Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DI DEWAN LEE SAN CHOON WISMA MCA,
JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 09/01/96
Tajuk/Title : KONVENSYEN CUEPACS YANG KE-20
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
CUEPACS kerana menjemput saya untuk merasmikan Konvensyennya
yang ke-20 pada hari ini.
2. Saya berharap konvensyen ini akan membincangkan isu-isu
penting yang dapat membawa ahli-ahli serta kesatuan-kesatuan
sekerja gabungan CUEPACS ke arah yang lebih berjaya. Adalah
juga diharapkan rumusan-rumusan daripada konvensyen ini akan
dapat memanfaatkan bukan sahaja ahli-ahli CUEPACS bahkan
juga seluruh anggota perkhidmatan awam dan negara amnya.
3. Malaysia sudah diiktiraf sebagai salah sebuah negara
membangun yang termaju. Ekonominya tumbuh lebih daripada
lapan peratus setahun berturut-turut lapan tahun. Kita
mungkin bosan mendengar perkara ini disebut berulangkali.
Ini mungkin kerana kita memang mudah kurang menghargai
sesuatu nikmat yang sering kita perolehi. Hanya apabila
nikmat ini hilang baharulah kita tahu menghargainya.
Demikian jugalah dengan orang yang sihat. Hanya apabila dia
jatuh sakit baharulah dia fahami dan hargai nikmat dan
hikmat kesihatan. Malangnya pada ketika itu mungkin dia
tidak dapat dipulihkan lagi. Demikian jugalah dengan
kesihatan ekonomi negara.
4. Sebab itu kita tidak harus berasa bosan dengan sebutan
pencapaian ekonomi kita. Tidak ada seorang pun daripada
rakyat Malaysia, daripada yang termiskin hingga yang
terkaya, yang tidak mendapat sesuatu daripada pertumbuhan
ekonomi yang tinggi ini. Tentu ada yang berpendapat bahawa
apa makna pertumbuhan ekonomi lapan peratus dan apa makna
pendapatan per kapita RM8,500. Mereka berkata mereka tidak
mendapat RM8,500 setahun, seolah-olah mereka tidak faham
akan makna purata. Tetapi pergilah ke negara yang
pendapatan per kapita hanya RM1,000 atau RM2,000 dengan
inflasi antara 10 hingga 20 peratus dan lihatlah keadaan
pekerja yang membuat kerja seperti kita. Dan pergilah pula
ke negara seperti Singapura yang pendapatan per kapita
adalah RM50,000 dan bandingkan taraf hidup mereka dengan
taraf hidup kita.
5. Jika kebaikan pertumbuhan ekonomi tidak memberi nikmat
yang banyak kepada kita, kenapakah begitu ramai orang asing
bermati-matian untuk menyeludup masuk ke negara ini?
6. Tujuan saya menyebut perkara ini bukanlah untuk
mendabik dada atau mengecam mereka yang seolah-olah tidak
bersyukur dengan nasib baik kita. Tujuan saya ialah untuk
menjelaskan sedikit akan sebahagian yang tidak kecil
daripada pendekatan-pendekatan yang telah membawa kejayaan
kepada kita.
7. Negara ini telah dapat mengejar negara-negara NIC atau
"Newly Industrialising Countries" yang lain kerana kita
sanggup mengambil pendekatan yang radikal bagi mengatasi
beberapa kelemahan dan masalah yang kita hadapi dalam
pengurusan ekonomi negara.
8. Apakah yang radikal yang telah kita terimapakai? Yang
pertamanya sementara kerjasama rapat antara Kerajaan dan
swasta di Jepun dikecam hebat oleh Barat sebagai sesuatu
yang tidak baik, kita di sini dengan sengaja dan secara
terbuka mengambil konsep Persyarikatan Malaysia atau
"Malaysia Incorporated" sebagai dasar dan pendekatan kita.
Kita sengaja menggalakkan kerjasama rapat antara swasta dan
Kerajaan untuk menjayakan negara.
9. Di zaman yang masih ramai percayai bahawa pemilikan
perniagaan dan perusahaan oleh Kerajaan adalah jalan yang
baik untuk kesejahteraan rakyat, di zaman mana ideologi
Komunis dan Sosialis dan konsep "Welfare State" masih
diagung dan diamalkan di Barat, kita telah memilih untuk
menswastakan syarikat-syarikat dan jabatan-jabatan Kerajaan.
