Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 19/02/96
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahir rahmanir rahim.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
Tuan-tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat
sekalian,
Alhamdulillah. Kita bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana esok rakyat Malaysia yang
beragama Islam akan sekali lagi menyambut Hari Raya
Aidil Fitri dalam keadaan aman dan dengan meriah dan
gembira.
2. Walaupun keamanan negara kita adalah satu
perkara biasa, kita tidak harus lupa menghargainya
sepanjang masa. Jika kita tidak menghargainya, kita
mungkin membuat perkara-perkara yang boleh
menyebabkan keamanan bertukar kepada huru-hara,
sesuatu yang amat diharapkan oleh negara-negara
tertentu yang sering memburuk-burukkan negara kita
kerana kononnya keamanan kita adalah kerana negara
kita diperintah secara tidak demokratik dan
rakyatnya tidak bebas. Ramai juga pemimpin
masyarakat kita yang berpendapat bahawa tanpa huru-
hara kita tidak sebenarnya demokratik.
Alhamdulillah, majoriti rakyat tidak suka kepada
huru-hara. Mereka suka kepada keamanan dan
keselesaan hidup yang datang dengannya. Justeru
itu, mereka berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka
terutama dalam bidang politik.
3. Sambutan Hari Raya tentulah meriah tetapi kita
di Malaysia tidaklah terlalu ghairah sehingga
melupakan diri. Kemeriahan sambutan kita adalah
sama seperti orang kebuluran yang akhirnya
dibebaskan daripada penderitaan kelaparan. Kita
gembira kerana sepanjang satu bulan kita telah
berjaya melawan nafsu, suatu kemenangan yang boleh
menolong kita menghadapi cabaran-cabaran lain.
Manusia yang tidak mampu melawan nafsu tidak akan
berjaya, baik di dunia mahupun di akhirat. Kita
yang mampu berhak bergembira kerananya. Puasa
bukanlah semata-mata ibadat untuk akhirat yang tidak
ada kaitan dengan kehidupan di dunia. Seperti juga
dengan ibadat-ibadat lain dalam Islam, puasa
menolong membentuk peribadi dan masyarakat yang
mulia. Jika ini tidak berlaku dalam masyarakat
Islam yang lain sebabnya ialah kerana puasa dianggap
sebagai satu `ritual' semata-mata, sesuatu yang
tidak ada kaitan dengan kehidupan di dunia.
4. Kita orang Islam di Malaysia bebas daripada
malapetaka. Bukan sahaja itu, kita juga sedikit
sebanyak dapat menghulur bantuan kepada saudara-
saudara seagama dengan kita yang menderita di negara-
negara lain. Apabila pihak Bangsa-Bangsa Bersatu
tidak lagi sanggup membiayai pasukan-pasukan
keamanan di Bosnia-Herzegovina, kita masih dapat
membiayai tentera kita sendiri. Dan ini mampu kita
buat kerana negara kita aman dan ekonominya kukuh
sehingga dapat memenuhi tabung negara tanpa
membelakangkan hak rakyat.
5. Kerana ini sahaja pun kita patut bersyukur dan
merayakan Aidil Fitri dengan gembira. Tetapi tahun
ini bagi kakitangan Kerajaan, terutama mereka yang
berjawatan rendah, kegembiraan tentulah bertambah
kerana mereka berjaya dalam tuntutan pelarasan gaji
mereka dan diberi gaji awal untuk bulan Februari dan
tambahan sebulan gaji tertakluk kepada maksimum
RM650.00 sebagai pendahuluan `back pay' kerana
kenaikan gaji dikira dari bulan Januari 1995. Sudah
tentu jika ekonomi negara kita meleset, kita tidak
mungkin dapat kenaikan gaji. Di samping itu,
penswastaan telah berjaya mengurangkan perbelanjaan
Kerajaan dan menambah pendapatannya kerana
keuntungan dan cukai serta hasil jualan agensi-
agensi Kerajaan kepada swasta. Tanpa penswastaan
mustahil kita dapat membayar bonus, memberi kenaikan
gaji dan di masa yang sama mendapat berbagai-bagai
kemudahan awam.
