Kerajaan pimpinan UMNO bertanggungjawab
terhadap pengetahuan agama Islam dan sejarah umat Islam di
kalangan umat Islam di Malaysia. Masanya sudah tiba untuk
kita mengkaji penyampaian ajaran Islam di seluruh negara,
untuk kita tentukan mereka yang menyampaikan ajaran Islam
tidak mempunyai kepentingan lain, untuk kita membendung
kegiatan menyesat dan menyelewengkan akidah umat Islam,
untuk kita tentukan umat Islam berpegang kepada ajaran yang
diterima oleh Ahli Sunnah Wal Jemaah dengan tidak
mencampuradukkan ajaran-ajaran dan tafsiran-tafsiran lain
oleh orang yang ingin menonjol kelebihan Islam mereka, untuk
kita mengetahui apakah kesalahan sebenar yang dilakukan oleh
umat Islam sehingga umat yang menjadi khalifah di dunia ini
dihalau, dihina, dibunuh dan ditakluk oleh musuh-musuh
Islam.
109. Daripada apa yang telah saya sebutkan ini tentulah
jelas orang Melayu dan Bumiputera lain di Malaysia belum
selamat. Kejayaan kita hari ini amat kecil. Benar kita
tidak lagi dijajah. Benar kita sekarang tidak lagi menjadi
kaum yang termiskin dan daif di negara ini. Benar ramai
daripada kita yang sudah kaya raya, ramai yang berilmu
pengetahuan, mempunyai kedudukan yang tinggi dan menguasai
Kerajaan. Benar kita boleh menggunakan kuasa politik
kita, bahkan undi kita yang satu itu untuk memaksa Kerajaan
tunduk kepada kita.
110. Tetapi kita harus ingat bahawa semua yang ada pada kita
boleh dipisahkan daripada kita dan kita sekali lagi menjadi
bangsa yang daif dan termiskin, dan secara tidak langsung
dijajah.
111. UMNO tidak menang kerana ahli UMNO ramai; 2.4 juta
sekarang. Jika UMNO bergantung kepada undi ahli UMNO sahaja
dalam pilihanraya, kita akan menang hanya beberapa kerusi
sahaja di kawasan-kawasan di mana orang Melayu adalah
majoriti dan hampir semua mereka ahli UMNO. Dan kita tahu
di kawasan-kawasan seperti ini pun UMNO boleh kalah kerana
bukan semua orang UMNO menyokong calon UMNO.
112. Di kawasan-kawasan lain UMNO bergantung kepada orang
Melayu dan Bumiputera yang bukan ahli UMNO, kerana yang
menjadi ahli UMNO adalah minoriti daripada pengundi-pengundi
di kawasan berkenaan. Orang yang bukan ahli UMNO menyokong
UMNO kerana dalam persepsi mereka UMNO berjuang untuk
kepentingan mereka sebagai orang Melayu/Bumiputera, UMNO
berjuang untuk agama Islam dan untuk negara Malaysia serta
untuk mempertahan dan meningkatkan maruah bangsa, agama dan
negara.
113. Jika dalam persepsi orang bukan ahli UMNO, UMNO tidak
lagi berjuang untuk bangsa, agama dan negara dan sebaliknya
untuk diri orang tertentu yang tamak dan angkuh, orang yang
menggunakan wang untuk membeli sokongan dalam parti, orang
yang tidak pernah bersyukur, yang berebut-rebut untuk
mendapatkan tempat dan jawatan, mustahil mereka akan memberi
sokongan kepada calon-calon UMNO dalam pilihanraya.
114. Sebaliknya jika kerana pertandingan merebut jawatan
atau untuk menjadi calon terlalu hebat, mungkin ramai ahli
UMNO pun tidak akan menyokong calon UMNO kerana calon itu
bukan daripada kumpulan mereka. Ini memang biasa terjadi,
dan ia boleh menjadi sebahagian daripada budaya UMNO.