Walaupun hari ini penswastaan bukan dianggap radikal lagi
dan semua negara termasuk bekas negara-negara Komunis sedang
sibuk menswastakan berbagai-bagai kegiatan Kerajaan, tetapi
di waktu kita mula menswastakan aktiviti Kerajaan, ia adalah
satu pendekatan baru yang tidak pernah diamalkan oleh
Malaysia dan di kebanyakan negara di dunia, sama ada maju
atau tidak.
10. Banyak lagi dasar dan pendekatan Malaysia boleh
dianggap radikal, termasuklah "affirmative action" seperti
penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru,
penghapusan cukai ke atas barangan mewah dan menghalang
peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati. Jika
pertumbuhan ekonomi Malaysia dijadikan bukti dan ukuran,
tindakan-tindakan yang radikal ini tidak menghalang tetapi
sebaliknya jelas menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
negara.
11. Di zaman purba, mereka yang terkuat akan "survive".
Kita tidak perlu percaya kepada seluruh teori Darwin, tetapi
pemerhatiannya tentang "survival of the fittest" memang ada
asasnya. Dengan perkataan lain "Might is Right" atau yang
kuat adalah benar. Jika ada saingan apa-apa, kekuatan
menentukan siapa yang menang dan benar.
12. Manusia bertamadun menolak penentuan siapa yang benar
mengikut siapa yang kuat. Manusia bertamadun mencipta
undang-undang yang berkuatkuasa ke atas semua, kuat dan
lemah, miskin dan kaya, atas dan bawah secara sama rata.
Bukan kekuatan atau kekayaan atau kekananan yang menentukan
siapa benar dan siapa salah, tetapi melalui perbicaraan oleh
juruhukum yang bebas atau "independent judiciary" yang
menentukan siapa benar atau tidak benar.
13. Di zaman moden ini mustahil kita akan menyuruh dua
orang yang bertelagah menyelesaikan masalah mereka dengan
bertinju atau berlawan pedang atau menggunakan pistol untuk
mendapatkan penyelesaian. Kita tahu bahawa cara ini adalah
tidak adil.
14. Tetapi dalam soal perhubungan antara majikan dan
pekerja cara penyelesaian pada suatu masa dahulu ialah
melalui ujian siapa yang lebih sanggup menghadapi kerosakan
kepada dirinya. Inilah asas penyelesaian melalui mogok dan
"lock-out".
15. Mungkin pada suatu masa dahulu tidak ada jalan lain
untuk menyelesaikan tuntutan pekerja melainkan dengan cara
ugutan atau tindakan merosakkan perniagaan dan harta
majikan, melalui mogok atau punca pendapatan pekerja melalui
"lock-out". Pada zaman itu hak pekerja tidak diakui oleh
masyarakat.
16. Tetapi hari ini tamadun kita mengiktiraf dan menerima
hak pekerja dan pentingnya mereka dilayan dengan adil.
Apakah kita masih memerlukan ujian kekuatan atau ketahanan
untuk menyelesaikan masalah antara majikan dan pekerja?
Tidakkah cara ini agak primitif?
17. Jika kita perhatikan pencapaian negara-negara Barat
yang percaya akan ujian kekuatan dan kesanggupan menerima
kebinasaan kepada diri sebagai cara penyelesaian masalah,
kita akan dapati akhirnya semua pihak rugi, baik pekerja,
baik majikan, bahkan masyarakat umum sendiri. Ekonomi
mereka semua merosot dan di Eropah pengangguran adalah
sebanyak lebih 10 peratus di sesetengah negara. Pendapatan
pekerja memang tinggi tetapi kos sara hidup juga tinggi.
Kehidupan mereka tidak lebih bahagia bahkan ada yang begitu
miskin sehingga terpaksa tidur di tepi jalan dan atas bangku
di taman.
18. Oleh kerana negara Barat mempunyai sistem saraan bagi
penganggur, pekerja tidak begitu takut kehilangan kerja.