6. Di samping kita bergembira tentulah juga kita
harus bersyukur kerana pendekatan dan dasar-dasar
Kerajaan telah berjaya meningkatkan ekonomi negara
dan hasil Kerajaan. Adalah amat penting juga kita
mengetahui dari mana datangnya wang untuk tambahan
gaji. Jika kita hanya mencetak wang, maka nilainya
akan jatuh dan kenaikan gaji tidak akan memberi apa-
apa faedah kepada kita. Kita akan berada di takuk
yang lama juga. Wang yang kita perolehi adalah
hasil daripada dasar-dasar Kerajaan yang berjaya
membawa keamanan dan kemakmuran kepada semua.
7. Adalah menjadi niat dan matlamat Kerajaan ini
untuk meningkatkan daya beli semua rakyat. Hanya
dengan menambah gaji tidak dengan sendirinya
menambah daya beli rakyat. Untuk meningkatkan daya
beli, harga barangan dan khidmat hendaklah tidak
naik bersama. Seboleh-bolehnya harga barangan dan
khidmat hendaklah di paras lama, iaitu kita mengawal
inflasi sehingga tercapai Inflasi Sifar.
8. Inflasi Sifar bukan sahaja akan menguntungkan
pekerja yang makan gaji tetapi juga peniaga sendiri.
Jika mereka menaikkan harga untuk mendapat
keuntungan yang lebih, walaupun hanya pada hari-hari
perayaan, keuntungan mereka tidak akan menambah daya
beli mereka kerana barangan lain juga akan naik
harga dan pembekal-pembekal barangan mereka juga
akan menaikkan harga. Dengan ini keuntungan mereka
tidak akan meningkat sebanyak kenaikan harga yang
dibuat oleh mereka. Yang berlaku hanyalah inflasi,
iaitu penurunan daya beli daripada pendapatan
mereka. Ingatlah wang yang banyak tidak bermakna
jika kita tidak dapat membeli lebih daripada dahulu.
9. Peningkatan upah dan pendapatan sepatutnya
menjadikan kita lebih kaya, iaitu lebih mampu
membeli-belah. Hasrat Kerajaan ialah untuk
meningkatkan daya beli rakyat supaya semua peringkat
menikmati taraf hidup yang kian tinggi. Dan ini
boleh berlaku jika kita semua bekerjasama dan
bekerja kuat untuk menjayakan ekonomi kita melalui
peningkatan hasil usaha kita serta mengawal inflasi.
10. Alhamdulillah, dalam usaha ini kita lebih
berjaya daripada kebanyakan negara lain. Tetapi
janganlah kita anggap keadaan ini boleh kekal dengan
sendirinya jika kita tidak berusaha bersungguh-
sungguh dan berhati-hati sepanjang masa.
11. Demikian juga keamanan di negara kita. Amatlah
penting kita memelihara dan memupuk hubungan baik di
kalangan penduduk pelbagai kaum di negara ini. Kita
semua tentu sedar akan betapa mudahnya masyarakat
berbilang kaum bersengketa dan bermusuh-musuhan.
Kita telah pun mengalami keburukan akibat rusuhan
kaum. Tidak ada sesiapa pun yang untung.
12. Jika pada hari ini penduduk Malaysia yang
berbagai-bagai keturunan, agama, budaya dan bahasa
berjaya mengelak daripada rusuhan, satu daripada
sebabnya ialah kerana pada hari-hari perayaan, kita
sering kunjung-mengunjungi kawan dan rakan yang
berbeza agama. Di bulan Ramadan yang baru berakhir
ini kita dapati ramai orang bukan Islam menyertai
orang Islam semasa berbuka puasa.
13. Walaupun penyertaan mereka tidak mempunyai apa-
apa maksud keagamaan, penyertaan ini membolehkan
mereka mengenal sedikit sebanyak agama rasmi negara
kita. Dengan ini akan berkuranglah syak-wasangka
terhadap Islam dan orang Islam seperti yang dipupuk
oleh masyarakat-masyarakat Barat yang sering
mengaitkan Islam dengan ekstrimisme dan keganasan.
