Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADI0 DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/95
Tajuk/Title : PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA
TAHUN BARU 1996
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Alhamdulillah, saya bersyukur ke-hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala kerana dengan izin-Nya sekali lagi saya dapat
menyampaikan Perutusan Tahun Baru kepada rakyat Malaysia.
Sesungguhnya kita rakyat Malaysia bernasib baik kerana
sepanjang tahun 1995 negara kita bukan sahaja aman dan
stabil, dengan rakyat berbagai-bagai kaum hidup berharmoni,
bahkan kita terus maju, makmur dan selamat. Malaysia juga
bertuah kerana terus dijauhi daripada sebarang malapetaka
besar dan kejadian yang tidak diingini.
2. Kadangkala kita "take for granted" atau lupa akan nasib
kita yang sungguh baik ini kerana bagi kita kestabilan,
kemajuan dan kemakmuran sudah menjadi perkara biasa. Hanya
apabila kita lihat melalui televisyen atau akhbar gambar-
gambar penderitaan rakyat di negara-negara lain, akibat
peperangan atau mala petaka, baharulah kita sedar sedikit
akan betapa baiknya nasib kita. Jika kita insaf tentulah
kita akan banyak bersyukur kepada Tuhan. Mudah-mudahan
dengan kita insaf dan bersyukur kita akan terus dirahmati-
Nya dengan nikmat yang berterusan.
3. Tahun 1995 menyaksikan sekali lagi pertumbuhan ekonomi
yang tinggi bagi negara. Pertumbuhan yang tinggi ini, yang
diiringi dengan inflasi yang rendah, telah membolehkan
rakyat terus menikmati taraf hidup yang meningkat. Ini
dapat dilihat daripada pendapatan per kapita rakyat Malaysia
yang telah meningkat kepada lebih RM9,900 atau US$3,850 pada
tahun ini. Daripada segi daya membeli pula, atau Purchasing
Power Parity, pendapatan ini adalah lebih tinggi, iaitu sama
dengan US$8,800 di Amerika. Pertumbuhan yang tinggi ini
juga telah membolehkan Kerajaan terus melaksanakan program-
program pembangunan yang memberi faedah kepada negara dan
rakyat keseluruhannya.
4. Perkembangan ekonomi negara adalah begitu pesat
sehinggakan pada hari ini Malaysia menjadi negara
pengeksport yang ke-13 terbesar di dunia. Pencapaian ini
adalah sesuatu yang boleh kita banggakan memandangkan
Malaysia adalah sebuah negara kecil yang mempunyai hanya
seramai 19 juta penduduk. Struktur ekonomi negara juga
sudah jauh berubah di mana pada hari ini hampir 80 peratus
daripada eksport kita adalah barangan buatan. Ini
membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai keupayaan
dan kecekapan jika kita betul-betul menumpukan usaha kita
terhadap penguasaan sesuatu bidang. Demikian kurniaan
Tuhan, apabila manusia membuat sesuatu berulangkali dengan
tekun dan rajin, tidak dapat tidak mereka akan menjadi lebih
cekap sepanjang masa. Bahkan kecekapan itu akan menjadi
sebahagian daripada budaya yang diwarisi oleh keturunan
bangsanya. Tentulah kita tidak boleh ditakrif sebagai orang
yang banyak bersyukur jika sifat ini yang dikurniakan oleh
Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak dimanfaatkan oleh kita.
5. Orang Melayu dan Bumiputera lain tidak kurang keupayaan
mereka jika mereka sanggup menggunakan sifat kemanusiaan
yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Jika mereka
gagal atau lemah, ianya bukanlah kerana Tuhan menjadikan
mereka sedemikian, tetapi adalah kerana mereka tidak
menghargai dan menggunakan kurniaan Tuhan. Yang cacat juga
mempunyai kebolehan tertentu yang mungkin lebih daripada
yang normal. Segala yang baik adalah daripada Allah
Subhanahu wa Ta'ala, segala yang buruk dan salah adalah
daripada kita juga.
6. Dalam tahun 1995 kita telah mengadakan Pilihanraya Umum
yang ke-sembilan. Pilihanraya ini telah diadakan dalam
keadaan aman dan selamat, syukur Alhamdulillah. Majoriti
terbesar daripada rakyat Malaysia telah memilih Barisan
Nasional untuk terus membentuk Kerajaan dan memerintah.
