Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Tarikh/Date : 28/11/95
Tajuk/Title : UPACARA MELETAK BATU ASAS KAMPUS
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Saya mengucapkan terima kasih kepada Universiti
Malaysia Sabah kerana menjemput saya untuk melakukan upacara
meletak batu asas bagi kampusnya pada hari yang bersejarah
ini.
2. Universiti Malaysia Sabah adalah universiti yang
ke-sembilan dan yang termuda di negara kita. Atas kesedaran
bahawa sebuah universiti di Sabah akan dapat mencetuskan
perubahan bukan sahaja pada ekonomi, sosial dan politiknya,
tetapi juga pada kemajuan pendidikan, kebudayaan dan paras
keilmuannya, maka Kerajaan Barisan Nasional menunaikan
janjinya kepada rakyat Sabah yang dibuat pada pilihanraya
umum dahulu untuk membina universiti ini.
3. Malaysia adalah negara berbilang kaum yang pada hari
ini telah menempuh pelbagai kejayaan dan kemajuan. Kita
telah berjaya dalam banyak bidang, terutama dalam
meningkatkan prestasi ekonomi negara. Kejayaan ini bukanlah
datang bergolek. Kejayaan kita adalah atas usaha yang gigih
dan ketabahan serta keberanian semua pihak untuk menghadapi
cabaran dan membawa perubahan yang mendatangkan kemajuan.
4. Namun kita tidak harus berpuashati dengan pencapaian
dan kejayaan kita setakat ini. Apa yang kita perolehi hasil
kerja keras semua golongan rakyat perlulah diteruskan. Ini
ialah kerana semangat berdaya saing terutama dengan
negara-negara yang maju hendaklah terus dijadikan budaya
yang mesti kita tanamkan dalam hati sanubari rakyat.
5. Kemampuan berdaya saing ini bukan sahaja penting dalam
usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga dalam
mengejar kemajuan dalam sistem pendidikan kita. Pendidikan
adalah satu pelaburan yang besar dan sangat penting pada
negara. Kita lihat negara-negara yang maju dan kaya pada
umumnya membuat pelaburan yang besar untuk memajukan
sumber tenaga manusianya. Kemampuan sesebuah negara
menerokai dan meneruskan semua kemajuan dan kejayaan yang
telah dicapainya sangat bergantung kepada nisbah
anak-anak mudanya di dalam institusi pendidikan tinggi.
6. Pendidikan tinggi di Malaysia sedang berkembang dengan
pesat tetapi tidak sepantas dengan kemajuan ekonomi negara.
Justeru itu, peranan universiti dalam mengisi keperluan
melahirkan tenaga kerja yang terlatih dan terpelajar menjadi
semakin penting dan rumit. Bukan sahaja siswazah yang
terpelajar yang diperlukan tetapi siswazah yang berkualiti,
berwibawa, berani dan mampu menghadapi cabaran dalam dunia
realiti. Jika Malaysia ingin maju ke hadapan, ingin
tingkatkan daya saing dengan negara-negara maju yang lain,
tenaga kerja kita mestilah terdiri daripada mereka yang
cukup terlatih dan mahir di samping terpelajar. Tenaga
kerja yang mahir dan terpelajar akan memastikan kecekapan,
kepandaian dan kemampuan melaksanakan apa saja kerja yang
ditugaskan.
7. Untuk melahirkan siswazah yang terpelajar dan
berkualiti, universiti di negara ini mestilah sanggup
membuat perubahan- perubahan. Perubahan-perubahan ini bukan
sahaja perlu dilihat daripada sudut perubahan struktur dan
bentuknya sebagai sebuah badan pendidikan tinggi, tetapi
juga daripada segi kurikulum dan pengajaran ilmu yang
relevan bagi menghadapi cabaran abad ke-21.
8. Universiti-universiti di Malaysia mestilah berani
menerokai bidang baru dengan mengambilkira keperluan negara
kini seperti bidang pengurusan, perindustrian dan teknologi.
Kursus-kursus yang bersifat "science-based" dan
"technology-based" seperti kejuruteraan automobil,
kejuruteraan angkasa lepas dan teknologi pembinaan kapal
yang boleh mengukuhkan kemampuan berdaya saing Malaysia
dengan negara-negara maju, mestilah difikirkan oleh
universiti untuk diterokai melalui program-program
pengajiannya yang berani.
9. Para pemimpin universiti, baik di bidang akademik
mahupun pengurusan, mestilah berani menangani sebarang
perubahan. Perubahan sikap dan strategi juga perlu
ditangani dalam mencari sumber kewangan untuk membiayai
program-program ataupun projek-projek yang boleh membawa
pulangan yang menguntungkan kepada universiti itu sendiri
dan juga negara.
10. Sudah tiba masanya universiti meningkatkan kerjasama
dengan sektor korporat untuk mencari dana bagi menampung
keperluan membiayai penyelidikannya. Usahasama pihak swasta
dengan universiti perlu digalakkan dan dipertingkatkan.
Salah satu tujuan Kerajaan mengkorporatkan universiti adalah
untuk memberi laluan kepada universiti mengatasi masalah
kewangan untuk penyelidikan dan program pengkajian di
universiti.