14. Kehadiran orang Islam di majlis-majlis perayaan
orang bukan Islam juga menolong menghilangkan syak-
wasangka antara kaum di Malaysia. Yang penting
bukan menjamu selera tetapi menyertai bersama di
hari perayaan. Walaupun berpuasa, orang Islam boleh
mengunjungi kawan daripada kaum Cina pada tahun baru
mereka.
15. Kita harap tidak ada sesiapa yang cuba
menghalang budaya berbaik-baik antara penganut agama
yang berlainan yang terdapat di negara ini. Kita
tahu kesan rusuhan antara penganut agama yang
berlainan yang berlaku di negara-negara lain.
Rusuhan dan pembunuhan yang dahsyat berlaku. Kita
orang Islam tahu bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala
tidak suka kepada huru-hara dan mereka yang
mencetuskan huru-hara. Dengan memupuk suasana yang
aman di negara kita, sebenarnya kita mengamalkan
ajaran Islam.
16. Semasa kita bersyukur dan bergembira dengan
keamanan dan kebahagiaan hidup di negara kita,
janganlah pula kita lupa akan penderitaan orang
Islam dan orang bukan Islam yang tidak bermusuh
dengan orang Islam di merata tempat di dunia. Kita
bukan sahaja perlu bersimpati dari jauh akan
penderitaan mereka tetapi setakat yang kita mampu
hendaklah kita hulurkan bantuan, terutama pada hari
raya.
17. Di Bosnia-Herzegovina, Chechnya, Somalia,
India, Rwanda, Burundi dan Palestin ramai orang
Islam dan bukan Islam yang menderita. Adalah
menjadi tanggungjawab kita menolong mereka setakat
yang kita berhak dan mampu.
18. Jika di dalam negara kita, kita wajib menghulur
bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik,
demikian juga di arena antarabangsa, kita sebagai
sebuah negara tidak boleh lupakan negara-negara yang
tidak bernasib baik seperti kita tanpa mengambilkira
agama mereka. Ingatlah, kerapkali apabila orang
Islam menderita banyak juga pertolongan yang diberi
oleh orang bukan Islam. Janganlah kita hanya
sanggup menerima tetapi tidak sanggup memberi.
19. Kita juga harus ingat bahawa di beberapa negara
Islam rusuhan yang dahsyat berlaku sesama orang
Islam. Sebabnya ialah kerana pendapat politik yang
berlainan. Kerana politik keagamaan, ada kumpulan-
kumpulan yang mengganas dan membunuh orang Islam
lain.
20. Memang benar fanatisme dan keganasan tidak
terhad kepada orang Islam sahaja. Tetapi hanya
kerana orang lain ganas tidak bermakna kita juga
harus fanatik dan ganas. Agama Islam menegaskan
persaudaraan antara semua orang Islam. Apakah
dengan mengganas dan membunuh orang Islam lain kita
mengikut ajaran Islam?
21. Tidak ada sebab kita orang Islam tidak boleh
mengatasi masalah kita, sedangkan kita adalah umat
yang terpilih. Jika kita gagal sebabnya sudah tentu
bukan kerana agama Islam. Sebabnya ialah kerana
kita tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar dan
kita terlalu mudah mengikut nafsu dan ajaran mereka
yang berkepentingan. Rosaknya umat Islam dalam
sejarah selalunya kerana taksub dengan ajaran-ajaran
sesat oleh orang seperti ini.
22. Di masa kita bergembira merayakan Aidil Fitri
yang mulia ini janganlah kita lupa akan anggota-
anggota polis dan tentera kita dan pekerja-pekerja
lain yang menjalankan tugas mereka dengan rela hati
di seluruh negara dan di merata dunia, demi menjaga
maruah, keselamatan dan kehormatan kita. Saya bagi
pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan
terima kasih dan selamat berhariraya kepada mereka
yang terpisah buat sementara daripada anak isteri
dan kaum keluarga di Hari Raya ini. Jasa mereka
tetap dihargai dan dikenang.
23. Pada kesempatan Hari Raya Aidil Fitri ini
izinkan saya, bagi pihak Kerajaan, diri saya, isteri
dan anak-anak saya, memohon maaf zahir dan batin
atas apa juga kesalahan kami terhadap sesiapa
sahaja. Selamat Hari Raya Aidil Fitri yang Mulia.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
|