115. Seperti saya sebutkan tadi mungkin ada yang berpendapat
bahawa yang penting bukan jadi calon atau wakil rakyat, yang
penting ialah menjadi Ketua Bahagian. Sebagai Ketua
Bahagian mereka akan mendapat kedudukan istimewa, akan
mendapat jawatan dalam badan-badan tertentu, akan dilihat
berdamping dengan pemimpin-pemimpin negara dan dengan itu
akan mendapat sesuatu bagi diri mereka.
116. Mereka yang berfikiran demikian harus ingat, segala
harapan mereka akan menjadi abu jika kerana budaya buruk
yang diamalkan UMNO kehilangan banyak kerusi sehingga tidak
lagi dapat mendirikan Kerajaan baik di peringkat negeri atau
di peringkat pusat.
117. Hari ini ada negeri di mana UMNO sudah tidak menjadi
Kerajaan. Rebutan jawatan yang berlaku hanyalah kerana
persepsi bahawa dengan Kerajaan Pusat dikuasai oleh UMNO,
maka mereka akan mendapat kedudukan yang istimewa. Jika
cita-cita mereka begitu terhad, iaitu hanya untuk memenangi
tempat dalam parti tetapi bukan untuk memenangi kembali
Kerajaan negeri, maka kejayaan mereka akan merugikan mereka
dan parti juga. Kejayaan yang sebenar hanya boleh dicapai
jika kita dapat membelakangkan kepentingan diri dan
mengutamakan parti. Percayalah, kita akan mendapat lebih
banyak nikmat daripada hanya menjadi pemimpin dalam parti
yang kalah.
118. Ingatlah persepsi sekarang bahawa orang Melayu tidak
lagi menghadapi apa-apa bahaya adalah salah. Ingatlah
persepsi bahawa orang Melayu akan terus berkuasa, UMNO akan
berkuasa selama-lamanya, BN sudah tentu akan menjadi
Kerajaan di peringkat Pusat dan di kebanyakan negeri, orang
bukan Melayu dan parti-parti komponen bukan Melayu tetap
akan menyokong UMNO dan menjayakan BN; adalah persepsi yang
salah.
119. Ingatlah bagaimana orang Melayu dan Islam di sebuah
negeri dengan begitu mudahnya menyokong parti-parti lawan
dan memberi kejayaan kepada mereka sehingga orang Melayu dan
Islam tidak ada tempat di negeri itu lagi.
120. Malaysia aman dan maju jaya kerana UMNO. Tanggungjawab
kita jauh lebih besar daripada tanggungjawab mana-mana parti
lain dalam Barisan Nasional atau di luarnya. Bagi UMNO
bukan kemenangan dalam pilihanraya sahaja yang penting
tetapi juga pengurusan pentadbiran negara supaya maju, gagah
dan dihormati.
121. Kita telah berjaya setelah hampir 40 tahun memerintah,
membuktikan bahawa orang Melayu dan Islam dengan Bumiputera
lain mampu bukan sahaja mentadbir sebuah negara, tetapi juga
mentadbirkannya dengan cekap dan berkesan. Walaupun
biasanya tidak mudah negara berbilang kaum dan agama aman,
tetapi negara kita aman, penduduk berbagai-bagai kaum
berdamping rapat hingga dapat merayakan bersama perayaan
masing-masing. Kita tahu bagaimana di negara lain, kerana
hanya sedikit perbezaan pendapat, rakyat yang sebangsa dan
seagama pun berperang dan menghancurkan segala harta dan
bangunan, membunuh dan mencederakan bukan sahaja pasukan
perang tetapi juga orang awam, termasuk orang tua, wanita
dan kanak-kanak. Bahawa ini tidak berlaku di negara kita,
sedikit sebanyak, adalah kerana kecekapan pemerintahan yang
diterajui oleh UMNO.
122. Negara kita bukan sahaja aman, ia juga begitu maju
sehingga ia menjadi contoh kepada seluruh dunia. Kemajuan
ini bukan tercapai dengan sendirinya. Ia bukan kerana
negara kita mempunyai sumber alam yang banyak dan berharga.
