Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HILTON HOTEL, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/12/95
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN
PEGAWAI TADBIR & DIPLOMATIK
(PPTD) 1995
Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pegawai
Tadbir dan Diplomatik kerana menjemput saya dan isteri ke
Majlis Makan Malam Tahunannya pada malam ini.
2. Kita rakyat Malaysia telah diberikan limpahan
kemewahan, kemakmuran dan keamanan. Tiap hari kita
mendengar, terbaca atau melihat melalui TV berbagai-bagai
malapetaka seperti gempa bumi, banjir, kemarau panjang,
letupan gunung berapi, kebuluran atau bencana-bencana lain
menimpa rakyat negara lain di serata pelusuk dunia.
Walaupun bencana alam berlaku di negara kita, seperti banjir
atau kejadian tanah runtuh, kesannya adalah kecil jika
dibandingkan dengan malapetaka yang menimpa negara-negara
asing. Bencana alam yang sering berlaku ini, bagaimanapun
bukanlah penyebab utama kepada kemelaratan, kesengsaraan dan
penderitaan yang dialami oleh berjuta-juta rakyat dunia.
Jika kita menyingkap kembali sejarah, malapetaka yang lebih
dahsyat adalah dimulakan sendiri oleh manusia. Fenomena
peperangan, keganasan, pemberontakan, fahaman fanatik,
kebencian perkauman dan lain-lain bentuk kekacauan adalah
contoh bagaimana manusia berbunuhan atau bertindak kejam
menjahanamkan insan dan hartabenda sesama sendiri. Setakat
ini, dengan limpahan nikmat dan keamanan yang berpanjangan,
serta ekonomi yang maju, rakyat Malaysia harus bersyukur
kerana kita lebih bernasib baik berbanding dengan
bangsa-bangsa lain.
3. Apa yang kita capai dan perolehi pada hari ini
bukanlah hanya warisan. Ia adalah hasil titik peluh, kerja
kuat dan pengorbanan yang telah kita curahkan sebelum ini.
Memang benar, bumi kita Malaysia dikurniakan oleh Tuhan Yang
Maha Esa dengan pelbagai limpahan kekayaan semulajadi.
Kekayaan tersebut bagaimanapun jika tidak diurus dengan baik
dan sempurna, belum tentu akan memberikan pulangan untuk
kita kecapi hasilnya. Satu masa dulu, negara kita amat
bergantung kepada beberapa barangan komoditi. Turun naik
harga barangan tersebut tidak sahaja menjejaskan kelicinan
belanjawan tahunan yang kita rancangkan, malah lebih teruk,
ia kerap memberi kesan buruk terus kepada pendapatan
petani-petani serta peladang-peladang.
4. Kini negara mencapai pembangunan ekonomi yang pesat
dengan kadar pertumbuhan melebihi lapan peratus setahun
sejak tujuh tahun berturut-turut. Pencapaian ini antara
lain disebabkan oleh keberkesanan dan kelicinan jentera
pentadbiran Kerajaan khususnya Perkhidmatan Awam. Ianya
merupakan nadi yang penting dalam menggerakkan keseluruhan
jentera Kerajaan. Golongan pentadbir adalah pelaksana dasar
dan rancangan Kerajaan dan bertanggungjawab memastikan
projek-projek serta perkhidmatan-perkhidmatan yang
disalurkan berjalan dengan baik. Walaupun dari masa ke
semasa, masih ada rungutan terhadap perkhidmatan awam, saya
percaya ianya sedang diperbaiki menerusi pelbagai
pembaharuan dan inovasi yang sedang dibuat ke arah
memastikan birokrasi kita prihatin, bersifat proaktif dan
cekap. Jika dibandingkan dengan perkhidmatan awam di negara
membangun yang lain, saya percaya perkhidmatan awam di
negara ini jauh lebih profesional dan sistematik.
Barangkali kerana keberkesanan yang telah ditunjukkan itu,
`The World Competitive Report' meletakkan Perkhidmatan Awam
Malaysia di tangga keempat terbaik di dunia. Dalam konteks
ini, saya berharap semoga cita-cita untuk menjadikan
Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai yang terunggul di dunia
bukanlah merupakan satu impian, malah ianya boleh menjadi
kenyataan sekiranya sektor awam terus berusaha dengan penuh
dedikasi, berdisiplin, cekap dan produktif.
