Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL DYNASTY, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/12/95
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN HARI PENJAJA DAN
KONVENSYEN PENJAJA 1995
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat bersama-sama
dengan tuan-tuan dan puan-puan daripada kalangan masyarakat
penjaja di majlis yang diadakan pada hari ini. Saya
mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur di atas
Pelancaran Hari Penjaja dan Konvensyen Penjaja yang ulung
kalinya diadakan di peringkat Kebangsaan.
2. Di Malaysia yang sedang membangun penjaja masih
memainkan peranan yang tidak kecil dalam ekonominya. Namun
demikian perubahan sudah pun banyak berlaku. Perkataan
penjaja itu sendiri sudah tidak bermakna lagi kerana ia
berasal daripada cara-cara dahulu di waktu mana penjual
barangan mengandar barangan mereka dan menjaja, iaitu
meneriak nama barangan yang hendak dijual di merata kampung
dan jalan. Hari ini tidak ada siapa yang menjaja atau
mengandar barang-barang untuk dijual. Jualan dibuat dari
gerai-gerai yang kemas dan kerapkali tersusun indah.
Justeru itu, penjaja sudah bukan penjaja lagi. Mereka sudah
maju setahap, maju selaras dengan kemajuan negara.
3. Saya percaya kemajuan yang dicapai akan disusuli dengan
banyak lagi kemajuan. Saya yakin bahawa tiap seorang yang
dikenal sebagai penjaja sekarang, sebenarnya adalah peniaga
kecil yang berhasrat untuk memperbaiki dan membesarkan lagi
perniagaan mereka. Sebabnya yang saudara-saudari hari ini
berniaga dalam gerai dan tidak lagi dengan kandar dan bakul
ialah kerana perniagaan saudara-saudari sudah menjadi besar
dan pelanggan datang ke gerai dan tidak lagi penjaja pergi
ke rumah atau berkandar sepanjang jalan. Justeru itu,
tidaklah mustahil jika perniagaan kecil sekarang ini menjadi
lebih besar ataupun lebih teratur dan menarik.
4. Ramai daripada kita, terutamanya orang Melayu, yang
berpendapat cara yang terbaik untuk mengaut untung yang
lebih ialah dengan mengurang modal dan belanja dan menjual
dengan harga yang tinggi. Tetapi keuntungan yang lebih
tidak semestinya datang daripada kos yang rendah dan harga
jualan yang tinggi. Keuntungan yang lebih juga boleh
didapati daripada jualan yang laris kerana harga jualan yang
murah.
5. Namun dalam masyarakat yang mewah, menjual dengan harga
jualan yang tinggi pun boleh menarik pelanggan dan sudah
tentu memberi banyak keuntungan. Tetapi kebiasaannya
pelanggan lebih tertarik dengan harga yang murah.
6. Masyarakat Malaysia kian maju. Apa yang sanggup
diterima oleh mereka semasa mereka kurang maju tidak akan
diterima oleh mereka sekarang. Hari ini mereka bukan sahaja
ingin membeli barangan yang mereka suka dalam apa jua
keadaan. Hari ini mereka ingin juga layanan yang baik, baik
daripada segi hiasan, baik daripada segi layanan, baik
daripada segi kualiti dan baik daripada segi segala-galanya.
7. Jika kita akui hakikat ini maka kita tentu sanggup
menjaga kebersihan gerai, bangunan dan hiasan yang bermutu
tinggi dengan layanan yang tertib dan baik.
8. Maksud saya ialah peniaga tidak rugi jika membelanja
lebih sedikit untuk mempunyai gerai yang bersih dan cantik
serta menyediakan pakaian jurujual yang bersih dan
hiasan-hiasan lain yang bermutu. Marjin keuntungan mungkin
kurang sedikit, walaupun pelanggan mungkin tidak akan rasa
tertipu jika harga jualan dinaikkan sedikit untuk mendapat
untung yang sama dengan dahulu.
9. Jika peniaga kecil sanggup berbuat demikian maka mutu
perniagaan akan meningkat dan imej penjaja Malaysia akan
naik lagi. Insya-Allah, penjaja tidak akan rugi tetapi
sebaliknya akan menjadi peniaga kecil yang bermutu tinggi
dengan potensi untuk maju setahap lagi.
10. Satu hari masyarakat Malaysia akan lebih mewah dan
tidak ramai lagi akan makan atau membeli-belah di
gerai-gerai tepi jalan kerana mengutamakan semata-mata harga
murah. Mereka akan ke kedai biasa yang bertaraf tinggi.