Kerajaan akan memberi bantuan kepada yang hilang punca
pendapatan. Yang anehnya semasa ekonomi baik dan
pengangguran kurang, semasa itulah Kerajaan mempunyai banyak
wang untuk menolong yang miskin. Tetapi semasa ekonomi
merosot dan penganggur ramai, pendapatan Kerajaan daripada
cukai berkurangan dan memberi "unemployment benefit" kepada
yang menganggur menjadi beban yang berat. Pemulihan ekonomi
negara sukar dijayakan.
19. Kita bernasib baik kerana di Malaysia cara yang
primitif untuk menyelesaikan masalah antara majikan dan
pekerja tidak kerap digunakan. Sebaliknya kebanyakan
daripada masalah-masalah ini diselesaikan secara rundingan
atau "arbitration" tanpa mogok. Dengan ini industri kita
tidak rosak kerana mogok dan peningkatan kos pengeluaran.
Keamanan industri kita juga membantu menarik pelabur asing,
menambah peluang kerja sehingga bilangan pekerja kita kurang
daripada peluang kerja yang diwujudkan dan dengan itu dengan
sendirinya upah bagi pekerja bertambah.
20. Memandangkan kepada keadaan di Malaysia apakah tidak
perlu kita memikirkan semula akan kegunaan ugutan dan mogok
untuk menyelesaikan masalah? Hakikatnya ialah kerana ada
kemungkinan tindakan mogok atau "lock-out" oleh pihak-pihak
yang berunding, maka rundingan menjadi tegang dan keputusan
yang bijak sukar dicapai.
21. Masanya sudah tiba untuk kita memikir akan cara yang
lebih bertamadun untuk menyelesaikan sebarang pertikaian
antara majikan dengan pekerja. Cara yang dimaksudkan ialah
penghakiman oleh pihak ketiga atau "arbitration". Jika
rundingan tidak dapat diselesaikan maka masalah hendaklah
dirujuk kepada pihak ketiga, dengan peruntukan untuk rayuan
kepada badan yang lebih tinggi jika mana-mana pihak tidak
puas hati dengan pengadilan yang dibuat di peringkat
pertama.
22. Inilah sepatutnya cara kita menyelesaikan pertikaian
antara mana-mana pihak atau pencabulan undang-undang oleh
mana-mana pihak. Tanpa sistem kehakiman yang terdapat di
negara kita tentulah negara akan mengalami huru-hara.
23. Jika masalah perhubungan atau tuntutan oleh pekerja
dapat diselesaikan melalui penghakiman, maka kerugian
daripada tindakan mogok atau ugutan untuk mogok tidak akan
berlaku. Dengan itu walaupun hakim memutuskan untuk
merestui kenaikan upah yang dituntut, kos mogok tidaklah
akan ditambah kepada kos keluaran khidmat atau barangan.
Malaysia juga akan terus dapat bersaing dengan negara-negara
lain dalam pemasaran apa juga barangan. Sudah tentu
Malaysia akan terus maju dan membawa banyak nikmat kepada
kita semua.
24. Ide ini memang radikal. Anggota Kesatuan Sekerja tentu
sukar menerimanya. Mungkin ada pihak yang menggangap ada
udang di sebalik batu. Tetapi janganlah kita tutup hati
kita sama sekali. Timbangkanlah ia juga.
25. Kerajaan ini tidak ada niat buruk terhadap pekerja.
Apa yang telah kita lakukan semuanya menguntungkan pekerja.
Penswastaan begitu menguntungkan pekerja sehingga ada
Kesatuan Sekerja yang mendesak supaya agensi mereka
diswastakan segera. Demikianlah juga dengan dasar-dasar dan
pendekatan-pendekatan lain yang dibuat oleh Kerajaan
Malaysia sejak merdeka.
26. Justeru itu, tolonglah terima cadangan Kerajaan.
Apabila kita tetapkan bahawa pelarasan gaji hendaklah tidak
melebihi RM2 billion, sebabnya ialah kerana jumlah itu
besar. Lagi pun itu sahajalah yang kita mampu.
