Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/03/96
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PERODUA RUSA
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak
pengurusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd.
kerana menjemput saya untuk melancarkan Perodua Rusa
pada malam ini.
2. Kemunculan Perodua Rusa di dalam rangkaian
kenderaan Perodua adalah tepat pada masanya kerana
kenderaan yang bersifat serbaguna ini sangat sesuai
dengan keperluan sebahagian besar daripada penduduk
negara ini. Lebih-lebih lagi di saat penduduk
Malaysia memiliki kemampuan yang tinggi untuk
membeli kereta hasil pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Saya difahamkan bahawa saiz purata sesebuah keluarga
di Malaysia adalah 5.2 orang. Ini membuktikan
bahawa sesebuah keluarga sama ada di dalam atau di
luar bandar akan dapat memanfaatkan penggunaan
kenderaan yang boleh menampung seramai 7 penumpang.
Dengan ini golongan warga tua juga akan dapat turut
serta dalam aktiviti-aktiviti keluarga, di mana
sebelum ini saiz kereta yang terhad menyisihkan
mereka daripada aktiviti-aktiviti tersebut. Peniaga-
peniaga kecil juga akan lebih mampu untuk memiliki
kenderaan yang memenuhi keperluan mereka. Saya
mengucapkan tahniah kepada Perodua atas kejayaannya
dalam membangunkan pasaran kereta kompak yang
sebelum ini tidak diberi perhatian oleh pengeluar-
pengeluar kereta yang lain. Hanya yang saya ingin
ingatkan pemilik Perodua Rusa ialah berhati-hati
semasa memandu kerana keselamatan seluruh keluarga
ada di tangan anda.
3. Penjualan kenderaan bermotor di Malaysia telah
meningkat lebih daripada 40 peratus pada tahun 1995
berbanding dengan tahun 1994. Ini adalah satu
perkembangan yang mengejutkan daripada segala segi.
Kebolehan industri ini menghadapi dan mengatasi
cabaran permintaan yang besar ini akan mengukur
setakat mana pengurusan industri otomobil di
Malaysia sudah matang. Industri sokongan, iaitu
`vendors' yang mengeluarkan komponen juga mesti
mengatasi cabaran ini. Mereka mestilah menyusun
program keluaran mereka supaya mencukupi permintaan
dan sistem `just in time' dapat diamalkan.
4. Pihak Perodua telah menggandakan tahap
pengeluaran terancang untuk tahun 1995 daripada
20,000 kepada 40,000 unit. Walaupun begitu,
peningkatan ini masih tidak mencukupi memandangkan
masih terdapat 10,000 permintaan bagi Perodua Kancil
yang tertangguh. Selain daripada itu pasaran luar
negara mungkin lebih besar daripada pasaran tempatan
jika kita memasar secara agresif. Oleh itu adalah
baik sekiranya Perodua meninggikan kapasiti
pengeluaran secepat mungkin. Tahun 1995 merupakan
tahun pertama Perodua beroperasi sepenuhnya
sepanjang tahun. Melalui pengeluaran dan penjualan
Kancil, Perodua telah berjaya meluaskan asas pasaran
kenderaan dan seterusnya menguasai 17.7 peratus
daripada pasaran tersebut, menjadikan ianya kedua
terbesar selepas Proton. Kejayaan ini sangat
membanggakan.
5. Industri motor Malaysia dijangka akan
berkembang pesat dalam beberapa tahun yang akan
datang. Sekiranya kita mengambil contoh dari negara
Taiwan dan Australia, pasaran kenderaan Malaysia
berkemungkinan mencapai tahap maksimum pada setengah
juta unit setahun. Hanya masa dan prestasi ekonomi
yang akan menentukan bila hasrat ini akan tercapai.
Namun begitu, adalah penting Proton dan Perodua
berusaha mengurangkan kos pengeluaran mereka supaya
dapat bersaing dengan kereta-kereta lain di luar
negeri di mana perlindungan oleh Kerajaan tidak ada.
Janganlah pengurangan cukai oleh Kerajaan dijadikan
sebagai punca keuntungan syarikat.
6. Peningkatan yang tinggi di dalam pengeluaran
dan penjualan kenderaan juga boleh mendatangkan
masalah. Sehingga bulan November 1995, Malaysia
telah mengalami defisit dagangan sebanyak RM 9.9
bilion kebanyakannya dengan Jepun. Perodua dengan
pembelian bahagian-bahagian CKD dan peralatan
kapitalnya telah menyumbang ke arah defisit ini.
Memandangkan Perodua telah diberi perlindungan
tertentu oleh Kerajaan, pengurusannya
bertanggungjawab terhadap usaha mengurangkan defisit
dagangan Malaysia. Masalah ini boleh diatasi dengan
sekurang-kurangnya tiga cara.