Apabila sampai ke masa itu, penjaja sepatutnya sudah sampai
ke taraf yang sama, bersedia dengan kedai bertaraf tinggi
yang dapat memenuhi selera dan kemampuan masyarakat yang
lebih mewah ini. Demikian di negara yang sudah maju penjaja
hampir tidak ada lagi. Sebaliknya terdapat banyak kedai
makan yang difrancais yang lebih teratur dan selesa.
11. Benarkah setelah masyarakat Malaysia menjadi mewah dan
lebih memilih maka perniagaan gerai akan hapus? Mungkin.
Seperti saya terangkan tadi di Malaysia sekarang sudah tidak
ada lagi penjaja yang mengandar barang, menjaja dan menjual
di kampung-kampung atau di jalan-jalan. Mereka sudah
ditelan zaman. Penjaja hari ini sudah diganti dengan peniaga
gerai dan kedai kecil. Tidak mustahil jika satu hari,
mungkin pada tahun 2020, peniaga kecil dengan gerai
sementara yang condong di tepi jalan akan luput, hilang sama
sekali. Hilang kerana sudah tidak ada pelanggan. Dengan
kemewahan, pelanggan ingin bergaya lebih.
12. Dengan kehilangan peniaga di gerai, satu lagi cara
hidup kita akan hilang, seperti kehilangan penjaja tulen
melenyapkan satu cara hidup negara kita. Apakah yang kita
harus buat? Yang harus kita buat ialah menaikkan taraf
gerai kita, meninggikan mutu kedai dan gerai, berniaga
secara lebih teratur mengikut cara-cara perniagaan moden,
membesarkan perniagaan, memindah dari gerai ke kedai kecil
dan dari kedai kecil ke kedai besar.
13. Mungkin ada yang berpendapat kita harus lawan arus,
kita kekalkan cara perniagaan kita, kita tentang
segala usaha untuk memperbaiki perniagaan gerai di tepi
jalan dan kereta sorong. Saya berpendapat melawan arus
hanya akan melambatkan proses perubahan. Kita akan rugi
kerana akhirnya perubahan akan berlaku juga. Pelanggan
sendiri akan menuntut supaya jenis perniagaan gerai
diperbaiki, bukan dengan paksaan tetapi dengan mereka
membawa pembelian mereka ke tempat lain.
14. Sebaliknya mereka yang sanggup mengikut arus dan
aliran, akan mengaut kejayaan, kerana mengikut selera
pelanggan. Mereka akan menaikkan mutu perniagaan mereka
walaupun tidak lagi sebagai pemilik gerai.
15. Satu daripada perniagaan kecil di dunia yang berjaya
ialah McDonald Hamburger. Ia bermula dengan sebuah kedai
hamburger kecil di luar bandar. Pemiliknya menerima
cadangan supaya difrancaiskan kedainya. Dengan membangunkan
sistem francais yang baik, hari ini McDonald Hamburger
berkembang ke seluruh dunia. Manusia yang tidak pernah
makan hamburger, orang yang suka makan nasi lemak, sudah
menjadi pelanggan utama hamburger. Demikian potensi
perniagaan kecil. Apakah tidak boleh kita francaiskan
makanan kita, seperti nasi lemak, sate, mee mamak dan
sebagainya? Tentu boleh. Inilah masa depan bagi peniaga
gerai yang harus menjadi cita-cita kita semua.
16. Saya gembira kerana dijemput ke majlis pelancaran Hari
Penjaja dan Konvensyen Penjaja. Pandangan saya tentang
perkataan "Penjaja" bagi tuan-tuan dan puan-puan adalah
pandangan saya. Saya tidak ingin memaksa pandangan saya ke
atas sesiapa. Tetapi sebagai mewakili Kerajaan dan sebagai
seorang yang pernah menjadi peniaga kecil, saya gembira
dengan keputusan untuk mengadakan perayaan Hari Penjaja dan
juga Konvensyen Penjaja. Penjaja, peniaga kecil menyumbang
tidak sedikit kepada ekonomi negara. Tanpa mereka tentulah
sukar bagi mereka yang berpendapatan rendah menikmati
kehidupan yang selesa. Tanpa mereka inflasi sifar atau
inflasi yang rendah tidak akan tercapai di negara kita.
17. Kita perlu tentukan apakah tujuannya Hari Penjaja.
Apakah tujuannya untuk memperingati kita bahawa kita adalah
penjaja atau apakah tujuannya untuk menaikkan taraf
perniagaan kita sehingga kita tidak menjadi penjaja lagi?
Mungkin juga tujuan Hari Penjaja dan Konvensyen Penjaja
ialah untuk memperbaiki prestasi dan imej penjaja, menjadi
usaha ini lebih berdaya maju dan lebih progresif.