27. Sebenarnya lebihan pendapatan Kerajaan daripada belanja
tahun 1995 ialah RM3.5 billion. Daripada jumlah ini RM1
billion diberi sebagai bonus sebulan untuk tahun 1995 dan
RM2 billion untuk "backpay" kerana pelarasan dibuat dari 1
Januari 1995. Jumlah semua ialah RM3 billion iaitu 86
peratus daripada jumlah lebihan cukai yang dipungut oleh
Kerajaan daripada syarikat-syarikat dan orang yang
berpendapatan tinggi. Orang yang berpendapatan rendah
hampir semua tidak membayar cukai termasuklah kakitangan
Kerajaan. Pegawai-pegawai tinggi Kerajaan mendapat gaji
tinggi tetapi terpaksa membayar cukai pendapatan yang tidak
kecil. Anggapan bahawa Pegawai Tinggi Kerajaan tidak berhak
mendapat pelarasan gaji dan bonus adalah sesuatu yang tidak
adil kerana mereka menyumbang kepada jumlah wang untuk
membayar gaji dan bonus. Jika kita tidak mengambilkira
tanggungjawab dan beban kerja mereka yang lebih berat tanpa
dibayar "overtime" bagi kerja lebih masa, ianya adalah tidak
adil.
28. Wang Kerajaan bukan semata-mata untuk membayar gaji
kakitangannya sahaja. Kita juga dikehendaki membiayai
keperluan rakyat, termasuk yang termiskin. Dengan wang
sebanyak RM3 billion kita boleh membina 600 buah sekolah
atau 7,500 buah klinik desa atau dua ribu kilometer jalan
kampung. Kita boleh hapuskan kemiskinan sama sekali. Dan
banyak lagi yang boleh dibuat untuk rakyat dengan wang
sebanyak RM3 billion.
29. Tetapi kita pilih untuk menambah gaji kakitangan
Kerajaan yang hanya merupakan empat peratus daripada jumlah
rakyat. Justeru itu, janganlah terlalu keras menekan
Kerajaan dan mengenakan syarat. Kerajaan ini bertimbang
rasa. Kita bukan syarikat yang keuntungan yang diselamatkan
akan dinikmati oleh majikan dan pemegang saham. Lebihan
yang diselamatkan oleh Kerajaan adalah untuk rakyat dan
negara dan dinikmati bersama oleh kakitangan Kerajaan juga.
Pihak yang mengurus Kerajaan tidak mendapat apa-apa daripada
wang yang diselamatkan selain daripada kemungkinan kenaikan
gaji jika ada. Dan Kerajaan ini jarang memberi tambahan
gaji kepada anggota Kerajaan walau banyak mana pun wang
Kerajaan yang diselamatkan.
30. Saya tidak tujukan apa yang saya katakan ini kepada
seluruh CUEPACS kerana majoriti mereka adalah orang yang
sederhana. Tetapi ada satu dua orang yang begitu keras yang
tidak mahu mengiktiraf keadilan pihak Kerajaan.
31. Saya harap Konvensyen CUEPACS ini tidak menjadi forum
untuk mendesak, untuk menumpu hanya kepada persepsi
ketidakadilan kepada kakitangan Kerajaan dan kepada
kebebasan pekerja. Tumpukanlah sama kepada banyak nikmat
yang dirasai di negara ini. Bahaskanlah juga konsep
berkonfrantasi dan ugutan yang menjadi asas kepada "labour
rights" yang dicipta oleh Barat. Ingatlah bahawa pemikir
Baratlah yang mencipta ideologi Komunis dan Sosialis yang
hari ini mereka kutuk dan mereka gugurkan. Apakah tidak
mungkin konsep berkesatuan sekerja hanya untuk membuat
tuntutan melalui ugutan juga merupakan falsafah yang sama
salah dengan Komunisme dan Sosialisme?
32. Malaysia adalah negara kita. Pendapat bahawa orang
asing, terutama bekas penjajah, lebih prihatin terhadap
pekerja kita adalah tidak munasabah. Kitalah yang patut
prihatin dan bertanggungjawab terhadap nasib kita.
Percayalah Kerajaan ini mengutamakan negara ini dan
rakyatnya, termasuklah kakitangan Kerajaan yang semuanya
rakyat Malaysia. Kita tidak akan menganiayakan rakyat kita
sendiri kerana kita juga adalah sebahagian daripada rakyat.
33. Dengan harapan saudara-saudari akan merenungkan sedikit
apa yang telah saya sarankan, saya dengan sukacitanya
merasmikan Konvensyen CUEPACS yang ke-20 ini.
|