5. Pada akhir-akhir ini, ada kalangan yang berpendapat
bahawa peranan Perkhidmatan Awam telah berkurangan,
menguncup dan tidak lagi penting. Perkhidmatan Awam masih
dan akan terus memainkan peranan yang penting, cuma
fungsinya harus berubah mengikut peredaran masa.
Perkhidmatan Awam harus menjadi fasilitator yang dapat
memenuhi kehendak rakyat terutamanya pihak swasta. Kerajaan
banyak meluluskan undang-undang dan dasar-dasar yang perlu
diselaraskan oleh anggota-anggota Perkhidmatan Awam.
Undang-undang atau peraturan-peraturan yang sebegitu banyak
mungkin sebahagiannya telah lapuk dan tidak lagi bersesuaian
dengan keadaan sekarang. Dalam konteks ini, golongan
pentadbir perlu mengkajinya untuk dipinda, dibatal atau
ditokok-tambah.
6. Dalam urusan seharian, Kerajaan berharap perkhidmatan
yang diberi kepada pelanggan, yang terdiri daripada rakyat
jelata ini dibuat dalam bentuk yang mudah, lebih cepat,
telus dan tidak membebankan. Borang-borang yang diguna pakai
oleh jabatan-jabatan Kerajaan sekarang harus dikaji dan jika
perlu, dipinda ke arah mempertingkatkan lagi kelicinan
pentadbiran Jabatan-jabatan Kerajaan. Seberapa yang mungkin
Perkhidmatan Awam harus beralih kepada automasi kerana
dengan automasi kerja-kerja akan dapat dipercepatkan dan
penggunaan kertas dapat dikurangkan. Perkara penting yang
diperlukan dari Perkhidmatan Awam sekarang adalah supaya
dapat melahirkan sesuatu dengan kos yang minima dan
mengambil masa yang singkat.
7. Jika kedudukan Perkhidmatan Awam Malaysia berada pada
tahap yang kukuh dan terbaik sekarang, sedikit sebanyak
ianya adalah sumbangan terus daripada Perkhidmatan Tadbir
dan Diplomatik. Perkhidmatan ini mengepalai berbagai
jawatan penting dalam sektor awam sama ada bagi sektor dalam
negeri mahupun untuk sektor luar. Sebagai salah satu
perkhidmatan tertua yang bermula sejak zaman penjajah lagi,
Perkhidmatan PTD mengepalai perkhidmatan- perkhidmatan lain
dalam urusan pertadbiran, penggubalan, pelaksanaan dan
penilaian dasar-dasar dan projek-projek utama Kerajaan.
Skop yang dirangkumi adalah luas, iaitu meliputi pembangunan
ekonomi, tenaga manusia, sosial, kewangan, keselamatan,
Pentadbiran Daerah dan Kerajaan Tempatan serta lain-
lainnya. Memandangkan pentingnya perkhidmatan ini, adalah
amat penting satu sistem pengambilan yang ketat atau
"selection process" digunakan supaya hanya calon-calon yang
sesuai sahaja dipilih untuk memasukinya. Langkah ini
penting untuk memastikan prestasi Perkhidmatan PTD terus
berada pada tahap terbaik sesuai dengan peranan dan
tanggungjawab besar yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Bagi pegawai-pegawai yang sedia ada, mereka perlu mencari
ruang dan cara terbaik untuk terus memperbaiki kecekapan
diri.
8. Dalam konteks ini, Pegawai PTD harus sentiasa mengorak
inisiatif baru atau mengeluarkan ide-ide bernas. Mereka
yang ingin berjaya perlu sentiasa mencari jalan dan berusaha
untuk memperkayakan minda, pemikiran dan tingkah laku supaya
tidak terperangkap dalam budaya "complacence".