Kemajuan ini dicapai kerana perancangan, kerana dasar-dasar,
kerana peningkatan kecekapan pentadbiran, kerana tidak
dilanda rasuah, kerana pegangan kepada nilai-nilai mulia
yang secocok dengan ajaran agama, kerana usaha yang gigih
yang tidak tahu penat lelah oleh semua anggota pemerintahan
dan pentadbiran, dan kerana kesederhanaan.
123. Oleh itu, peliharalah UMNO sebagai satu tanggungjawab
yang mulia. Singkir dan hapuskanlah sifat-sifat yang hina,
ketamakan tempat dan kuasa. Hentikanlah rebutan jawatan.
Utamakanlah pengabdian diri kepada bangsa, agama dan
tanahair. Bersyukurlah dengan nikmat Tuhan. Perjuangan
untuk diri sendiri tidak kekal. Hanya perjuangan untuk
bangsa, agama dan tanahair yang lebih kekal dan yang lebih
bermakna.
124. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh sebuah parti
politik, sama ada yang demokratik atau tidak, ialah
peralihan kepimpinan. Biasanya proses peralihan ini membawa
masalah, kadang-kadang sehingga menghancurkan parti.
125. Dalam sejarah UMNO, peralihan pucuk pimpinan sudah
berlaku empat kali. Alhamdulillah, walaupun perpecahan
pernah berlaku kerana peralihan kepimpinan, ianya tidak
menjadi kebiasaan.
126. Saya bersyukur kerana semasa saya mengambilalih
kepimpinan parti tidak wujud apa-apa masalah. Sekarang saya
sudah memimpin parti selama lebih empat belas tahun dan saya
sekarang berusia 70 tahun. Tentulah akan tiba masanya,
tidak lama lagi, untuk pemimpin baru menerajui parti.
127. Jika diizinkan biarlah saya nyatakan di sini hasrat
saya supaya peralihan yang akan berlaku tidak akan membawa
apa-apa bencana kepada parti. Niat saya ialah untuk
menyerahkan kepada pengganti saya sebuah parti yang kukuh,
bersatupadu dan berwibawa. Dan dalam tradisi UMNO,
pengganti kepada Presiden ialah Timbalan Presiden.
128. Usaha untuk menimbul syak-wasangka di antara Presiden
dan Timbalannya tidak harus dibuat, terutama oleh ahli-ahli
parti. Biarlah orang asing dan musuh-musuh UMNO dan negara
melakukan perbuatan yang keji ini. Tujuan mereka ialah
untuk melemah dan memecah-belahkan UMNO supaya apabila
peralihan kepimpinan berlaku Presiden baru akan mendapat
hanya separuh sahaja daripada UMNO, iaitu mereka yang
menyokongnya sahaja. Penyokong Presiden lama akan kecewa
dan menarik diri daripada parti. Mungkin juga mereka akan
menentang parti. Dan ini sudah tentu akan melemahkan parti.
129. Ingatlah apa yang berlaku pada tahun 1987. Yang kalah
telah pergi ke mahkamah dan hasilnya parti diharamkan. Dan
apabila gagal menubuh dan memimpin UMNO yang baru, mereka
telah menubuhkan parti sendiri, bekerjasama dengan parti
lawan dan menentang UMNO.
130. Alhamdulillah, kita berjaya mengatasi masalah 1987.
Tetapi sisa-sisa perbalahan itu tidak menguntungkan kita.
131. Oleh itu, izinkan saya mencadangkan supaya apabila
tibanya masa untuk peralihan kepimpinan, tidak ada
perbalahan akan berlaku. Sebaliknya UMNO diserah
bulat-bulat, secara tertib dan terselamat kepada Presiden
baru.
132. Secara ikhlas saya nyatakan bahawa niat saya ialah
untuk menyelamatkan parti, menyelamatkan bangsa dan
menyelamatkan negara. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa
Ta'ala supaya diizinkan-Nya kita melalui peralihan
kepimpinan parti kita dengan cara yang selamat.
|