7. Sebagai seorang daripada pemimpin Barisan Nasional,
saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pengundi-pengundi
yang telah mengambil bahagian dalam Pilihanraya ini dengan
cara yang tertib dan baik. Demokrasi telah dapat diamalkan
oleh negara ini tanpa gejala-gejala buruk yang sering
mengiringinya seperti di kebanyakan negara lain. Ini adalah
kerana rakyat Malaysia matang dan tahu had kebebasan dan
tanggungjawab mereka. Sekali lagi kita harus bersyukur
kerana demokrasi kita tidak menjadi satu gejala buruk kepada
kita. Alhamdulillah.
8. Pada tahun 1996, kita akan mula melaksanakan Rancangan
Malaysia Ke-Tujuh. Kita telah menjadikan negara kita negara
industri pembuatan kerana hanya industri ini sahaja yang
dapat mewujudkan peluang kerja yang cukup untuk rakyat
Malaysia. Tetapi demikianlah kejayaan kita sehingga kita
terpaksa mengambil pekerja asing untuk mengisi kekosongan
yang terlalu banyak. Pada hari ini jumlah pekerja asing
dengan atau tanpa izin ialah 1.2 juta.
9. Bukanlah niat kita untuk tidak mengongsi kemakmuran
kita dengan orang lain. Tetapi jumlah pekerja asing
dijangka akan meningkat kepada 2.3 juta pada tahun 2000 jika
kita tidak mengambil langkah mengatasinya.
10. Kita boleh lewatkan pembangunan. Tetapi ini tidak akan
mengatasi masalah kedatangan pekerja asing. Pilihan
Kerajaan ialah untuk mengurangkan jenis industri yang
memerlukan banyak tenaga pekerja dan menggantikannya dengan
industri bermodal besar dan berteknologi tinggi. Industri
seperti ini boleh memberi pendapatan yang lebih kepada
pekerja tanpa menaikkan kos pengeluaran dan menjejaskan
dayasaingan kita. Tetapi untuk mendapat pendapatan yang
bertambah, pekerja mestilah sanggup dilatih semula dan
menukar kerja, tanpa tindakan yang boleh merugikan majikan,
negara dan pekerja sendiri.
11. Pekerja kita, jika sanggup dilatih, mampu membuat kerja
yang lebih canggih yang memberi pendapatan yang lebih
tinggi. Hasrat Kerajaan ialah supaya pekerja Malaysia
dibayar gaji yang tinggi selaras dengan perkembangan ekonomi
yang dihasilkan kerana sumbangan mereka.
12. Sebagai satu lagi pendekatan untuk mengurangkan
pergantungan kita kepada pekerja asing, Kerajaan merancang
untuk mengambil pesara Kerajaan dan swasta serta suri rumah,
melatih mereka di mana perlu dan mencari kerja yang sesuai
bagi mereka sama ada sepenuh atau separuh masa. Dengan ini,
rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan yang bertambah
sementara kemiskinan akan dapat dikurangkan. Kita tidak
mahu berlaku seperti kata pepatah, "itik di air mati
kehausan, ayam di kepok mati kelaparan." Adalah tidak wajar
rakyat Malaysia tidak berpeluang bekerja dan menambah
pendapatan dalam negara yang begitu berkurangan pekerja
sehingga terpaksa mengimpot pekerja asing.
13. Kerja adalah satu jenis ibadat dan kerja yang boleh
menyelamatkan bangsa, agama dan negara tentulah menjadi
ibadat yang penting. Kita tidak harus bekerja semata-mata
untuk mendapat pendapatan yang bertambah. Kita harus sedar
bahawa kerja yang kita buat boleh menolong mempertahankan
negara kita. Jika orang Islam di negara ini bebas untuk
beribadat dan tidak diburu dan dibunuh seperti yang berlaku
di Bosnia, Chechnya dan Somalia dan ditindas seperti di
beberapa negara maju, di mana orang Islam menjadi minoriti,
sebabnya ialah kerana hasil usaha pembangunan ekonomi negara
yang membebaskan kita daripada meminta-minta dan bergantung
kepada kuasa-kuasa besar untuk menyelamat dan membiayai
negara kita. Jika direnungkan, keadaan kita sekarang ada
kaitan yang rapat dengan kesanggupan dan kemampuan kita
bekerja dalam bidang yang lain daripada menanam padi,
menoreh getah atau menangkap ikan.
