Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KAMPUNG GAYANG, TUARAN, SABAH
Tarikh/Date : 28/11/95
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENDARATAN
GAS PETRONAS
Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana
menjemput saya untuk melancarkan projek Pendaratan Gasnya di
Kampung Gayang pada hari ini.
2. Pelancaran projek ini menyaksikan satu lagi pembangunan
di negeri Sabah yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan
negeri ini. Pelancaran projek ini bukan sahaja menandakan
keyakinan terhadap Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua
Menterinya, YAB Datuk Mohd Salleh Tun Said, tetapi juga
adalah wajar dan kena pada masanya memandangkan pertumbuhan
ekonomi yang menggalakkan di negara kita dan juga di rantau
ini.
3. Sektor industri dijangka akan terus menjadi nadi utama
pembangunan negara bagi mencapai matlamat Wawasan 2020.
Industri petroleum adalah antara industri yang dapat terus
dipertingkatkan. Manakala di peringkat serantau pula,
penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Asean dan lain-lain
kumpulan kerjasama seperti Kawasan Pertumbuhan Segitiga
Indonesia-Malaysia-Singapura, Kawasan Pertumbuhan Segitiga
Indonesia-Malaysia-Thailand dan Kumpulan Pertumbuhan Asean
Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), akan
menjadi "catalyst" dalam menggalakkan pembangunan
perindustrian Malaysia.
4. Pertumbuhan pesat negara yang dialami sekarang dijangka
akan berterusan dan berikutan dengan ini permintaan bagi
tenaga juga dijangka akan terus meningkat, iaitu pada purata
kira-kira 10 peratus setahun sehingga menjelang tahun 2000.
Keadaan ini juga menyebabkan penggunaan bahan-bahan sumber
untuk mengeluarkan tenaga akan turut meningkat. Justeru
itu, selaras dengan strategi Kerajaan untuk mempelbagaikan
sumber tenaga, penggunaan gas asli sebagai sumber tenaga
utama akan menjadi lebih penting. Alhamdulillah, negara
kita dikurniakan sumber gas asli yang banyak dan dengan itu
berupaya mengekalkan tahap rezab gas asli yang agak besar
bagi menampung keperluan tersebut. Insya-Allah, mengikut
perancangannya, gas dapat membekalkan kira-kira 70 peratus
daripada jumlah tenaga yang diperlukan bagi kegunaan
penjanaan elektrik menjelang tahun 2000, berbanding dengan
hanya kira-kira 25 peratus dalam tahun 1990.
5. Penubuhan Kumpulan BIMP-EAGA yang terdiri daripada
pulau-pulau Mindanao dan Pahlawan di Filipina Selatan,
Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia Timur, Brunei
Darussalam dan Sulawesi Utara dan Kalimantan Barat di
Indonesia tidak sahaja akan mempercepatkan proses
pembangunan perindustrian negara tetapi juga akan membuka
peluang perniagaan dan pelaburan yang lebih besar bagi
Kawasan Pertumbuhan Asean Timur atau EAGA. Antara
bidang-bidang perniagaan yang mungkin boleh diceburi oleh
Malaysia termasuklah penerokaan minyak dan gas selain
daripada pembangunan rangkaian dan perkhidmatan
telekomunikasi, pengluasan hubungan udara, perniagaan,
pertanian dan perikanan, pembalakan, pemprosesan dan
pengetinan makanan serta pelancongan. Peluang- peluang
tersebut perlulah diceburi oleh pengusaha-pengusaha negeri
ini sebanyak mungkin yang dapat.
6. Dalam hal ini Kerajaan pusat dan negeri telah
melaksanakan beberapa langkah demi mempercepatkan kadar
pertumbuhan ekonomi negeri kita. Antara langkah yang telah
dilaksanakan ialah menyediakan peruntukan pelbagai insentif
cukai. Memandangkan negeri Sabah terletak di dalam kawasan
"koridor industri" maka Sabah juga menikmati
insentif-insentif cukai yang disediakan khas untuk kawasan
tersebut. Kemudahan-kemudahan seperti ini bertujuan untuk
menggalakkan pelaburan domestik dan juga untuk menarik
pelaburan asing. Adalah diharapkan usahawan-usahawan
tempatan akan melengkapkan diri untuk turut serta dalam era
pembangunan perindustrian negara. Mereka boleh bergiat,
sama ada menerusi penyertaan dalam konsortium, usahasama
atau lain-lain program pembangunan usahawan atau "vendor
development programme", terutamanya dalam bidang pembuatan.
Satu lagi langkah Kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan
ekonomi Sabah ialah dengan membangunkan Taman Industri Kota
Kinabalu yang sedang giat dijalankan.
7. Usaha pembangunan negeri Sabah juga memerlukan
kegiatan-kegiatan sokongan yang lain seperti kemudahan
infrastruktur dan prasarana sokongan yang sempurna lagi
"reliable". Pelaksanaan Projek Pendaratan Gas PETRONAS
umpamanya merupakan antara kemudahan utama yang penting bagi
menyokong dan memeransang pertumbuhan sektor industri di
Sabah. Di samping itu, Kerajaan juga telah meluluskan
penubuhan beberapa buah syarikat penjana elektrik
persendirian untuk memenuhi keperluan industri negeri ini.
8. Selain dapat menghasilkan bahan bakar alternatif yang
lebih kos efektif dan bersih untuk penjanaan elektrik,
projek gas PETRONAS ini juga akan membawa lain-lain kesan
positif terhadap ekonomi Negeri Sabah. Khususnya,
pelaksanaan projek ini sudah tentu dapat memenuhi objektif
Kerajaan untuk membangunkan industri-industri kecil dan
sederhana tempatan menerusi penawaran kontrak-kontrak kecil
bagi kerja-kerja pembinaan projek.
9. Saya berasa gembira kerana sebuah Jawatankuasa Bersama
antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS, yang
dipengerusikan oleh YAB Datuk Mohd Salleh, telah ditubuhkan
untuk menyelaras serta mengawasi pembangunan industri
petroleum di negeri ini. Saya yakin dengan komitmen
daripada Kerajaan Negeri dan juga kemampuan serta pengalaman
luas PETRONAS, Jawatankuasa ini akan dapat mencapai
matlamatnya untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada
rakyat dan Negeri Sabah. Saya mengucapkan syabas dan
berharap kerjasama dan hubungan rapat antara Kerajaan Negeri
dan PETRONAS akan terus terjalin demi kebaikan rakyat dan
negara keseluruhannya.
10. Akhir kata, saya suka mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam
perancangan dan pelaksanaan Projek Pendaratan Gas PETRONAS
ini, dan juga atas sokongan pihak-pihak berkenaan,
terutamanya penduduk setempat, untuk memastikan kejayaan
projek ini.
11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Projek Pendaratan Gas PETRONAS ini.
|