18. Konvensyen adalah tempat kita membuat resolusi.
Tentulah sebahagian daripada resolusi yang akan dibuat ialah
untuk mendesak Kerajaan membantu penjaja dengan
berbagai-bagai cara lagi, mendesak kuasa-kuasa tempatan
supaya tidak terlalu keras dalam menangani masalah kegiatan
perniagaan penjaja dan lain-lain lagi. Kerajaan akan
menimbang dengan penuh simpati akan sungutan, rungutan dan
rayuan daripada penjaja.
19. Tetapi tidak kurang pentingnya ialah saudara-saudari
membincang dan mencadang akan tindakan-tindakan yang boleh
diambil oleh penjaja sendiri, bagaimana memajukan lagi
perniagaan penjaja, menyemak dan mengkaji serta mempelajari
contoh-contoh penjaja yang maju, mencari jalan untuk
mengadakan "network" atau rangkaian perniagaan penjaja,
mengesan cara-cara baru perniagaan kecil di dalam dan di
luar negeri yang boleh menjadi contoh.
20. Saya harap agenda kedua yang bergantung kepada tindakan
penjaja sendiri diberi perhatian yang serius. Mendesak
orang lain tentulah mudah tetapi orang lain mempunyai
"priority" lain. Mendesak diri sendiri lebih mudah kerana
kita sendiri akan menentukan "priority"nya.
21. Peningkatan keuntungan boleh dicapai melalui
berbagai-bagai cara, dan bukan hanya mengurang sedikit
sukatan atau menaikkan harga. Ada kalanya menurun harga
boleh menambah keuntungan kerana penjualan lebih laris.
Demikian juga kebersihan mungkin memerlukan tambahan belanja
tetapi mungkin menambah keuntungan kerana dapat menarik
lebih banyak pelanggan dan lain-lain.
22. Saya tidak berhajat memberi terlalu banyak nasihat
kerana ia mungkin membosankan. Saya juga tidak berminat
membuat terlalu banyak janji kerana mungkin saya tidak
dapat tunaikan semua janji saya. Tetapi percayalah Kerajaan
yang memerintah hari ini bersimpati dengan penjaja. Jika
aturan peraturan yang dikenakan ternampak menyusahkan,
sebabnya ialah kerana ia mendatangkan manfaat kepada negara
dan juga kepada penjaja sendiri. Sebab itu walaupun banyak
aturan peraturan diperkenalkan, bilangan penjaja masih
bertambah. Tentulah tidak akan ada pertambahan jika aturan
peraturan ini merugikan.
23. Seperti dengan perniagaan-perniagaan lain soal modal
merumitkan perniagaan penjaja. Perkara ini akan diberi
perhatian oleh Kerajaan. Ada beberapa cara untuk mengatasi
masalah ini dan Kerajaan akan mengkajinya dengan positif.
24. Perbadanan Jaminan Credit (CGC) boleh menyemak semula
syarat-syarat serta had yang dikenakan sekarang supaya
sesuai dengan keadaan harga semasa. Para penjaja yang
memerlukan bantuan hendaklah dibantu dengan secukupnya untuk
membangun atau memperluaskan perniagaan. Walaupun begitu,
para penjaja juga perlu bersikap bertanggungjawab dan tidak
mengambil kesempatan membelanjakan pinjaman untuk
perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan perniagaan.
25. Mengenai peranan persatuan-persatuan penjaja pula, saya
amat mengharapkan supaya mereka berperanan besar dalam
membantu meningkatkan lagi disiplin para penjaja kerana
disiplinlah yang akan menentukan maju atau mundurnya diri
seseorang. Persatuan-persatuan penjaja hendaklah berusaha
lebih giat lagi dengan mengadakan aktiviti-aktiviti dan
program-program yang menjurus ke arah pembentukan disiplin
ini. Seboleh-bolehnya setiap ahli persatuan hendaklah
dipastikan menyertai aktiviti dan program yang diadakan. Di
samping itu, usaha-usaha yang berterusan hendaklah dilakukan
supaya setiap penjaja yang ada di negara ini mendaftarkan
diri menjadi ahli persatuan di peringkat tempatan dan
seterusnya di peringkat kebangsaan. Pembentukan satu
masyarakat penjaja yang berwawasan dan mempunyai jatidiri
serta harga diri sepatutnya menjadi misi kepada setiap
persatuan penjaja baik di peringkat tempatan mahupun di
peringkat kebangsaan.
26. Dengan harapan-harapan ini, saya dengan segala
sukacitanya merasmikan Pelancaran Hari Penjaja dan
Konvensyen Penjaja 1995.
|