7. Pertama, di dalam pembelian peralatan kapital
untuk menaikkan kapasiti yang kini masih terhad,
pastikan bahawa komponen-komponen yang diimport
adalah pada tahap minimum dan penggunaan komponen-
komponen buatan tempatan terletak di tahap maksima.
Jika diteliti dengan halus dan kebolehan dalam
negeri dikenalpasti, banyak komponen yang diimport
boleh diperolehi dari dalam negeri.
8. Kedua, mempercepatkan pelaksanaan perancangan
untuk menggantikan komponen-komponen kereta yang
diimport dari Jepun. Tiap satu bahagian dan alatan
kereta perlu dikaji untuk mengenalpasti komponen dan
`child parts' yang diimport dan segala usaha dibuat
untuk mengeluarkan `parts' ini dalam negara. Jumlah
kereta buatan Malaysia sudah mencukupi untuk
industri komponen mempunyai `economies of scale'.
9. Ketiga, pihak Perodua mestilah mengeksport
Kancil dan Rusa sebanyak yang mungkin. Saya
difahamkan bahawa pengurusan Perodua telahpun mula
mengeksport sebilangan kecil Perodua Kancil buat
pertama kali ke negara Brunei beberapa hari yang
lalu dan mereka harus dipuji di atas usaha ini.
Namun begitu, usaha-usaha ini harus dipertingkatkan
segera supaya ianya akan dapat meliputi negara-
negara lain. Kancil `left hand drive' hendaklah
dikeluarkan secepat mungkin dan enjin 850 c.c.
dipasang untuk pasaran tertentu. Demikian juga
pengeluaran enjin di Malaysia hendaklah dilaksanakan
sekarang.
10. Sekiranya usaha-usaha ini dirancang dan
dilaksanakan dengan teliti, imbangan antara import
dengan eksport boleh dicapai dan defisit
dikurangkan. Objektif Perodua yang unggul mestilah
untuk menjadi pengeksport yang berjaya.
11. Saya difahamkan bahawa Perodua sudah pun
mempunyai perancangan untuk menghasilkan komponen-
komponen enjin utama seperti kepala silinder,
`camshaft', `crankshaft' dan blok silinder. Perlu
ditegaskan bahawa kebolehan untuk mengeluarkan
komponen-komponen lain seperti `fuel injection
system', pam minyak dan air adalah perlu untuk
membuktikan kemampuan kita menghasilkan sesebuah
enjin. Sekali lagi komponen-komponen kecil, iaitu
`child parts' perlu dikenalpasti dan diusahakan di
dalam negeri.
12. Mengenai transmisi otomobil, adalah jelas
bahawa permintaan untuk kenderaan-kenderaan
automatik adalah tinggi di Malaysia. Lebih kurang
35 peratus daripada kereta-kereta baru yang dijual
dilengkapi dengan transmisi automatik. Permintaan
untuk Kancil otomatik adalah masih tinggi walaupun
ianya hanyalah dilengkapi dengan enjin 660 c.c. yang
berkuasa kecil. Perodua patut menimbang pengeluaran
transmisi automatik, sekurang-kurangnya bahagian-
bahagian tertentu di negara ini.
13. Apabila komponen-komponen kenderaan Perodua
telah dihasilkan di Malaysia atau diimport dari mana-
mana negara selain dari Jepun, Perodua mestilah
mendapatkan kelengkapan untuk menguji komponen-
komponen tersebut secara individu dan kenderaan yang
dihasilkan secara keseluruhan. Perkara ini patutlah
menjadi sebahagian daripada perancangan untuk
memastikan kualiti kenderaan yang dihasilkan tetap
tinggi. Ujian yang sama mesti dibuat ke atas
komponen dari Jepun untuk menentukan keseragaman.
Bandingan secara saintifik di antara barangan buatan
Jepun dengan yang dikeluarkan oleh pihak lain
amatlah penting.
14. Saya difahamkan bahawa Perodua sedang
menghasilkan rekaan dan kelengkapan pembangunan
secepat yang mungkin. Saya amat gembira dengan
perkembangan ini kerana pelaksanaan akhir
tanggungjawab Perodua kepada negara adalah untuk
mendapatkan keupayaan yang perlu bagi merekacipta
dan mengeluarkan kereta Malaysia secara menyeluruh.
Keupayaan ini perlu ada pada kita walaupun industri
otomobil semua negara biasanya mendapat bekalan
komponen, bahkan `design' dari negara-negara lain.
Ini termasuklah negara Jepun. Syabas kepada pihak
pengurusan dan kakitangan Perodua.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Perodua Rusa dengan doa ia akan berjaya.
|