11. Perubahan juga harus difikirkan daripada segi kaedah
pengajaran. Seluruh kakitangan akademik universiti perlulah
menilai kembali kaedah dan cara-cara pengajaran dan
pembelajaran di universiti. Misalnya, masalah yang dihadapi
oleh pelajar-pelajar Bumiputera di bidang sains dan
matematik amat perlu diatasi segera. Keciciran pelajar
Bumiputera di bidang pengajian bahasa Inggeris, sains dan
matematik harus mendapat perhatian dan ditangani oleh semua
pihak. Ketinggalan kaum Bumiputera dalam bidang-bidang ini
akan menyulitkan mereka untuk bersaing dengan orang lain
yang sudah jauh lebih maju. Wawasan 2020 tentulah tidak
akan bererti apa-apa jika pencapaian kaum Bumiputera tidak
setara dengan pencapaian kaum-kaum lain di negara kita
seperti di bidang profesional iaitu kejuruteraan, perubatan,
perakaunan pengurusan dan komunikasi. Cara-cara menyampaikan
ilmu kepada Bumiputera mestilah disesuaikan dengan sifat-
sifat yang ada pada mereka. Cara-cara yang "orthodox"
mungkin tidak sesuai dan cara-cara yang baru perlu
diterokai. Penggunaan komputer dan animasi perlu dikaji
untuk memudahkan penerapan ilmu oleh Bumiputera.
12. Bagi kaum Bumiputera di Sabah, Universiti Malaysia
Sabah tentulah akan menjadi tunggak harapan dan lambang
aspirasi rakyat Sabah untuk mendapatkan bimbingan dan
dukungan bagi pembangunan negeri ini. Sabah yang kaya dengan
hutannya, keunggulan khazanah marinnya dan keindahan alam
serta kekayaan budaya kaum-kaum Bumiputeranya boleh menjadi
tempat yang paling ideal untuk penyelidikan para ilmuan.
13. Mungkin juga di sinilah peluang untuk Universiti
Malaysia Sabah menempa kecemerlangan dalam penyelidikan yang
tulen sifatnya. Mungkin juga di sinilah dapat diusahakan
penyelidikan yang boleh melihat bagaimana proses integrasi
berlaku antara kaum-kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera
dan juga antara suku-suku kaum di kalangan kaum Bumiputera
itu sendiri. Proses integrasi etnik yang berlaku di Sabah
ini amat unik dan kajian mengenainya boleh membantu Kerajaan
dalam usaha membina suatu bangsa Malaysia yang mempunyai
pengalaman sejarah bersama, nilai-nilai yang dikongsi
bersama, perasaan kekitaan dan pemilikan jatidiri yang sama
yang mengatasi ikatan-ikatan etnik tanpa menggugat identiti
suku kaumnya sendiri.
14. Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan flora dan
faunanya, Sabah mempunyai keunggulan daripada segi alam
sekitar. Sebagai sebuah negara yang amat prihatin terhadap
kesejahteraan dan keaslian alamnya, Malaysia telahpun
menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Hidupan atau
"Biodiversity Convention" dan kita telah juga
mengesahkannya, demi untuk menjamin pemuliharaan hidupan
negara kita. Saya dimaklumkan bahawa Universiti Malaysia
Sabah yang mempunyai unit penyelidikan mengenai kajian
biologi tropika akan membina sebuah muzium hidupan
semulajadi yang bukan sahaja berfungsi untuk mendidik
masyarakat tentang warisan alam negara ini tetapi juga turut
berperanan sebagai pusat penyelidikan biosistemik di negara
ini. Langkah ini adalah selaras dengan usaha negara untuk
meningkatkan penyelidikan dan pendidikan terhadap rahsia
hidupan di muka bumi ini, bukan sahaja untuk menambah
pengetahuan kita tentang alam semula jadi negara tetapi juga
menyedarkan kita tentang peranan memelihara alam.
15. Kita menaruh harapan usaha universiti ini menumpukan
perhatian kepada penyelidikan alam semulajadi Sabah dan juga
penyelidikan hidupan lautnya yang dibuat melalui unit
penyelidikan marinnya akan mendapat galakan dan sokongan
semua yang berkenaan terutama Kerajaan Negeri. Bantuan
dalam apa bentuk pun pasti boleh membantu Universiti
Malaysia Sabah menjayakan kerja-kerja penyelidikannya di
bidang tersebut.
16. Sebuah universiti seperti Universiti Malaysia Sabah
bukan semata-mata sebuah gedung ilmu yang menyampaikan
ilmu-ilmu akademik yang bersifat "hard sciences" sahaja
tetapi juga menyumbang terhadap pembangunan negara dan
pengembangan nilai-nilai budaya dan intelek bangsa.
Universiti bukan sahaja patut melahirkan siswazah yang
mahir, cekap dan terpelajar, tetapi juga berhemah tinggi,
berakhlak mulia, berdisiplin, beramanah dan berjiwa
patriotik terhadap negara dan masyarakatnya. Nilai-nilai
luhur inilah yang akan mengimbangi naluri kemanusiaan dan
sifat-sifat dalam diri seseorang siswazah.
17. Tanpa dilengkap atau dibekalkan dengan nilai-nilai ini
adalah dikhuatirkan kita akan mempunyai lebih ramai anggota
masyarakat yang rendah maruah diri, yang rakus, angkuh,
korup dan tidak bertanggungjawab kepada negara. Saya
berharap siswazah yang dikeluarkan bukan sahaja terpelajar
dan mahir dalam bidang ilmunya tetapi juga berbudi,
penyayang dan bertanggungjawab terhadap sesama manusia dan
juga kepada alam sekitarnya.
18. Saya percaya Universiti Malaysia Sabah bukan sahaja
dapat mengisi keperluan untuk membantu pembangunan negara
tetapi juga memberikan khidmat baktinya kepada Sabah dan
rakyatnya. Kerajaan berharap kampus ini akan dapat
dimulakan pembinaannya secepat mungkin supaya menjelang 1998
nanti Universiti Malaysia Sabah akan memiliki kampusnya
sendiri di kawasan Teluk Likas yang indah ini.
19. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanyai
merasmikan upacara meletak batu asas bagi pembinaan Kampus
Universiti Malaysia Sabah.
|