9. Kekayaan alam semulajadi bukanlah satu-satunya
prasyarat untuk menjadi sesuatu negara itu makmur. Banyak
negara Selatan yang mempunyai "biodiversity" yang melimpah
tetapi terus hidup melarat kerana gagal menguruskan sumber
dengan baik. Peranan sumber tenaga manusia di dalam
membangunkan negara sedemikian juga. Walaupun peranan
tenaga manusia ini penting, jika kita tidak melatihnya
supaya lebih produktif, berkemahiran, berdisiplin dan
bertanggungjawab, ada kemungkinan kejayaan yang kita capai
pada hari ini akan luntur dan lenyap esok hari. Kita perlu
mengurus kejayaan kita dengan cara terbaik agar kita terus
meningkatkan kemajuan kita. Jika kita ingin terus
mengekalkan prestasi, semua warga Malaysia tidak harus
dibuai dan berkhayal dengan kejayaan yang lalu. Kita perlu
terus bertungkus-lumus dan jangan sekali-kali berhenti
kerana berpuas hati dengan apa yang kita capai setakat ini.
Banyak peradaban serta negara-negara yang maju sebelum ini
runtuh atau mengalami krisis kerana kelalaian rakyatnya dan
banyak juga syarikat gergasi mati kerana tidak berjaya
mengurus kejayaan. Ini adalah antara pengajaran yang perlu
diambil iktibar oleh kita.
10. Dalam suasana dunia yang dinamik dan sentiasa berubah
pantas ini, kita perlu harungi cabaran dalam konteks
mengubah paradigma lama, dari batasan dalam negeri kepada
tiada sempadan atau "borderless". Masyarakat Wawasan 2020
harus mampu berfikiran secara global di samping memperteguh
struktur dan sistem dalaman dan nilai-nilai masyarakat
tempatan. Di samping itu, kita harus sedar tentang
perkembangan teknologi, komunikasi yang canggih dewasa ini
yang menjadikan dunia semakin sempit. Kemajuan sistem
pengangkutan udara, laut dan darat membolehkan kita beredar
di merata pelusuk dunia dalam masa yang singkat. Dengan
adanya sistem telefon, fax dan "video conferencing", kita
boleh berhubungan dan berunding dengan rakan-rakan di luar
negara dengan jelas dan cepat. Dalam "environment" seperti
inilah, sektor awam harus bekerjasama dengan lebih rapat
dengan rakan-rakan di sektor swasta bagi membolehkan kita
bukan sahaja merebut peluang ekonomi yang terbuka luas di
dunia luar, tetapi juga mampu bersaing dengan mereka dalam
jangka masa panjang.
11. Sebagaimana saya tegaskan awal tadi, rakyat
berkehendakkan perkhidmatan yang berkualiti. Setakat ini,
saya percaya beberapa pembaharuan telah dilaksanakan,
umpamanya yang terbaru adalah pengenalan konsep piagam
pelanggan (client charter). Saya percaya walaupun
pengenalan apa-apa program baru adalah penting, kejayaannya
adalah bergantung kepada setakat mana kita sanggup melakukan
"follow-up"' dan "follow-through" untuk memastikan ianya
memberi hasil seperti yang diharapkan.
12. Kita sering mendengar bagaimana kejadian pecah amanah
meruntuhkan institusi kewangan. Kita juga mungkin terbaca
laporan mengenai gejala-gejala buruk yang lain seperti
penyelewengan, rasuah dan penipuan yang datang dari sifat
tamak haloba individu-individu yang rakus. Amatlah
menyedihkan apabila perbuatan-perbuatan ini dilakukan oleh
golongan-golongan yang cerdik serta berjawatan tinggi.
Walaupun setakat ini, peratusan golongan yang terlibat
dengan gejala-gejala buruk ini tidaklah tinggi, namun
program serta tindakan pencegahan yang berterusan adalah
perlu. Dalam konteks ini, usaha-usaha untuk memupuk dan
memantapkan nilai-nilai murni yang sedia ada seperti
integriti, akauntabiliti, nilai-nilai ketakwaan dan
keikhlasan perlu diberi keutamaan. Nilai-nilai murni ini
perlu dipupuk dalam konteks yang menyeluruh, iaitu bermula
dari institusi kekeluargaan, alam persekolahan, masyarakat
setempat, kejiranan sehinggalah kepada organisasi
perkhidmatan awam.
13. Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan selamat bersara kepada Tan Sri Dato' Mahmud bin
Taib, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang secara kebetulan
akan bersara dari Perkhidmatan Awam pada esok hari. Kepada
PPTD, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas
kesudian menjemput saya pada malam ini.
|