Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	LANGKAWI, KEDAH DARUL AMAN 
Tarikh/Date 	: 	03/12/95 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN 
			TERMINAL BARU LAPANGAN TERBANG 
			ANTARABANGSA LANGKAWI 



           Saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airports
    Berhad  kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan  Bangunan
    Terminal Baru Lapangan Terbang  Antarabangsa  Langkawi  pada
    malam ini.

    2.    Peranan dan fungsi lapangan terbang di zaman ini telah
    berubah  daripada  satu   "kemudahan   awam"   kepada   satu
    "pelaburan   perniagaan"  yang  mempunyai  kesan  yang  luas
    terhadap ekonomi, sosial dan politik negara.  Sebab itu kita
    lihat  seolah-olah  berlaku  satu  persaingan  besar   dalam
    pembinaan  lapangan terbang baru serta peningkatan kemudahan
    yang sedia ada  di  merata  dunia.    Kawasan  Asia  Pasifik
    diramalkan  mempunyai kadar pertumbuhan industri penerbangan
    yang tinggi sekali untuk dekad-dekad yang akan datang.

    3.    Kita lihat sekarang  di  sekitar  negara  kita  banyak
    lapangan  terbang  baru muncul menggantikan lapangan terbang
    yang lama yang tidak mampu lagi menampung  keperluan  semasa
    dan  akan  datang.  Sebab   itu  tidak   menghairankan  jika
    berbillion ringgit diperuntukkan dalam kerja-kerja  menambak
    laut  dan  menyesuaikan  persekitaran untuk membina lapangan
    terbang.  Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam merebut
    peluang yang ada.  Kerajaan akan melabur hampir RM9,000 juta
    untuk membangunkan Kuala  Lumpur  International  Airport  di
    Sepang  yang  dijangka  siap untuk digunakan pada awal tahun
    1998. Seperti  juga  dengan  Lapangan  Terbang  Antarabangsa
    Subang   yang   semasa  pembukaannya  hanya  mempunyai  satu
    bangunan terminal dan satu landasan yang pendek tetapi  hari
    ini  mempunyai  banyak bangunan dan kemudahan. Demikian juga
    Kuala Lumpur International Airport  akan  mendapat  tambahan
    kemudahan sehingga akhirnya jumlah belanja meningkat mungkin
    kepada  20  ribu  juta.    Ini  adalah  pelaburan  yang akan
    menguntungkan negara.

    4.    Pulau Langkawi  telah  menyaksi  pelbagai  pembangunan
    sejak  Kerajaan mengambil keputusan membina lapangan terbang
    ini untuk membuka laluan kepada penerbangan dalam  dan  luar
    negeri  pada  1hb. Julai 1980  lalu.   Kalau  10 tahun  lalu
    Padang Terbang Langkawi  hanyalah  merupakan  sebuah  padang
    terbang  kecil yang sunyi sepi dengan hanya mempunyai sebuah
    pondok kecil yang dijadikan bangunan terminal,  kini  Padang
    Mat  Sirat bergegar dengan bunyi enjin pesawat-pesawat besar
    dan juga jet-jet pejuang.   Semenjak  lapangan  terbang  ini
    dibuka  untuk  operasi Airbus pada tahun 1987, jumlah trafik
    telah meningkat dua  kali  ganda  setiap  tahun.    Daripada
    17,300  penumpang pada tahun 1987, kini lapangan terbang ini
    telah mengendalikan kira-kira 873,000 penumpang  pada  tahun
    lalu,  iaitu  50  kali  ganda dalam tempoh tujuh tahun, satu
    kadar pertambahan yang tertinggi di rantau ini  dan  mungkin
    juga  di  dunia.  Pertambahan  yang  luar  biasa  ini  telah
    memaksa Kerajaan memperbesarkan bangunan  terminal  sebanyak
    dua  kali sebelum dikorporatkan lapangan-lapangan terbang di
    bawah Malaysia Airports Berhad.   Adalah dijangkakan  jumlah
    trafik  penumpang  akan  meningkat  ke  angka satu juta pada
    penghujung tahun ini.

    5.    Bersesuaian  dengan  kadar  pertumbuhan  trafik   yang
    menggalakkan   serta   perubahan  peranan  lapangan  terbang
    sebagai  satu  "pelaburan  perniagaan",  Malaysia   Airports
    Berhad telah mengambil langkah yang wajar untuk membangunkan
    semula    bangunan    terminal   bagi   memenuhi   keperluan
    pengguna-pengguna di lapangan terbang ini.   Melalui  projek
    ini    Malaysia   Airports   Berhad   bukan   sahaja   telah
    memperluaskan kawasan terminal tetapi  juga  telah  menambah
    pelbagai  kemudahan  seperti  tempat membeli-belah, restoran
    dan kaunter pelancongan sebagai memenuhi kehendak  penumpang
    dan pengguna-pengguna lapangan terbang.

    6.    Dalam  penyediaan   kemudahan-kemudahan  ini  Malaysia
    Airports  Berhad  juga  telah  berjaya  mengimbangi   antara
    keperluan   pengguna   dan   peranannya   sebagai   syarikat
    perniagaan atau badan korporat.  Saya yakin  langkah-langkah
    yang  telah diambil ini akan dapat mengenengahkan lagi Pulau
    Langkawi sebagai pusat pelancongan  dan  membeli-belah  yang
    popular.

    7.   Saya mengucapkan syabas kepada Malaysia Airports Berhad
    kerana  membiayai  dan  melaksanakan  projek ini dan berjaya
    menyiapkannya  sempena dengan Pameran  LIMA 1995.  Ini  akan
    memberi  kesempatan  kepada pengunjung-pengunjung ke Pameran
    LIMA 1995 melihat perubahan pesat yang berlaku  di  Langkawi
    selepas LIMA 1993.