14. Kita tidak dikehendaki bekerja sehingga melupakan
ibadat untuk akhirat. Kedua-duanya boleh dibuat bersama.
Di negara Islam yang miskin papa, ibadat untuk akhirat pun
tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Demikian juga bagi
orang Islam yang telah merantau ke negara lain kerana
kemiskinan, kadang-kadang mereka bukan sahaja tidak dapat
beribadat tetapi terpisah daripada agama mereka. Benarlah
kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.
15. Maju mundurnya sesuatu bangsa tidak bergantung kepada
keturunan kaum atau warna kulit. Sebab itu ada bangsa
Eropah yang amat mundur dan ada bangsa Asia yang termaju
sekali. Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada
budaya bangsa itu. Dan budaya bukan sesuatu yang tetap dan
tidak dapat diubah. Budaya berubah sepanjang masa dan boleh
dicorak secara sengaja.
16. Setiap kaum di Malaysia boleh memupuk nilai-nilai yang
baik dan mengamalkannya sehingga ia menjadi sebahagian
daripada budaya kaum itu turun temurun. Hari ini pun budaya
kaum-kaum di Malaysia, terutama Melayu dan Bumiputera lain,
sudah berubah supaya lebih sesuai dengan keadaan di negara
yang pesat membangun ini. Hanya sedikit sahaja lagi
perubahan yang diperlukan untuk menjadikan budaya kita
sesuai dengan kejayaan. Dan di antaranya ialah sikap
terhadap bekerja kuat dan rajin. Insya-Allah jika semua
rakyat sedar dan sanggup, suatu bangsa yang berbudaya mulia,
yang berpegang kepada nilai-nilai keagamaan dan Islam yang
tulen dan benar boleh dibentuk dan diwujudkan. Dengan ini
akan kembalilah maruah agama dan bangsa kita.
17. Ada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan
dan usaha Kerajaan. Kononnya kita tidak berjaya sebenarnya;
kononnya kita terlalu taksub dengan kebendaan dan lupa akan
kerohanian. Mereka ini, jika ikhlas dan jujur, tentu akan
akui bahawa mereka juga menikmati banyak kebaikan hasil
daripada usaha Kerajaan. Bahawa mereka bebas menegur dan
mencela adalah kerana Kerajaan ini begitu toleran. Namun
rakyat tidak harus dipesongkan oleh hasutan mereka supaya
menggagalkan rancangan dan pendekatan Kerajaan. Janganlah
kita mengikut orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat
yang mereka terima.
18. Demikian juga dengan hasutan dari luar negara. Mereka
hanya berpura-pura bersimpati dengan nasib pekerja kita yang
didakwa kononnya malang. Tetapi sebenarnya mereka ingin
melihat kita gagal dan tidak terdaya menyaingi mereka.
19. Sebagai orang yang tahu bersyukur kita bukan sahaja
tidak harus menidakkan kebaikan yang kita nikmati, tetapi
sebagai bukti kesyukuran kita, kita haruslah memanfaatkan
kebaikan yang kita terima. Jika dengan pemberian daripada
manusia biasa sekalipun, kita tidak harus menghinakan
pemberi dengan mencampakkan sahaja pemberiannya, apatah
lagi pemberian daripada Tuhan. Tentulah kita tidak akan
mensia-siakannya.
20. Sebagai tanda kesyukuran akan nikmat keamanan,
kemakmuran dan kesejahteraan hidup di negara yang bertuah
ini, tidak ada yang lebih baik daripada menggunakan hayat
dan tenaga kita serta keamanan dan peluang untuk bekerja dan
berusaha supaya kita akan dapat menikmati lebih banyak
nikmat, di samping berdoa kepada Tuhan dan beramal ibadat.
21. Selaras dengan semangat Tahun Baru marilah kita semua
mempertingkatkan azam untuk membawa negara kita ke mercu
kejayaan yang lebih tinggi. Insya-Allah dengan usaha yang
lebih gigih, dan disiplin yang tinggi serta dengan berpegang
kepada nilai-nilai hidup yang murni, negara kita akan
mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.
22. Akhir kata saya ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru
1996 kepada semua rakyat Malaysia. Semoga tahun 1996 akan
merupakan satu lagi tahun yang cemerlang bagi kita semua.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmattullahi
wabarakatuh.
|