    8.    Sebagai  langkah  jangka  panjang  Kerajaan  mendapati
    bahawa adalah  penting  landasan  terbang  Lapangan  Terbang
    Antarabangsa    Langkawi   ini   dipanjangkan   lagi   untuk
    membolehkan pesawat-pesawat lebih besar seperti  Boeing  747
    membuat     penerbangan     terus     ke    Langkawi    dari
    destinasi-destinasi yang jauh.   Sehingga kini  perkhidmatan
    penerbangan  ke Langkawi adalah tertumpu kepada perkhidmatan
    dalam negeri  dan  perkhidmatan  penerbangan  serantau  yang
    terhad.

    9.   Dengan kemudahan bangunan terminal yang lebih besar dan
    selesa  ini  serta  kemudahan  penginapan  yang lebih banyak
    dengan disokong pula  dengan  aktiviti-aktiviti  pelancongan
    yang  kian  bertambah,  Lapangan  Terbang Langkawi ini mampu
    untuk memainkan peranan penting dalam rancangan  pembangunan
    bersama  Malaysia,  Thailand,  Indonesia,  sebagai  Lapangan
    Terbang Pelancongan.  Justeru itu masanya telah  tiba  untuk
    Syarikat  Penerbangan Malaysia memperluaskan perkhidmatannya
    ke   destinasi-destinasi    serantau    dengan    mengadakan
    perkhidmatan   antarabangsa  secara  langsung  ke  Langkawi.
    Penerbangan  secara  langsung   ke   Langkawi   akan   dapat
    meningkatkan  lagi  aktiviti ekonomi di pulau ini.  Di bawah
    dasar Kerajaan yang  liberal  terhadap  perkhidmatan  udara,
    saya menjangkakan  syarikat-syarikat  penerbangan asing akan
    mengambil  peluang ini untuk datang ke Pulau Langkawi dengan
    secepat mungkin.

    10.   Saya difahamkan bahawa Malaysia  Airports  Berhad juga
    akan  melaksanakan  projek yang serupa di Johor Bahru, Pulau
    Pinang dan Miri dalam usaha mereka untuk meningkatkan  taraf
    lapangan terbang dalam negara secara berperingkat-peringkat.
    Usaha  ini  adalah  selaras  dengan  matlamat  dan  kehendak
    penswastaan Kerajaan untuk memajukan lagi sektor penerbangan
    awam.    Sekiranya  konsep  pembangunan  bangunan   terminal
    lapangan  terbang  Langkawi ini dijadikan sebagai "showcase"
    kepada bangunan-bangunan  terminal  yang  akan  dilaksanakan
    oleh  Malaysia  Airports  Berhad,  maka di dalam tempoh yang
    singkat ini kita akan dapati  kebanyakan  daripada  lapangan
    terbang   di  Malaysia  akan  berubah  corak  dan  mempunyai
    rekabentuk yang menarik dan praktikal.

    11.   Saya juga diberitahu  bahawa  beberapa  ciri  bangunan
    terminal  baru  Lapangan  Terbang  Langkawi adalah diasaskan
    kepada ciri-ciri yang serupa yang  akan  terdapat  di  Kuala
    Lumpur  International  Airport  di  Sepang  kelak.    Selaku
    "lessee dan  operator"  KLIA  Sepang  kelak,  saya  berharap
    Malaysia  Airports  Berhad akan dapat menggunakan pengalaman
    di dalam  pengurusan  operasi  bangunan  terminal  baru  ini
    sebagai  panduan  dalam  penyediaan  perkhidmatan untuk KLIA
    Sepang kelak. Di  sini  saya  mengambil   kesempatan   untuk
    menyarankan  kepada  Malaysia  Airports  Berhad, Penerbangan
    Malaysia dan semua agensi  Kerajaan  dan  organisasi  swasta
    yang  menyediakan  perkhidmatan  di  lapangan  terbang untuk
    memberi  perhatian  kepada  perkhidmatan  secara   bersepadu
    supaya  peningkatan  daripada  segi  kemudahan digemblengkan
    dengan peningkatan tahap perkhidmatan.

    12.   Perubahan-perubahan    fizikal   yang    berlaku   di-
    persekitaran  kawasan  Lapangan Terbang Langkawi menunjukkan
    adanya  keperluan  untuk  mengkaji  semula  pembangunan   di
    kawasan Padang Mat Sirat.  Saya ingin mencadangkan agar satu
    kajian  semula  dilakukan  terhadap pembangunan pekan Padang
    Mat Sirat supaya kawasan ini dapat dibangun  dan  diserapkan
    sebagai  suatu  pusat  pembangunan  yang  menarik dan saling
    membantu di dalam pembangunan industri penerbangan awam.  Di
    dalam  hal  ini  perhatian   juga   perlulah   diberi   agar
    pembangunan   yang  dirancang,  dapat  dinikmati  sama  oleh
    penduduk tempatan Langkawi.

    13.  Saya mengucapkan syabas kepada Malaysia Airports Berhad
    di atas penyiapan bangunan terminal  baru  Lapangan  Terbang
    Langkawi  dalam  jangkamasa hanya 10 bulan dan sempat dibuka
    sebelum Pameran LIMA 95.

    14.    Dengan  ini,  saya  dengan   sukacitanya   merasmikan
    pembukaan bangunan terminal baru Lapangan Terbang Langkawi. 
 
 



 
Google